Categories
AGENDA NASIONAL

Tempah wang peringatan pertabalan Agong secara dalam talian

SHAH ALAM, 20 OGOS: Orang ramai yang ingin membuat pembelian wang peringatan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah boleh membuat tempahan secara dalam talian.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan, tempahan itu boleh dibuat melalui laman sesawang https://duit.bnm.gov.my mulai 19 Ogos hingga 23 Ogos ini.

Katanya, jika terdapat tempahan berlebihan, cabutan untuk menentukan tempahan berjaya akan dibuat.

“Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan melalui sistem dalam talian BNM sahaja dan bukan melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

“Semua tempahan akan dipertimbangkan sewajarnya dan tiada keutamaan diberi kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan,” katanya.

Bagi memudahkan tempahan, katanya, semua tempahan perlu dibayar sepenuhnya secara dalam talian (e-pembayaran) menggunakan kad kredit, kad debit atau perbankan dalam talian.

Manakala, bayaran bagi tempahan yang tidak berjaya akan dikembalikan kepada pembeli melalui kaedah e-pembayaran yang digunakan semasa tempahan.

“Bayaran mungkin dikembalikan kepada pembeli sebelum pengumuman keputusan tempahan.

“Bagi memberikan peluang yang sama rata kepada semua, had pembelian bagi setiap pembeli ditetapkan iaitu emas (1), perak (1), emas nordic (3) dan set dua dalam satu perak dan emas nordic (1).

“Pembeli yang berjaya boleh mengambil wang peringatan yang ditempah antara 30 September hingga 11 Oktober di lokasi pengambilan yang dipilih semasa membuat tempahan,” katanya.

Pengumuman keputusan tempahan akan diumumkan pada 17 September 2019 di laman sesawang https://duit.bnm.gov.my.

Pengambilan boleh dibuat pada hari dan waktu bekerja biasa di Ibu Pejabat BNM (Blok D) dan di pejabat BNM di seluruh negara.

Pembeli perlu hadir dan menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah (contohnya, MyKad bagi warganegara Malaysia atau pasport bagi bukan warganegara Malaysia) semasa mengambil wang peringatan.

Pasport Malaysia TIDAK diterima sebagai bukti pengenalan diri bagi pengambilan wang peringatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar jangka pendek stabil susulan operasi BN

KUALA LUMPUR, 5 OGOS: Kadar antara bank jangka pendek kekal stabil hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.

Lebihan dalam sistem konvensional merosot kepada RM24.40 bilion daripada RM25.28 bilion pagi ini, manakala dalam sistem Islam, ia berkurangan kepada RM13.41 bilion daripada RM19.98 bilion.

Terdahulu, BNM mengeluarkan tiga tender pasaran wang konvensional, tender Qard lelongan matang pelbagai Islam dan satu tender repo berbalik.

BNM menyemak semula tender semalaman konvensional daripada RM22.3 bilion kepada RM23.6 bilion.

Pada 4 petang, bank pusat menjalankan tender pasaran wang konvensional RM23.6 bilion dan tender pasaran wang Murabahah RM13.4 bilion, kedua-duanya untuk wang tiga hari.

Purata kadar faedah semalaman Islam berada pada 2.96 peratus, manakala kadar satu, dua, dan tiga minggu, masing-masing pada 3.03 peratus, 3.07 peratus dan 3.12 peratus.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Saksi: Tiada arahan khusus dapatkan transaksi akaun Najib

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak menerima sebarang arahan khusus untuk mendapatkan dokumen berkaitan transaksi enam akaun bank milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, SRC International Sdn Bhd dan beberapa syarikat lain.

Azizul Adzani Abdul Ghafar, 41, berkata beliau memperoleh dokumen berkaitan transaksi itu daripada Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R.Uma Devi, ketika melakukan serbuan di premis tersebut pada 6 Julai 2015.

Ketika ditanya adakah beliau sendiri yang meminta maklumat terperinci tersebut daripada Uma Devi, saksi kedua pendakwaan itu menjawab “tidak”.

“Ketika serbuan, saya hanya meminta kesemua fail berkaitan siasatan dan diberikan lapan fail dokumen namun Uma Devi sendiri memberikan dokumen transaksi enam akaun secara terperinci pada kira-kira pukul 9.50 malam iaitu 10 jam selepas serbuan selesai.

