Categories
NASIONAL

BERSIH: Kami bukan neutral tetapi pro-reformasi

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 7 MAC: “Kami bukan neutral tetapi pro-reformasi,” itulah kenyataan dikeluarkan Bersih 2.0, yang menyuarakan tuduhan bahawa ia adalah partisan ekoran keputusan mantan pengerusinya, Maria Chin Abdullah memasuki politik.

Timbalan Pengerusinya, Shahrul Aman Mohamad Saari berkata, mereka sentiasa bersikap tidak neutral tetapi pro-reformasi dan sedia bekerjasama dengan sesiapa yang mempunyai tujuan sama.

“BERSIH adalah gerakan bukan partisan, tetapi kami sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang menyokong agenda reformasi demokratik diperjuangkan.

“Dalam semua perkara, kami telah menjemput setiap orang, tetapi ada beberapa blok politik tidak mahu menyesuaikan diri dengan agenda reformasi kami,” katanya sambil menambah Pakatan Harapan (PAKATAN) memberikan sokongan kepada badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Pilihan Raya Gabungan Bebas dan Adil, di sini, semalam.

Pada masa sama, Maria Chin Abdullah berkata, BERSIH telah mengambil ikatan terhadap mana-mana pencabulan demokrasi dan akan terus menjadi tidak partisan.

Maria yang juga bekas Pengerusi BERSIH meletakkan jawatannya pada Ahad (4 Mac) dan menyelesaikan hari terakhir beliau di pejabat pada Isnin (5 Mac) dengan Shahrul Aman akan mengambil alih kerja Maria.

Shahrul berkata, BERSIH telah menerima peletakan jawatan Maria dengan segera kerana ia disebabkan hasrat Maria untuk bertanding sebagai ahli Parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

“Tiada apa akan berubah di NGO ini walaupun pemergian Maria sebagai jawatankuasa pemandu yang mengetuai organisasi ini, kerana mahu terus memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil,” katanya.

BERSIH 2.0 adalah gerakan bukan partisan yang fokus kepada reformasi sistem pilihan raya dan membawa nilai demokratik.

=EZY=

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Maria Chin letak jawatan Pengerusi Bersih 2.0

Pada tarikh 4 Cac 2018, Maria Chin Abdullah memberitahu kepada kami mengenai perletakan jawatan beliau sebagai pengerusi.

Selepas perbincangan, Jawatankuasa Pemandu menerima perletakan jawatan beliau. Hari terakhir beliau di pejabat adalah semalam, 5 Mac 2018.

Tempoh yang singkat antara permintaan beliau untuk meletak jawatan dan hari terakhirnya di pejabat adalah disebabkan keinginannya untuk mengumumkan pada minggu ini tentang pencalonannya sebagai Ahli Parlimen dalam Pilihan Raya Ke – 14.

Bersih 2.0 berterima kasih kepada Maria atas sumbangan dalam perjuangan menuntut Pilihan Raya yang bersih dan adil selama 10 tahun dan kepimpinannya sejak tahun 2013.

Walaupun gangguan, ugutan kepada beliau dan keluarganya serta penahanan beliau dalam Akta SOSMA pada tahun 2015, Maria tetap kekal membawa agenda untuk reformasi institusi.

Kami dengan ini mengharapkan yang terbaik untuk Maria dalam perjalanan beliau di bidang politik, dan kami berbangga apabila beliau menyatakan bahawa beliau akan memberi tekanan melalui legislatif dan perubahan polisi, reformasi ke atas sistem pilihan raya dan juga demokrasi yang matang.

Kami berharap semua calon dan parti akan memberikan komitmen yang sepatutnya.

Bersih 2.0 adalah gerakan bukan partisan yang berfokus kepada reformasi sistem pilihan raya dan membawa nilai demokratik. Bersih akan terus beroperasi seperti sebelumya, diketuai oleh Jawatankuasa Pemandu.

Gerak kerja Maria sebelum ini akan diambil alih oleh Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Shaari.

