Categories
NASIONAL

Hanya Malaysia mahu laksana dasar 100% pekerja asing

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 20 OKT: Malaysia bakal menjadi satu-satunya negara di dunia yang mempraktikkan dasar menggunakan 100 peratus tenaga pekerja asing dalam sektor pembuatannya jika cadangan itu dilaksanakan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, dasar yang berada dalam pertimbangan kerajaan itu jelas merugikan negara.

“Ini kali pertama kita dengar di Malaysia kerana kononnya rakyat tempatan tidak mahu bekerja kilang tetapi benarkah? Siapa kata warga tempatan tidak mahu bekerja di kilang? Ini tidak betul dan merugikan negara.

“Jika dilaksanakan, peluang pekerjaan untuk warga tempatan khususnya mereka berkelulusan rendah tertutup dan kita bukan tidak boleh ambil pekerja asing tetapi hanya untuk sektor tertentu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga boleh menggunakan tenaga pekerja asing dalam sektor kritikal yang memerlukan kepakaran tinggi seperti perubatan yang terdapat keperluan mendesak untuk diisi.

Dr Rosli berkata, selain meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat tempatan, langkah itu juga menyebabkan aliran keluar wang negara semakin meningkat apabila pekerja asing menghantar wang kepada keluarga masing-masing, di negara asal mereka.

Terdahulu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan pihak yang bergiat dalam sektor pembuatan untuk pengambilan 100 peratus pekerja asing.

Katanya, pada ketika ini, nisbah bilangan pekerja tempatan dan pekerja asing adalah 1:3 bagi semua sektor serta bahagian termasuk dalam sektor pembuatan yang mengeksport produk mereka ke luar negara.

Categories
NASIONAL

Hutang negara cecah RM1 trilion menjelang 2020?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 OKT: Hutang negara dijangka akan mencecah RM1 trilion menjelang 2020, kata bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yakob.

Beliau berkata, antara faktor yang mendorong perkara itu ialah apabila kerajaan gagal mengurangkan defisit dalam belanjawan tahunan dan pertambahan hutang luar negara, termasuk membabitkan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

“Kerajaan Persekutuan masih dilihat boros, bajet kekal defisit hampir 20 tahun, malah semakin membesar.

“Manakala projek besar kerajaan buat, misalnya ECRL sebenarnya bukanlah dikategorikan sebagai kemasukan pelaburan asing langsung tetapi projek itu dibuat dengan meminjam wang,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, kebanyakkan projek besar negara, pada masa ini bukan dibiayai sumber kewangan dalam negara tetapi sebaliknya membabitkan pinjaman luar negara.

dr_rosli_yaakob_Dr Rosli berkata, hal itu berbeza dengan Kerajaan Selangor yang membentangkan belanjawan secara berhemah, mempunyai rizab kukuh dan berjaya mencapai belanjawan surplus.

Pada Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan hutang Kerajaan Persekutuan, pada 2016 mencecah RM648.475 bilion atau 54.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding RM630.540 bilion, pada 2015.

Angka itu membuktikan trend peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan dengan data menunjukkan, pada 2012 hutang negara berjumlah RM501.617 bilion, RM539.858 bilion pada 2013 dan RM582.828 bilion pada 2014.

Categories
KENYATAAN MEDIA

BNM digesa guna kuasa terhadap individu terbabit 1MDB

OLEH: Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail

Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Bank Negara Malaysia yang memberi maklumbalas rasmi kepada satu memorandum dari ahli-ahli parlimen Pakatan Harapan yang dihantar pada 2 Ogos lalu.

Sementara saya terkejut dengan jumlah penalti yang dikenakan iaitu RM115.8 juta, saya ingin menarik perhatian rakyat bahawa Bank Negara Malaysia belum menggunakan sepenuhnya kuasa yang diperuntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 untuk berlaku adil kepada rakyat dalam skandal 1MDB ini.

Saya menyeru pengurusan Bank Negara Malaysia menyertai rakyat Malaysia yang lain dalam mempertahankan kebebasan Bank Negara Malaysia sebagai institusi penguatkuasa yang bebas untuk mengelakkan skandal kewangan yang serupa berulang di masa akan datang.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)Sebab itu saya berpendapat adalah wajar Bank Negara Malaysia menggunakan sepenuh kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 seperti berikut:

1. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(3)(b) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda sebanyak RM5 juta atau tidak lebih dari tiga kali jumlah wang yang terlibat di dalam setiap kesalahan yang dilakukan 1MDB;

2. Bahagian XV PENGUATKUASAAN DAN DENDA, Fasal 234(5) yang memberi kuasa kepada Bank Negara Malaysia mengenakan denda atau apa-apa hukuman yang diperuntukkan di bawah akta ini ke atas pengarah, pengurusan kanan dan mana-mana orang perseorangan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan 1MDB.

Setakat ini, Bank Negara Malaysia hanya menggunakan kuasa di bawah Fasal 234(3)(b) untuk mendenda 1MDB dan entiti-entiti berkaitan sebanyak RM115.8 juta.

Malangnya, tindakan mengenakan denda ke atas 1MDB sebenarnya samalah seperti mendenda rakyat Malaysia kerana segala tanggungan hutang dan denda ke atas 1MDB kini ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Dari denda berjumlah RM115.8 juta ini, laporan media ada menyebut bahawa RM53.7 juta telah dikenakan terhadap AmBank kerana melanggar Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

Saya ingin mendapat kepastian sama ada baki berjumlah RM62.1 juta yang telah dikenakan sudah dibayar, dan jika ya, siapa yang telah membayarnya.

