Categories
EXCO SELANGOR

Bas mini Smart Selangor dicadang untuk laluan desa, bantu B40

SHAH ALAM, 10 OKT: Penggunaan bas Smart Selangor berkapasiti lebih kecil atau mini merupakan antara tumpuan yang akan diberikan dalam Belanjawan Selangor 2021.

Ng Sze Han berkata cadangan penggantian itu dibuat untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah (B40) menggunakan pengangkutan awam yang mudah merentasi laluan terutama di kawasan kampung.

“Ia hanya membabitkan laluan tidak mempunyai penumpang ramai atau laluan desa,” kata EXCO pengangkutan awam ketika dihubungi bagi mengulas tumpuan prabelanjawan Selangor 2021.

Bagi portoflio kerajaan tempatan Sze Han berkata tumpuan diberikan terhadap usaha untuk meningkatkan mutu kehidupan masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 di samping memperkukuh hubungan kejiranan.

Beliau berkata wabak sedang melanda dunia itu memberikan kesan langsung kepada rakyat dan program pemulihan perlu dirangka bagi meningkatkan keyakinan rakyat terjejas terutama mereka yang hilang sumber pendapatan.

“Bagi pembangunan kampung baru saya berhasrat menjadikan kawasan itu dan bagan sebagai lokasi warisan sejarah serta budaya di Selangor.

“Di samping itu, kita merancang menjadikan ia tempat idaman didiami dengan menyediakan kemudahan fizikal dan pembangunan sosial ekonomi setempat,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB sifatkan Belanjawan Selangor 2021 dalam suasana Covid-19 paling mencabar

SHAH ALAM, 15 SEPT: Belanjawan Selangor 2021 yang bakal dibentangkan pada 30 Oktober disifatkan paling mencabar dalam suasana ekonomi kurang memberangsangkan impak penularan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri perlu mengambil pendekatan kemakmuran bersama bagi memastikan pertumbuhan mapan dan terangkum yang memberi manfaat kepada semua golongan.

“Belanjawan kali ini berbeza dengan Belanjawan 2019 dan 2020 yang mana ketika itu kadar pembangunan serta kemajuan rancak berjalan tanpa ada gangguan, namun pembentangan kali ini mungkin ada sedikit perubahan dalam hala tuju negeri.

“Walau apa cabaran, kita yakin dengan segenap potensi dan keupayaan serta dengan ketangkasan rakyat dan ketangkasan pentadbiran negeri, kita mampu mengharunginya bersama,” kata Dato’ Menteri Besar pada Majlis Penjenamaan Semula Projek Perumahan Idaman Taman Air Manis hari ini.

Sebelum ini, Amirudin berkata belanjawan 2021 merangkumi lima tonggak utama iaitu pertama membabitkan pertanian, pelancongan dan agro pelancongan.

Kedua mengenai kesihatan awam dan bandar berdaya huni, ketiga adalah usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar, keempat penciptaan kekayaan dan kelima industri kreatif.

Selain itu rakyat turut diminta mengemuka idea dan pandangan berhubung belanjawan menerusi portal amirudinshari.com/selangor2021 untuk penilaian dan pertimbangan.

Categories
EXCO SELANGOR

Pertanian antara tumpuan penting Belanjawan Selangor 2021

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kerajaan Negeri akan memberi keutamaan kepada pertanian dalam merangka Belanjawan Selangor 2021 kerana ia membabitkan jaminan bekalan makanan.

EXCO permodenan pertanian berkata Selangor akan meningkatkan lebih banyak potensi bidang itu menerusi penglibatan belia dan penggunaan teknologi moden yang memberi pulangan hasil lumayan.

“Sangat-sangat tepat pada masa dan ketika untuk belia turut sama membangunkan sektor ini. Kita mempunyai rancangan besar yang akan saya kongsikan bila tiba waktunya.

“Kita mesti meletakkan pertanian bukan sahaja dalam mengeluarkan produk yang berkualiti dan mampu dijual dengan baik tetapi mesti juga mengambil kira pulangan yang tinggi,” kata Ir Izham Hashim pada Majlis Anugerah Ikon Agro Selangor 2020 semalam.