Kami mengambil peluang ini untuk memperkukuhkan fokus kami dalam pilihan raya yang akan datang :

1) Pengamalan sistem pilihan raya yang bersih dan adil

2) Padang perlawanan yang rata dan adil untuk semua calon dan parti politik

3) Memantau ketempangan pilihan raya dan manipulasi

4) Liputan media yang adil kepada semua parti

5) Melindungi hak untuk mengundi dan

6) Memastikan akauntabiliti SPR

Kami kesal kerana belum menerima apa-apa respon daripada SPR berkaitan pemantauan pilihan raya antarabangsa yang bebas, persempadanan semula yang tidak adil, membersihkan pengundian dan memansuhkan undi pos.

Walaupun setelah berkali-kali panggilan reformasi dibuat ke atas SPR, pihak SPR tetap tidak mengendahkan Bersih 2.0 dan terus menerus memandang enteng integriti proses pilihan raya.

Kami telah berulang kali memprotes cara SPR menggunakan strategi kotor dalam proses pengundian, Gerrymandering dan pembahagian tidak sekata untuk memastikan siapa yang akan memenangi setiap kerusi.
Walaubagaimanapun, analisis kami menunjukkan peratusan keluar mengundi akan mengalahkan penipuan SPR.

Walaupun Maria mengundurkan diri, tiada perubahan dalam Bersih 2.0. Bersih 2.0 akan terus memenangi perjuangan menuntut pilihan raya yang adil dan Bersih dalam memfokuskan PRU 14.

Terutamanya berkenaan kempen Satukan Tenaga, Kalahkan Penipuan, yang mempromosikan reformasi institusi dan kepentingan turun mengundi, dan inisiatif PEMANTAU (pemantau.org) mengajak seluruh rakyat untuk menjadi pemantau pilihan raya yang bebas dan melaporkan penipuan dan kesalahan dalam pilihan raya di kawasan masing-masing.

Dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0

Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0: BN angkuh, SPR patut ambil tindakan tegas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 OKT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas berhubung pelancaran Bilik Gerakan BN Parlimen P107 Sungai Buloh oleh Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar, baru-baru ini.

Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) dalam kenyataan berkata, pelancaran itu menunjukkan keangguhan dan sikap tidak hormat Barisan Nasional (BN) dan Noh terhadap proses persempadanan semula di Selangor.

Katanya, kes itu masih sedang berlangsung di mahkamah dan seharusnya dihormati semua parti politik.

“BERSIH2.0 terkejut dengan perkara itu kerana P107 Sungai Buloh belum lagi wujud dan merupakan cadangan kawasan parlimen baru oleh SPR menerusi proses persempadanan semula.

“Adakah pelancaran bilik gerakan ini menunjukkan BN serta Noh sudah mengetahui keputusan akhir persempadanan semula,” katanya.

Sehubungan itu, BERSIH2.0 menuntut SPR mengarahkan BN dan Noh menarik balik pelancaran bilik gerakan berkenaan.

Katanya, SPR juga perlu memberitahu semua parti politik secara rasmi, terutamanya BN, untuk menghormati proses persempadanan yang sedang berlangsung.

“SPR juga perlu menyiasat sama ada pengisytiharan dan pelancaran kawasan baru parlimen sedemikian turut berlaku di tempat lain dan menghentikannya.

“Tuntutan ini juga adalah amaran kepada parti politik dan pegawai bahawa mereka tidak harus mengambil tindakan bertentangan undang-undang dan perlembagaan persekutuan,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

MAC 2017- Bulan Daftar Mengundi

Hari ini, BERSIH 2.0 melancarkan kempen daftar pengundi yang akan berlangsung sepanjang bulan Mac 2017.

“Kempen U” menyasarkan lebih kurang empat juta rakyat Malaysia yang masih belum berdaftar dan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan untuk mengundi.

Dilambangi oleh huruf “U” yang mewakili “UNDI” (juga mewakili “you”/anda), kempen daftar pengundi BERSIH 2.0 akan mengembalikan kuasa ke dalam tangan rakyat Malaysia dan menguatkan falsafah BERSIH sebagai satu pergerakan rakyat.

