Categories
PERSONALITI RENCANA

Perginya Jamali Shadat, tiada lagi keletah ‘Atan’ dan ‘Atok

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Tiada lagi keletah ‘Atan’, watak budak lelaki yang sering membuli datuknya apabila empunya suara yang memainkan peranan itu pergi buat selamanya awal pagi ini.

Pelawak legenda Datuk Jamali Shadat yang terkenal pada era 1970-an, berbakat dalam melontarkan suara dan membawa watak ‘Atan’ dan datuknya, ‘Atok’ serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza dan mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada usia 78 tahun.

Jamali atau nama sebenarnya Jamalai Shadat mula mencipta nama sebagai pelawak (standing comedian) negara yang begitu unik selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1971 dan muncul dalam beberapa program televisyen termasuk Sendarama, Hiburan Malam Minggu dan Kuiz Kepintaran Anda.

Kebolehan Allahyarham melantunkan suara watak pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa, Sikh dan Tamil dalam rutin lawak beliau, begitu sinonim dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Aksi bersahajanya di atas pentas bukan sahaja mengundang tawa penonton, malah sepanjang lebih 40 tahun penglibatannya dalam komedi lawak, Jamali banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum malah menyatukan masyarakat dengan mengangkat isu semasa sebagai bahan ceritanya yang disampaikan dalam gaya, intonasi suara dan mimik muka yang melucukan.

Pernah Bintangi Filem

Jamali yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Bukit Kapar, Klang Selangor juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Hantu Siang pada 1986, Mr Cinderella 2 (2003), Senario The Movie Episode 2: Beach Boys (2009) dan Semerah Cinta Stiletto (2010).

Watak Atan yang meminjam suara emasnya juga pernah muncul dalam siri animasi terkenal Upin dan Ipin musim kesembilan pada 2015 yang disiarkan selama tiga episod.

Jamali juga pernah terlibat menjayakan program Raja Lawak terbitan Astro dan menerima Anugerah Lawak Warna bagi kategori Anugerah Khas Juri pada 2014 sebagai mengenang jasa dan bakatnya dalam arena komedi.

Pada sekitar 1970-an, Jamali juga pernah menghasilkan album sketsa bersama pelawak veteran Hamid Gurkha.

Kesihatan bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan mula merosot sejak pemergian isterinya, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada 2018.

Jenazah Jamali akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri ucap takziah pemergian Jamali Shadat

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga penghibur terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Seri Paduka Baginda berdua menerusi satu hantaran di akaun Facebook Istana Negara, menzahirkan rasa sedih dengan pemergian pelawak ‘stand up’ itu dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu.

“Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai khidmat bakti dan jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara serta menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar kepada dunia hiburan.

“Seri Paduka Baginda berdua juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran yang dimuat naik oleh Istana Negara.

Allahyarham Jamali Shadat yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu, cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan dari pelbagai kaum pada zaman kegemilangannya.

Selain itu, pelawak lagenda yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Jamali Shadat meninggal dunia kira-kira pukul 8.30 pagi tadi, pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB ucap takziah pemergian Datuk Jamali Shadat

SHAH ALAM, 3 FEB: Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah di atas pemergian seniman Datuk Jamali Shadat, 78, yang meninggal dunia pada 8.30 pagi, hari ini.

“Menerima berita duka seniman terkenal Datuk Jamali Shadat meninggal dunia pagi ini. Allahyarham merupakan anak jati Selangor kelahiran Bukit Kapar, Klang. Nama yang cukup sinonim dengan bidang seni komedi ‘stand up’ tanahair.

“Kisah ‘Atan Dan Atuk’ sememangnya mencuit hati dan meninggalkan kesan cukup mendalam di sanubari majoriti rakyat Malaysia. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama para mukmin di syurga penuh nikmat.

“Takziah diucapkan kepada keluarga. Negara kehilangan seorang tokoh seniman yang cukup berbakat,” tulis Dato’ Menteri Besar di Facebook.

Jamali meninggalkan lapan anak dan 39 cucu.

Pada zaman kegemilangannya pada 1980-an, pelawak legenda itu cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama ‘Atan’ bersama Atuknya serta rakan berbilang kaum.