Categories
KENYATAAN MEDIA

BERSIH 2.0 menang Anugerah Hak Asasi Gwangju

BERSIH 2.0 mengucapkan terima kasih kepada para panel dan jawatankuasa Anugerah Hak Asasi Gwangju yang telah memilih BERSIH 2.0 sebagai salah satu pemenang-bersama anugerah ini untuk tahun 2016.

Anugerah Hak Asasi Gwangju merupakan suatu anugerah berprestij yang dikemukan oleh Yayasan Memorial Mei 18 di Korea Selatan, sebagai pengiktirafan kepada individu atau organisasi yang telah banyak menyumbang kepada perkembangan hak asasi, demokrasi, dan keamanan.

bersih 4Anugerah ini juga bertujuan memperingati semangat perjuangan demokrasi oleh rakyat di Gwangju pada May 1980 di mana meraka telah bangkit membantah pemerintahan militari.

Pergerakan Demokrasi Grangju diiktiraf ramai sebagai detik permulaan demokrasi di Korea Selatan yang mempertahankan hak asasi dan kebebasan.

Pengiktirafan yang dikemukakan kepada BERSIH 2.0 ini melalui anugerah ini adalah hasil berjuangan rakyat Malaysia yang telah berhimpun secara aman di ibu kota sebanyak 4 kali untuk menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil.

Malah, rakyat yang turun ke jalan juga membuktikan patriotisme mereka demi menegakkan kedaulatan perlembagaan, kebebasan berhimpun, hak bersuara dan mendapat maklumat.

Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada semua badan bukan kerajaan, gerakan madani dan rakyat Malaysia yang telah memberikan keyakinan dan sokongan penuh kepada BERSIH 2.0. Anugerah ini adalah pengiktirafan ke atas keberanian rakyat Malaysia.

Di kesempatan ini, BERSIH 2.0 juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua badan bukan kerajaan dari luar negara yang telah memberikan sokongan kepada BERSIH 2.0 selama ini.

BERSIH 2.0 telah dicalonkan oleh aktivis yang terkenal dari Indonesia, Sdr Mugiyanto dari International NGO Forum on Indonesian Development (INFID), dan Sdr Yap Swee Seng ,aktivis yang amat berpengalaman dari Malaysia.

BERSIH 2.0 turut ingin mengucapkan sekalung tahniah kepada Dr Nguyen Dan Que dari Vietnam yang merupakan pemenang-bersama untuk anugerah ini. Dedikasi dan komitmen beliau berjuang untuk demokrasi adalah sejajar dengan semangat Demokrasi Gwangju.

Anugerah ini akan disampaikan pada 18 May 2016, di Korea Selatan. Wakil BERSIH 2.0 akan hadir untuk menerima anugerah ini.

Sekali lagi, terima kasih rakyat Malaysia. Anugerah ini milik kita bersama.

Dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0
Categories
NASIONAL

Lebih 11,000 petisyen sokong kempen undi tidak percaya

SHAH ALAM, 4 NOV: Lebih 11,000 petisyen atas talian dicetak dan dikemukakan kepada Ahli Parlimen sebagai sokongan kempen undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dalam satu kenyataan, berkata kempen itu juga berjaya mengedarkan 20,000 poskad khas ke seluruh negara, sejak 2 November lalu.

Katanya, orang ramai mengambil peluang menyampaikan mesej kepada wakil rakyat masing-masing untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

bersih 3“BERSIH 2.0 mendapat maklum terdapat beberapa petisyen tidak wujud dalam daftar pemilih atau mengisi kawasan parlimen salah.

“Kami dengan tegas menyatakan tiada penyelewengan dalam proses mengisi petisyen atas talian itu, sebaliknya dijalankan dengan keyakinan bahawa rakyat sedar kawasan Parlimen mana mereka mengundi,” katanya.

BERSIH 2.0 juga berkata, tiada mekanisme untuk memeriksa pendaftaran petisyen dengan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Malah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu turut mengasingkan sejumlah besar petisyen yang tidak mempunyai nombor kad pengenalan, menggunakan nama samaran atau tidak menyatakan nama wakil rakyat.

Najib-1MDB“Justeru, sebarang kekurangan dalam urusan melalui laman sesawang DearYB.my amat dikesali. Kami simpulkan sebarang kejanggalan dalam senarai petisyen menunjukkan sama ada pengundi tidak tahu siapa sebenarnya wakil rakyat mereka atau tidak sedar kawasan mengundi.

