Categories
AGENSI SELANGOR

Pusat kawalan Smart Selangor C5i Centre jayakan visi Smart State 2025

SHAH ALAM, 30 OKT: Pembinaan pusat kawalan Smart Selangor C5i Centre bakal menjadikan Selangor sebuah Negeri Pintar yang berdaya huni di Asia Tenggara pada 2025.

Dato’ Menteri Besar berkata infrastruktur bagi menjayakan visi Smart Selangor itu dibina di Dewan Jubli Perak, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan kini di peringkat akhir untuk disiapkan.

Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 hari ini, Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan, ia akan berperanan sebagai pusat perintah, kawalan, komunikasi, komputer, kolaboratif dan pusat perisikan.

“Pusat ini akan menjadi infrastruktur utama berasaskan jaringan internet Gigabit dan Tier-4 ready Cloud Data Centre yang akan memaparkan jaringan kamera litar tertutup (CCTV) baru Kerajaan Negeri, papan pemuka operasi Smart Selangor.

“Ia juga akan mengupayakan operasi pemusatan data, operasi kawal dan perintah di antara agensi negeri seperti Unit Pengurusan Bencana, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi lain,” katanya.

Jelasnya, pembangunan Pelan Tindakan Smart Selangor 2025 akan melengkapkan Blueprint Smart Selangor 2016 yang menetapkan empat domain pelaksanaan iaitu, Kerajaan Pintar (Smart Government), Ekonomi Pintar (Smart Economy), Komuniti Pintar (Smart Community dan Infrastruktur Digital Pintar (Smart Digital Infrastructure) menerusi 60 inisiatif serta sasaran bakal dicapai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor peruntuk RM369 juta jayakan Agenda Digitalisasi

SHAH ALAM, 30 OKT: Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini adalah kunci terutama mendepani cabaran pengangguran akibat Covid-19 yang bermakna kita akan berjaya mengelak daripada terjerumus kepada perangkap teknologi.

“(Situasi ini) seperti yang disebut dalam buku The Technology Trap: Capital, Labor, and Power in the Age of Automation oleh Carl Benedikt Fray,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Amirudin berkata tumpuan ke arah pendigitalan juga sebahagian daripada agenda mencipta sumber pendapatan baharu untuk Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip “tiada siapa tertinggal di belakang”.

Beliau berkata agenda itu tidak bersifat eksklusif kepada golongan menengah dan atasan sahaja tetapi merangkumi keseluruhan rakyat Selangor.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan Selangor RM2.3 bilion, berjaya turunkan lagi defisit RM10 juta

SHAH ALAM, 30 OKT: Belanjawan Selangor 2021 dijangka mengalami defisit RM123 juta, kira-kira RM10 juta lebih rendah daripada jumlah defisit dalam belanjawan tahun ini.

Kerajaan Negeri menjangka memperoleh hasil berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan pula sebanyak RM2.3 bilion, kata Dato’ Menteri Besar ketika membentang belanjawan hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata “Kerajaan Negeri masih mengekalkan momentum kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan” demi manfaat rakyat, komuniti perniagaan dan pembangunan ekonomi.

“Justeru, Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan berjumlah RM2,323,000,000 bagi Belanjawan Selangor 2021,” katanya dalam pembentangan bertema Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat.

Jelasnya, Kerajaan Negeri berjaya mengurangkan defisit sejak tiga belanjawan lalu kepada “jumlah yang munasabah menerusi usaha perbelanjaan berhemah, budaya kerja cekap dan berintegriti.”

Pecahan jumlah hasil dan perbelanjaan bagi tahun depan seperti berikut:

* Anggaran Hasil: RM2.2 bilion

– Penyumbang utama adalah premium tanah: RM1.03 bilion (46.98 peratus)
– Penyumbang kedua terbesar adalah hasil cukai tanah: RM545.84 juta (24.81 peratus)
– Penyumbang ketiga terbesar adalah pemberian persekutuan: RM206.85 juta (9.40 peratus)

* Anggaran Perbelanjaan: RM2.323 bilion

** Perbelanjaan mengurus: RM1.220 bilion (53 peratus)
– Emolumen: RM439.96 juta
– Perkhidmatan dan bekalan: RM520.43 juta
– Aset: RM4.80 juta
– Pemberian dan kenaan bayaran tetap: RM203.51 juta
– Perbelanjaan-perbelanjaan lain: RM51.30 juta

** Perbelanjaan pembangunan: RM1.103 bilion (47 peratus)
– Pembangunan infrastruktur: RM337.3 juta
– Pembangunan ekonomi : RM279.7 juta
– Pembangunan sosial: RM299.9 juta

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih tiga juta penduduk dapat manfaat 43 inisiatif Pakej Selangor Prihatin

SHAH ALAM, 30 OKT: Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan 40 daripada 43 inisiatif bawah Pakej Selangor Prihatin fasa pertama dan kedua bagi menampung kesan wabak Covid-19.

