Categories
NASIONAL

BERSIH 2.0 : Polis Mengaku Tangkap Pemimpin Pas Di Luar Kawasan Larangan

KUALA LUMPUR 07 JUN : Seorang pegawai kanan polis mengaku telah menangkap dua pemimpin Pas pada hari perhimpunan BERSIH 2.0 tahun lalu di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistret.

Inspektor Mohd Zaidi Mad Zizat juga mengaku naib presiden Pas Datuk Mahfuz Omar dan dan Salahuddin Ayub tidak terdiri daripada peserta perhimpunan itu.

Dalam keterangannya di mahkamah tinggi sivil Kuala Lumpur hari ini, Zaidi juga mengaku tangkapan dibuat berdasarkan alasan untuk mencegah Mahfuz dan Salahuddin daripada menyertai himpunan itu.
Mahfuz, Ahli Parlimen Pokok Sena dan Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian memfailkan saman pada 8 Ogos tahun lalu berhubung penahanan mereka semasa Bersih 2.0.

Saman itu difailkan terhadap Zaidi, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Kerajaan Pusat.

Zaidi merupakan lima individu yang menjadi saksi bagi pihak defendan hari ini, selain Supritenden Aida Abdul Hamid, ASP R.Muthusamy, ASP Zulkifli Osman dan Jurugambar Polis Ganeson.

Beliau mengaku melakukan perkara terbabit ketika menjawab pertanyaan peguam plaintif, Abdul Aziz Hamzah.
Zaidi turut bersetuju yang kedua-dua plantif hanya mengatakan hendak ke Hotel Hilton yang terletak berhampiran Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral).

KL Sentral berada di luar kawasan larangan yang ditetapkan Mahkamah Majistreet pada 6 Julai 2011.
Perbicaraan hari ini dilakukan di depan Prasad Sandosham Abraham.

Kedua-dua plantif diwakili peguam Zulhasme Sharif, Muhammad Faiz Fadzil, Abdul Aziz Hamzah, Surya Putra Taulan.
Di dalam saman itu, Mahfuz dan Salahuddin mendakwa tangkapan dan penahanan mereka adalah salah, tidak sah dan menyalahi undang-undang.

Mereka turut menuntut ganti rugi teladan, ganti rugi am dan kos lain-lain.

Pada 9 Julai lalu, Mahfuz dan Salahuddin ditahan di KL Sentral pada pukul 11.50 pagi dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Mereka dibebaskan kira-kira pukul 11.30 malam dan sepanjang tempoh penahanan mereka tidak dibenarkan untuk menghubungi sesiapa termasuk peguam.

Mahfuz yang hadir pada sesi pendengaran itu berkata tangkapan tersebut menjatuhkan imej beliau sebagai seorang wakil rakyat.

“Kami juga tidak dinyatakan mengapa kami ditahan dan polis juga tidak mengambil apa-apa keterangan kami sepanjang ditahan di Balai Polis Jinjang.

 

“Kami ditahan selepas menaiki escalator di KL Sentral untuk ke Hotel Hilton. Tindakan mereka adalah satu peringatan kepada pihak berkuasa agar bertindak mengikut undang-undang yang ditetapkan.”

Sementara itu, Faiz berkata saman itu dituntut kerana defenden melanggar hak perlembagaan plantif yang berhak bergerak bebas di mana-mana tempat.

Mahkamah telah menetap 3 Sept untuk keputusan.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee: Usaha BERSIH Wajar Dipuji, Tak Perlu Sekat

Siri Wawancara Bersama Dr Maszlee Malik (siri akhir)

SHAH ALAM, 23 APR: Usaha NGO BERSIH 2.0 dalam menuntut pilihan raya yang telus dan adil wajar mendapat pujian masyarakat kerana kempen mereka adalah untuk kebaikan negara dan generasi akan datang.

Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik berkata BERSIH 2.0 juga harus diberi kebebasan seperti yang termaktub dalam perlembangaan untuk menyuarakan kempen mereka.

“Kita patut puji orang-orang yang melakukan yang kita katakan usaha BERSIH ini kerana mereka melakukannya bukan hanya sekadar untuk diri mereka sahaja.

?Tetapi untuk seluruh masyarakat Malaysia dan bukan untuk waktu ini malah untuk masa akan datang.

“Apabila kita melihat adakah tidak ada cara lain BERSIH menyuarakan pendapatnya.

“Ya, BERSIH merupakan gabungan masyarakat sivil pertubuhan-pertubuhan NGO, individu-individu dan saya yakin banyak terdapat aktor bukan politik seperti peguam, orang seni dan lain-lain di dalamnya,? kata Dr Maszlee ketika diwawancara TVS baru-baru ini.

BERSH 2.0 merancang untuk mengadakan himpunan ke-tiga pada Apr 28 ini bagi mendesak kerajaan pusat untuk mengadakan pilihanraya telus dan bebas dari manipulasi.

Selain itu, menurut Dr Maszlee, memilih mengadakan rapat umum bagi menyuarakan pendapat mereka juga bukanlah sesuatu yang wajar untuk dijadikan isu.