“Apa yang penting, suara rakyat untuk wakil rakyat mereka di Parlimen menolak kepimpinan Perdana Menteri sudah disampaikan,” katanya.

Kempen berkenaan memfokuskan kepada ahli Parlimen untuk menyokong usul undi tidak percaya kepada Najib ekoran keengganan beliau memberi penjelasan berkenaan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Acah ‘peperangan’ ancam demokrasi

Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Ali Rustam telah dilaporkan berkata bahawa pertubuhannya sedia ‘berperang’ sekiranya dicabar. Kenyataan beliau nampaknya telah mendapat restu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah Perdana Menteri sendiri turut mengisytiharkan silat sebagai benteng pertahanan negara ketiga selepas polis dan angkatan tentera. Deklarasi yang sama turut pernah dinyatakan olehnya sebelum perhimpunan Bersih 2 pada 9 Julai 2011.

PC-Bersih-3 cropSetiap kali berlangsungnya perhimpunan aman yang dilihat sebagai menggugat kedudukan parti pemerintah, kita akan turut melihat bunga-bunga ancaman dan ugutan daripada proksi-proksi ultra Melayu untuk cuba mempertahankan kedudukan kuasa parti pemerintah.

Pendekatan sebegini sewajarnya dikecam dan dihentikan, terutamanya apabila ia menggugat amalan demokrasi yang menjamin hak membantah, serta mengganggu keamanan sejagat dan hubungan antara kaum tanpa sebarang tindak balas undang-undang.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menilai kenyataan Ali Rustam sebagai suatu ancaman serius terhadap keamanan dan demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Tidak mungkin sebuah sistem pilihanraya yang adil dan bebas dapat dilaksanakan sekiranya wujud kelompok-kelompok yang bebas mengacah dan mengugut menggunakan kekerasan serta perkelahian secara sesuka hati.

Ugutan sedemikian adalah ancaman kepada demokrasi dan sistem pilihanraya yang bersih serta hak membantah, yang menjadi tuntutan perhimpunan Bersih 4 hujung Ogos lalu.

BERSIH 2.0 justeru menggesa pihak polis untuk menyiasat kenyataan Ali Rustam yang berbaur perkauman tersebut supaya tindakan lanjut dapat diambil.

BERSIH 2.0 menegaskan bahawa kami bersama rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan demokrasi akan terus komited terhadap nilai-nilai tersebut. Manakala mereka yang cuba menjejaskan demokrasi dengan ancaman dan ugutan keganasan pastinya akan terhantar ke bakul sampah sejarah.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0,

Bersih 2.0 lancar kempen singkir YB sokong PM

DearYB.my bertujuan mendesak undi tidak percaya di Dewan Rakyat.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bersih 2.0 lancar kempen ‘Undi Tidak Percaya’ Najib

Pasca perhimpunan aman Bersih 4, rakyat Malaysia tidak boleh terus berdiam diri. Justeru, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berbesar hati melancarkan kempen ‘Undi Tidak Percaya’ terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kempen ini akan dijalankan secara atas-talian melalui laman web DearYb.my dan juga kempen poskad khas yang telah kami sediakan untuk dihantar kepada Ahli-ahli Parlimen masing-masing.

Undi tak percayaMesej jelas yang disampaikan melalui kedua-dua saluran ini ialah supaya para Ahli Parlimen bersetuju untuk menyokong usul undi tidak percaya, atau apa sahaja usul yang bermaksud serupa bagi menggugat pegangan majoriti oleh Najib Razak.

Ini berikutan keengganan Najib Razak untuk memberi penjelasan dengan tulus ikhlas berkenaan skandal aliran tunai RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya yang didakwa telah digunakan untuk kempen Pilihanraya Umum ke-13, selain penjelasan mengenai skandal RM42 bilion syarikat bermasalah negara, 1MDB.

BERSIH 2.0 tidak akan berhenti daripada mendesak orang ramai supaya menuntut wakil-wakil mereka di Parlimen untuk menyatakan rasa tidak percaya mereka terhadap Najib Razak.

Sekiranya tidak wujud mekanisme untuk menjalankan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri sebagaimana yang didakwa oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; BERSIH 2.0 menggesa Najib Razak untuk melaksanakan undi percaya sekiranya beliau benar-benar yakin memiliki kepercayaan majoriti anggota-anggota Yang Berhormat di Parlimen.

