Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor peruntuk RM1.3 juta beri bantuan makanan untuk rakyat

SHAH ALAM, 18 FEB: Kerajaan Negeri melalui Pakej Kita Selangor memperuntuk RM1.3 juta untuk bantuan Bakul Makanan kepada penduduk yang terjejas susulan wabak Covid-19 meningkat semula.

Diagihkan mulai akhir Januari, bantuan barangan keperluan harian itu diagihkan kepada pemandu teksi, pemandu bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR), pemandu lori sisa pepejal Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM), warga tani dan nelayan.

Menggunakan dana Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan KDEB, agihannya seperti berikut:

Pemandu teksi
– Penerima: 6,233
– Anggaran kos: RM623,300
– Agensi pelaksana: Yayasan Food Bank Malaysia dan pihak berkuasa tempatan

Pemandu bas sekolah:
– Penerima: 1,601
– Anggaran kos: RM160,100
– Agensi pelaksana: Yayasan Food Bank Malaysia dan pihak berkuasa tempatan

Penyewa PPR:
– Anggaran penerima: 5,639
– Anggaran kos: RM977,950
– Agensi pelaksana: LPHS

Pemandu lori sisa pepejal KDEBWM
– Pemberian empat kilogram beras
– Penerima: 10,127
– Selesai pada 2 Februari 2021
– Agensi pelaksana: KDEBWM

Petani, penternak, nelayan dan pengusaha industri asas tani
– Anggaran penerima: 7,000
– Anggaran kos: RM490,000
– Agensi pelaksana: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor

Pakej Kita Selangor dengan implikasi kewangan RM73.9 juta diumumkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari diumumkan pada 20 Januari untuk mendepani kesan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

10 pendayung sampan santuari kelip-kelip terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 15 FEB: Keluarga pendayung sampan Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan menerima bantuan bakul makanan dari Ahli Parlimen Kuala Selangor, baru-baru ini.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sumber pendapatan keluarga berkenaan terjejas ekoran tiada pelawat ke pusat pelancongan itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seramai 10 keluarga menerima bantuan makanan ini, selain menyerahkan bantuan, ziarah kali ini juga membolehkan saya melihat keadaan kesihatan keluarga mereka terutamanya warga emas.

“Semoga pemberian bakul makanan ini dapat membantu meringankan belanja dapur keluarga berkenaan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dr Dzulkefly yang juga pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menasihatkan orang ramai terus patuh tatacara operasi piawai (SOP).

“Semoga keadaan akan pulih seperti sedia kala kerana kesan amat ketara terutamanya mereka yang bergantung kepada upah harian dan hasil laut,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Morib sumbang makanan kepada 29 individu dikuarantin

SHAH ALAM, 10 FEB: Seramai 29 individu dari enam keluarga di Kampung Kanchong Darat, Banting yang sedang dikuarantin diberi bantuan makanan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib berkata mereka tinggal di lorang sama dan terputus bekalan sejak beberapa hari lalu.

“Bukan tiada makanan langsung tetapi disebabkan pendapatan secara harian, mereka tidak boleh bekerja ketika dikuarantin susulan seorang individu disahkan positif Covid-19.

“Bagi ringankan beban, kita sumbang beras, minyak masak, susu, mee segera, biskut, gula, serbuk kopi dan tepung. Semoga bantuan ini meringankan beban perbelanjaan keperluan dapur mereka,” kata Hasnul Baharuddin ketika dihubungi hari ini.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata sebelum ini bantuan sama pernah dihulurkan ketua kampung selepas mengetahui kejadian berkaitan.

“Bagi mengekang pandemik ini dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), semua makanan diletakkan di luar lorong perumahan untuk memudahkan mereka mengambil,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Penduduk DUN Kota Kemuning terima sumbangan makanan depani PKP

SHAH ALAM, 4 FEB: Hampir 1,000 bakul makanan diagih kepada penduduk kurang berkemampuan (B40) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning sejak bulan lalu.

Wakil rakyatnya berkata sumbangan beras, minyak masak, biskut dan sardin bernilai antara RM80 hingga RM90 dilaksana susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

V Ganabatirau memaklumkan sebanyak 480 bakul makanan diserahkan pada minggu pertama PKP dan 500 lagi diedarkan pada minggu berikutnya.