Berliau berkata BERSIH 2.0 atau mana-mana pihak dalam negara ini mempunyai hak untuk berbuat demikian selaras dengan artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Tak kiralah BERSIH atau isu lain, demontrasi iaitu hak bersuara atau mengemukakan pendapat, hak untuk berkumpul dijamin dalam artikel 10 perlembagaan persekutuan.

“Saya yakin tidak kiralah apa pun isunya ia menjadi hak kepada mana-mana individu, mana-mana warganegara yang bertanggungjawab untuk menyuarakan pendapat mereka berdasarkan kebebasan berpendapat selaras dengan peruntukan perlembagaan,” kata beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Maszlee: Selain Demo, Boikot Pilihan Raya Juga Satu Alternatif

SHAH ALAM, 19 APR: Tindakan boikot pilihan raya sekiranya tuntutan badan bukan kerajaan (NGO) BERSIH 3.0 dan wakil pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) di parlimen akan memberi kesan besar terhadap kredibiliti kerajaan BN.

Selain itu tindakan boikot tersebut juga mampu menjejaskan ekonomi sekaligus menyebabkan parti peneraju kerajaan pusat harus berfikir lebih mendalam untuk menerima impak tersebut.

Demikian menurut Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

“Saya rasa jikalau keadaan teruk dan tidak berubah kemungkinan parti-parti politik pembangkang akan boikot pilihan raya, itu sahaja. Itu cara yang lebih mudah untuk mereka lakukan berbanding turun ke jalan raya.

“Kalau boikot pilihan raya, ini suatu kesan yang besar sebenarnya di peringkat antarabangsa.

“Imej Malaysia akan terjejas jikalau parti-parti politik boikot pilihan raya.

“Kita tahu kalau berlaku boikot besar-besaran oleh parti pembangkang di negara-negara membangun atau negara dunia ke tiga ia menjejaskan kredibiliti pihak pemerintah sekaligus menjejaskan ekonomi dan saya rasa BN terpaksa berfikir dua, tiga kali untuk menerima impak tersebut,” ujar Dr Maszlee Malik ketika diwawancara baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Dr Maszlee, kemungkinan tindakan mengadakan demontrasi, mogok dan sebagainya juga tidak boleh dinafikan begitu sahaja.

“Kalau tak boikot pun, kemungkinan akan ada segolongan pihak-pihak yang terlibat, parti politik atau masyarakat sivil yang sedar akan melakukan seperti demontrasi, mogok dan sebagainya,” ujar Pensyarah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Ketika menjawab satu soalan, Dr Maszlee memberitahu harapan untuk rakyat negara ini mendapatkan pilihan raya yang bersih, adil dan telus masih ada sekiranya tekanan yang kuat terus diberikan kepada pemerintah.

Selain itu beliau turut menyatakan menukar kerajaan melalui pilihan raya merupakan satu-satunya pilihan terbaik yang ada.

“Jadi saya rasa dengan sistem pilihan raya yang lebih bersih, telus, media yang adil untuk semua pihak, sikap bertanggungjawab pihak pemerintah sendiri, tidak mustahil perubahan boleh dilakukan melalui demokrasi dan saya di antara orang yang begitu yakin dengan sistem demokrasi dan kurang bersetuju dengan cara keganasan atau revolosi di Malaysia.

“Kita perlu meletakkan kepercayaan kepada SPR kerana kita tidak ada pilihan, cuma penambahbaikan dan pembaikpulihan seperti mana yang dicadangkan oleh BERSIH, sepertimana yang dicadangkan oleh PSC di parlimen itu yang tak semua diterima.

“Jikalau diambil kira semua yang dituntut itu saya rasa kita boleh berikan kepercayaan yang lebih kepada SPR,” katanya lagi.

Katanya, SPR perlu berusaha memulihkan imej mereka sebagai syarat utama untuk memulihkan kepercayaan masyarakat kepada badan suruhanjaya itu dan menerima cadangan Jawatankuasa Pemulihan Pilihan Raya merupakan salah satu cara.

“Sekarang ini mungkin kita katakan persepsi masyarakat secara umum terutama kepada aktor politik dan aktor masyarakat sivil yang majoriti bukan tidak percaya tetapi terdapat prejudis, terdapat persepsi dan juga mereka skeptik terhadap apa yang dilakukan oleh SPR berdasarkman track rekod mereka sebelum-sebelum ini.

“Jadi untuk baik pulih SPR, perlu ikut tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH, perlu ikut seperti mana yang disuarakan oleh Jawatan Kuasa Pemulihan Pilihan Raya itu,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Bersih 2.0 : Perjelas Pemindahan Mengundi MB

SHAH ALAM 16 MAC : Pemindahan tempat mengundi tanpa penjelasan kepada pengundi seperti yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan bagaimana Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) sudah hilang kredibiliti.

Badan bukan kerajaan (NGO) yang memantau pilihanraya berpendapat SPR perlu menghantar notis kepada setiap pengundi berkenaan apa-apa pertukaran terhadap status mereka.

Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah mendesak SPR supaya menjelaskan status kes Abdul Khalid dan memastikan yang ia melaksanakan tugasnya dengan professional dan adil.