BERSIH 2.0 berharap kempen kecil kami ini akan memulakan riak-riak yang bakal bertukar menjadi gelombang yang akan membawa perubahan dan penambahbaikan institusi yang kita semua harap-harapkan.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0,

Categories
NASIONAL

DBKL salah alamat hantar notis kepada Bersih 2.0

SHAH ALAM, 5 SEP : Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tersilap alamat ketika menghantar notis tuntutan bernilai RM65,000 kepada Penganjur Himpunan Aman Bersih 4.0.

Perkara itu mula disedari setelah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan menerusi twitternya menyatakan pegawai beliau telah menyerahkan bil pembersihan berkenaan ke pejabat Bersih 2.0 di Petaling Jaya, semalam.

Namun, berdasarkan gambar di Twitter Abdul Rahman, pegawai terbabit tiba di tempat yang salah.

Ia bukan sahaja menarik perhatian ramai, malah status pemakluman itu bertukar menjadi jenaka.

“Hari ini pegawai saya pergi ke pejabat berdaftar Bersih untuk menyerahkan bil pembersihan RM65,000. Ia berkunci dan terbiar.

“Dan ini pejabat Bersih yang tak nampak bersih langsung,” katanya sambil melampirkan sekeping gambar premis berkenaan di Twitternya semalam.

Tweet Abdul RahmanPerkara itu disedari Aktivis Bersih 2.0, Zoe Randhawa yang kemudiannya membalas tweet Abdul Rahman.

“Salah rumah lah! Jangan hina pak cik yang duduk di sebelah rumah,” katanya.

Memetik laporan Malaysia Kini, Pengurus sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh kemudian memberikan nombor telefon pejabat mereka kepada Ahli Parlimen Kota Belud itu.

“Jika pegawai Abdul Rahman tak jumpa pejabat Bersih, tolong telefon. Saya boleh bantu pandu arah. Tolong jangan salah rumah lagi,” katanya.

Walaupun tidak membalas tweet berkenaan, Abdul Rahman menyatakan pegawainya akan menghantar bil berkenaan sekali lagi minggu depan.

“Kami akan cuba sekali lagi menghantar invois RM65,000 kepada Maria Chin Abdullah dan Bersih. #payup!,” katanya melalui akaun @mpkotabelud.

Abdul Rahman menuntut penganjur Bersih 4.0 membayar kos pembersihan sekitar tapak perhimpunan yang berlangsung selama 34 jam pada 29 dan 30 Ogos lalu

Bil berkenaan, tidak termasuk kerugian akibat kerosakan harta awam sepanjang perhimpunan berlangsung.

Bagaimanapun Pengerusi Bersih 2.0 Maria berkata mereka tidak akan membuat bayaran berkenaan dan akan membawa kes itu ke mahkamah.

-NR-

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 kesal kenyataan KPN

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 SEP: Bersih 2.0 kesal dengan kenyataan Ketua Polis Negara (KPN) yang tidak mengambil serius isu keracunan makanan dialami peserta Bersih 4.0, pada 30 Ogos lalu.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, berkata Tan Sri Khalid Abu Bakar seperti memperlekeh pasukan siasatannya sendiri yang masih giat bekerjasama dengan Bersih bagi menyiasat dalang isu berkenaan.

PC-Bersih-3 cropKatanya, Khalid juga ternyata memandang rendah kredibiliti pegawai perubatan profesional yang berkhidmat secara sukarela pada perhimpunan aman itu.

“Bersih rasa sangat terganggu dengan kenyataan KPN bahawa punca keracunan daripada makan terlalu banyak cili walaupun laporan toksikologi belum dikeluarkan.

“Beliau juga secara salah mendakwa hanya dua peserta menerima rawatan dan tiada yang dimasukkan ke hospital. Hakikatnya, 13 peserta dirawat akibat loya, cirit birit dan muntah sementara enam lagi dimasukkan ke hospital termasuk dua kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

polisPada hari kedua perhimpunan Bersih 4.0, ramai peserta dilaporkan mengalami simptom keracunan makanan selepas mengambil paket minuman yang diberikan secara percuma.

Paket minuman itu diletakkan di kaki lima Jalan Tunku Abdul Rahman dengan dua poster tertulis ‘Sokong Bersih 4 – Ambil Satu’.

Pada hari sama, Bersih 2.0 membuat laporan polis berhubung kes itu dengan pasukan medik menyesyaki minuman terbabit disabotaj melalui suntikan jarum.

“Saya menyeru KPN bertindak mengikut amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu berkhidmat kepada semua rakyat tanpa sebarang diskriminasi termasuk peserta Bersih 4.0,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kejanggalan dalam Daftar Pemilih: Apa kesudahan RCI Sabah?

