Categories
SELANGOR

RM53 juta rancakkan aktiviti seni

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 30 OKT: Kebangkitan ekonomi kreatif sejak beberapa tahun kebelakangan ini tidak dipandang ringan apabila sumbangan besar sektor itu yang bukan sahaja memantapkan ekonomi malah, memastikan seni dan budaya terus terpelihara.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pembangunan ekonomi juga perlu diimbangi dengan ‘soft sector’ seperti fesyen, muzik, filem, konsert dan lain-lain kegiatan intelektual dan kebudayaan yang turut mencipta pekerjaan dan pulangan ekonomi.

“Hari ini, industri kreatif semakin rancak dengan pembangunan apps, animasi dan lain-lain.

Bajet 2016 Seni“Kerajaan Negeri berusaha untuk menjadikan Smart Selangor sebagai “watering hole for arts aficionados”,” kata Mohamed Azmin ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Justeru itu, kata beliau Kerajaan Negeri memperuntukkan RM53 juta bagi menjayakan rancangannya merancakkan sektor seni dengan lima rancangan utama sepanjang 2016.

Lima rancangan itu adalah, usaha penterjemahan dan buku audio, melaksanakan projek Peta Kebudayaan, membangunkan Shah Alam sebagai ‘World Muslim Fashion City’, membangunkan Galeri Seni dan Muzium Tekstil di Royal Klang Club dan mewujudkan Studio Terbuka di Petaling Jaya untuk pengkarya muda.

“Hari ini, gerakan pencerahan awam dilonjakkan oleh teknologi melalui perkembangan pesat buku audio.

“Selangor mahu menjadi pemimpin dalam kegiatan pencerahan ini melalui produksi buku audio karya Melayu klasik dan moden yang akan turut membantu golongan OKU penglihatan berkongsi pencerahan. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk memperuntukkan RM2 juta,” kata beliau lagi.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga memperuntukan RM5 juta untuk merancakkan wacana serta mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan penerbitan.

Manakala bagi melaksanakan projek Peta Kebudayaan, Kerajaan Negeri memperuntukan RM1 juta bagi menjalankan usaha memartabatkan warisan kebudayaan masyarakat Orang Asal seperti Mah Meri, Negrito dan Melayu Proto.

Sementara itu, lanjutan daripada pengumuman Petaling Jaya sebagai Kota Seni, Kerajaan Negeri turut mencadangkan supaya MBPJ mewujudkan ‘Open Studio’ sebagai ruang untuk pengkarya muda yang meliputi seni catan, seni cetak dan seni arca.

“Semoga usaha ini membolehkan Selangor menganjurkan pameran bertaraf ‘biennale’ seperti dianjurkan di Gwangju, Korea Selatan dan Jogjakarta, Indonesia,” kata Mohamed Azmin.

Kerajaan Negeri turut memperuntukan RM30 juta untuk membina Heritage Walk dan RM15 juta pembinaan Muzium Setem.

EZY

Categories
SELANGOR

RM10 juta bantu rakyat miliki rumah pertama

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Peruntukan RM10 juta disediakan bagi membantu rakyat memiliki rumah pertama menerusi Skim ‘Selangor Smart Home Buyers’.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata pendahuluan bayaran deposit sepuluh peratus disediakan bagi belian rumah Selangorku jenis B dan C.

Bajet 2016 rumah“Skim ini membolehkan Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memegang sebahagian milikan rumah yang hanya boleh dilepaskan melalui bayaran balik kepada kerajaan.

“Skim ini dijangka bakal dinikmati lebih 1,000 pembeli rumah Selangorku,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau berkata, Skim Khas pembiayaan rumah melalui usahasama dengan institusi perbankan turut disediakan dengan cagaran RM20 juta bagi tahun hadapan.

“Skim DanaSel juga diteruskan dengan peruntukan RM10 juta, bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah melalui kaedah Sewa-dan-Milik (Rent and Own).

“RM1.6 juta pula disediakan untuk membeli 40 unit rumah siap dibina bagi disewakan kepada golongan tidak berkemampuan membeli rumah dan tahun hadapan, inisiatif ini diteruskan dengan tambahan peruntukan RM1.68 juta,” kata.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Program air percuma diteruskan demi manfaat rakyat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Program air percuma yang mula dilaksanakan pada 2008 diteruskan pada 2016, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang juga Adun Bukit Antarabangsa (PKR) berkata program itu menelan belanja RM1.06 bilion sejak diperkenalkan.

“Sementara program air percuma ini diteruskan, Kerajaan Negeri menyeru rakyat membudayakan amalan konservasi air dalam kehidupan seharian.

Bajet 2016 air“Statistik mendapati kadar penggunaan domestik adalah 236 liter per orang sehari, sangat tinggi berbanding kadar penggunaan di Singapura hanya 170 liter per orang sehari,” katanya ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2016, hari ini.