Petak kosong mempelawa orang ramai untuk berkongsi dengan kami matlamat undian mereka, dan menekankan kepentingan untuk mendaftar. Ini juga berfungsi untuk mengaitkan aspirasi pendaftar dengan wakil rakyat mengenai perubahan yang diidamkan oleh rakyat Malaysia demi tanahair kita.

IMG_20170221_115944-800x570Dengan memperkenalkan rekabentuk yang anggun dan satu aspek yang lebih berinteraktif, kami berharap ia akan menarik perhatian generasi muda di samping menunjukkan iltizam kami untuk merapatkan jurang di antara bandar dan desa.

Kempen ini merangkumi beberapa aktiviti lapangan seperti di pejabat-pejabat pos dan acara lain di seluruh Malaysia mulai Sabtu ini, 25 Februari 2017.

BERSIH 2.0 memilih bulan Mac untuk melangsungkan kempen ini kerana ia merupakan hujung suku tahun ini di mana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mula memproses pendaftaran tersebut.

Setiap pendaftaran baru akan memakan masa hampir enam bulan untuk memproses dan pewartaan. Oleh itu 31 Mac 2017 merupakan hari yang terakhir untuk rakyat Malaysia untuk mendaftar sekiranya pilihan raya umum diadakan pada bulan September 2017.

Walaupun pendaftaran pengundian adalah tanggungjawab SPR namun mereka merumit dan menyusahkan proses mendaftar pengundi dan mengabaikan cadangan BERSIH untuk melakukan pendaftaran pengundi secara automatik.

Memandangkan pengundian memainkan peranan yang penting dalam proses demokratik, BERSIH 2.0 terpaksa melangkah masuk dan mengerakkan “Kempen U” ini.

Objektif utama kempen ini adalah untuk menggalakkan dan mengkerahkan rakyat Malaysia untuk mendaftar sendiri di pejabat pos.

Cuma mereka yang berdaftar sebelum 31 Mac 2017 boleh mengundi menjelang PRU14 (sekiranya ia diadakan pada September 2017), oleh itu ia adalah mustahak untuk mereka yang belum berdaftar untuk mendaftar secepat mungkin di pejabat pos terdekat.

Bagi yang sudah berdaftar, mereka boleh membawa ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan yang layak mengundi untuk berdaftar di pejabat pos.

Jika SPR bersungguh-sungguh ingin memenuhi tugasnya, kami mengalu-alukan mereka untuk bekerjasama dengan BERSIH 2.0 dalam usaha kami untuk mendorong pendaftaran pengundi.

Mengundi adalah salah satu hak paling berkuasa bagi rakyat dalam sistem berdemokrasi. Malahan, ia adalah pendekatan paling terus yang boleh membawa perubahan dan memastikan suaramu tidak diabaikan.

BERSIH 2.0 menyaran semua warga Malaysia agar tidak meringan-ringankan tanggungjawab berdemokratik ini. Ambil langkah pertama dan daftar sebagai pengundi hari ini.

Ditandatangani oleh ahli-ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pertahankan hak asasi, bangkit mempertahankan hak rakyat

OLEH: BERSIH 2.0

Pada Hari Hak Asasi Sedunia 2016, BERSIH 2.0 menyeru rakyat Malaysia perjuangkan hak-hak asasi dan kebebasan yang ditetapkan kepada semua manusia

Hari Hak Asasi Sedunia 2016 yang bertemakan “Bangkit mempertahankan hak rakyat”, mengingatkan kita bahawa tidak mengambilkira sebarang kejayaan dan kemajuan yang dicapai di arena hak asasi sejagat dunia selama 68 tahun ini, perjuangan ini masih belum berakhir.

Malah, ianya semakin penting memandangkan negara Malaysia menghadapi masa depan yang kabur dengan skandal mega 1MDB yang masih dipertikaikan, penghasutan terhadap masyarakat sivil, serta penindasan yang dialami oleh rakyat Malaysia.