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) dengan kerjasama Malaysian Electoral Roll Analysis Project (MERAP) sedang menjalankan audit daftar pemilih di beberapa lokasi strategik di seluruh negara, dan sedang memberi tumpuan khas kepada daftar pemilih di negeri Sabah.

Berdasarkan data yang kami terima, wujud beberapa kejanggalan terutamanya yang melibatkan nombor kad pengenalan pemilih serta kewujudan pemegang kad pengenalan yang meragukan sepertimana yang disahkan oleh Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin di Sabah (RCIIIS).

bersihSatu contoh kejanggalan ini dapat dilihat dalam satu kes di Sandakan, di mana kami telah mendapati seorang pemilih bernama Mainah binti Takait yang didaftarkan dua kali dengan nama dan alamat yang sama dan didaftarkan pada hari yang sama oleh unit bergerak SPR, namun mempunyai angka ekor Kad Pengenalan yang berbeza. (gambar sisipan).

Laporan RCIIIS dalam mukasurat 306 menyatakan bahawa “terdapat bukti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa pendatang yang bukan rakyat Malaysia telah diberikan Kad Pengenalan biru secara haram oleh sindiket dan/atau individu tertentu, dan dengan itu, telah mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi dalam Daftar Pemilih dengan Kad Pengenalan mereka”.

BERSIH 2.0 juga ingin menekankan bahawa siasatan dan tindakan berdasarkan laporan RCIIIS hendaklah dimulakan dengan segera.

Dalam prosiding RCI pada 16 Januari 2013, Ruslan Bin Alias, Penolong Ketua Unit Bahagian Kad Pengenalan Sabah/Sarawak, telah mendedahkan kewujudan sebanyak 130,549 kad pengenalan yang dikeluarkan tanpa mengikut prosedur. Justeru kebanyakan daripada kad-kad pengenalan ini adalah tidak sah.

MERAP juga telah berjaya mendapati kejanggalan pada 49,159 pengundi di Sabah dalam daftar pemilih suku keempat 2012, di mana meskipun KadazanDusun merupakan etnik terbesar di Sabah, 80% pengundi RCI terdiri daripada keturunan Bugis, Bajau, Melayu dan Suluk. Adakah daftar pemilih ini telah dibersihkan?

MERAP turut mendapati beberapa daerah mengundi yang dibanjiri pengundi warga asing yang diragui kewarganegaraannya contohnya di Sepanggar dan Putatan. Kawasan-kawasan tersebut didapati mempunyai populasi pengundi berbangsa Indonesia, Filipina, Pakistan dan Suluk yang luarbiasa.

Malah, pengundi-pengundi ini juga didapati tidak mempunyai alamat lengkap di dalam daftar pemilih.

BERSIH 2.0 mempersoalkan apakah kesudahan jawatankuasa yang khabarnya dibentuk pasca pelancaran Laporan RCIIIS hujung tahun lalu bagi mengambil tindakan berdasarkan penemuan laporan tersebut.

BERSIH 2.0 turut mengambil maklum keterujaan Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang ketika mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Sijil Anak Negeri palsu di Sabah, telah menggesa supaya siasatan turut dibuat ke atas kad pengenalan palsu yang katanya masih tiada tindakan walaupun banyak aduan telah dibuat.

BERSIH 2.0 melahirkan rasa bimbang terhadap integriti Jabatan Pendaftaran Negara sebagai badan utama yang menyelenggarakan pengeluaran kad pengenalan, serta perkaitannya dengan ‘Projek IC’ seperti yang terdapat dalam laporan RCIIIS.

Oleh yang demikian kami membuat gesaan tegas supaya laporan RCIIIS tidak sia-sia dan tindakan selanjutnya mesti diambil sebelum lebih banyak kejanggalan dalam daftar pemilih didedahkan hasil kecuaian atau niat jahat pihak-pihak tertentu yang mungkin mempunyai kaitan dengan kedua-dua pihak SPR dan juga JPN.

Kami juga akan menjalankan audit lapangan di kawasan-kawasan strategik dengan melawat pengundi-pengundi yang didaftarkan dengan alamat-alamat ganjil serta pengundi-pengundi yang telah dipindahkan tanpa sebab munasabah.