“Saya berada di bank berkenaan sampai pukul 11 malam kerana menunggu satu lagi pasukan selesai membuat serbuan di bangunan itu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib.

Saksi itu turut memaklumkan mahkamah bahawa beliau tidak menerima arahan untuk mendapatkan dokumen transaksi khusus lain atas nama Najib, SRC International Sdn Bhd dan beberapa syarikat lagi.

Harvinderjit : Dia berikan awak dokumen transaksi khusus yang awak tidak minta?

Azizul Adzani : Ya

Harvinderjit : Adakah kamu mendapat arahan untuk mendapatkan dokumen transaksi syarikat SRC International Sdn Bhd atau Gandingan Mentari dan Ehsan Perdana Sdn Bhd?

Azizul Adzani: Tidak

Harvinderjit : Adakah kamu menerima arahan untuk mendapatkan dokumen transaksi syarikat SRC International Sdn Bhd dengan akaun Najib?

Saksi menjawab “tidak.”

Harvinderjit : Semestinya kamu ada maklum kepada Uma Devi untuk mendapatkan dokumen transaksi spesifik?

Azizul Adzani : Tidak

Saksi itu berkata beliau hanya memberitahu Uma Devi supaya menyerahkan apa-apa dokumen berkaitan sekiranya ada, sebelum wanita tersebut menyerahkan dokumen transaksi enam akaun bank berkenaan.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu, yang juga Perdana Menteri keenam, dituduh melakukan kesalahan-kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung. -BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

BNM dijangka kekal OPR pada 3.25%

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), pada 3.25 peratus tahun ini sebagai sebahagian daripada strategi bagi memastikan kestabilan pasaran modal, kecairan serta menyokong pertumbuhan industri perbankan.

Dalam nota kajiannya, Kenanga berkata, pertumbuhan pinjaman menyederhana kepada 5.1 peratus berbanding 5.4 peratus pada 2017.

“Angka ini hampir dengan unjuran keseluruhan tahun sebanyak 5.0 peratus daripada 5.3 peratus pada 2017, manakala pertumbuhan deposit meningkat 5.4 peratus YTD (2017: 4.0 peratus).

“Pertumbuhan pinjaman diunjurkan terus menurun kepada 4.2 peratus pada 2019, berdasarkan trend inflasi yang terkawal serta prospek pertumbuhan dunia yang menyederhana,” kata firma penyelidikan itu, hari ini.

RHB Research Institute berkata ia menjangkakan bank pusat itu akan mengekalkan OPR pada 3.25 peratus, yang akan mengekalkan kestabilan ringgit berbanding dolar US berlatarbelakangkan pengetatan monetari oleh Rizab Persekutuan US serta pengukuhan dolar.

“Untuk masa depan, kami menjangkakan M3 dan pinjaman Malaysia berkembang pada kadar yang sihat sebanyak 5.5 peratus dan 5.2 peratus pada 2019, daripada anggaran masing-masing sebanyak 5.2 peratus dan lima peratus bagi tahun 2018,” katanya.

Bagaimanapun, pertumbuhan yang lebih tinggi dalam penawaran wang dijangkakan tidak menyebabkan sebarang tekanan harga ke atas permintaan, kerana inflasi teras masih terkawal.

Pertumbuhan M3 Malaysia meningkat pada 7.4 peratus tahun ke tahun pada bulan November daripada 7.1 peratus yang disemak semula pada Oktober, disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk dana daripada sektor awam dan swasta.

Pertumbuhan wang sempit (M1) meningkat 3.3 peratus tahun ke tahun, daripada 3.1 peratus pada Oktober berikutan pertumbuhan deposit permintaan dan mata wang dalam edaran yang perlahan.

Pertumbuhan pinjaman terus meningkat bagi bulan keempat berturut-turut, disokong oleh permintaan pinjaman korporat yang lebih kukuh, dengan pertumbuhan deposit turut meningkat.

Pertumbuhan pinjaman November meningkat berterusan untuk bulan keempat berturut-turut kepada 6.2 peratus daripada 5.7 peratus pada Oktober, didorong oleh pinjaman yang lebih tinggi yang diperluaskan kepada sektor korporat, yang menyaksikan pertumbuhan meningkat 6.8 peratus (Oktober: 6.1 peratus).

