Categories
AGENDA SUKANKINI

LTdL 2021 batal, anjur semula pada 2022

KUALA LUMPUR, 17 NOV: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlumbaan Le Tour de Langkawi 2021 (LTdL 2021) dibatalkan dan akan dianjurkan semula pada 2022.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab percaya keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 dan menganjurkannya pada 2022 adalah satu tindakan pragmatik yang bersesuaian dengan keadaan pandemik Covid-19 yang melanda dunia kini.

“Ada banyak perkara yang mesti difikirkan oleh semua pihak termasuk PKBM dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Saya percaya Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menerima penjelasan kami kerana ia dicapai dan diputuskan berdasarkan suasana yang sangat mendesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abu Samah menjelaskan PKBM selaku pemegang hak penganjuran LTdL akan memberi penjelasan terperinci kepada UCI dengan kadar segera bagi memudahkan pasukan yang menerima jemputan untuk membuat tindakan susulan.

Keputusan untuk membatalkan perlumbaan berbasikal paling elit di benua Asia itu dicapai secara sebulat suara ketika mesyuarat khas melibatkan beberapa pihak termasuk KBS, pada Isnin.

“Keputusan ini dicapai memandangkan kesuntukan masa untuk semua pihak melakukan persiapan rapi ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak awal tahun ini. Apatah lagi keputusan untuk membatalkan Sukan Malaysia (Sukma) Johor juga telah dibuat.

“Jadi, adalah lebih baik kalau keputusan untuk membatalkan LTdL 2021 turut dilakukan. Saya harap keputusan ini baik untuk semua pihak,” katanya.

Abu Samah yang juga naib presiden kehormat Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut mendedahkan ada percubaan oleh pihak tertentu untuk menganjurkan LTdL 2021 pada September tahun hadapan, namun ia tidak berjaya mendapatkan tarikh penganjuran bersesuaian daripada UCI.

Hal itu kerana Jelajah Malaysia 2021 juga akan diadakan pada September tahun hadapan, jadi agak mustahil menganjurkan LTdL 2021 pada September tahun depan ekoran kesukaran untuk mendapatkan penyertaan pasukan elit dunia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: BWF batal empat kejohanan antarabangsa

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Persekutuan Badminton Dunia (BWF) memutuskan untuk membatalkan empat kejohanan antarabangsa selepas mengadakan rundingan dengan tuan rumah setiap kejohanan, susulan penularan Covid-19.

Empat kejohanan yang dibatalkan ialah Terbuka Taiwan 2020 dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 6 Sept, Terbuka Korea (8 hingga 13 Sept), Terbuka China (15 hingga 20 Sept) dan Terbuka Jepun (22 hingga 27 Sept).

Setiausaha Agung BWF Thomas Lund dalam kenyataan dikeluarkan hari ini berkata keputusan itu dibuat demi kepentingan kesihatan pemain, penonton, sukarelawan dan ahli gabungan mereka.

“Kami sangat kecewa terpaksa membatalkan kejohanan ini, tetapi merasakan kesejahteraan semua yang terlibat adalah yang paling penting pada masa ini.

“Saya menghargai usaha yang dilakukan oleh ahli persatuan di rantau ini sepanjang proses ini atas kesabaran dan komitmen terhadap BWF,” katanya.

Lund juga menegaskan badan induk dunia itu akan terus menyelaraskan sebarang aktiviti sukan badminton agar mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak berkuasa kesihatan tempatan serta larangan perjalanan antarabangsa dan domestik.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia batal

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) membuat keputusan membatalkan kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-41 susulan situasi semasa penularan COVID-19 di negara ini.

Setiausaha Agung MTBC Maradona Chok berkata mereka bersetuju membatalkan kejohanan berkenaan yang dijadual berlangsung pada November atas sebab mengutamakan kesihatan dan keselamatan semua atlet boling.

“Ia tidak sepadan risiko menjadi tuan rumah satu acara antarabangsa secara besar-besaran ketika keadaan pandemik ini masih tidak menunjukkan pengurangan.