Dikeluarkan oleh,
Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, yang terdiri daripada –

Pengerusi: Maria Chin Abdullah; Timbalan Pengerusi: Sarajun Hoda Abdul Hassan; Bendahari: Masjaliza Hamzah; wakil kebangsaan: Prof Madya Dr Abdul Halim bin Yusof, Farhana binti Abdul Halim, Fadiah Nadwa Fikri dan New Sin Yew; naib pengerusi: Jannie Lasimbang (Sabah), Ahmad b. Awang Ali (Sarawak), Abd Halim b. Wan Ismail (Semenanjung Timur), Thomas Fann (Semenanjung Selatan), Simon Lee Ying Wai (Semenanjung Tengah) dan Dato’ Dr Toh Kin Woon (Semenanjung Utara).Kejanggalan dalam Daftar Pemilih: Apa kesudahan RCI Sabah?

Categories
NASIONAL

Wall Street Journal: BERSIH 2.0 & C4 buat laporan SPRM

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 26 JUN: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) bersama Center to Combat Corruption and Cronyism (C4) akan megemukakan aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan laporan The Wall Street Journal (WSJ).

Pegawai Media dan Komunikasi BERSIH 2.0, Izmil Amri Ismail, berkata laporan itu dibuat berikutan dakwaan berlakunya penyalahgunaan dana awam untuk tujuan kempen pilihan raya.

“Laporan akan dibuat pada 29 Jun ini iaitu jam 2 petang, bertempat di Ibu Pejabat SPRM Blok D6, Kompleks D Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya,” katanya dalam kenyataan medianya hari ini.

bersih 3WSJ sebelum ini melaporkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) secara tidak langsung membiayai kempen Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menurut laporan bertarikh 19 Jun itu, 1MDB membantu secara tidak langsung kempen Najib melalui pembelian aset daripada Genting Group pada 2012 dengan harga lima kali lebih mahal berbanding nilai sebenarnya.

Genting didakwa menderma sebahagian pendapatan yang dikatakan hasil jualan itu kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia di bawah kawalan Najib dan kemudiannya mengumumkan beberapa projek amal ketika berkempen.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

“Ops Hitam 505” tolak GST, pilihan raya kotor dan negara polis

Oleh: Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Gerakan Anti-GST dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil 2.0 (BERSIH 2.0) melancarkan “Ops Hitam 505” di seluruh negara pada 5hb Mei 2015 (Selasa), ulang tahun kedua Najib Razak dikekalkan di Putrajaya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai kerajaan minoriti sungguhpun ditolak oleh 53% pengundi.

Kami memohon kepada semua rakyat Malaysia supaya berpakaian hitam atau memasangkan ribbon atau kain hitam di kenderaan, bangunan atau benda peribadi pada 5hb Mei 2015.

black505 22 june girls 01Ia sebagai tanda menolak provokasi angkuh Kerajaan Minoriti Najib kepada rakyat dengan tangkapan, tahanan dan gangguan terhadap para pemimpin dan peserta perhimpunan aman pada 1hb Mei di Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu.

Rakyat mesti menjawab penindasan dengan penentangan. Kalau tidak, kehidupan rakyat akan semakin susah dizalimi oleh kezaliman Kerajaan Minoriti Najib, polis dan SPR.

“Ops Hitam 505”, selain tanda solidariti dengan mereka yang menjadi mangsa penganiayaan polis, juga mewakili tiga tuntutan rakyat yang berikut:

a) Pemansuhan Cukai GST;

b) Penghapusan Penipuan dalam pilihan raya terutamanya “Pembahagian Tidak Sekata” (Malapportionment) dan “Persempadanan Tidak Adil” (Gerrymandering) dalam Persempadanan semula kawasan pilihanraya di Sarawak, Sabah dan Semenanjung supaya tidak wujud lagi kerajaan minoriti;

c) Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa dan pempolitikan polis.

Kami berharap bahawa esok seluruh rakyat akan mewujudkan satu lautan hitam di setiap pelusuk negara, terutamanya di Permatang Pauh dan Rompin di mana rakyat berpeluang menyatakan pendirian dengan kertas undi.

Ini adalah untuk menunjukkan penolakan rakyat terhadapat GST, pilihan raya yang kotor dan negara polis.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bersih 2.0: Kes Anwar penganiayaan politik

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) amat hampa bahawa Mahkamah Persekutuan telah menegakkan keputusan Mahkamah Rayuan tentang kes liwat kedua Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, dengan menerima hujah yang langsung tidak kukuh dan tidak menghiraukan kelemahan yang serius dalam kes ini.
Ia merupakan perbicaraan politik dari mula lagi, dan keputusannya mengukuhkan lagi hakikat ini.