“Ini disokong oleh pinjaman yang lebih tinggi untuk sektor pembuatan, borong dan runcit, kewangan dan insurans, pembinaan dan perlombongan dan kuari,” kata firma penyelidikan itu.

*Sumber: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kadar jangka pendek ditutup stabil

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil ekoran operasi Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan lebihan kecairan dalam sistem kewangan.

Lebihan dalam sistem konvensional susut kepada RM23 bilion daripada RM31.48 bilion pada sebelah pagi, manakala dalam sistem Islam, ia menurun kepada RM14 bilion daripada RM18.01 bilion sebelum ini.

Sebelum itu, BNM menawarkan satu lelongan tender pasaran wang pelbagai kematangan, satu lelongan tender pasaran wang pelbagai kematangan Islam Qard.

Pada pukul 4 petang, bank pusat itu menjalankan tender pasaran wang konvensional RM23 bilion dan tender pasaran wang Murabahah berjumlah RM13 bilion, kedua-duanya untuk wang sehari.

Purata kadar faedah semalaman berada pada 3.19 peratus, manakala kadar seminggu, dua minggu dan tiga minggu, masing-masing berada pada 3.26, 3.30 dan 3.35 peratus.

*Sumber: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Hasil eksport negara pada 2019 dijangka meningkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 NOV: Hasil eksport negara dijangka meningkat, pada 2019 ekoran mata wang ringgit yang masih berada di paras rendah, berbanding mata wang utama dunia.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, pemain industri di Malaysia wajar menggunakan kesempatan itu untuk meningkatkan lagi eksport masing-masing ke luar negara.

“Kita ada kelebihan pada masa ini untuk meningkatkan eksport dan langkah kerajaan menggalakkan pemain industri meningkatkan eksport ekoran mata wang rendah ,pada masa ini adalah langkah tepat.

“Jika eksport perlahan, hasil negara juga kurang dan minat pelabur asing boleh terbantut,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik langkah kerajaan memberi intensif potongan cukai kepada pelabur bagi merancakkan lagi pelaburan langsung luar negara.

Katanya, intensif itu dijangka bakal menarik lebih ramai pelabur asing untuk melabur, di Malaysia.

“Keadaan ini akan merancakkan lagi ekonomi negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Peningkatan hasil kerajaan rancakkan ekonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 NOV: Hasil negara pada 2019 dijangka meningkat kepada RM261.8 bilion berbanding RM239.86 bilion yang dikutip, pada 2018.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, kutipan tinggi itu membolehkan kerajaan menyediakan peruntukan besar dalam Belanjawan 2019 bagi merancakkan lagi ekonomi negara.

“Ini menunjukkan kita mempunyai sumber kewangan kukuh untuk menampung perbelanjaan kerajaan dan swasta, sekali gus membantu pertumbuhan ekonomi.

“Apabila kerajaan berbelanja lebih, ia akan meningkatkan perbelanjaan awam dan permintaan yang akhirnya merancakkan pelbagai sektor seperti pertanian serta pembuatan,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, langkah sama juga digunakan Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 1999 yang akhirnya berjaya membawa Malaysia keluar daripada kemelut krisis kewangan lebih awal, berbanding negara jiran.

Bagaimanapun, katanya, minat yang tinggi dalam kalangan pelabur tempatan dan luar negara juga membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia.

“Perbandingan mata wang ringgit dengan beberapa negara Asean lain, pada masa ini juga lebih baik berbanding situasi pasca serangan penyangak mata wang ketika itu,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

BNM: Kadar jangka pendek kekal kukuh

KUALA LUMPUR, 26 OKT: Kadar jangka pendek dijangka kekal kukuh, hari ini berikutan operasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan kecairan daripada sistem kewangan.

Kecairan hari ini dijangkakan RM29.80 bilion dalam sistem konvensional dan RM12.28 bilion dalam dana Islam.

BNM akan menerbitkan tiga tender pasaran wang konvensional meliputi RM2 bilion untuk tujuh hari, RM2 bilion untuk 14 hari dan RM2 bilion untuk 21 hari.