Semasa konvoi dan perhimpunan BERSIH 5 yang baru lepas, kita terpaksa perjuangkan hak untuk berkumpul dan bersekutu dengan bebas apabila bersemuka dengan pelbagai gangguan dan ugutan dari samseng ganas UMNO berbaju merah yang ganas dan juga pihak polis yang berkeras menyekat program-program kami.

Dalam tindakan keras untuk menghalang BERSIH 5, seramai 16 ahli politik dan aktivitis termasuk pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah, telah ditangkap sebelum dan semasa perhimpunan dilangsungkan.

Dalam salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang paling jelas ketara baru-baru ini, Maria telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Beliau ditahan di kurungan bersendirian yang merupakan satu bentuk seksaan. Penyalahgunaan akta ini yang bertujuan mencegah keganasan ke atas seorang pemimpin masyarakat sivil langsung tidak boleh diterima di sebuah negara yang bebas dan berdemokrasi. Tindakan ini cuma akan menggalakkan penyalahgunaan kuasa berleluasa.

BERSIH 2.0 turut mengutuk kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan bahawa layanan yang diterima oleh Maria mematuhi prosedur biasa.

Kami kekal bahawa tiada individu harus melalui pengalaman yang begitu tidak berperikemanusiaan. Kenyataan beliau amat membimbangkan apabila seorang dalam kedudukannya tidak berupaya mengenalpasti kejadian ini sebagai suatu perkara yang tidak bermoral.

Walaupun Maria sudah dibebaskan, serangan terhadap pihak-pihak NGO masih berterusan. Ini cuma salah satu dalih kerajaan untuk memesongkan perhatian rakyat dari isu-isu kewangan yang meragukan yang tengah melanda negara kita.

Pihak berkuasa turut menggunakan pelbagai sebab yang rapuh seperti pembiayaan dana dari luar negeri serta tuduhan ingin menjatuhkan kerajaan untuk menghapuskan masyarakat sivil sama sekali dalam usaha mereka untuk mengekalkan kuasa.

Masyarakat sivil mementingkan hal berdasarkan hak-hak asasi manusia. Serangan pihak berkuasa ke atas kami hanya menunjukkan sifat bermusuhan mereka terhadap perjuangan hak asasi manusia sejagat dunia.

Pada Hari Hak Asasi Sedunia 2016, BERSIH 2.0 menuntut pihak berkuasa untuk menghentikan segala gangguan dan intimidasi terhadap pertubuhan NGO. Kerajaan Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk melindung hak-hak rakyat, dan bukan menghukum mereka.

BERSIH 2.0 akan menumpukan perhatian kepada aktiviti pendaftaran pengundi menjelang PRU14. Kami tidak akan gentar atau disenyapkan oleh sebarang ugutan. Kami menggesa agar semua rakyat Malaysia berumur 21 tahun dan ke atas untuk mendaftar sebagai pengundi dan menggalak semua rakan-rakan dan ahli keluarga yang belum berdaftar untuk turut serta.

Kuasa untuk ubah terletak di tangan kita dan kita mesti menggunakan hak kita untuk memilih pemimpin-pemimpin yang mampu memajukan Malaysia kepada masa depan yang lebih cerah sambil mengutamakan kesejahteraan rakyatnya.

Tetapi untuk hari ini, mari kita memperingatkan bahawa martabat manusia adalah asas kepada dunia yang bebas, adil, dan aman.

Satukan Tenaga, Malaysia Baru.

Ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0

Categories
NASIONAL

Maria Chin bebas selepas 11 hari ditahan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 NOV : Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah dibebaskan daripada tahanan polis selepas ditahan 11 hari bermula 18 November lalu.

Perkara tersebut disahkan, Gabungan Bersih 2.0 menerusi kenyataan ringkas di Twitternya, sebentar tadi.

“Maria bebas!” tulis BERSIH di Twitter.