934784_10153202761861840_8738744460834084225_nHukuman penjara lima tahun yang dikenakan kepada Anwar mengakhiri kerjaya politik seorang pemimpin yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri kita sekiranya pilihan raya di negara ini bebas dan adil.

Memandangkan bahawa undang-undang pilihan raya kita menghalang bekas banduan daripada bertanding selama lima tahun, sekiranya Anwar menjalani hukuman sepenuh jangkamasa, beliau akan mencapai umur hampir 80 tahun sebelum layak bertanding semula.

Kami memahami bahawa majoriti rakyat seperti yang ditunjukkan dalam keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) akan merasa kecewa dengan pencabulan keadilan hari ini, tetapi kami menyeru agar semua bertindak balas secara rasional dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi awam, yang merupakan satu daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0.

Antara institusi awam utama yang perlu pembaharuan ialah badan kehakiman. Ini diakui oleh Ketua Hakim Negara sendiri, yang, seminggu selepas Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar pada tahun 2012, menyeru supaya kebebasan kehakiman ditegakkan.

Kami tertanya-tanya sama ada beliau percaya kata-kata sendiri, tatkala beliau menyampaikan keputusan hari ini.

Kes ini satu penganiayaan politik yang memperlihatkan demokrasi yang amat cacat. Kita sudah melihat kecacatan ini dalam PRU13 apabila Pakatan Rakyat tidak boleh membentuk kerajaan walaupun menang undi popular.

Dan kita melihat kecacatan sebegini sekali lagi di Sarawak di mana kaedah yang tidak jujur telah digunakan untuk merampas penyertaan rakyat dalam proses persempadanan dan hak mereka untuk menentukan wakil mereka.

Jika kritikan dibuat terhadap pemerintah, undang-undang yang menindas akan digunakan untuk menutup mulut pengkritik.

Ketua Polis Negara sudah pun mengancam untuk menyiasat di bawah Akta Hasutan mereka-mereka yang melahirkan kemarahan dalam talian tentang keputusan mahkamah hari ini.

Peristiwa hari ini mengingatkan kita semula tentang kepentingan perjuangan BERSIH 2.0 bagi pilihan raya yang bebas dan adil.

Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jangan jadikan tarikh persempadanan semula teka-teki

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang selama ini gagal melaksanakan tugasnya, kini berpeluang untuk memperbaiki imej dan kredibiliti mereka dengan tidak menjadikan tarikh proses persempadanan semula sebuah permainan teka-teki sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri (dahulu dan sekarang) kepada tarikh pilihan raya umum (PRU).

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) mengulangi seruan kami kepada SPR untuk mengumumkan rancangan keseluruhan bagi persempadanan semula seawal yang mungkin supaya orang awam digalakkan menyertai proses ini seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

bersihKeterbukaan SPR dalam hal ini menjadi amat penting memandangkan orang ramai hanya mempunyai 30 hari di bawah undang-undang yang sedia ada untuk mengambil bahagian dalam proses ini, walhal mereka sepatutnya diberi sebanyak masa yang mungkin untuk meneliti cadangan SPR yang akan memberi kesan terhadap keputusan PRU14 dan PRU15.

Tambahan lagi, jikalau cadangan yang dikemukakan oleh SPR adalah tidak adil dan melanggar peruntukkan Perlembagaan Persekutuan, maka pengundi berhak untuk membantah cadangan tersebut dan SPR harus memberi masa dan ruang yang sewajarnya untuk memudahkan penglibatan pengundi dalam proses ini.

BERSIH 2.0 juga mengingatkan SPR agar tidak menjalakan proses persempadanan semula ini pada musim perayaan yang akan datang. 25 Disember merupakan cuti perayaan Krismas, diikuti dengan cuti Tahun Baru pada 1 Januari dan Tahun Baru Cina pada bulan Februari.

Jelas bahawa sekiranya persempadanan dijalankan ketika tempoh-tempoh ini, ia akan mengganggu penglibatan pengundi, dan SPR akan dilihat sebagai berniat jahat dalam menafikan penyertaan umum.

Dalam keadaan sebegini, SPR mestilah menanggung segala tanggungjawab bagi apa-apa pergolakan politik yang terhasil.

BERSIH memberi amaran kepada SPR agar tidak menjalankan proses persempadanan semula ini secara tergesa-gesa kerana persempadanan yang bakal dilakukan ini akan memberi kesan dalam penentuan keputusan PRU14 dan PRU15 akan datang.

Demokrasi bukannya permainan untuk mengejutkan pihak yang bukan berkuasa.

*Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0