“Kita harap sumbangan ini membantu meringankan beban penduduk B40 ketika mendepani tempoh perintah kawalan,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, agihan dibuat melalui khidmat sukarelawan, ketua kampung selain meminta penduduk mengambil sendiri bantuan tersebut.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Agihan makanan pekerja lapangan KDEBWM selesai minggu ini

PETALING JAYA, 4 FEB: Sumbangan makanan kepada 8,432 pekerja lapangan KDEB Waste Management (KDEBWM) dijangka selesai sepenuhnya minggu ini.

Pengarah urusannya berkata bantuan beras kepada pemandu lori, kru kutipan dan pembersihan awam diagih sejak minggu lalu melalui pejabat cawangan 12 pihak berkuasa tempatan.

“Kita bantu mereka setakat termampu dan berharap sumbangan ini bertahan untuk tempoh satu atau dua bulan. Sebelum ini kita sudah agih teh, kopi, gula dan susu kepada mereka.

“Kita akan lihat apa lagi bantuan yang boleh disampaikan untuk bulan berikutnya sehingga hujung tahun,” kata Ramli Mohd Tahir pada program pembersihan sampah pukal Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini semalam.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan sejumlah RM1.3 juta untuk melaksanakan inisiatif Bakul Makanan kepada penduduk terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan melalui Pakej Kita Selangor diagihkan kepada pemandu teksi dan bas sekolah, penyewa PPR, orang asli serta pemandu lori sisa pepejal KDEBWM.

 

Categories
ADN SELANGOR

PKP: Lebih RM260,000 agih bekalan makanan sekitar Bandar Baru Klang

SHAH ALAM, 3 FEB: Lebih RM260,000 diperuntuk bagi membekalkan makanan asas kepada keluarga miskin sekitar Bandar Baru Klang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wakil rakyatnya Dato’ Teng Chang Khim berkata agihan bantuan secara berfasa mulai tahun lalu melibatkan penghuni pangsapuri dan kawasan kampung.

“Sepanjang Mac hingga Disember tahun lalu, sejumlah RM200,000 dibelanjakan untuk menyediakan barang makanan manakala tahun ini lebih RM60,000 bagi membantu 2,000 keluarga yang terjejas akibat PKP,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Jelasnya, sumbangan berbentuk makanan menjadi pilihan untuk memastikan penduduk tidak terputus bekalan ketika pelaksanaan perintah kawalan.

“Kita pastikan kebajikan penduduk terjaga. Sumbangan ini dapat meringankan beban dan wang mereka boleh digunakan untuk tujuan lain,” kata Chang Khim.

 

Categories
ADN SELANGOR

1,000 penduduk Pandan Indah terima bantuan makanan asas

SHAH ALAM, 25 JAN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah mengagih bantuan makanan asas kepada 1,000 penduduk di kawasan tersebut yang terjejas akibat Covid-19.

Wakil rakyatnya berharap bantuan beras lima kilogram dan dua ekor ayam meringankan beban keluarga berpendapatan rendah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Program yang bermula jam 11 pagi sehingga lewat petang ini berjalan lancar mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Insya-Allah program seperti ini akan berjalan setiap minggu sepanjang tempoh PKP,” kata Ir Izham Hashim menerusi Facebook.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) serta beberapa syarikat yang menghulurkan bantuan berkenaan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM: Lebih 8,000 pekerja bakal terima bakul makanan

SHAH ALAM, 22 JAN: Seramai 8,432 pekerja KDEB Waste Management (KDEBWM) yang bertugas di lapangan akan mendapat manfaat bantuan bakul makanan.

Pengarah urusannya berkata sumbangan beras berjumlah RM100,000 diberikan kepada pemandu lori, kru kutipan dan pembersihan awam melalui pejabat cawangan di seluruh pihak berkuasa tempatan bermula minggu depan.

“Sumbangan kecil ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bekerja 365 hari setahun dalam memastikan kutipan sampah dan pembersihan dibuat mengikut jadual demi menjamin kebersihan persekitaran.

“Diharap ia memberi semangat baharu kepada golongan tersebut yang juga dianggap petugas barisan hadapan untuk terus bekerja walaupun dalam tempoh mencabar Covid-19,” kata Ramli Mohd Tahir ketika dihubungi.

Rabu lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1.3 juta untuk pelaksanaan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk Selangor yang terjejas susulan pandemik.

Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Pakej Kita Selangor memaklumkan sumbangan diagih kepada pemandu teksi, bas sekolah, penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pemandu lori KDEBWM.

