Categories
PERSONALITI RENCANA

Perginya Jamali Shadat, tiada lagi keletah ‘Atan’ dan ‘Atok

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Tiada lagi keletah ‘Atan’, watak budak lelaki yang sering membuli datuknya apabila empunya suara yang memainkan peranan itu pergi buat selamanya awal pagi ini.

Pelawak legenda Datuk Jamali Shadat yang terkenal pada era 1970-an, berbakat dalam melontarkan suara dan membawa watak ‘Atan’ dan datuknya, ‘Atok’ serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza dan mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada usia 78 tahun.

Jamali atau nama sebenarnya Jamalai Shadat mula mencipta nama sebagai pelawak (standing comedian) negara yang begitu unik selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1971 dan muncul dalam beberapa program televisyen termasuk Sendarama, Hiburan Malam Minggu dan Kuiz Kepintaran Anda.

Kebolehan Allahyarham melantunkan suara watak pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa, Sikh dan Tamil dalam rutin lawak beliau, begitu sinonim dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Aksi bersahajanya di atas pentas bukan sahaja mengundang tawa penonton, malah sepanjang lebih 40 tahun penglibatannya dalam komedi lawak, Jamali banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum malah menyatukan masyarakat dengan mengangkat isu semasa sebagai bahan ceritanya yang disampaikan dalam gaya, intonasi suara dan mimik muka yang melucukan.

Pernah Bintangi Filem

Jamali yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Bukit Kapar, Klang Selangor juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Hantu Siang pada 1986, Mr Cinderella 2 (2003), Senario The Movie Episode 2: Beach Boys (2009) dan Semerah Cinta Stiletto (2010).

Watak Atan yang meminjam suara emasnya juga pernah muncul dalam siri animasi terkenal Upin dan Ipin musim kesembilan pada 2015 yang disiarkan selama tiga episod.

Jamali juga pernah terlibat menjayakan program Raja Lawak terbitan Astro dan menerima Anugerah Lawak Warna bagi kategori Anugerah Khas Juri pada 2014 sebagai mengenang jasa dan bakatnya dalam arena komedi.

Pada sekitar 1970-an, Jamali juga pernah menghasilkan album sketsa bersama pelawak veteran Hamid Gurkha.

Kesihatan bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan mula merosot sejak pemergian isterinya, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada 2018.

Jenazah Jamali akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

– BERNAMA

 

Categories
PERSONALITI RENCANA

Belasungkawa: Malaysia kehilangan tokoh perundangan ulung

Oleh Fadzillah Aishah Ismail

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Malaysia kehilangan seorang tokoh perundangan ulung yang amat dihormati, bekas Ketua Hakim Negara Tun Dr Mohamed Salleh Abas yang dijemput Ilahi semalam.

Kehilangan besar itu berlaku pada pukul 3.20 pagi semalam selepas Mohamed Salleh, 91, yang merupakan Pengerusi as-Salihin Trustee Bhd menghembuskan nafas terakhirnya akibat pneumonia di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Dilahirkan pada 25 Ogos, 1929 di Besut, Terengganu Mohamed Salleh yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang daripada Universiti of Wales, United Kingdom menyertai perkhidmatan perundangan pada 1957, sebelum kembali semula ke Britain untuk mendapatkan Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Antarabangsa dan Perlembagaan di University of London.

Mohamed Salleh merupakan seorang yang dihormati sepanjang kerjayanya di dalam perkhidmatan awam. Beliau mula berkhidmat sebagai seorang Majistret di Kota Bharu, Kelantan sebelum dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Peguam Cara Negara di Jabatan Peguam Negara.

Beliau dilantik sebagai Hakim Besar Malaya pada tahun 1982 sebelum dilantik menjadi Hakim Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan) pada usia 50 tahun. Beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara pada tahun 1984 dan memegang jawatan itu sehingga 1988.

Bekas ketua hakim itu dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Jertih selepas memenangi kerusi itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 menggunakan tiket PAS tetapi tidak bertanding dalam PRU 2004 di atas faktor kesihatan.

Beliau meninggalkan isteri Toh Puan Junaidah Wan Jusoh, lima anak dan 26 cucu. Isteri pertama beliau Toh Puan Azimah Mohd Ali, meninggal dunia pada 2016.

Mohamed Salleh adalah salah seorang tokoh utama yang membantu merangka Rukun Negara pada tahun 1970.

Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos, 1970 oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin, menjadi asas kepada keharmonian antara rakyat Malaysia selepas rusuhan kaum berdarah pada 13 Mei, 1969.

Mohamed Salleh pernah dilaporkan berkata hasratnya adalah agar Rukun Negara terus dihormati dan diamalkan supaya Malaysia kekal sebuah negara yang stabil dan beliau juga berharap generasi muda akan melebarkan sayap mereka ke peringkat antarabangsa untuk menjadikan Malaysia lebih dihormati.

Krisis Badan Kehakiman 1988

Pemecatan Mohamed Salleh daripada jawatannya pada Ogos 1998 selepas beliau menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi pihak hakim-hakim lain yang menzahirkan kekecewaan terhadap tuduhan tertentu yang dibuat perdana menteri ketika itu , Tun Dr Mahathir Mohamad, menjadi satu episod hitam dalam sejarah badan kehakiman negara.

“Anda akan menghancurkan demokrasi jika anda memusnahkan badan kehakiman” antara pesanan tegas Mohamed Salleh apabila mengulas mengenai krisis kehakiman itu.

Lima hakim Mahkamah Persekutuan yang ketika itu dikenali sebagai Mahkamah Agung juga digantung tugas pada Julai tahun itu tetapi tiga daripada mereka dikembalikan semula jawatan pada Oktober sementara dua lagi dipecat.

Krisis itu dicetuskan oleh pembentangan rang undang-undang di Dewan Rakyat untuk meminda Artikel 121 dan 145 Perlembagaan Persekutuan untuk melucutkan kuasa mahkamah daripada kuasa kehakiman persekutuan.

Mohamed Salleh juga menzahirkan harapannya bahawa krisis itu akan menjadi peringatan kepada generasi sekarang dan akan datang tentang keperluan memiliki suatu badan kehakiman yang teguh dan bebas.

Pada 2008, Mohamed Salleh menerima pembayaran ex-gratia daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim di atas pemecatannya daripada jawatan Ketua Hakim Negara dalam tahun 1988.

Kerajaan bersetuju untuk membuat pembayaran ex-gratia berjumlah RM10.5 juta kepada hakim-hakim yang dipecat semasa krisis badan kehakiman itu dengan mengambil kira pandangan peribadi dan kesusahan yang ditempuhi mereka.

– BERNAMA