Categories
AGENDA NASIONAL

Rizab antarabangsa Bank Negara AS$102.6 bilion pada 15 Mei

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$102.6 bilion pada 15 Mei, 2020 daripada AS$102.5 bilion yang dicatatkan 30 April, 2020.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata kedudukan paras rizab itu memadai untuk membiayai 8.1 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

BNM berkata komponen utama rizab antarabangsa setakat 15 Mei,2020 terdiri daripada rizab mata wang asing (US$95.1 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.2 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$2.0 bilion), dan lain-lain aset rizab (AS$3.2 bilion).

Aset termasuk emas, pertukaran mata wang asing dan rizab lain, termasuk SDR, yang berjumlah RM444.05 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM10.03 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM5.75 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.79 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion), dan aset lain (RM14.89 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM163.80 bilion), mata wang dalam edaran (RM125.41 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM152.91 juta), deposit Kerajaan Persekutuan (RM2.15 bilion), deposit lain (RM15.69 bilion), kertas Bank Negara (RM16.50 bilion), peruntukan SDR (RM7.87 bilion), dan liabiliti lain (RM2.23 bilion).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh bayaran BPN dilanjut sehingga 22 Mei

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Tempoh pembayaran bantuan prihatin nasional (BPN) fasa kedua yang dijadualkan berakhir pada hujung minggu lalu terpaksa dilanjutkan sehingga 22 Mei, 2020, disebabkan oleh beberapa kekangan teknikal.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata setakat ini, seramai 7.61 juta penerima BPN fasa kedua menerima bayaran berjumlah RM3.41 bilion, mewakili pencapaian 93 peratus daripada peruntukan untuk fasa tersebut.

“Bagi 2.3 juta penerima yang layak daripada permohonan baharu dan rayuan, bayaran telahpun bermula pada 15 Mei, 2020. Sehingga kini, seramai 830,000 telah menerima bayaran BPN melibatkan RM620 juta,” katanya semasa membentangkan Laporan Keenam Pencapaian Prihatin-Laksana, hari ini.

Susulan lanjutan proses rayuan yang diumumkan minggu lalu, beliau berkata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kini sedang giat memproses rayuan yang diterima dan akan memberi pertimbangan sewajarnya.

“Pemohon diingatkan untuk mengemukakan rayuan dengan segera sebelum tarikh tutup rayuan yang telah dipanjangkan sehingga 31 Mei, 2020,” katanya.

Mengenai program i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tengku Zafrul berkata, sehingga 17 Mei, sebanyak 4.4 juta permohonan diterima manakala 3.9 juta permohonan diluluskan, peningkatan daripada 3.7 juta pada minggu sebelumnya dengan jumlah pembayaran melibatkan RM1.83 bilion sebulan.

Sementara itu, bagi langkah pengurangan caruman KWSP oleh pekerja kepada 7.0 peratus daripada 11 peratus, beliau berkata jumlah pengurangan caruman yang dianggarkan diterima ahli KWSP untuk bulan Mei adalah RM923.5 juta.

Menurutnya, kerajaan mendapati semakin ramai pekerja membuat pilihan sendiri untuk mengekalkan caruman mereka pada kadar 11 peratus, iaitu seramai 1.5 juta atau lebih kurang 20 peratus daripada pencarum KWSP sehingga 17 Mei berbanding 1.2 juta pencarum pada bulan April.

Di bawah Subsidi Upah pula, Tengku Zafrul berkata sebanyak RM2.24 bilion diluluskan bagi 267,752 majikan sehingga 17 Mei, mewakili dua juta pekerja.

Mengenai Dana Pinjaman Mudah Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), beliau berkata setakat 17 Mei, permohonan diluluskan bank tempatan dan disetujuterima oleh PKS berjumlah RM5.8 bilion, dan ini akan memanfaatkan 14,075 PKS.

