Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kereta anak Maria Chin pula disimbah cat merah

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 OKT: Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah hari ini menerima satu lagi ugutan apabila kereta anak lelakinya disimbah cat merah, selepas dua hari menerima ugutan bunuh daripada orang yang tidak dikenali.

Sekretariat Bersih, Mandeep Singh berkata, kejadian dikatakan berlaku pada awal pagi, di perkarangan rumahnya.

“Sejak hari pertama tarikh himpunan aman Bersih 5 diumumkan, serangan jijik, kotor dan ganas ini dilakukan terhadap Maria dan keluarganya.

“Malah, dua hari lalu, Maria dan tiga anaknya bersama Ambiga Sreenevasan dan saya sendiri turut diugut bunuh,” katanya dalam kenyataan.

img_144752Maria sebelum ini mengakui menerima ugutan bunuh daripada individu yang tidak dikenali.

Beliau merujuk kepada gambar disunting memaparkan dirinya dalam keadaan berlutut sambil pisau diajukan kepadanya.

Sementara itu, Maria dan anak lelakinya membuat satu laporan polis pagi ini susulan kejadian simbahan cat itu.

“Petang ini, Bersih 2.0 akan ke Bukit Aman untuk menyerahkan satu memorandum mengenai semua kejadian yang berlaku,” katanya.

Difahamkan, Maria enggan mengulas lanjut berkenaan ugutan terbaru yang diterimanya atas faktor keselamatan anaknya.

Sebelum ini, Bersih 2.0 tetap meneruskan penganjuran himpunan aman Bersih 5 meskipun pengerusinya, Maria Chin Abdullah menerima ugutan bunuh ala militan IS.

Maria berkata, tuntutan Bersih 5 wajar diteruskan demi kelangsungan dan manfaat masyarakat Malaysia.

Media mendedahkan Maria menerima ancaman bunuh menerusi pesanan aplikasi Whatsapp dari nombor tidak dikenali.

Mesej berkenaan turut mendedahkan gambar Maria bersama anggota sekretariat Bersih, Mandeep Singh dan bekas Pengerusi gabungan itu, Ambiga Sreenevasan yang diacu pisau di leher, sebagaimana dilakukan militan IS.

Ketiga-tiga mereka turut menerima ancaman bunuh daripada individu tidak bertangungjawab, menerusi mesej tersebut.

Tiga anak Maria turut menerima ugutan sama apabila gambar pada kad pengenalan mereka dilampirkan dalam salinan mesej berkenaan.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun Mahathir sah hadir Bersih 5, tolak provokasi Umno

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 2 OKT : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan kehadirannya untuk turun berdemonstrasi dalam himpunan Bersih 5, 19 November ini.

Bagaimanapun katanya, pengajuran kali ini disifatkan agak ‘terganggu’ susulan provokasi melampau kumpulan merah, dinaungi Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

“Seperti tahun lalu, saya turut serta dan tahun ini saya akan hadir juga. (Bersih 5).

“Tapi tindakan provokasi kumpulan baju merah itu dilihat cara ganas Jamal dan semudahnya pula (dia) mendapat pingat Datuk,” sindir Mahathir.

344a5568Beliau bercakap kepada SelangorKini menerusi temubual esklusif di sebuah hotel sempena penganjuran Program Jelajah 1MDB, di sini.

Dalam perkembangan itu, kenyataan Mahathir kini dilihat senada dengan sokongan dizahirkan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali terhadap himpunan itu.

Mahathir sebelum ini bersama Tun Dr Siti Hasmah tampil pada demonstrasi himpunan Bersih 4, di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Ogos tahun lalu.

Kehadiran beliau pada himpunan rakyat itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada pimpinan tertinggi Umno khususnya, Datuk Seri Najib Razak.

Bersih 2.0 menerusi pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, penganjuran Bersih 5 diadakan sebagai desakan menuntut pembaharuan institusi dan sistem pilihan raya yang lebih bersih.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Zuraida: Cadangan SPR tidak berasas, ayuh sertai BERSIH 5

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 26 SEPT: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa membebaskan diri daripada menyebelahi jentera Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, tindak tanduk SPR seakan memperlihat badan itu bertanggungjawab memastikan kemenangan BN untuk kekal berkuasa.