Maria terdahulu ditahan ketika serbuan di pejabat BERSIH 2.0 di Petaling Jaya sebelum dibawa ke ibu pejabat polis IPD Petaling Jaya, sehari sebelum berlangsungnya perhimpunan aman Bersih 5, 19 November lalu.

maria chinBeliau disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) berdasarkan penemuan 1 dokumen.

Beliau juga sebelum ini turut disiasat mengikut Seksyen 124c Kanun Keseksaan atas kesalahan menjalankan aktiviti yang dikatakan menjejaskan demokrasi berparlimen.

-nR-

Categories
NASIONAL

Pakai baju kuning setiap Sabtu hingga 19 November

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 27 SEPT: Orang ramai diseru memakai baju kuning pada setiap Sabtu sehingga menjelang perhimpunan Bersih 5 pada 19 November nanti.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari, berkata seruan itu dibuat sebagai tanda solidaliriti orang ramai menyokong Bersih 2.0 dalam menuntut reformasi institusi dan bantahan terhadap keparahan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka yang tidak dapat menyertai konvoi Bersih 5 digalakkan memakai baju kuning Bersih 5 setiap Sabtu untuk menunjuk sokongan mereka,” kata Shahrul Aman.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bersih 2.0 di Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Katanya, Bersih 2.0 percaya kerjasama semua pihak ini menjadi inspirasi kepada semua rakyat untuk bangkit dan menentang penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

EZY

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 sedia lancar ‘roadshow’ kebangsaan terbesar seluruh negara

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 27 SEPT: Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersedia melancarkan ‘roadshow’ terbesarnya dengan Konvoi Bersih 5 yang diadakan serentak di seluruh negara.

Timbalan Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari, berkata Konvoi 5.0 bermula pada 1 Oktober itu berlangsung selama tujuh minggu sebelum tiba kemuncaknya 19 November semasa Perhimpunan Aman Bersih 5 diadakan di ibu kota Kuala Lumpur.

“Objektif Konvoi Bersih 5 untuk memulakan komunikasi nasional dan meningkatkan kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB,” kata Shahrul Aman.

Beliau berkata demikian pada sidang media Bersih 2.0 di Pejabat Bersih 2.0 di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

BERSIHJelasnya, perjalanan Konvoi Bersih 5 dijangka meliputi 246 bandar, pekan dan kampung di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, antara bandar dan lokasi terlibat dengan acara pelepasan pada jam 10.00 pagi hari pertama adalah di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan berakhir di Kulai.

Manakala bagi kawasan utara pula acara pelancaran diadakan di Pasar Borong, Kangar sebelum berakhir di Alor Setar, Jeti Lumut dan berakhir Teluk Intan (barat), Padang Bank Kota Bahru, Kelantan dan juga berakhir di Bandar Kota Bahru.

Bagi peringkat Kota Bahru turut melibatkan acara konvoi berbasikal.

Sementara di Sarawak pelepasan konvoi dibuat di kawasan pakir persendirian berhadapan Park City Everly Hotel berakhir di Bintulu.

Manakala di Sabah acara pelepasan diadakan di Bandar Letat, Sandakan dan berakhir di Semporna.

Katanya lagi, konvoi itu akan memyambung jelajahnya pada hujung minggu berikutnya sehingga memasuki kawasan Lembah Klang yang dijangka pada 5 hingga 18 November.

Katanya lagi, setiap kawasan akan diterajui Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0 dan dalan peringkat pelarasan oleh jawatankuasa tempatan.

Ujarnya, ahli konvoi mengadakan aktiviti penerangan kepada masyarakat tempatan sebelum meneruskan konvoi pada hujung minggu berikutnya.

Orang ramai yang ingin menyertai dan mengetahui lanjut laluan dan persinggahan boleh semak di laman web www.bersih.org/konvoi.

EZY

Categories
NASIONAL

Bersih: Tak capai objektif protes di stadium

SHAH ALAM: Cadangan penggunaan stadium sebagai lokasi penganjuran perhimpunan membantah keputusan menutup siasatan 1MDB disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah, berkata ia bukan sahaja membataskan peserta protes, malah menggagalkan objektif mengetengahkan suara rakyat.