Sementara itu, Ramli berkata pihaknya menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri dalam meringankan beban golongan terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita juga akan melihat bentuk bantuan lain yang mungkin boleh disalurkan kepada mereka sekiranya PKP dilanjutkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

RM3 juta bantuan makanan, manfaat lebih 13,000 petugas hadapan

SHAH ALAM, 20 JAN: Bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan di Selangor akan diteruskan dengan perbelanjaan RM3 juta.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) memanfaatkan seramai 9,822 petugas perubatan di hospital dan pejabat kesihatan daerah.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bantuan turut disalur kepada 3,500 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia yang bertugas pada sekatan jalan raya termasuk operasi pematuhan tatacara operasi piawai (SOP).

“Bantuan makanan ini akan diberikan untuk makan tengah hari dan malam,” katanya dalam pengumuman khas Pakej Kita Selangor hari ini.

Pakej dengan implikasi kewangan berjumlah RM73.877 juta bagi meringankan beban rakyat melalui pelbagai inisiatif khas untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Pelan itu antara lain menggiatkan usaha memerangi wabak Covid-19 dan merangsang ekonomi negeri termasuk pemberian bantuan kepada golongan terjejas.

Categories
ADN SELANGOR

Kes Covid-19 makin serius, wakil rakyat setuju laksana semula PKP

SUNGAI BULOH, 10 JAN: Wakil rakyat Paya Jaras bersetuju jika kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar bagi mengawal penularan Covid-19.

Mohd Khairuddin Othman berkata langkah itu wajar memandangkan beberapa negeri terutama Selangor mencatat peningkatan kes harian Covid-19 membimbangkan.

“Wajar jika PKP dilaksana memandangkan Selangor mempunyai kes yang tinggi dan masyarakat perlu serius mematuhi tatacara operasi piawai (SOP),” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejumlah RM600,000 dibelanja tahun lalu bagi menyediakan bantuan makanan kepada penduduk sekitar Paya Jaras yang terjejas susulan Covid-19.

Mohd Khairuddin menjelaskan sumbangan dikhususkan kepada keluarga berpendapatan rendah sedia diteruskan jika PKP dikuat kuasa semula di negeri ini.

“Jika berlaku lagi PKP, kita faham kesusahan yang bakal dihadapi rakyat, justeru kita sedia membantu mereka pada tahun ini,” menurutnya.

Categories
ADN SELANGOR

300 keluarga tiga pangsapuri di Seri Kembangan terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 3 JAN: Seramai 300 isi rumah memerlukan dari tiga kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan menerima bantuan pek makanan asas.

Ahli dewan negerinya berkata sumbangan dianggar bernilai RM40 setiap satu diagihkan kepada golongan sasar di Pangsapuri Seri Aman, Pangsapuri Seksyen 5 Bukit Serdang dan Pangsapuri Bayu Bukit Serdang.

“Sebanyak RM12,000 dibelanjakan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk agihan ini bagi meringankan beban keluarga berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU).

“Semua penerima berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana mengambil berat kesukaran dihadapi mereka ketika ini disebabkan pandemik Covid-19,” kata Ean Yong Hian Wah ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata jumlah tersebut menjadikan lebih 2,000 penerima mendapat manfaat menerusi program agihan bekalan keperluan makanan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.

Sementara itu, Ean memaklumkan seramai 200 pelajar sekolah rendah turut mendapat bantuan keperluan persekolahan tahun ini.

“Sumbangan ‘Back To School’ diedarkan dua bulan lalu dengan menyasarkan pelajar yang benar-benar susah. Kita juga sedia membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan untuk mendapat bantuan sama,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Kota Anggerik serah bantuan makanan kepada pemandu teksi

SHAH ALAM, 28 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik menyantuni 150 pemandu teksi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

Najwan Halimi berkata mereka diberi bantuan makanan asas yang berlangsung di dataran Stadium Malawati di sini pagi tadi.

“Pemandu teksi antara golongan yang sangat terjejas terutama ketika penularan Covid-19. Justeru, saya mengambil langkah untuk bantu meringankan beban mereka menerusi bantuan makanan ini.

“Terima kasih juga kepada Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Bandaraya Shah Alam yang membantu pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik menyempurnakan program tadi,” katanya di Facebook.

Menurutnya, agihan sumbangan juga dibuat menerusi pandu lalu dan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan Covid-19.