Pada 10 Julai 2015, Kerajaan Negeri berjaya merungkai kemelut panjang penswastaan industri perkhidmatan air dengan memuktamad perjanjian dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd juga secara rasminya mengambil alih pengurusan operasi SYABAS dan Puncak Niaga Sdn Bhd mulai 15 Oktober lalu.

“Kini, rakyat Selangor berjaya memiliki semula industri ini dan membolehkan industri perkhidmatan air disusun semula ke arah perkhidmatan holistik berteraskan ketelusan, kebertanggungjawaban, efisyen dan kos efektif.

“Dengan kejayaan ini, saya berjanji, InsyaAllah, tidak akan berlaku lagi catuan bekalan air di Selangor,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Peruntukan RM778 juta bangun projek sumber air baru

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 OKT: Projek sumber air baru bakal dibangunkan dengan kos RM778 juta bagi memitigasikan kemungkinan kekurangan bekalan air antara tempoh 2017 hingga 2019.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), berkata projek itu melibatkan dua loji iaitu termasuk Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, Kuala Langat yang dijangka boleh membekalkan air 400 juta liter sehari (JLH).

Bajet 2016 airKatanya, satu lagi loji ialah LRA Semenyih 2 di Jenderam Hilir dengan kapasiti 100 JLH.

“Kerajaan Negeri memandang serius apabila pelaksanaan Projek Langat 2 hanya dijangka siap pada pertengahan 2019.

“Lantaran itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif untuk membangunkan sumber air baru,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut mengambil langkah drastik memastikan kecukupan bekalan air terawat termasuk melaksanakan lapan pakej Projek Mitigasi 2 yang bakal siap sepenuhnya pada Disember 2015.

Beliau berkata projek itu memberikan tambahan air terawat iaitu 300 JLH ke dalam sistem sedia ada dan berupaya menampung permintaan air sehingga 2017.

“Kita juga meluluskan 12 Kebenaran Merancang dan pengambilan balik 21 lot tanah bagi pembangunan Loji Langat 2, membaik pulih LRA Sungai Langat serta menyalurkan air mentah Sungai Semantan ke Sungai Langat bermula pada 24 Ogos 2015.

“Projek lain termasuk meneruskan kerja pengepaman kolam takungan di Bestari Jaya bagi mengawal pelepasan Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi serta membuat kajian mengenai “Water Resources, Supply, Demand And Distribution Study For Selangor”,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Pelancongan Kesihatan terima peruntukan RM300 juta

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 OKT : Sebanyak tiga hospital di daerah Gombak, Shah Alam dan Setia Alam bakal dibangunkan dengan peruntukan sejumlah RM300 juta.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan perkara itu ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Bajet 2016 HospitalBeliau berkata, pembangunan kemudahan itu dijangka siap menjelang 2020.

“Ia termasuk penggabungan dan pengambil alihan hospital atau pusat perubatan sedia ada, pembangunan hospital baru, usahasama atau pembelian ekuiti saham serta aktiviti lain yang boleh menjana pendapatan,” katanya.

Peruntukan itu bagi mempromosikan pelancongan kesihatan (Health Tourism) dengan melantik Selgate Corporation sebagai peneroka dalam bidang perubatan dan kesihatan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Sektor perindustrian diperkasa sedia 198 kawasan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri terus komited untuk membangunkan kawasan ‘industrial park’ dengan menyediakan 198 kawasan industri dengan keluasan 16,429 hektar.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu termasuk menyediakan pelan perancangan strategik sektor perindustrian termasuk pembangunan serta pengurusan taman perindustrian.

BandarKatanya, antaranya membabitkan kawasan Pulau Indah, Bandar Sultan Suleiman dan Bukit Raja.

“Central Spectrum aktif mempromosi Industrial Park dengan konsep baru Managed Industrial Park dengan mengekalkan Green Sanctuary beserta ekosistemnya, Gated and Guarded dan me.

“Ia termasuk membina asrama pekerja yang selesa. Kemudahan laluan berbasikal juga disediakan,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2016, di DNS, hari ini.

Mohamed Azmin berkata sebelum ini, Central Spectrum membangunkan taman industri di Pulau Indah dengan keluasan 3,500 ekar dengan menjana nilai pelaburan iaitu RM15 bilion dalam tempoh 20 tahun.

“Kini, ia sedang membangunkan Fasa 3 yang meliputi 800 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion dan nilai pelaburan dianggar RM3 bilion,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor jalin kerjasama Nestle pacu pelaburan jangka panjang

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Nestlè Manufacturing bagi merealisasikan pelaburan jangka panjang di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata hal itu kerana Selangor mencatatkan 130 projek pelaburan termasuk non-metallic mineral products mencatatkan pelaburan RM732.6 juta sehingga Jun 2015.