“Walaupun atlet boling negara rasa amat kecewa, saya rasa ia adalah perkara wajar dilakukan, dan semua perlu bersama-sama untuk melawan pandemik ini dengan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan serta menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun Terbuka Malaysia dibatalkan, atlet kebangsaan akan mengambil bahagian dalam kejohanan bulanan, bermula hujung Ogos bagi mengekalkan prestasi atlet negara sebelum bertanding dalam kejohanan pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Chok berkata beberapa kejohanan antarabangsa yang akan diadakan di Malaysia masih mengikut jadual, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan untuk membuka sempadan negara kepada pelawat.

Menurutnya, Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) memohon kepada Persekutuan Boling Asia untuk menganjurkan Kejohanan Terbuka Antarabangsa Sarawak pada 25-29 Nov, iaitu sama dengan tarikh penganjuran Terbuka Antarabangsa Malaysia.

Dua lagi kejohanan antarabangsa adalah Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Pesta Pulau Pinang ke-48 pada 10-19 Dis dan Storm Under 22 International Junior All Star pada 18-23 Dis di Sunway Megalanes, Sunway Pyramid.

– BERNAMA

Categories
AGENDA PENDIDIKAN

Peperiksaan batal, program matrikulasi sesi 2019/2020 ditamatkan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Peperiksaan Semester II Program Matrikulasi (PSPM) Kementerian Pendidikan (KPM) Sesi 2019/2020 yang dijadualkan pada 27 April hingga 4 Mei dibatalkan, setelah kementerian itu membuat penelitian ke atas situasi semasa wabak Covid-19 di negara ini.

Berikutan pembatalan itu, KPM memutuskan bahawa pengajian Program Matrikulasi KPM bagi Sesi 2019/2020 ditamatkan sepenuhnya bermula semalam.

KPM dalam satu kenyataan berkata berikutan lanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 28 April, kementerian itu turut memutuskan bahawa keputusan peperiksaan Semester II akan digantikan dengan keputusan penilaian berterusan dilaksanakan bagi semester tersebut.

“Ini adalah selari dengan keputusan mesyuarat Majlis Dekan atau Pengarah Asasi Universiti Awam pada 24 Mac. KPM menyedari keputusan peperiksaan tersebut (Semester II) amat penting kepada para pelajar Program Matrikulasi Sesi 2019/2020 yang ia akan digunakan bagi permohonan ke Universiti Awam (UA) kemasukan Sesi 2020/2021.

“Justeru, keputusan akhir untuk pelajar Matrikulasi Sesi 2019/2020 adalah berdasarkan gabungan keputusan Semester I dan keputusan penilaian berterusan Semester II,” menurut KPM.

KPM meminta semua pelajar yang masih berada di kampus untuk terus kekal mematuhi arahan berkaitan selain pihaknya akan terus memantau keadaan pelajar secara dekat dan mengambil tindakan susulan untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar adalah terpelihara.

“KPM terus komited dalam usaha mengawal penularan jangkitan Covid-19 termasuk dalam kalangan pelajar, pensyarah dan kakitangan Kolej Matrikulasi KPM,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hormati pemergian TGNA, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan ditunda

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 FEB: Mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat  yang dijadual  hari ini dibatal berikutan pemergian Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hal itu berikutan kebanyakan pemimpin parti menghadiri majlis pengebumian dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Pulau Melaka, Kelantan, hari ini.

Fahmi“Kepada rakan media, harap maklum bahawa mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat esok (hari ini) ditunda ke tarikh yang akan dimaklumkan kemudian,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil menerusi laman twitter.

Mesyuarat itu antara lain akan membincangkan beberapa perkara termasuk pengganti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disabitkan bersalah atas Kes Fitnah 2 oleh Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari lalu.

Mursyidul Am PAS berusia 84 tahun itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka,  jam 11 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya,  jam 9.40 malam semalam, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari hospital.

Beliau meninggalkan seorang balu, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 orang anak iaitu lima lelaki serta lima perempuan.

-NFN-