Katanya, SPR sepatutnya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik dan bertindak saksama bagi kepentingan seluruh rakyat.

zuraida-kamarudin“Sekiranya Pengerusi SPR gagal memahami peranan ini, dia sewajarnya melepaskan jawatan dan melantik Maria Chin Abdullah sebagai pengganti beliau.

“Dengan cara ini, tidak ada lagi manipulasi sempadan pilihan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, SPR mengumumkan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah yang diwartakan, pada 18 Ogos lalu.

Pada 21 September lalu, Kerajaan Negeri menghantar surat untuk mengadakan pertemuan bersama SPR mengenai cadangan persempadanan semula, namun menerima maklum balas negatif SPR.

Zuraida yang juga Ketua Wanita KEADILAN berkata, surat balasan SPR membuktikan cadangan persempadanan itu tidak berasas untuk dilaksanakan.

“Justeru, Wanita KEADILAN menyeru semua untuk menyokong dan menyertai BERSIH 5 untuk menyelamatkan Malaysia.

“Ayuh kita sama-sama menjadi sebahagian daripada peristiwa bersejarah ini”, katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

BERSIH 5 ditetap 19 November

KUALA LUMPUR 14 SEPT: Tarikh perhimpunan besar BERSIH 5 ditetapkan pada Sabtu, 19 November depan.

BERSIH 2 mengumumkan himpunan itu kali ini bertemakan “Satukan Tenaga, Malaysia Baru!”.

Pengerusinya, Maria Chin Abdullah, berkata beberapa acara konvoi seluruh negara bakal dianjurkan menjelang himpunan itu, bermula 1 Oktober.

“BERSIH 2.0 percaya tidak mengadakan protes bukanlah satu pilihan,” katanya dalam sidang media.

Maria juga berkata rakyat mesti bersatu padu dan membuat pendirian jitu melawan rasuah dan kegagalan fungsi institusi negara.

Turut hadir bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenivasan, aktivis Hishamuddin Rais dan pemimpin pelajar Anis Syafiqah Md Yusof.

Berikut adalah kenyataan media dikeluarkan Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0

BERSIH 5: Satukan Tenaga – Malaysia Baru

Krisis politik dan korupsi yang berpanjangan

Malaysian masih dibelenggu krisis politik dan korupsi yang terbesar dalam sejarah negara. Skandal 1MDB mula didedahkan di parlimen pada 2010, tetapi rakyat Malaysia masih belum mendapat jawapan sebenar mengenai isu ini. Perdana Menteri Najib Razak dan Jemaah menteri sebaliknya berdiam diri.

Saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ) mendedahkan dengan lebih lanjut betapa besarnya skandal 1MDB.

Pengakuan oleh Menteri Rahman Dahlan bahawa Malaysian Official 1 (MO1) ialah Perdana Menteri Najib Razak turut mengesahkan bahawa wang daripada skandal 1MDB telah digunakan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 pada tahun 2013.

Oleh itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH2.0) menegaskan bahawa Perdana Menteri Najib Razak harus meletak jawatan dengan serta-merta untuk membolehkan siasatan bebas dijalankan.

BERSIH2.0 percaya bahawa suatu tindakan protes adalah diperlukan. Rakyat Malaysia harus menyatukan tenaga dan mengambil pendirian tegas menentang skandal korupsi ini dan kegagalan institusi-institusi. Rakyat Malaysia perlu menuntut perubahan.

BERSIH2.0 akan melancarkan Konvoi BERSIH di seluruh negara pada Sabtu, 1 Oktober 2016, yang akan berkemuncak kepada perhimpunan BERSIH 5 pada Sabtu, 19 Oktober 2016.

Tuntutan BERSIH5 – reformasi institusi untuk Malaysia Baru

BERSIH2.0 menyedari bahawa penyebab utama krisis politik dan skandal 1MDB ialah kegagalan sistem demokrasi dan institusi. Oleh itu, tuntutan BERSIH bukan sahaja terhad kepada isu 1MDB dan peletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak.