Katanya, manakala ia diikuti dengan kertas, percetakan dan penerbitan dengan nilai pelaburan RM617.2 juta serta pembuatan makanan bernilai RM468 juta.

Belanjawan 2016 NESTLE“Nestlè Manufacturing, syarikat multinasional berpangkalan di Switzerland dan bertapak di Selangor sejak 1962. Ketika ini kilang Nestlè di Shah Alam mempunyai kira-kira 2,000 pekerja manakala 700 pekerja di kilang mereka di Petaling Jaya.

“Syarikat Nestlè Manufacturing di Seksyen 15 Shah Alam kini diperbesarkan lagi dengan tambahan pelaburan RM288 juta bagi 2014 dan 2015 di atas tanah seluas kira-kira 13 ekar bagi pengeluaran produk makanan dan minuman dengan konsep pembungkusan terbaru di pasaran dan memberi peluang pekerjaan bagi tenaga mahir kira-kira seramai 166,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2016, di DNS, hari ini.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata Kerajaan Negeri bertekad untuk melahirkan 10,000 ‘knowledge workers’ setahun dan mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing tidak mahir.

Katanya, usaha itu boleh dicapai kerana Selangor mempunyai lebih daripada 140 kolej dan universiti di samping 30 sekolah antarabangsa.

“Inisiatif itu sebagai usaha untuk menarik pelabur ke Selangor kerana Selangor mempunyai potensi besar untuk memainkan peranan dinamik di peringkat serantau.

“Dengan penduduk melebihi 5.8 juta, negeri ini mempunyai 2.9 juta tenaga kerja dengan purata 98.7 peratus daripada mereka melalui sistem pendidikan asas dan menguasai lebih satu bahasa.

“Smart Selangor tidak boleh bergantung kepada tenaga buruh tidak mahir. Statistik menunjukkan 37 peratus daripada 14 juta pekerja di Malaysia buruh asing. Daripada jumlah itu, 97 peratus pekerja tidak mahir,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Peruntukan pembangunan RM1.44 bilion, tertinggi dalam sejarah

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, mengumumkan peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah Belanjawan Selangor dengan RM1.44 bilion.

Peruntukan itu disifatkan tertinggi jika dibandingkan dengan mana-mana negeri.

Pembangunan2Bagi pelaksanaan projek infrastruktur RM1.07 bilion atau 74 peratus diperuntukkan termasuk projek pembinaan baru serta menaik taraf jalan, penyelenggaraan parit dan saliran serta projek pembangunan bekalan air seperti pembangunan loji rawatan air baharu serta peruntukan bagi tujuan pengambilan balik tanah.

Selain itu, peruntukan ini juga membiayai projek pembangunan berpaksikan rakyat (people-centric) seperti pembinaan Kompleks Letak Kereta Awam di Seksyen 5 Shah Alam dengan peruntukan RM15 juta dan pembangunan tempat letak kereta Perpustakaan Awam Raja Tun Uda dengan peruntukan RM20 juta.

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) menyaksikan peruntukan iaitu RM208.07 juta atau 14 peratus bagi pembangunan sosial.

“Peruntukan iaitu RM170 juta juga disediakan untuk program pemberian air percuma bagi 2016.

“Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) juga diteruskan iaitu RM26 juta dan RM8 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program Hadiah Anak Masuk Universiti,” katanya.

Sejumlah RM16 juta pula diperuntukkan bagi meneruskan program bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil.

Program Hal Ehwal Selain Islam turut diberi perhatian dengan peruntukan RM6 juta.

EZY

Categories
SELANGOR

Dana RM100 juta projek pembangunan Rumah Selangorku

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 NOV: Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali, mengumumkan bagi pembangunan ekonomi, RM150.9 juta atau 11 peratus diperuntukkan termasuk pelaksanaan projek pembangunan Rumah Selangorku dengan dana RM100 juta bagi tempoh 5 tahun bermula 2016.

“Kerajaan Negeri melaksanakan projek pemulihan perumahan terbengkalai menerusi Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) dengan peruntukan iaitu RM20 juta. Kegagalan pemaju menyiapkan projek perumahan dirancang menyebabkan implikasi negatif.

Pembangunan2“Peruntukan itu disalurkan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor bagi menyelaras kerja pemulihan seterusnya memastikan nasib pembeli ini dapat dipedulikan.

“Persetujuan antara pembeli dan pihak berkepentingan perlu diselesaikan bagi memastikan tempoh penyelesaikan dapat dipercepatkan,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Apa ‘kejutan’ Belanjawan Selangor 2016?

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 OKT: Belanjawan Selangor 2016 yang dibentangkan pada 30 Oktober (esok) dijangka bakal memberikan ‘kejutan’ kepada semua pihak.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata pembentangan itu akan menunjukkan bagaimana Selangor mencapai tahap terbaik dalam pelbagai hal.