Maria berkata pemindahan itu satu indikasi jelas yang Kerajaan Umno-BN masih tidak dapat memastikan pilihanraya akan datang bersih dan adil, dan kerana itu, satu lagi perhimpunan besar-besaran mungkin akan diadakan bagi memaksa kerajaan melaksanakan tuntutn Bersih 2.0.

Semalam, media melaporkan kawasan mengundi Abdul Khalid telah ditukar tanpa pengetahuannya. Semakan di laman web SPR mendapati Abdul Khalid kini merupakan pengundi di kawasan pilihan raya Lembah Pantai.

Abdul Khalid sebelum ini mengundi di kawasan Parlimen Petaling Jaya Selatan.

Pengerusi Pemantau Pilihan Raya Bersih dan Adil (Mafrel), Syed Ibrahim Syed Noh berkata SPR perlu memberi notis kepada pengundi berkenaan pemindahan kawasan mengundi untuk mengelakkan kekeliruan.

“Jadi saya percaya perkara ini boleh diatasi jika pihak SPR bukan sahaja membuat pameran notis tentang perubahan-perubahan ini tetapi juga menghantar notis terus kepada pengundi berhubung pertukaran tempat mengundi atau jika nama mereka telah dikeluarkan.

“Tidak kira siapa pun samada Menteri Besar atau masyarakat awam, sepatutnya beliau perlu dimaklumkan sebab apa pemindahan.?

Syed Ibrahim berkata SPR hanya mempamerkan beberapa pemindahan pengundi tetapi tidak mengambil langkah selanjutnya untuk memberitahu mereka.

“Tindakan SPR yang dilihat meragukan khususnya dalam konteks ini melibatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sendiri, jadi ia menimbulkan pelbagai keraguan dan kemudian pihak SPR nanti akan dihujani dengan pelbagai kritikan,” kata beliau.

 

Categories
SELANGOR

Ambiga: PR Perlu Pastikan Proses Peralihan Kuasa Lancar

ALOR STAR, 14 JAN: Kerajaan Umno/BN yang menerajui negara telah gagal dalam memahami kehendak dan inspirasi rakyat pelbagai kaum bagi melahirkan sebuah negara demokrasi tulin yang memakmurkan.

Pengerusi BERSIH 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata indeks persepsi rasuah (CPI) Malaysia yang berada ditangga 60 dari 182 negara membuktikan amalan rasuah masih gagal ditangani secara sihat.

“Kerajaan telah gagal dalam pelbagai polisiyang membabitkan pentadbiran yang baik, undang-undang yang adil, ketelusan dalam perkhidmatan awam dan swasta menyebabkan rasuah terus meningkat dan membimbangkan.

Katanya, sebanyak US291 bilion (Lebih RM 1 trilion) yang telah dibawa keluar dari negara perlu diselamatkan.

“Saya berharap Pakatan Rakyat juga harus memikirkan bagaimana untuk membawa asat dan wang yang keluar ini untuk dibawa kembali kedalam negara . Ini adalah wang rakyat yang boleh dikembalikan kepada rakyat bagi meringankan bebanan rakyat.” jelas beliau yang juga bekas Presiden Majlis Peguam.

Selain itu menurut beliau Pakatan Rakyat juga perlu menggariskan rancangan teratur bagi memastikan proses peralihan kuasa berlaku secara baik dan meyakinkan rakyat.

Katanya sikap dan pendirian kerajaan negeri Pulau Pinang dua hari lalu yang mendedahkan aset pemimpin-pemimpin tertinggi di negeri tersebut haruslah di puji.

“Kita juga mahukan supaya Akaun Petronas dan lain-lain syarikat yang ada kaitan dengan kerajaan negeri dan persekutuan juga di dedahkan kepada rakyat supaya rakyat dapat melihat ketelusan dan keterbukaan.

Beliau juga kesal dengan isu yang membabitkan warga asing yang diberi taraf kerakyatan.

“Rakyat sebenarnya mahukan sebuah siasatan bebas diwujudkan supaya segala pengkhianatan terhadap negara ini dapat dihentikan serta merta.

“Pakatan rakyat harus memberi penekanan untuk mengatasi isu yang telah lama berleluasa berlaku melalui pelbagai saluran termasuk di Parlimen.

Katanya lagi, penglibatan wanita semakin mencabar dan memerlukan lebih ramai dikalangan gander tersebut terlibat dan diberi tempat dalam bidang politik.

Ini disebabkan kaum wanita juga mempunyai peranan tersendiri dalam menangani isu-isu membabitkan kekeluargaan dan lain-lain bidang.

Menurut beliau pengundi dalam pilihanraya akan datang adalah pengundi yang amat dahagakan pembelaan tanpa ada sebarang diskriminasi ras, bangsa dan agama.

“Saya harap pengundi akan tolak politik kotor, tolak calon yang tak integriti, tolak calon yang rasis dan tolak calon yang pentingkan diri sendiri,” jelas beliau yang menerima tepukan gemuruh perwakilan dan pemerhati diKonvensyen PR hari ini.