Berkaitan Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang dikendalikan Bank Negara Malaysia (BNM) beliau berkata permintaan terhadap dana itu sangat menggalakkan dan peruntukan awal RM5 bilion telah digunakan sepenuhnya dengan cepat.

“Malah, seperti yang diumumkan oleh BNM minggu lalu, lebih 20,000 permohonan berjumlah kira-kira RM10 billion diluluskan oleh institusi kewangan yang menawarkan SRF ini.

“Berikutan sambutan yang sangat menggalakkan ini, BNM telah menambah jumlah peruntukan sebanyak RM5 bilion lagi bagi memenuhi jumlah permohonan diluluskan ini,” katanya.

Daripada jumlah diluluskan ini, beliau berkata sejumlah RM5.75 bilion disetujuterima oleh 13,908 PKS manakala RM4.25 bilion permohonan selebihnya pula sedang dalam proses pasca-kelulusan termasuk permohonan jaminan dan setujuterima oleh pemohon.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aktiviti ekonomi dijangka bertambah baik separuh kedua 2020 – BNM

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Aktiviti ekonomi Malaysia dijangka meningkat perlahan-lahan pada separuh kedua tahun ini selepas langkah-langkah pembendungan penularan Covid-19 dilonggarkan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditarik balik, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata ia akan membolehkan aktiviti ekonomi disambung semula beransur-ansur di negara ini dan menjana permintaan yang lebih baik dalam sektor perkhidmatan.

“Pada separuh kedua 2020, langkah-langkah rangsangan akan meningkatkan pertumbuhan penggunaan dan kita menjangkakan penambahbaikan pertumbuhan global apabila semakin banyak negara akan membukakan semula ekonomi mereka.

“Kita bakal melihat perdagangan global terus bertambah baik dan kitaran teknologi kini berada dalam trend peningkatan, jadi ini adalah antara beberapa faktor yang akan memacu pertumbuhan pada separuh kedua 2020,” katanya pada sidang media maya bersempena dengan pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2020, semalam.

Nor Shamsiah berkata pertumbuhan dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2020 apabila aktiviti ekonomi negara disambung semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei-9 Jun, 2020.

“Pertumbuhan dijangkakan pesat pada 2021, terutamanya apabila rakan dagangan negara juga menyambung semula aktiviti ekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pandemik Covid-19 telah mempercepatkan keperluan teknologi berikutan keperluan penjarakan sosial dan menjangka sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta penjagaan kesihatan memainkan peranan penting dari segi pembaharuan struktur untuk mengurangkan kerentanan dalam negara.

“Ini kerana sektor E&E akan menyediakan peluang yang amat besar dalam bahagian seperti bekerja dari jarak jauh, pembelajaran maya, e-dagang, membeli belah dalam talian dan hiburan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata, bagi industri penjagaan kesihatan, pemain industri negara juga merupakan pengeluar utama barangan guna habis perubatan, seperti pengeluar peralatan perubatan berteknologi tinggi.

Terdahulu, hari ini, Nor Shamsiah berkata ekonomi Malaysia berkembang sederhana pada 0.7 peratus dalam suku pertama 2020, pertumbuhan paling perlahan sejak suku ketiga 2009 (-1.1 peratus) disebabkan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Meskipun impak daripada Covid-19 dijangka teruk, beliau menjangkakan penguncupan akan lebih besar pada suku kedua 2020 berbanding 0.7 peratus pada suku pertama 2020.

“Apa yang kami pasti adalah suku kedua 2020 akan mencatatkan penurunan yang lebih besar sebelum sampai ke tahap terendahnya, dan meningkat semula ketika kita memasuki suku ketiga 2020,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pusingan U BNM hanya bebankan rakyat

BATU CAVES, 2 MEI: Pengembalian faedah moratorium ke atas sewa beli hanya membebankan rakyat yang mahu memulakan semula kehidupan selepas berdepan krisis kewangan susulan Covid-19, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengecewakan banyak pihak dan perkara itu sepatutnya dijelaskan lebih awal bagi mengelak kekeliruan.