Sejumlah RM264.4 juta, bersamaan 64 peratus, dibelanjakan daripada peruntukan lebih RM400 juta untuk manfaat lebih tiga juta penduduk, kata Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2021 hari ini.

“(Pakej Selangor Prihatin) bertujuan memangkin ikhtiar membendung penularan Covid-19 dan menyerap dampak sosio-ekonomi penularan wabak tersebut,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pada 20 Mac lalu, Kerajaan Negeri membentangkan pakej fasa pertama dengan dana RM127.8 juta, manakala fasa kedua pula RM272.5 juta diperuntukkan pada 1 April lalu.

Tiga inisiatif yang masih berjalan seperti berikut:
– Bantuan kepada pesakit Covid-19
– Tabung khas bantuan Covid-19
– Inisiatif Selangor Pay yang ditambah baik menjadi Selangor Advance

Pada 13 Julai lalu, Kerajaan Negeri membentang pakej fasa ketiga bernilai ekonomi RM55.85 bilion, termasuk di peringkat penyelarasan bersama agensi-agensi berkaitan.

Categories
BERITA UTAMA

MB: Belanjawan Selangor 2021 tumpu lima tonggak utama

SHAH ALAM, 29 OKT: Belanjawan Selangor 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor (DNS) jam 3 petang esok memfokuskan lima tonggak utama.

Sekretariat akhbar Dato’ Menteri Besar dalam kenyataan berkata fokus itu adalah pertanian, pelancongan dan agropelancongan serta kesihatan awam dan bandar berdaya huni.

Selain itu, katanya, tumpuan diberikan terhadap usahawan mikro, digitalisasi dan kemiskinan bandar serta penciptaan kekayaan dan industri kreatif.

Rakyat boleh mengikuti pembentangan belanjawan menerusi laman sesawang http://www.amirudinshari.com/selangor2021 atau melayari http://www.selangortv.my.

Pembentangan juga boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, http://selangortv.my dan Facebook Live Media Selangor.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata belanjawan kali ini sangat penting kerana berkait rapat dengan agenda kesejahteraan warga Selangor dan strategi merancakkan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor tumpu sukan potensi sumbang pingat

SHAH ALAM, 28 OKT: Acara sukan yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat dalam kejohanan utama antara fokus Selangor tahun depan.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata tumpuan meliputi program latihan, kejurulatihan dan kemudahan sukan buat atlet.

“Justeru, besarlah harapan saya agar Kerajaan Negeri memberi peruntukan lebih baik dalam Belanjawan 2021 untuk kita meneruskan pogram pembangunan sukan.

“Semoga belanjawan kali ini membolehkan atlet mendapat kemudahan sempurna sekali gus meningkatkan prestasi mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman menambah pelan tindakan jangka panjang sedang dirangka Majlis Sukan Negeri.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang menstruktur pengambilan jurulatih untuk melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.

Mohd Khairuddin Othman ditemui media selepas upacara pelepasan (Flag off) peringkat kelima Le Tour De Langkawi 2020 di Kuala Kubu Bharu pada 11 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Penstrukturan jawatan yang lebih baik juga dapat menjamin karier mereka sebagai jurulatih,” katanya lagi.

Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dipancar secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, selangortv.my.

Siaran langsung itu juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.

Categories
BERITA UTAMA

Perkasa ekonomi menerusi Belanjawan 2021 – MB

SHAH ALAM, 27 OKT: Sektor ekonomi negeri terus diperkasakan menerusi Belanjawan Selangor 2021 yang dijadual dibentangkan Jumaat ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha ditumpukan pada sektor pertanian, pelancongan, kesihatan awam, usahawan mikro, digitalisasi serta banyak lagi.

“Pada 30 Oktober ini, InsyaAllah saya akan membentangkan Belanjawan Selangor 2021 yang bakal mencorak masa hadapan serta hala tuju negeri.

