Categories
EKONOMI

Rizab antarabangsa BNM RM405.5 bilion setakat 31 Oktober

KUALA LUMPUR 8 NOV: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM405.5 bilion (bersamaan AS$97.8 bilion) setakat 31 Oktober 2016 berbanding RM405.6 bilion (bersamaan AS$97.8 bilion) setakat 14 Oktober 2016.

Menurut kenyataan BNM, paras rizab itu mencukupi untuk membiayai 8.4
bulan import tertangguh dan ialah 1.2 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Komponen utama rizab antarabangsa itu adalah rizab mata wang asing (AS$89.9 bilion), kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$0.8 bilion), Hak Pengeluaran Khas (SDR) (AS$1.1 bilion), emas (AS$1.6 bilion) dan Aset Rizab lain (AS$4.4 bilion).

Aset bank pusat termasuk emas dan pertukaran asing dan rizab-rizab lain termasuk SDR (RM405.541 bilion), Kertas Kerajaan Malaysia (RM1.643 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.167 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.782 bilion), tanah dan bangunan (RM2.113 bilion) dan aset lain (RM5.857 bilion).

Liabiliti dan modal pula terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM123.21 bilion), mata wang dalam edaran (RM92.442 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM172.292 bilion), deposit oleh kerajaan persekutuan (RM10.388 bilion), deposit lain (RM847.23 juta), Kertas Bank Negara (RM5.65 bilion), peruntukan SDR (RM7.759 bilion) dan liabiliti lain (RM11.415 bilion).

Categories
NASIONAL

Kongsi maklumat bank pusat sedunia protokol normal

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OGOS: Sama seperti bank pusat di negara lain, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak boleh mengelak daripada berkongsi maklumat berkenaan isu kewangan antarabangsa.

Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini ekoran protokol perkongsian maklumat adalah kerjasama banyak hala antara negara seluruh dunia bagi mengelakkan jenayah antarabangsa di samping melicinkan urusan pembayaran dan pelaburan.

“Bayangkan jika enggan berkongsi maklumat, sudah tentu kita akan berhadapan tindak balas negara lain juga tidak mahu berkerjasama sama ada untuk mendapatkan maklumat atau lebih teruk lagi dipulaukan.

“Kalau BNM dipulaukan, negara akan menghadapi masalah besar untuk memindah dana ke luar negara sama ada membayar hutang, menghantar wang kepada pelajar luar negara dan lain-lain,” katanya kepada SelangorKini.

Dr-Rosli-YaakopRosli berkata, keadaan itu boleh menyebabkan kejatuhan ekonomi sesebuah negara ekoran kesukaran mendapatkan bayaran ke atas eksport dibuat dan keengganan pelabur asing melabur dalam pasaran tempatan.

“Lebih merumitkan apabila skandal 1MDB membabitkan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat yang turut memiliki pelbagai angensi seperti Biro Siasatan Persekutuan (FBI) yang mampu mengesan sebarang manipulasi kewangan,” katanya.

Terdahulu, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun mendakwa wujudnya konspirasi untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan menyalurkan maklumat kepada Amerika Syarikat.

-AA-

Categories
NASIONAL

BNM: Elak terjebak pelaburan haram

SHAH ALAM 7 JUN : Bank Negara Malaysia (BNM) menyenaraikan sebanyak 268 syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan ditadbir oleh BNM bagi senarai setakat 27 Mei lalu.

Merujuk laman sesawang BNM, orang ramai supaya dinasihati tidak membuat sebarang deposit atau pelaburan dengan individu atau entiti tidak dikawal selia di bawah undang-undang berkaitan.

Bank-Negara-MalaysiaMenurut BNM senarai itu disusun berdasarkan maklumat, aduan dan pertanyaan diterimanya berhubung dengan aktiviti individu dan entiti berkenaan.

“Senarai ini bukan senarai lengkap (not exhaustive) dan Bank akan mengemas kini senarai ini dari semasa ke semasa. Senarai ini bertujuan untuk memberikan panduan kepada orang ramai,” tulis BNM.

BNM juga mengingatkan mereka juga perlu membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan sekiranya meragui sebarang skim ditawarkan.