“(Pelaksanaan moratorium) tidak seperti janji awal dan tindakan sewajarnya harus diambil bagi mengelak bebanan berterusan yang perlu ditanggung rakyat.

“Apatah lagi rakyat khususnya yang berpendapatan rendah mahu memulakan semula perniagaan dan kehidupan dengan kos tertentu,” katanya selepas melawat dan menyampaikan juadah berbuka puasa kepada petugas barisan hadapan di Balai Penghulu Mukim Batu di sini semalam.

Kerajaan pada 25 Mac lalu mengumumkan moratorium bayaran pinjaman bank membabitkan individu, pengusaha kecil dan sederhana serta korporat untuk meringankan beban susulan Covid-19.

Bagaimanapun, BNM menyatakan berlaku kekeliruan mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazimnya, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM perjelas isu keliru berhubung moratorium

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) berasa kesal atas sebarang kekeliruan yang timbul daripada salah faham, yang sedikit sebanyak mungkin disebabkan oleh ilustrasi pengiraan yang ditunjukkan dalam versi awal soalan lazimnya, yang menggunakan beberapa andaian dan kaveat.

“Pihak BNM berasa kesal atas sebarang kekeliruan dan kebimbangan yang timbul ekoran pengumuman yang dibuat. Penangguhan bayaran balik pinjaman/pembiayaan sebenarnya bertujuan membantu aliran tunai peminjam/pelanggan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Tujuan ini masih tidak berubah.

“Kami kemudiannya mengeluarkan contoh pengiraan tersebut daripada ini apabila Institusi Kewangan menyediakan contoh pengiraan mereka masing-masing. Ilustrasi yang kami tunjukkan bukan bertujuan untuk ‘menghilangkan’ caj kadar faedah terakru kepada pinjaman yang diberikan penangguhan bayaran balik,” kata bank pusat.

Kekeliruan yang timbul adalah disebabkan oleh salah tanggapan bahawa jumlah bayaran balik sesuatu pinjaman Sewa Beli tidak boleh diubah, kata BNM dalam senarai soalan lazim yang dikeluarkan hari ini mengenai penangguhan enam bulan sewa beli dan produk pembiayaan Islam berkadar tetap.

Peminjam/pelanggan yang akaun pinjaman Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap mereka menunjukkan penangguhan bayaran balik secara automatik sejak 1 April 2020, akan terus mendapat penangguhan itu sehingga 30 September 2020.

Peminjam/pelanggan dengan Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap yang pada mulanya menerima moratorium ini tetapi kemudiannya menukar fikiran masih boleh berbuat demikian, kata bank pusat.

BNM dalam pengumumannya pada 25 Mac menasihati peminjam bahawa faedah/keuntungan akan terus terakru bagi pembayaran yang ditangguhkan dan mereka perlu menimbang perkara ini dalam memutuskan sama ada mereka mahu mengambil moratorium itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Bank Dunia unjur Covid-19 beri impak besar KDNK Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 APRIL: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan menguncup di antara -0.1 peratus dengan -4.6 peratus tahun ini berikutan kesan buruk yang ditimbulkan wabak Covid-19, menurut Bank Dunia.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia dalam Kewangan, Daya Saing dan Inovasi Amalan Global, Smita Kuriakose berkata kesan terhadap ekonomi Malaysia itu dijangka besar berdasarkan kesan negatif Covid-19 ke atas pelaburan langsung asing (FDI), komoditi dan pelancongan selain kejutan domestik susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia merupakan antara ekonomi yang amat berkaitan dengan rantaian bekalan global.

Beliau berkata secara global, perdagangan telah merosot sama dengan fasa paling teruk krisis kewangan global 2008/2009.