“Belanjawan itu nanti memberikan kejutan kepada semua dan jauh lebih baik dari Kerajaan Pusat. Itu yang diharapkan oleh rakyat.

CShttXUU8AEGBkg“Kita juga akan tunjukkan Selangor adalah negeri terbaik dalam pelbagai hal termasuk dari sudut pendekatan politik,” katanya kepada pemberita.

Zaidy menyifatkan pembentangan Belanjawan itu juga mempunyai banyak keistimewaan dalam pelbagai hal.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung pembentangan Belanjawan Selangor 2016 di TV Selangor pada 30 Oktober esok.

Persidangan penggal ketiga Dewan Negeri Selangor (DNS) yang ke-13 itu boleh dilayari bermula jam 3 petang di www.tv.selangorku.com.

Ia merupakan belanjawan kedua dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali selepas dilantik secara rasmi pada September 2014.

Belanjawan Selangor 2015 lalu mengangkat tema Pembangunan Berkualiti Rakyat Dipeduli dengan bajet bernilai RM2.4 bilion.

EZY

Categories
NASIONAL

Bajet 2016 ‘iklan pencapaian’ indah khabar dari rupa

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Enam pencapaian dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mukaddimah Bajet 2016 adalah ‘iklan pencapaian’ bagi meyakinkan rakyat bahawa ia bukan bajet kitar-semula seperti yang pernah disebutkan mantan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata ‘iklan pencapaian’ itu disifatkan ‘indah khabar dari rupa’ kerana ia adalah pencapaian di bawah paras potensi ekonomi negara.

Azizah Permatang PauhPerkara itu turut disokong dengan kegagalan Kerajaan Persekutuan mencapai kadar enam peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir enam tahun sejak 2010 Dasar Transformasi Nasional (DTN) dan ETP dilancarkan.

“Kadar pertumbuhan KDNK untuk 2015 adalah di antara julat 4.5 peratus hingga 5.5 peratus dikira daripada enam bulan pertama tahun ini.

“Untuk 2016 pula anggaran menyusut kepada empat peratus hingga lima peratus.

“Kadar ini berkurangan daripada janji enam peratus purata tahunan yang diperlukan untuk merealisasikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi,” katanya di Dewan Rakyat.

Selaku Ahli Parlimen Permatang Pauh, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga masih terus gagal mengurangkan defisit fiskal negara yang wujud sejak 1997 meskipun mensasarkan pengurangan dari 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.2 peratus tahun ini.

“Bukan sahaja defisit berterusan tetapi hutang untuk menanggung defisit, terus membengkak sehingga melebihi RM650 bilion atau 54 peratus KDNK.

“Apabila dimasukkan jaminan hutang kerajaan lain, atau ‘contingent liability’, ia melonjak kepada lebih RM800 bilion atau hampir 70 peratus KDNK,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2016: KBS patut pastikan tiada pilih kasih agih peruntukan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 OKT: Peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam Belanjawan 2016 diharapkan dapat disalurkan tanpa pilih kasih aliran politik antara Kerajaan Negeri yang berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, berkata hal itu kerana sukan patut melewati persoalan politik dengan semua pihak perlu diberikan hak sepatutnya.

SukanKatanya, perkara ketidakadilan dan penyisihan sebagaimana dilakukan oleh menteri sebelum ini, diharapkan tidak berlaku kepada Kerajaan Selangor.

“Peruntukan untuk sukan, saya rasa cukup cuma isunya bagaimana menangani dan membentuk dasar itu.

“Sukan melewati persoalan politik, dipihak kita ianya tiada masalah cuma kita tidak mahu penyisihan berlaku seperti yang dilakukan menteri sebelum ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri mengalukan kerjasama dengan KBS dalam usaha pembangunan atlet di semua peringkat.

“Baru-baru ini, saya berjumpa dengan Menteri berkenaan bagi menyuarakan isu ini dan saya menyahut baik kerjasama untuk membantu kita.

“Sukan memerlukan kerjasama semua pihak sepenuhnya untuk membangunkan atlet,” katanya.

Beliau berkata dengan kerjasama itu nanti dapat membantu persediaan pasukan Malaysia yang berkualiti termasuk bola sepak.

“Yang paling penting, kita tidak ketandusan bakat. Kita perlu fikirkan bagaimana untuk menyusun semula dengan kerjasama ini.

“Malah, kita perlu kurangkan prasangka di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam Belanjawan 2016 mengumumkan peruntukan sebanyak RM930 juta untuk KBS.

Peruntukan sebanyak RM145 juta diberikan bagi mempersiapkan atlet negara menghadapi cabaran Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN kesembilan 2017 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur.

EZY