Untuk membawa perubahan berterusan dan Malaysia Baru, kita perlu mengukuhkan institusi dan sistem pentadbiran negara. Secara khusus, lima tuntutan BERSIH5 ialah:

1. Pilihan Raya Bersih

Sistem pilihan raya kami masih lagi tidak bebas dan adil. BERSIH akan meneruskan tuntutan untuk mereformasikan sistem pilihan raya supaya hak rakyat untuk memilih kerajaan terpelihara.
Agenda Reformasi:

a) Mempertahankan hak untuk mengundi, termasuk menurunkan umur mengundi; dakwat kekal yang berkualiti; tempoh berkempen minima selama 21 hari; pendaftaran pengundi secara automatik; dan proses pengundi tidak hadir yang inklusif, telus, dan berakauntabiliti.

b) Persempadanan semula kawasan pilihan raya yang adil, berakauntabiliti, dan berlandaskan prinsip dan tujuan asas Perlembagaan Negara;

c) Akses media yang adil untuk parti politik dan calon, dan kebebasan media dan wartawan. e.g. peruntukan masa siaran yang seimbang untuk parti politik dan penganjuran debat antara calon Perdana Menteri.

d) Mereformasikan akta-akta pilihan raya untuk memperkasa SPR, termasuk sistem yang lebih adil, pemulihan pilihan raya kerajaan tempatan, dan pembentukan kerajaan sementara untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa semasa pilihan raya.

e) Menubuhkan peraturan tentang pembiayaan dana politik, pengehadan pembiayaan, perbelanjaan, laporan terbuka, dan mengukuhkan penyeliaan dan penguatkuasaan SPR

2. Kerajaan Bersih
Keyakinan awam terhadap kerajaan dan institusi untuk membanteras korupsi telah menjunam, terutamanya dalam isu salah urus skandal 1MDB. Korupsi yang berleluasa dan beterusan telah memberi kesan kepada rakyat Malaysia melalui kenaikan kos sara hidup, GST, dan pemotongan belanjawan. Pentadbiran kerajaan yang bersih, telus, dan berakauntabiliti amat diperlukan.

Agenda Reform:
a) Kerajaan yang bersih meliputi:
• Memulihkan pengasingan kuasa eksekutif, perundangan, dan kehakiman untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa
• Disentralisasi kuasa eksekutif di semua peringkat, termasuk larangan terhadap Perdana Menteri untuk turut memegang jawatan Menteri Kewangan.
• Deklarasi aset terbuka oleh Menteri-menteri dan penjawat awam kanan.
• Pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya untuk mengelakkan campur tangan yang tidak wajar
• Mengukuhkan institusi seperti MACC, polis, dan lain-lain, dan memastikan Suruhanjaya-suruhanjaya penting bertanggungjawab terus kepada Parlimen
b) Menggubal dan melaksanakan undang-undang kebebasan maklumat di peringkat negeri dan negara

3. Kukuhkan Demokrasi Berparlimen
Fungsi parlimen harus dikukuhkan untuk memulihkan keyakinan awam. Pihak pembangkang dan kerajaan perlu diberi ruang untuk mendebatkan atau mencadangkan undang-undang dan dasar-dasar awam supaya pendapat rakyat diberi pertimbangan yang sewajarnya, di samping menyelia agensi-agensi kerajaan.

Agenda Reformasi:
a) Meningkatkan bilangan Jawatankuasa Parlimen untuk menambahbaik kualiti penggubalan undang-undang dan pengawasan kerajaan.
b) Proses penetapan agenda yang bersifat multipartisan dan inklusif.
c) Peruntukan masa perdebatan untuk isu yang dibawa oleh pihak pembangkang atau backbenchers
d) Mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen

4. Hak Membantah
Hak untuk membantah semakin disekat. Semakin ramai aktivis, ahli politik, dan rakyat biasa yang mengkritik kerajaan telah disiasat dan didakwa di bawah pelbagai akta drakonian seperti Akta Hasutan. Perubahan diperlukan supaya hak bersuara dihormati dan dilindungi.
Agenda Reformasi:

a) Memindah akta-akta yang melanggar kebebasan bersuara, berhimpun, dan berbersatuan seperti Kanun Keseksaan, Akta Polis 1967, Akta Keterangan 1950, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan lain-lain.

b) Menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) untuk membendung salahlaku pihak polis dan mengukuhkan akauntabiliti awam.

c) Memansuhkan akta-akta yang represif, seperti Akta Hasutan 1948, Akta Majlis Keselamatan Negara 2015, Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan 2015, dan Akta Perhimpunan Aman 2012.