BNM juga akan menerbitkan tiga tender Qard merangkumi RM300 juta untuk lapan hari, RM600 juta untuk 14 hari dan RM500 juta untuk 21 hari selain satu tender repo bernilai RM100 juta untuk 31 hari.

Bank pusat itu turut menerbitkan Bil Antara Bank Bank Negara (BNIB) bernilai RM1 bilion untuk 30 hari dan Bil Antara Bank Islam Bank Negara bernilai RM1 bilion untuk 30 hari.

Pada 4 petang, BNM akan melaksanakan sehingga RM23.7 bilion tender konvensional semalaman dan RM10.9 bilion tender Murabahah semalaman.

*Sumber: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Kerajaan boleh pertimbang cukai kereta, aksesori mewah

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 OKT: Cadangan memperkenalkan cukai tidak membebankan rakyat yang mahu dilaksanakan kerajaan perlu membabitkan golongan berpendapatan tinggi sahaja.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia , Dr Rosli Yaakob berkata, antara cukai yang boleh dipertimbangkan adalah kenderaan yang mempunyai kapasiti enjin besar dan mewah seperti Mercedes Benz, Bentley, BMW serta Hummer.

“Kereta mewah seperti ini hanya orang kaya sahaja yang beli tetapi bagi golongan berpendapatan rendah, mereka tidak akan membeli kenderaan seperti ini,” katannya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, selain kenderaan mewah, produk yang memberi kesan buruk kepada kesihatan seperti arak, rokok dan minuman soda yang mengandungi kadar gula tinggi juga boleh dipertimbangkan untuk kenaikan cukai.

Bagaimanapun Dr Rosli berkata, kerajaan perlu memperketatkan penguasaan undang-undang bagi membendung penyeludupan yang semakin berleluasa ekoran kesan kenaikan cukai.

“Produk lain yang boleh dikenakan cukai adalah aksesori seperti jam berjenama mewah dan barangan kemas selain menaikkan cukai korporat pada kadar kompetitif berbanding negara lain.

“Kena kaji dahulu berapakah cukai korporat di Singapura, Thailand dan Indonesia kerana jika mereka kenakan 20 peratus, kita tidak boleh lebih daripada itu kerana boleh membantutkan minat pelabur asing masuk ke Malaysia.

“Kerajaan juga boleh mempertimbangkan untuk menaikkan menaikkan kadar cukai pendapatan bagi golongan berpendapatan isi rumah tinggi,” katanya.

Categories
NASIONAL

BNM dedah 1MDB didenda RM15 juta

KUALA LUMPUR, 17 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) mengenakan denda sebanyak RM15 juta terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada “waktu di mana bank pusat berkenaan dibenarkan untuk melakukannya”, kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan jelas waktu berkenaan.

Nor Shamsiah yang berkata demikian sebagai menjawab soalan berhubung jumlah denda dikenakan setakat ini terhadap 1MDB pada sidang media, di sini, hari ini, mengumumkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar Malaysia untuk suku kedua tahun ini.

Pada 28 April, 2016, BNM mengeluarkan surat keterangan pentadbiran kepada 1MDB kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Ia adalah antara tindakan akhir yang diambil Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sebelum bersara sebagai Gabenor BNM.

Nor Shamsiah mendedahkan pada waktu berkenaan, bank pusat itu dilarang daripada menyatakan jumlah denda berkenaan.

“Oleh kerana Parlimen semalam memberikan lampu hijau untuk membuka semula siasatan 1MDB, BNM akan meneruskan untuk menyelaraskan dengan pelbagai agensi di bawah pasukan petugas khas yang dibentuk bagi menyiasat syarikat berkenaan,” katanya.

Pejabat Perdana Menteri (PMO), dalam satu kenyataan pada 21 Mei, berkata pasukan petugas khas yang diketuai oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan tiga lagi pemimpin dibentuk untuk menyiasat 1MDB.

Pasukan petugas khas itu turut merangkumi pegawai BNM, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan polis selain peguam yang mengkhusus dalam bidang undang-undang berkaitan.