Sejak wabak Covid-19 bermula dan hingga 23 Mac, berlakunya aliran keluar terbesar dari pasaran pesat membangun dengan rekod pada US$83 bilion, manakala FDI global diunjurkan susut sebanyak 30 hingga 40 peratus tahun ini, katanya.

Dalam pada itu, 75 juta pekerjaan berdepan risiko yang berlaku dalam sektor perjalanan dan pelancongan, dengan dua pertiga daripadanya adalah di Asia.

“Kita perlu mengakui fakta bahawa pemulihan tidak akan sama di seluruh sektor dan juga negara,” katanya.

Beliau berkata inisiatif yang mencukupi perlu dilaksanakan untuk membantu PKS dalam keadaan berlakunya gangguan rantaian penawaran dan permintaan.

Smita berkata PKS tempatan khususnya masih lagi ketinggalan dalam penggunaan platform digital dan ini perlu ditangani.

Walaupun kerajaan menunjukkan komitmennya dengan pantas dan menyediakan sejumlah sumber yang besar sebagai tindak balas terhadap kesan wabak itu, pemulihan pula dijangka mengambil masa bertahun-tahun, katanya.

Minggu lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan unjuran KDNK Malaysia bagi 2020 dianggarkan di antara -2 peratus hingga 0.5 peratus, berbanding pertumbuhan pada 4.3 peratus tahun lepas.

“Sebaik sahaja keyakinan rakyat pulih, aktiviti ekonomi akan meningkat semula dan anda akan mendapati permintaan akan melonjak yang akan mendorong kepada pemulihan,” kata Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus.

BNM juga menjangkakan pertumbuhan ekonomi domestik meningkat semula sebelum akhir tahun ini dan seterusnya pada 2021 apabila risiko daripada pandemik itu reda, sejajar dengan unjuran pemulihan dalam ekonomi global.

Pada 2019, KDNK Malaysia berkembang pada 4.3 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit diniaga 4.3800/3950 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar AS sewaktu dibuka hari ini susulan langkah kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) menampan impak COVID-19 berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam.

Pada 9.00 pagi ini, ringgit berada di paras 4.3800/3950 berbanding dolar AS daripada 4.3838/3670 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global AxiCorp, Stephen Innes berkata peningkatan sentimen itu tetap ketara walaupun ekonomi Malaysia yang perlu menanggung impak susulan keputusan kerajaan melanjutkan PKP.

“Namun, dengan sokongan dasar yang mantap oleh BNM dan kerajaan, terdapat andaian bahawa ini akan membantu ekonomi pulih dengan lebih pantas.

“Malah, ia merupakan satu perkembangan dinamik di pasaran mata wang Asia berikutan pendirian pelabur yang meminati langkah tegas seperti kawalan pergerakan itu yang diharapkan dapat melenyapkan virus itu dengan lebih pantas,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Pada Rabu, BNM mengumumkan langkah moratorium atau penangguhan automatik terhadap semua pembayaran balik pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana serta individu selama enam bulan bermula 1 April ini.

Namun, ini tidak termasuk baki terkumpul kad kredit.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Berbanding dolar Singapura, ringgit meningkat kepada 3.0242/0356 daripada 3.0328/0364 dan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.1969/2164 daripada 5.2473/2530.

Ringgit bagaimana pun susut berbanding yen Jepun kepada 3.9545/9691 daripada 3.9334/9384 dan rendah berbanding euro kepada 4.7825/8007 daripada 4.7516/7577, sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

BNM: Operasi ATM terhad 7 pagi hingga 10 malam

SHAH ALAM, 22 MAC: Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan terminal layan diri dihadkan dari 7 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, maklum Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, perbankan dalam talian beroperasi sepenuhnya, manakala perkhidmatan pengurupan dan kiriman wang masih disediakan di cawangan bank.

“BNM menggalakkan orang awam menggunakan saluran elektronik. Jika tidak perlu, elakkan ke cawangan dan premis penyedia perkhidmatan demi keselamatan dan kesihatan anda.