Beliau menjelaskan kesan penularan Covid-19 memberikan pengajaran berguna untuk merangsang sektor pertanian dan makanan kerana ia menjadi elemen penting dalam kehidupan.

Izham berkata penglibatan belia juga semakin menggalakkan dan beliau akan memanfaatkan semua potensi pengusaha pertanian sedia ada untuk mengembangkan industri itu pada masa akan datang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan 2021: MB minta rakyat kemuka pandangan

SHAH ALAM, 9 SEPT: Rakyat diminta mengemuka idea dan pandangan berhubung belanjawan tahun depan menerusi portal amirudinshari.com/selangor2021 untuk penilaian dan pertimbangan.

Dato’ Menteri Besar berkata beliau mahu Belanjawan Selangor 2021 bersifat lebih menyeluruh apabila pandangan rakyat turut dilibatkan.

“Belanjawan umpama reaktor bagi sesebuah negeri mahupun negara itu merencanakan masa depan kerana pembentukan polisi ekonomi berkait rapat dengan hala tuju belanjawan.

“Oleh itu, saya menjemput setiap warga Selangor untuk turut serta membangunkan Belanjawan Selangor 2021 ini supaya sifatnya lebih inklusif serta menyeluruh,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook, malam tadi.

Isnin lalu, Kerajaan Negeri menganjurkan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City yang turut melibatkan ahli mesyuarat kerajaan negeri.

Mengulas mengenai dialog berkenaan, Amirudin berkata semua peserta berbincang dan ‘memerah otak’ bagi mendapatkan formula terbaik khususnya ketika berdepan cabaran ekonomi pasca Covid-19.

“Belanjawan Selangor 2021 merangkumi lima tonggak utama iaitu pertama membabitkan pertanian, pelancongan dan agro pelancongan. Kedua mengenai kesihatan awam dan bandar berdaya huni.

“Sementara ketiga adalah usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar serta keempat penciptaan kekayaan dan kelima ialah industri kreatif.”

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Fokus ekonomi kreatif bantu negeri, rakyat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Industri pertanian dan pelancongan menjadi fokus Belanjawan 2021 bagi meningkat ekonomi negeri selepas penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penekanan kepada penggerak ekonomi kreatif itu juga untuk memastikan rakyat menerima manfaat.

“Hari ini sesi dialog Belanjawan (2021) dan kita dengar semua penjelasan secara mikro dari beberapa panelis, akademia, pengkaji bebas dan industri selain mengadakan sesi spesifik untuk membincangkan isu penting.

“Kita jangkakan pembentangan bajet akan dibuat pada 30 Oktober,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Dialog Belanjawan Negeri Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Selangor memperuntuk RM2.33 bilion dalam Belanjawan 2020 dengan RM1.13 bilion atau 48.56 peratus untuk belanja pembangunan sementara RM1.2 bilion atau 51.44 peratus untuk belanja mengurus.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB seru rakyat kemuka cadangan sempena Belanjawan Selangor 2021

SHAH ALAM, 3 SEPT: Rakyat diseru mengemukakan cadangan sempena Belanjawan Selangor 2021 yang akan dibentang pada 30 Oktober ini di Dewan Negeri Selangor bermula jam 3 hingga 5 petang.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta orang ramai berbuat demikian menerusi portal rasmi www.amirudinshari.com/selangor2021.

“Portal ini adalah platform rasmi yang disediakan bagi mengumpul semua cadangan daripada seluruh rakyat Selangor sempena Belanjawan Selangor 2021.

“Saranan dan aspirasi rakyat di semua lapisan wajar diteliti agar denyut nadi semua pihak dapat difahami dengan jelas seterusnya diterjemahkan ke dalam polisi yang lebih pro rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan portal berkenaan juga akan menyampai maklumat mengenai belanjawan secara komprehensif kepada rakyat di dalam dan luar negeri.

Tambahnya, inisiatif itu penting supaya rakyat terutama warga Selangor memahami objektif penyaluran serta tunggak utama belanjawan dan bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada semua.