“Orang ramai juga dinasihati untuk merujuk kepada Investor Alert dan maklumat mengenai tindakan penguatkuasaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC),” tulis BNM.

Sebelum ini, sebanyak 56 syarikat pelaburan yang tidak diiktiraf aktiviti perniagaannya dipercayai mengaut keuntungan lebih RM500 juta dengan menipu wang orang ramai.

Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Roslan Abd Wahid berkata, kesemua syarikat terbabit menjalankan pelbagai bentuk pelaburan tanpa kelulusan daripada BNM.

Kesemua syarikat tersebut termasuk beberapa dikenali ramai dipercayai mengaut keuntungan tersebut dalam tempoh enam bulan sahaja.

EZY

Categories
NASIONAL

Mencari Gabenor BNM baru sehebat Tun Ismail, Tan Sri Abdul Aziz, Zeti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 1 MAC: Sikap tegas dan amanah dimiliki Allahyarham Tun Ismail Mohd Ali yang tiada tolok bandingannya ketika menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) wajar dijadikan kriteria pemilihan calon Gabenor BNM yang baru.

Mantan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob, berkata kriteria itu penting bagi membolehkan BNM bebas pengaruh politik atau pihak berkepentingan yang akhirnya merosakkan ekonomi dan kewangan negara.

Bank-Negara-Malaysia“BNM harus bebas pengaruh politik atau pengaruh kerajaan memerintah. Kriteria utama Gabenor BNM harus bukan di kalangan orang politik. Gabenor selayaknya berkelulusan tinggi serta pakar ekonomi, pengurusan kewangan, pengurusan bank dan seumpamanya.

“BNM mempunyai banyak hubungan dengan badan kewangan antarabangsa, beliau mesti berhubungan dengan Tabung Kewangan Dunia (IMF), Bank Dunia dan bank lain seluruh dunia, maka beliau mesti ada standard antarabangsa dikenali masyarakat kewangan antarabangsa,” kata Dr Rosli.

Katanya, selain Ismail, Gabenor BNM selepas itu, Tan Sri Abdul Aziz Taha juga memiliki sikap sama sehingga beliau sanggup memutuskan meletakkan jawatan apabila mendapati wujudnya tekanan pihak tertentu yang mahukan BNM mengikut telunjuk mereka.

“Begitu juga dengan Tan Sri Jaffar Hussein dan Tan Sri Ahmad Mohd Don selepas itu. Mereka mempunyai kriteria diperlukan oleh seorang Gabenor BNM.

“Zeti pula, beliau memang memiliki sifat peribadi terpuji disamping mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PHD) di University of Pennsylvania. Juga anak kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, seorang pakar ekonomi unggul di Malaysia ini.

“Beliau juga mempunyai nama dan hubungan antarabangsa yang cukup bagus. Dia terkenal di peringkat kewangan antarabangsa. Dia juga amanah dan mempunyai ketegasan melaksanakan dasar ekonomi negara untuk kepentingan negara bukan puak tertentu,” kata Dr Rosli lagi.

Ismail merupakan anak tempatan dilantik sebagai Gabenor BNM pertama dari 1962 hngga 1980 dan diikuti Abdul Aziz (1980-1985), Tan Sri Datuk Jaffar Hussein (1985 – 1994), Tan Sri Ahmad Mohd Don (1994 – 1998), Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman (1998 – 2000) dan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (2000 – Kini).

Sebelum Ismail, Gabenor BNM yang pertama adalah Tan Sri W H Wilcock (1959-1962) didatangkan dari Australia yang dipinjamkan oleh Bank Dunia pada masa itu.

EZY

Categories
NASIONAL

Anwar Pernah Arah Bank Negara Henti Niaga Mata Wang

KUALA LUMPUR 24 SEPT : Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengarahkan Bank Negara Malaysia(BNM) menghentikan urusniaga pertukaran matawang asing ketika berada dalam kerajaan.

Arahan itu dakwa Anwar diberikan kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Jaafar Hussein ketika itu.

“Saya pasti BNM mempunyai rekod dan sahkan apa yang saya sebut.