“Belanjawan kali ini sangat penting kerana ia berkait rapat dengan agenda kesejahteraan warga Selangor dan pada masa yang sama merupakan strategi merancakkan ekonomi pasca pandemik Covid-19,” katanya di Facebook.

Beliau juga menyeru orang ramai mengikuti pembentangan termasuk teks ucapan dan sorotan isi utama di laman web rasmi http://www.amirudinshari.com/selangor2021

Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dipancarkan secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, http://selangortv.my

Siaran langsung juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Covid-19: Speaker harap ADN cukup masa bahas Belanjawan 2021

SHAH ALAM, 25 OKT: Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berharap wakil rakyat mempunyai masa secukupnya bagi membahaskan Belanjawan 2021 pada persidangan bermula Jumaat ini.

Ng Suee Lim berkata ia bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat Selangor terjamin walaupun ketika kes Covid-19 memuncak ketika ini.

“Saya mahu ahli dewan diberi masa secukupnya supaya belanjawan untuk rakyat pada tahun depan yang merangkumi kebajikan, pembangunan dan ekonomi dapat diperhalusi sebaiknya.

“Kita mahu supaya perjalanan dewan sihat dan subur dengan demokrasi,” katanya ditemui media selepas menjalani ujian saringan di Bangunan SUK hari ini.

Sementara itu, Timbalan Speaker Hasnul Baharuddin berkata belanjawan kali ini pasti menjadi perhatian masyarakat memandangkan Selangor antara negeri termaju.

“Tetapi harapan saya ialah supaya belanjawan 2021 dapat menyelesaikan masalah sedia ada seperti ekonomi terjejas akibat Covid-19.

“Tidak lupa ialah masalah air, dan saya yakin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sedang berusaha keras bagi memastikan masalah berkaitan air di negeri ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Sidang DNS dijadulkan bermula 30 Oktober ini dengan pembentangan Belanjawan Selangor 2021.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Belanjawan Selangor 2021 utamakan pendigitalan

SHAH ALAM, 23 OKT: Pendigitalan dalam pelbagai bidang akan menjadi program utama Kerajaan Negeri yang akan dibentang dalam Belanjawan Selangor 2021 pada minggu depan.

Sesuai dengan hasrat mencapai dasar Negeri Pintar 2025, pendigitalan perkhidmatan sudah mula diperkenalkan melalui Dasar Smart Selangor sejak beberapa tahun lepas.

Belanjawan ini juga memberi penekanan untuk pemulihan ekonomi pascawabak Covid-19 yang menyaksikan kemerosotan besar, dijangka hingga 17 peratus, tahun ini.

Dalam usaha itu, belanjawan yang dibentang oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada petang 30 Oktober ini akan membantu usahawan dan peniaga.

Dato’ Seri Amirudin Shari memberi rumusan Sindiket 1E: Industri Kreatif dan ucapan penutup ketika sesi Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ia mengembangkan lagi dasar keselamatan bekalan makanan dan pertanian seperti dinyatakan dalam pakej rangsangan ekonomi negeri bagi menangani kesan wabak tersebut.

Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dipancar secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, selangortv.my.

Siaran langsung itu juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.

Liputan berita majlis penting itu yang bermula jam 3 petang boleh dibaca melalui portal SelangorKini (selangorkini.my) dan tiga edisi lain, termasuk Mandarin dan Tamil.

Edisi Inggeris boleh dicapai melalui pautan selangorjournal.my, Mandarin (selangorkini.my/zh-hans) dan Tamil (selangorkini.my/ta).

Orang ramai juga boleh menyemak pembentangan ini, termasuk teks ucapan dan sorotan isi utama, di web rasmi Dato’ Menteri Besar www.amirudinshari.com.

Maklumat pantas dan infografik berhubung isi menarik dan program utama Kerajaan Negeri akan dimuatkan di media sosial Media Selangor pada petang Jumaat tersebut.

Liputan dan perbincangan di media sosial akan menggunakan tanda pagar #Selangor2021 bagi memudahkan rujukan dan carian orang ramai.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan 2021: Pertimbang biasiswa, pinjaman untuk pasca siswazah Kuis

SHAH ALAM, 21 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) meminta Kerajaan Negeri pertimbang pemberian pinjaman dan biasiswa kepada pelajar peringkat pasca siswazah di institusi itu.