“Jika masih perlu ke bank atau syarikat insurans, sila semak laman sesawang institusi tersebut terlebih dahulu untuk mengetahui cawangan yang dibuka atau hubungi talian khidmat pelanggan,” kata bank pusat itu melalui portal rasminya.

BNM memaklumkan semua bank menyediakan infrastruktur diperlukan bagi memastikan ATM di seluruh negara mempunyai bekalan wang tunai mencukupi, untuk memenuhi keperluan semua isi rumah dan perniagaan semasa tempoh perintah kawalan.

Sementara itu, katanya, semua bank dan institusi kewangan sedia menstruktur dan menjadual semula pinjaman kepada mereka yang terkesan susulan penularan Covid-19.

Maklumat lanjut boleh rujuk www.bnm.gov.my atau hubungi 1-300-88-5465 (Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Tingkat belanja rakyat, kerja belia kukuhkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan perlu menumpukan usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk belia selain menyediakan peruntukan lebih besar kepada B40 dan M40 bagi meningkatkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat, yang akan membantu memperkukuh semula ekonomi negara, kata seorang penganalisis di bank pelaburan.

Beliau berkata kerajaan perlu mencontohi inisiatif kerajaan Indonesia dalam menggalakkan rakyatnya berbelanja ketika ekonomi mengalami kelembapan.

“Menerusi pemberian tunai ke dalam poket mereka, terutama belia, ini sebenarnya dapat membantu kerajaan untuk memperkukuh semula ekonomi ini.

“Tetapi pada masa sama, saya lebih menekankan aspek kadar guna tenaga pekerjaan, yang sangat tinggi,” katanya kepada Bernama.

Data menunjukkan kadar pengangguran belia di Malaysia adalah 11.9 peratus pada 2009, susut kepada 9.7 peratus pada 2011 dan mencecah 10.9 peratus pada 2018, lebih daripada tiga kali ganda kadar pengangguran nasional iaitu sebanyak 3.3 peratus.

“Sebelum ini kita mempunyai skim mewujudkan lebih banyak pekerjaan contohnya dalam sektor telekomunikasi dan perbankan, namun kini jumlah skim ini semakin mengecil. Kita berada dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, anda sudah menghasilkan bakat, tetapi ke mana mereka pergi?,” katanya.

Beliau juga menegaskan penting untuk kerajaan menstabilkan ekonomi terlebih dahulu sebelum melaksanakan campur tangan monetari (pengurangan kadar faedah) selain menangguhkan mekanisme apungan harga petrol.

Langkah lain untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna adalah dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengurangkan caruman pekerja, dan secara keseluruhannya pengguna akan mempunyai lebihan wang sekurang-kurangan RM5 bilion dalam poket mereka.

Kerajaan sebelum ini telah menggunakan kaedah yang sama untuk merangsangkan ekonomi pada 2009, 2013 dan 2016, apabila KWSP menurunkan kadar caruman pekerja daripada 11 peratus kepada lapan peratus berasaskan pilihan.

Kelmarin, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Sehubungan itu pakar ekonomi tersebut berkata bagi pertanian, pengurangan kos baja oleh penanam telah menyebabkan pengeluaran lebih rendah, sementara isu penawaran dan permintaan komoditi di China dan India juga memberi kesan kepada sektor ini.

“Saya menjangkakan pertanian terus menyeret turun ekonomi pada 2020 namun saya tidak bimbang mengenai perlombongan dan pertanian kerana kedua-dua sektor ini menyumbangkan kira-kira 14 peratus kepada ekonomi. Lebih penting lagi, enjin pertumbuhan kita sebenarnya adalah perkhidmatan dan pembuatan yang merupakan kira-kira 80 peratus daripada KDNK.