5. Memperkasa Sabah dan Sarawak
Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berlangsung pada tahun ini menunjukkan sogokan dan penyalahgunaan kuasa dan aset kerajaan secara berleluasa. Selain itu, persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri Sarawak pada tahun lepas dilakukan dengan tidak adil dan melibatkan peningkatan bilangan kerusi yang tidak wajar.

Kejadian tersebut mungkin akan berlaku di Sabah, di mana bilangan kerusi Dewan undangan Negeri telah ditambah. Tanpa demokrasi yang kukuh, tuntutan untuk autonomi Sabah dan Sarawak tidak akan tercapai, dan sebaliknya penjajahan dalaman dan ekploitasi oleh golongan elite dari peringkat persekutuan dan negeri akan berterusan.

Agenda Reformasi:
a) Proses persempadanan semula yang adil dan berakauntabiliti untuk Sabah

b) Proses pengundi tidak hadir yang inklusif, telus, dan berakauntabiliti untuk semua rakyat Malaysia, termasuk pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap, bekerja, atau sedang belajar di luar negeri.

c) Kebebasan berkempen dan akses media yang bebas untuk memastikan pengundi Sabah dan Sarawak boleh membuat pilihan yang bermaklum dalam pilihan raya

d) Menghapuskan pembelian undi dan sogokan dan penyalahgunaan kuasa dan aset kerajaan dalam pilihan raya umum dan negeri (Sabah) yang akan datang.

e) Disentralisasi untuk menguatkan kuasa pentadbiran Sabah dan Sarawak.

Konvoi BERSIH di Seluruh Negara

Pada 1 Oktober 2016, BERSIH2.0 akan melancarkan Konvoi Bersih di seluruh negara. Pelancaran tersebut akan berlangsung secara serentak di 6 kawasan seperti berikut:
1. Utara Semenanjung (Kangar, Perlis)
2. Selatan Semenanjung (Johor Bahru, Johor)
3. Pantai Timur (Kota Bahru, Kelantan)
4. Pantai Barat (Lumut, Perak)
5. Sabah (Sandakan)
6. Sarawak (Miri)

Objektif Konvoi Bersih adalah untuk meningkat kesedaran tentang tuntutan Bersih mengenai reformasi institusi dan keparahan krisis 1MDB. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu keluar dan memulakan perbualan nasional tentang isu-isu ini kerana masa depan bersama kami akan terjejas.

css8zmuuiaaco89Konvoi Bersih akan bergerak menuju ke Kuala Lumpur, dan akan mengambil masa selama tujuh minggu untuk berakhir. Obor BERSIH akan diserahkan dari bandar ke bandar, kampung ke kampung secara berganti-ganti (relay). Pelbagai aktiviti akan dijalankan seperti pengedaran risalah, ceramah, dan perbualan dengan penduduk tempatan.

Konvoi BERSIH dianggarkan akan meliputi 246 bandar, pekan, dan kampung di seluruh semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak. Konvoi BERSIH akan berkemuncak pada perhimpunan BERSIH5 pada 19 November 2016 di Kuala Lumpur. Maklumat terperinci mengenai perhimpunan ini akan diumumkan dalam masa terdekat.

Seruan BERSIH untuk “Satukan Tenaga – Malaysia Baru” turut menandakan ulang tahun ke-10 penubuhan BERSIH. Gerakan BERSIH telah melangkah jauh, tetapi perjuangan kami belum selesai.

Kami memahami kekecewaan rakyat Malaysia yang telah lama menuntut perubuhan. Akan tetapi, kita tidak boleh berputus asa. Kita harus meneruskan perjuangan untuk perubahan, keadilan, dan hak asasi.

Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk SATUKAN TENAGA dan menyertai Konvoi BERSIH dan perhimpunan BERSIH 5 untuk membawa perubahan dan Malaysia Baru.

 

 

 

 

EZY

Categories
NASIONAL

BERSIH 5: Berdiam diri bukan pilihan

Dua minggu yang lalu, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (US DOJ) telah mengumumkan bahawa mereka akan memulakan tindakan undang-undang untuk mengembalikan aset bernilai lebih $1 billion dolar yang berkaitan dengan penipuan dan pengubahan wang haram daripada 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), iaitu sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia.

