Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, permaisuri zahir takziah pemergian bekas atlet angkat berat Darus Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas atlet angkat berat negara, Darus Abdullah, yang meninggal dunia semalam.

Turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Darus ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sedih atas pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” menurut catatan itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham yang berasal dari Selangor pernah mewakili negara pada Kejohanan Sukan SEA 1989 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

 

 

Categories
PERSONALITI RENCANA

Perginya Jamali Shadat, tiada lagi keletah ‘Atan’ dan ‘Atok

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Tiada lagi keletah ‘Atan’, watak budak lelaki yang sering membuli datuknya apabila empunya suara yang memainkan peranan itu pergi buat selamanya awal pagi ini.

Pelawak legenda Datuk Jamali Shadat yang terkenal pada era 1970-an, berbakat dalam melontarkan suara dan membawa watak ‘Atan’ dan datuknya, ‘Atok’ serta rakan kanak-kanak itu dalam nada berbeza dan mengikut bahasa slanga rakyat Malaysia, meninggal dunia di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang pada usia 78 tahun.

Jamali atau nama sebenarnya Jamalai Shadat mula mencipta nama sebagai pelawak (standing comedian) negara yang begitu unik selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bakat TV anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1971 dan muncul dalam beberapa program televisyen termasuk Sendarama, Hiburan Malam Minggu dan Kuiz Kepintaran Anda.

Kebolehan Allahyarham melantunkan suara watak pelbagai dialek seperti Mandarin, Jawa, Sikh dan Tamil dalam rutin lawak beliau, begitu sinonim dengan masyarakat majmuk di Malaysia.

Aksi bersahajanya di atas pentas bukan sahaja mengundang tawa penonton, malah sepanjang lebih 40 tahun penglibatannya dalam komedi lawak, Jamali banyak membudayakan lawak keharmonian hubungan antara kaum malah menyatukan masyarakat dengan mengangkat isu semasa sebagai bahan ceritanya yang disampaikan dalam gaya, intonasi suara dan mimik muka yang melucukan.

Pernah Bintangi Filem

Jamali yang dilahirkan pada 18 September 1942 di Bukit Kapar, Klang Selangor juga pernah membintangi beberapa filem antaranya Hantu Siang pada 1986, Mr Cinderella 2 (2003), Senario The Movie Episode 2: Beach Boys (2009) dan Semerah Cinta Stiletto (2010).

Watak Atan yang meminjam suara emasnya juga pernah muncul dalam siri animasi terkenal Upin dan Ipin musim kesembilan pada 2015 yang disiarkan selama tiga episod.

Jamali juga pernah terlibat menjayakan program Raja Lawak terbitan Astro dan menerima Anugerah Lawak Warna bagi kategori Anugerah Khas Juri pada 2014 sebagai mengenang jasa dan bakatnya dalam arena komedi.

Pada sekitar 1970-an, Jamali juga pernah menghasilkan album sketsa bersama pelawak veteran Hamid Gurkha.

Kesihatan bapa kepada lapan orang anak itu dilaporkan mula merosot sejak pemergian isterinya, Allahyarham Lela Yacob akibat serangan angin ahmar pada 2018.

Jenazah Jamali akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jurukamera Media Selangor meninggal dunia

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 26 JUN: Jurukamera Media Selangor, Khairuddin Jamaluddin, meninggal dunia di Hospital Serdang, kira-kira jam 11.20 malam tadi.

Khairuddin, 51, meninggal dunia akibat pendarahan di dalam perut.

Beliau meninggalkan seorang balu dan dua anak lelaki berusia tiga tahun serta lima bulan juga seorang anak tiri berumur 10 tahun.

Jenazah akan dibawa pulang ke kampung mertuanya di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh, Negeri Sembilan.

Jenazah dijangka akan disolat dan dikebumikan selepas solat zohor.