“Sebagai sebahagian daripada pasukan petugas khas itu, kami membantu pasukan berkenaan dengan berkongsi kertas siasatan kami dan apa yang kami ketahui setakat ini kepada agensi berkaitan dan pasukan petugas itu

“Kami juga membantu mereka melihat aliran wang (syarikat berkenaan),” kata Nor Shamsiah dan menambah, keutamaan BNM masih terhadap menyampaikan mandat bagi memastikan kestabilan kewangan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Beza kerugian rizab era Tun M, Najib

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan Persekutuan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) yang dianggarkan kira-kira AS$39.621 bilion (RM161 bilion), seperti disarankan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Timbalan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob berkata, kerugian itu berbeza dengan kerugian ditanggung BNM sekitar 1991 hingga 1993, ekoran serangan ringgit oleh George Soros.

Katanya, kerugian antara 2013 hingga 2015 pula ekoran kegagalan kerajaan menguruskan ekonomi negara dengan cekap dan amanah.

“Semasa (era) Tun Mahathir kita memang tahu ringgit berhadapan serangan spekulasi George Soros dan BNM bertindak menyerang balas, jadi kerugian pada 1993 hingga 1994 itu bukan kecurian, pecah amanah atau sengaja dilakukan untuk mencetuskan spekulasi mata wang tetapi tindakan mempertahankan ringgit.

“Kerugian era Najib pula agak lain, pada awalnya ringgit beransur lemah ekoran skandal 1MDB dengan menyaksikan pengaliran keluar wang besar ke luar negara, diikuti keadaan ekonomi semakin tidak memberangsangkan hingga menyebabkan pelabur kurang masuk.

“Apabila itu berlaku, saya percaya BNM cuba mempengaruhi nilai ringgit di pasaran kewangan semasa bagi tujuan mempertahankannya daripada jatuh merudum tetapi ternyata tindakan BNM gagal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Dr Rosli berkata, ekoran itu, BNM mengalami dua bentuk kerugian iaitu rizab susut dengan mendadak dan kejatuhan ringgit yang gagal dikekang.

Katanya, hal itu menyebabkan ringgit jatuh antara 37 hingga 40 peratus dalam tempoh itu.

“Maka, saranan Tun Mahathir supaya RCI ditubuhkan adalah tepat supaya rakyat mengetahui keadaan sebenar yang menyebabkan kejatuhan ringgit,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Segera bertindak amaran BNM kepada Johor

Bank Negara Malaysia telah memberi amaran keras kepada kerajaan negeri Johor akan keadaan ketidakseimbangan pasaran harta tanah yang semakin kritkal di Johor.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Buletin Suku Tahunan 2017, mentatakan bahawa negeri Johor mempunyai jumlah rumah yang tidak terjual yang tertinggi di Malaysia pada 27% daripada jumlah harta tanah tidak terjual di Malaysia.

Punca kepada banyak rumah tidak terjual adalah disebabkan oleh ketidakpadanan harga rumah dengan kemampuan isi rumah di Johor yang semakin hari semakin kritikal. Kewujudan rumah-rumah mahal atai tidak mampu milik semakin mendominasi pasaran perumahan di Johor.

Sepertimana kita maklum, makin ramai generasi muda di Johor yang tidak memilik rumah dan atas kegagalan ini Bank Negara Malaysia telah memberi amaran keras akan keadaan ini. Saya menggesa agar kerajaan negeri Johor berhati-hati dalam meluluskan sebarang projek perumahan akan datang.

Saya juga ingin memetik laporan rasmi oleh Khazanah Research Institute (KRI) dalam laporannya “Making Housing
Affordable” yang juga meletakkan Johor sebagai julat 4.2 pada tahun 2016 yang meletakkan rumah di Johor sebagai “seriously unaffordable” atau sangat tidak mampu milik berdasarkan pendapatan median rakyat Johor.

Jangan biarkan masalah ini berlarutan sehingga pihak lain terpaksa membantu membina rumah mampu milik bagi memenuhi permintaan rakyat hari ini. Sudah menjadi tanggugjawab kerajaan negeri dalam memastikan penyediaan rumah mampu milik di Johor diselia dengan baik.

Justeru, saya ingin memberi amaran kepada Kerajaan Negeri Johor untuk bertindak segera agar masalah ini tidak berlarutan dan rakyat mendapat menfaat yang terbanyak dalam sebarang pembinaan rumah kediaman di Johor.

Salahuddin Ayub
Timbalan Pengerusi PH Johor