Rakyat Malaysia terkejut dengan pendedahan US DOJ tersebut, dan ramai telah menzahirkan kemarahan terhadap tahap penipuan dan korupsi yang berlaku.

Di sebuah negara yang demokratik, pendedahan jenayah sebegini sudah pasti akan menyebabkan mereka yang terlibat untuk meletak jawatan atau mengambil cuti; agar satu siasat penuh dan independen dapat dilaksanakan tanpa campur tangan eksekutif; dan kes tersebut diselesaikan secara domestik secepat mungkin.

Ekoran tindakan US DOJ, rakyat Malaysia berpendapat bahawa BERSIH2.0 harus mengadakan perhimpunan awam untuk membantah skandal korupsi 1MDB.

Dalam tempoh dua minggu yang lalu, BERSIH2.0 telah menjalankan beberapa siri mesyuarat konsultasi tentang isu ini dengan pelbagai kumpulan, termasuk endorsing NGO BERSIH2.0, NGO lain, kumpulan akar umbi, anak muda, ahli akademik, pemimpin masyarakat, dan rakyat yang prihatin.

Berdasarkan proses konsultasi ini, adalah dinyatakan bahawa BERSIH2.0:

1. membantah penafian berturusan daripada pihak kerajaan dan ketiadaan tindakan yang diambil sehingga kini.

1MDBSebaliknya, pihak kerajaan telah mengganggu siasatan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan jawatankuasa khas 1MDB (1MDB Task force); memecat Timbalan Perdana Menteri, menukar Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, menukar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dua pegawai kanan di dalam SPRM.

Undang-undang zalim, halangan keluar negara, dan intimidasi oleh polis dan pihak berkuasa turut dilakukan keatas aktivis sosial dan ahli politik untuk menutup mulut mereka.

2. Oleh itu, kami percaya bahawa cadangan untuk turun ke jalanraya merupakan satu cadangan yang tepat.

Sebagai rakyat Malaysia, kita harus mengambil satu pendirian yang tegas terhadap skandal rasuah terbesar tanahair kita dan ini juga merupakan pecah amanah.

Terdapat kelalaian yang serius dalam kewajipan Perdana Menteri dan ahli kabinetnya untuk menjaga kepentingan rakyat.

Mereka telah membenarkan skandal 1MDB untuk berlanjutan selama 5 tahun tanpa sebarang akauntabiliti.

Kini, mereka harus menyiasat,menangkap dan mendakwa segera Malaysian Official 1 akan jenayah yang sudah dilakukan. Jika mereka tetap membisu, maka Perdana Menteri dan kabinets harus letak jawatan serta-merta.

3. Oleh itu, satu himpunan aman BERSIH 5 akan dianjurkan. Ini adalah lanjutan untuk meminta tindakan yang sewajarnya dan untuk akauntabiliti skandal 1MDB.

Masa dan tarikh aksi BERSIH 5 akan diumumkan dalam masa terdekat. Pada ketika ini, BERSIH2.0 akan fokus untuk membina satu gerakan majmuk dengan penglibatan pelbagai pihak untuk menjayakan BERSIH 5.

Konsultasi dengan semua pihak akan diteruskan, dan gerak kerja mobilisasi BERSIH 5 akan bermula dari saat ini.

BERSIH 2.0 bersama dengan NGO yang lain dan rakyat Malaysia yang prihatin sudahpun memulakan pelbagai aktiviti protes mingguan terhadap skandal 1MDB ini. BERSIH 2.0 juga menyokong himpunan #TangkapMalaysianOfficial1 yang dirancang oleh anak muda pada 27 Ogos 2016.

BERSIH 2.0 turut menyokong segala aksi penyerahan memorandum ke agensi-agensi kerajaan dan laporan polis terhadap Malaysian Official 1.

Rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri atau menerima kleptokrasi dan skandal rasuah yang telah terjadi.

Kita harus terus menuntut jawapan dan kebenaran. BERSIH 2.0 mengajak semua rakyat Malaysia untuk meneruskan perjuangan dan bersatu pada masa yang penting ini.

Dikeluarkan oleh
Jawatankuasa Pemandu BERSIH2.0