“Saya selaku Menteri Kewangan ketika itu minta (perniagaan itu) dihenti serta merta. Perniagaan forex (mata wang) dibuat sebelum 1990, sebelum saya menjadi Menteri Kewangan.

“Perniagaan forex ini dilakukan dengan kebenaran Menteri Kewangan sebelum itu dengan persetujuan Perdana Menteri ketika itu,? katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Anwar membuat penjelasan selepas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mencelah mengatakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pernah meminta Anwar meletakkan jawatan berikutan kerugian itu pada tahun 1993.

Sementara itu, Ketua Umum PKR itu juga memaklumkan jumlah kerugian yang dialami oleh BNM dalam pasaran pertukaran wang asing (Forex) pada tahun 1991 boleh dijelaskan oleh Gabenor BNM sekarang, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Ini kerana Zetty adalah diantara orang yang bertanggungjawab dalam isu itu selain Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang ketika itu memegang jawatan Pentadbir Kanan BNM.

Sebelum itu, dalam sidang perbahasan di Parlimen, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kerugian sebenar yang dialami oleh BNM akibat Forex dari tahun 1990 hingga 2012.

Lim mempersoalkan mengapa spekulator matawang George Soros dikecam sebagai penyangak, ketika pihak yang bertanggungjawab atas kerugian RM5.7 bilion BNM melalui forex dinaikkan pangkat.

Timbalan Menteri Kewangan, Donald Lim sebelum itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa BNB rugi RM5.7 bilion pada 1992, seperti dilaporkan dalam laporan tahunannya pada 1993.

Anwar menambah terdapat pengakuan mengenai kerugian, bagaimanapun ia dinafikan.

“Ada perakuan. Memang ada kerugian yang dinafikan. Saya dah bercakap dengan Tan Sri Jaafar. Dia beri penjelasan walaupun belum mendapat maklumat.

?Walaupun dia (Jaafar) tak bertanggungjawab secara langsung langsung, tapi dia pilih untuk meletakkan jawatan. Peliknya Nor Mohamed Yakcop pula diangkat sebagai Menteri,? katanya.

Categories
NASIONAL

Siasat SUARAM Taktik Balas Dendam Umno-BN

SHAH ALAM 12 SEPT : Tindakan Umno-BN menggunakan agensi kerajaan bagi menyiasat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) adalah taktik balas dendam terhadap NGO itu yang secara aktif mendedahkan beberapa skandal melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Antara skandal didedahkan Suaram adalah kes pembunuhan rakyat Monggolia, Altantuya Shaariibuu serta isu pembelian kapal selam Scorpene yang kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa berkata siasatan dijalankan ke atas Suaram itu adalah satu cara Umno-BN bagi menutup isu sebenar melibatkan Najib yang masa kini mendapat perhatian umum serta masyarakat antarabangsa.

“Ia tindakan terdesak Umno-BN yang mana menggunakan beberapa agensi kerajaan bagi menyiasat Suaram. Malah penafian Suaram mengenai penglibatan spekulator matawang, George Soros menyalurkan dana juga tidak diendahkan.

“Ini pendekatan Umno-BN bagi menimbulkan isu Yahudi terlibat dengan NGO tersebut,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan Pengarah Suaram, Kua Kia Soong sebagai berkata, siasatan demi siasatan yang dijalankan agensi kerajaan ke atas NGO tersebut merupakan satu bentuk salahguna kuasa oleh BN ke atas badan berkenaan.

Antara agensi kerajaan yang terlibat dalam siasatan adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta Bank Negara Malaysia (BNM).

BNM diminta menyiasat Suaram mengenai dakwaan NGO itu menerima dana daripada Soros lebih RM558,500 dalam tempoh 2007 hingga 2010.

Fariz berkata, Umno-BN perlu menghentikan tindakan prejudis itu yang ternyata menyalahi sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Jika Suaram disiasat, kerajaan Umno-BN perlu menjalankan tindakan sama ke atas NGO lain seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Gerakan Jalur Tiga (Jati), Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) dan Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS).

“Semua NGO pro Umno-BN ini tidak harus dikecualikan. Siasatan mesti dilakukan dari mana sumber kewangan diperolehi dan pihak mana yang menyalurkan dana kepada mereka semua,” katanya lagi.