“Protes merupakan satu bentuk luahan kemarahan. Ia perlu dibenarkan di mana-mana.

“Tidak masuk akal permintaan mereka hanya boleh protes di dalam stadium, di bawah bumbung dan sebagainya,” katanya lapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, beberapa pemimpin politik Barisan Nasional (BN) menggesa Bersih mengadakan perhimpunannya di dalam stadium dan bukan di jalan raya.

Sementara itu, Aktivis, Ivy Josiah menolak kebimbangan mengenai keselamatan awam, dan memberi contoh perhimpunan Bersih Ogos tahun lalu yang berjalan secara aman.

Katanya, polis juga lebih bersikap “matang” seperti yang ditunjukkan ketika protes 2 hari pada Ogos tahun lalu.

“Mereka sudah menyaksikan demonstrasi aman kami. Saya tidak fikir akan ada kekacauan dengan pihak polis.” katanya.

Pada 27 Ogos ini, kumpulan pelajar dan belia dijangka mengadakan demonstrasi #TangkapMO1, merujuk ungkapan “Malaysian Official 1” dalam dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

KEADILAN sokong Bersih 5 ke arah penyuburan demokrasi

OLEH HAFIZAN TAIB

BESTARI JAYA, 5 OGOS: KEADILAN menyokong usaha Gabungan Pilihanraya Bersih Dan Adil (Bersih 2.0) mengadakan perhimpunan Bersih 5 bagi menuntut siasatan bebas ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presidennya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata usaha ke arah itu perlu didukung demi perubahan baik serta penyuburan demokrasi di negara ini.

“Kali ini daripada kenyataan Bersih 2.0, untuk mendesak penyiasatan bebas dijalankan ke atas 1MDB kerana ia cuba ditutup Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan Putrajaya sedangkan satu dunia membicarakan berkenaan skandal kewangan terbesar di dunia hari ini.

“Kita tidak mahu Umno Barisan Nasional (BN) terus memperbodohkan rakyat. Mereka yang didapati bersalah harus dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Menteri Besar Selangor itu berkata, jika sebelum ini Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan bagi menuntut pilihan raya bebas dan adil, maka gabungan itu merasakan tanggungjawab untuk menghimpunkan rakyat Malaysia bagi tujuan berkenaan.

MB02Katanya, apatah lagi skandal terbabit mendapat perhatian seluruh dunia dengan paparan berita meluas di luar negara.

“Kita mahu sebuah negara yang gagah dengan pengurusan ekonomi baik.

“Ia (Bersih 5) matlamat yang murni harus mendapat sokongan semua pihak dan jangan ada mana-mana pihak cuba mengugut dengan pelbagai bentuk undang-undang dan tindakan yang sebenarnya akan melumpuhkan demokrasi dalam negara,” katanya.

Baru-baru ini, Bersih 2.0 membuat pengumuman bagi mengadakan perhimpunan rakyat besar-besaran kali kelima atau disebut Bersih 5 dalam masa terdekat bagi menuntut siasatan sewajarnya diambil ke atas skandal 1MDB yang turut membabitkan “Malaysian Official 1” (MO1).

-AA-

Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0: Turun solidariti bersama #KitaSafwan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 JUL: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) memandangan serius perbicaraan rayuan terakhir Naib Pengerusi BERSIH Pantai Timur, Safwan Anang yang didakwa dibawah Akta Hasutan 1948 pada 29 Mei 2013.

Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, berkata pendakwaan terhadap Safwan itu jelas berkait rapat dengan ucapannya yang membantah penipuan dan kecurangan berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

BERSIH2Bagaimanapun jawatankuasa itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih bebas dari sebarang tindakan undang-undang sebaliknya pengkritik yang mempersoalkan kewibawaan badan itu pula dihukum.

“Umum ketahui, pelbagai penipuan dan kecurangan berlaku pada 5 Mei 2013.