“Apa yang kita khuatir adalah penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) yang boleh memberi kesan kepada perbelanjaan sektor pelancongan, runcit dan perkilangan walaupun ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China telah reda, tidak pulih sepenuhnya,” katanya

Beliau mengunjurkan KDNK setahun penuh 2020 pada 4.4 peratus susulan wujudnya ketidaktentuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM benarkan 1MDB beri pinjaman AS$330 juta kepada Petrosaudi BVI

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Bank Negara Malaysia (BNM) memberikan kebenaran kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah US$330 juta kepada PetroSaudi BVI, pada Mei 2011.

Perkara itu didedahkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, pada hari ke-14 perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan dana 1MDB semasa pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Terdahulu, saksi pendakwaan kesembilan itu mengesahkan surat bertajuk ‘Kebenaran BNM berkenaan pemberian pinjaman mata wang asing kepada bukan pemastautin bertarikh 20 Mei 2011″.

“Pihak BNM merujuk kepada permohonan yang dibuat Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Radhi Mohamad bertarikh 18 Mei 2011 serta mesyuarat antara pihak 1MDB dengan BNM pada keesokan hari iaitu pada 19 Mei 2011, yang memberikan kebenaran kepada 1MDB untuk memberi pinjaman mata wang asing tambahan berjumlah US$330 juta kepada PetroSaudi BVI,” katanya.

Saksi juga dirujuk surat daripada AmBank Berhad kepada 1MDB bertajuk “Confirmation of a foreign exchange transaction” bertarikh 20 Mei 2011.

“Surat ini adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang sejumlah US$30,000,000 ke akaun bernombor 11116073.2000, di mana beneficiary bagi akaun ini adalah atas nama PetroSaudi International Limited (PSI),” katanya.

Katanya, arahan untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 adalah daripada CEO PSI, Tarek Obaid berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

Ketika dirujuk kepada surat ‘remittance instruction daripada 1MDB kepada AmIslamic berkenaan ‘FX confirmation’ bertarikh 23 Mei 2011, saksi berkata surat itu adalah pemberitahuan kepada bank itu berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun PetroSaudi International Limited berjumlah US$65,000,000.

Shahrol Azral juga dirujuk kepada ‘Letter of Instruction (FX Deal) daripada 1MDB kepada Deutsche Bank berkenaan ‘remittance of US$110 million” bertarikh 27 Mei, 2011.

Katanya, surat itu adalah pemberitahuan kepada AmIslamic Bank Berhad berkaitan arahan pemindahan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berjumlah US$110,000,000 dan beneficiary bagi akaun itu adalah akaun nombor 11116073.2000.

“Saya mendapat arahan daripada Tarek Obaid untuk memindahkan wang ke akaun bernombor 11116073.2000 berdasarkan surat dari Tarek Obaid bertarikh 12 Mei 2011 yang menyatakan nombor akaun itu.

“Arahan untuk menggunakan benificiary name account number 11116073.2000 adalah berdasarkan surat daripada Tarek Obaid bertarikh 25 Mei 2011,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM perluas kriteria bagi dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperluaskan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion.

Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika mengumumkan mengenai perkara itu berkata, pendapatan bulanan isi rumah yang layak telah dinaikkan kepada RM4,360 daripada RM2,300 sebelum ini, manakala harga hartanah maksimum ditingkatkan kepada RM300,000 daripada RM150,000.

Tambahan ini akan berkuat kuasa pada 1 September depan, ia merupakan satu inisiatif tambahan oleh BNM bagi membantu golongan berpendapatan di bawah 40 untuk memiliki rumah pertama mereka, katanya semasa majlis pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) di sini semalam.

Selepas itu, dalam satu sidang akhbar, Penolong Gabenor, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, BNM telah meluluskan 296 permohonan membabitkan pembiayaan bernilai RM31 juta sehingga akhir Jun 2019.

Peningkatan kelayakan dana itu akan membolehkan lebih ramai orang untuk meraih manfaat, sekali gus membantu meningkatkan kadar penggunaan dana tersebut.