Rektornya, Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata setakat ini pinjaman dan biasiswa hanya ditawar kepada mahasiswa di peringkat sijil, diploma dan ijazah sarjana muda pertama.

“Di Kuis kita memang ada program pasca siswazah, jadi kita berharap pinjaman atau biasiswa dapat dikembangkan untuk anak kelahiran Selangor yang mahu mengambil program ini.

“Kita minta supaya ada peruntukan (pinjaman dan biasiswa) sepanjang tempoh pengajian pasca siswazah mereka di Kuis,” katanya ketika diminta mengulas harapannya berhubung Belanjawan Selangor 2021.

Beliau menambah kemudahan pembelajaran dalam talian di universiti itu juga perlu dinaik taraf berikutan capaian internet sedia ada tidak mampu menampung kapasiti pelajar termasuk pensyarah.

Langkah itu, katanya, memerlukan kos yang agak tinggi dan wajar diberi perhatian bagi memastikan warga institusi bergerak seiring dengan perubahan serta perkembangan teknologi maklumat.

“Saya percaya bantuan seperti ini amat membantu kerana di Kuis kita mengamalkan konsep pembelajaran secara teradun (blended learning) iaitu gabungan (pembelajaran) dalam talian dan konvensional sekali gus mendorong pelajar serta pensyarah melakukan tugas dengan lebih berkesan.

“Malah, ini akan memudahkan pihak universiti untuk memperkenal lebih banyak program berkonsepkan maya misalnya pemasaran dan perniagaan,” katanya.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.

Categories
EXCO SELANGOR

Cegah penyakit berjangkit antara fokus Belanjawan Selangor 2021

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada program pencegahan penyakit berjangkit dan sebaliknya melibatkan penerima Skim Peduli Sihat dalam Belanjawan Selangor 2021.

EXCO kesihatan awam berkata dasar kesihatan menyeluruh dan berdaya saing akan ditambah baik bagi memacu perkembangan ekonomi sekali gus memastikan rakyat terus menikmati kualiti kehidupan lebih baik.

“Sekarang kita hadapi isu utama iaitu denggi, Covid-19 dan penyakit Tuberkulosis atau Tibi yang dikira tinggi.

“Selangor akan mengubah pendekatan kepada pencegahan dan pemegang kad Peduli Sihat tidak ditumpu kepada rawatan sahaja tetapi doktor panel perlu membuat penilaian ke atas tahap kesihatan mereka,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan beberapa projek perintis bagi mencegah penyakit akan dilaksanakan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi supaya Kerajaan Negeri dapat memantau perkara berkenaan secara menyeluruh.

Belanjawan Selangor 2021 akan dibentangkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semasa sidang Dewan Negeri Selangor pada 30 Oktober.

Categories
BERITA UTAMA

Belanjawan 2021: Tumpu masalah capaian internet terhad di luar bandar

SHAH ALAM, 20 OKT: Masalah capaian internet terhad di luar bandar perlu diberi tumpuan dalam Belanjawan Selangor 2021 memandangkan majoriti mahasiswa kini mengikuti pembelajaran dalam talian.

Presiden Persatuan Pelajar Islam Selangor (Pepias), Mohamad Khairuddin Zahari berkata liputan internet yang bermasalah menyebabkan mahasiswa terpaksa membatalkan kelas secara maya.

“Keadaan ini sudah tentu merencatkan pembelajaran mereka serta dikhuatiri mengganggu aspirasi Kerajaan Selangor untuk memartabatkan pendidikan negeri.

“Justeru, Pepias mencadangkan supaya Kerajaan Negeri mewujudkan pusat komuniti atau belia di kawasan luar bandar bagi memudahkan pelajar mendapat capaian internet,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkang supaya guru di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diberi tambahan taraf pendidikan.

“Pepias mencadangkan supaya guru ini diberi latihan sebaik mungkin termasuk memiliki diploma pendidikan dalam meningkatkan kualiti pengajaran.

“Ini sedikit sebanyak membantu dalam melahirkan lebih ramai pelajar di Selangor yang kompeten dan dinamik,” katanya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Negeri Selangor selama dua jam bermula jam 3 petang pada 30 Oktober ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sebelum ini turut mengumpulkan semua cadangan rakyat sempena belanjawan menerusi portal https://www.amirudinshari.com/selangor2021.