“Satu contoh diketahui umum dan dunia adalah bagaimana dakwat kekal dicalitkan pada jari pengundi boleh hilang dalam masa 30 minit.

“Ribuan laporan polis dibuat terhadap SPR mengenai isu ini, namun sehingga hari ini SPR bebas dari sebarang tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jawatankuasa itu juga berkata, perkara itu terjadi akibat kegagalan institusi awam menegakkan keadilan dan menjalankan tugas tanpa kongkongan serta campurtangan kerajaan pemerintah.

Katanya, seramai sembilan individu didapati bersalah, 39 individu didakwa di Mahkamah sejak dari 2010 hingga 2016.

“BERSIH 2.0 menuntut supaya Peguam Negara menarik semula rayuan terhadap kes Safwan, gugurkan kesemua pertuduhan Akta Hasutan terhadap aktivis, ahli politik dan rakyat Malaysia dan mansuhkan Akta Hasutan,” katanya.

Dalam pada itu, BERSIH 2.0 juga turut menjemput semua rakyat membantah Akta Hasutan untuk turun bersolidariti bersama Safwan Anang di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman Putrajaya jam 8 pagi pada 18 Julai ini.

Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 dakwa 4 DUN 1 Parlimen langgar akta pilihanraya

OLEH : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 APR: BERSIH 2.0 mendakwa terdapat lima kesalahan melanggar Akta Pilihan Raya membabitkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen semenjak pembubaran DUN Sarawak sehingga 26 April 2016.

Empat DUN itu adalah Jepak, Marudi, Dudong dan Simanggang yang melibatkan kesalahan sebelum penamaan calon sementara Parlimen tunggal adalah Kapit selepas penamaan calon.

Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali lagi gagal memastikan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) ini dijalankan secara bersih, bebas dan adil.

BERSIH 2.0“SPR bertanggungjawab penuh mengambil tindakan terhadap calon melanggar peraturan.

“Pada masa sama, SPR juga harus komited memastikan perkara sebegini tidak berulang,” katanya dalam sidang media di Pusat Pernigaan 8 Avenue, di sini hari ini.

Insiden di Dun Jepak melibatkan pemberian baja organik cap dacing di Rumah Panjang James Brooke dan poster ‘Undilah Calon PAS’ yang ditampal di kawasan No 228, Kampung Masjid.

Dun Muradi melibatkan kain rentang dengan tulisan ‘Undilah Barisan Nasional’ di kawasan Marudi pada 24 April 2016.

Dun Dudong pula menyaksikan calon BN, Tiong Thai King mengagihkan RM200 kepada 270 keluarga dibawah Poor Student’s Trust Funds (PSTF), satu inisiatif dibawah Kementerian Pelajaran di SJKC Thian Hua, Sibu Jaya

Sementara wakil SUPP di Dun Simanggang membuat laporan kepada Jabatan Pelajaran mengenai penglibatan dua orang guru dalam kempen pembangkang.

Namun, mereka sudah menafikannya dan tindakan wakil SUPP itu bertentangan dengan kebebasan berkempen seorang individu.

Bagi kesalahan tunggal selepas penamaan calon di Parlimen Kapit adalah pemberian bantuan khas oleh Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah, merangkap Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Satu surat pekeliling dihantar kepada penduduk kawasan itu untuk menerima bantuan di Dewan Masyarakat Melayu, Bluteh Kapit jam 7.30 malam pada 26 April lalu.

Maria menjelaskan, pihaknya akan mengemukakan penemuan kesalahan itu kepada SPR pada Jumaat ini.

“Setakat ini kita belum mengemukakan kepada SPR kerana kita baru dapat maklumat berserta bukti daripada Pemantau Sarawak semalam.

“Kita akan cuba serahkan Jumaat ini,” katanya.

BERSIH 2.0 turut membidas tindakan menghalang masuk segelintir pimpinan politik dan aktivis ke Sarawak selain merayu kepada kesemua 1.14 juta pengundi di Sarawak untuk keluar mengundi supaya penipuan serta kecurangan pilihan raya dapat dihentikan.

-nR-