“Kami belum menetapkan sebarang sasaran prestasi, tetapi tujuannya adalah bagi menangani kes-kes (permohonan pembiayaan yang ditolak) dan membantu meningkatkan kelayakan.

“Kami berharap orang awam serta peminjam yang menghadapi penolakan pembiayaan akan menggunakan kemudahan ini,” katanya.

Adnan Zaylani berkata, BNM telah menerima maklum balas bahawa ada perusahaan serta isi rumah yang menghadapi kekurangan maklumat dan kesedaran mengenai daya maju pinjaman di pasaran.

“Apabila permohonan mereka ditolak daripada satu institusi tertentu, peminjam cenderung untuk berpendapat bahawa keseluruhan ekosistem tidak akan membantu mereka.

“Dengan inisiatif ini (MyKNP), kami berharap untuk membuka perspektif mereka bahawa wujud ekosistem yang lebih besar yang boleh membantu bakal peminjam bagi mendapatkan pembiayaan atau memperbaiki peluang mereka untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.

Dana tersebut, yang mempunyai kadar pembiayaan maksimum pada kadar 3.5 peratus setahun, adalah untuk hartanah dalam pasaran utama sahaja.

Peminjam mesti pekerja bergaji atau bekerja sendiri dan tidak mempunyai mana-mana rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BNM perluas kriteria kelayakan dana rumah mampu milik

KUALA LUMPUR, 21 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) telah memperluaskan kriteria kelayakan bagi Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion.

Gabenor Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus ketika mengumumkan mengenai perkara itu berkata pendapatan bulanan isi rumah yang layak telah dinaikkan kepada RM4,360 daripada RM2,300 sebelum ini, manakala harga hartanah maksimum ditingkatkan kepada RM300,000 daripada RM150,000.

Tambahan ini akan berkuat kuasa pada 1 September depan, ia merupakan satu inisiatif tambahan oleh BNM bagi membantu golongan berpendapatan di bawah 40 untuk memiliki rumah pertama mereka, katanya semasa majlis pelancaran Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) di sini hari ini.

Selepas itu, dalam satu sidang akhbar, Penolong Gabenor Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata BNM telah meluluskan 296 permohonan membabitkan pembiayaan bernilai RM31 juta sehingga akhir Jun 2019.

Peningkatan kelayakan dana itu akan membolehkan lebih ramai orang untuk meraih manfaat, sekali gus membantu meningkatkan kadar penggunaan dana tersebut.

“Kami belum menetapkan sebarang sasaran prestasi, tetapi tujuannya adalah bagi menangani kes-kes (permohonan pembiayaan yang ditolak) dan membantu meningkatkan kelayakan.

“Kami berharap orang awam serta peminjam yang menghadapi penolakan pembiayaan akan menggunakan kemudahan ini,” katanya.

Adnan Zaylani berkata, BNM telah menerima maklum balas bahawa ada perusahaan serta isi rumah yang menghadapi kekurangan maklumat dan kesedaran mengenai daya maju pinjaman di pasaran.

“Apabila permohonan mereka ditolak daripada satu institusi tertentu, peminjam cenderung untuk berpendapat bahawa keseluruhan ekosistem tidak akan membantu mereka.

“Dengan inisiatif ini (MyKNP), kami berharap untuk membuka perspektif mereka bahawa wujud ekosistem yang lebih besar yang boleh membantu bakal peminjam bagi mendapatkan pembiayaan atau memperbaiki peluang mereka untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.

Dana tersebut, yang mempunyai kadar pembiayaan maksimum pada kadar 3.5 peratus setahun, adalah untuk hartanah dalam pasaran utama sahaja.

Peminjam mesti pekerja bergaji atau bekerja sendiri dan tidak mempunyai mana-mana rekod pembiayaan yang terjejas dalam tempoh 12 bulan.

-BERNAMA