Jika 1MDB atau entiti berkait 1MDB yang membayarnya, ini bermakna sudahlah rakyat Malaysia menjadi mangsa penyelewengan dana rakyat di dalam 1MDB, kini rakyat Malaysia terpaksa juga menanggung denda yang dikenakan ke atas 1MDB.

Oleh itu, saya sendiri sebagai Ketua Pembangkang dan Presiden Pakatan Harapan akan membuat laporan polis minggu depan untuk membolehkan Bank Negara Malaysia menyiasat Dato’ Sri Najib Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, ahli-ahli lembaga pengarah 1MDB (dahulu dan sekarang) serta pengurusan kanan 1MDB (dahulu dan sekarang) di bawah Fasal 234(5).

Perlu diingatkan bahawa pada ketika pelbagai dakwaan terhadap 1MDB ini berlaku, Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat (M&A) 1MDB menyatakan bahawa sebarang komitmen kewangan 1MDB memerlukan kebenaran bertulis YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.

Secara logiknya, jika Bank Negara Malaysia sudah pun mengenakan denda sehingga RM115.8 juta ke atas 1MDB, itu bermakna berlaku banyak pelanggaran undang-undang dalam urusan 1MDB.

Sudah tentu urusniaga dan tindakan yang melanggar undang-undang ini dibuat atas arahan seseorang atau sesuatu pihak kerana 1MDB bukanlah satu makhluk yang bertindak sendiri.

Maka, apabila Bank Negara Malaysia sudah mengenakan denda di bawah Fasal 234(3)(b) ke atas 1MDB sebagai badan korporat, ia mesti juga disertai dengan tindakan di bawah Fasal 234(5) ke atas individu yang bertanggungjawab memberikan arahan sehingga menyebabkan 1MDB melanggar peraturan-peraturan di bawah akta.

Saya berharap pengurusan Bank Negara Malaysia tidak akan berdolak dalih mengenai perkara ini.

Jika pun pengurusan Bank Negara Malaysia tidak berani mengambil tindakan ke atas Dato’ Seri Najib, sekurang-kurangnya ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan perlulah dikenakan tindakan.

Pakatan Harapan tidak akan membiarkan rakyat dihukum kali kedua dengan tindakan denda ke atas 1MDB sementara individu di belakangnya dibiarkan terlepas.
* Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia & Presiden Pakatan Harapan

Categories
EKONOMI

BNM keluarkan syiling peringatan sempena Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan duit syiling peringatan sempena Sukan Asia Tenggara (SEA) Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9.

Dalam kenyataan media, BNM berkata, duit syiling yang dikeluarkan pada 16 Ogos itu terdiri daripada duit syiling perak berwarna pruf, duit syiling peringatan emas Nordic serta set duit syiling dua dalam satu.

BNM berkata, berdasarkan maklum balas orang ramai dan bagi memastikan peluang sama untuk semua membeli duit syiling edisi terhad ini, pembelian dihadkan, iaitu satu set dua dalam satu, satu duit syiling perak dan tiga duit syiling emas Nordic bagi setiap pembeli.

“Bagi memudahkan pembelian, orang ramai boleh membuat tempahan melalui e-mel kepada [email protected].

“Atau melalui borang tempahan yang boleh didapati di Muzium dan Galeri Seni BNM dan pejabat BNM di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu,” katanya.

Syiling BNM

Tempahan boleh dibuat mulai 29 Ogos 2017 hingga jam 1.00 petang pada 5 September 2017.

“Jika tempatan lebih daripada kuantiti jualan, proses undian akan diadakan. Keputusannya akan diumum pada 8 September 2017 di www.bnm.gov.my dan di Muzium dan Galeri Seni BNM serta pejabat BNM di seluruh negara,” katanya.

Pembeli yang berjaya boleh membayar dan mengambil duit syiling mereka mulai 8 hingga 12 September 2017 di Muzium dan Galeri Seni BNM, setiap hari termasuk hujung minggu dan cuti umum dan di pejabat bank tersebut di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu (hari bekerja).

Pembeli perlu hadir sendiri dan menunjukkan bukti pengenalan diri yang sah untuk mengambil duit syiling berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mereka boleh hubungi 1-300- 88-5465 (1-300- 88-LINK) atau [email protected].

=EZY=

Categories
NASIONAL

1MDB: Siasat semula berdasarkan maklumat saman DOJ

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 3 OGOS: Pakatan Harapan menyerahkan satu memorandum menggesa Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim menyiasat semula skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan maklumat saman dikemukakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, BNM perlu menyiasat perkara itu secara proaktif dan telus serta bersedia memberi kerjasama berkenaan isu terbabit jika perlu demi rakyat Malaysia juga integriti sistem kewangan negara.

“Kami juga meminta BNM menyiasat kesahihan pelaburan ‘unit’ yang pada seketika waktu bernilai USD2.318 bilion yang sebelum ini disimpan di dalam akaun Bank BSI, Singapura sebagai bank pemegang amanah.

“Kami percaya kegagalan 1MDB menebus pelaburan ‘unit’ itu untuk membayar hutang kepada syarikat kerajaan Abu Dhabi, International Petroleum Investment Corporation (IPIC) menjejaskan integriti sistem kewangan Malaysia,” katanya.

Memorandum itu turut menyatakan dakwaan penyaluran USD732.3 juta ke dalam akaun AmBank yang dimiliki Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak antara Februari 2011 hingga Jun 2014.

unknownSelain itu, USD620 juta turut didakwa dihantar ke luar negara, pada 26 Ogos 2013 daripada akaun AmBank sama ke akaun syarikat Tanore Finance Corporation di BSI Bank, Singapura.

Wan Azizah bersama 30 ahli parlimen lain sebelum itu berarak dari Bangunan Parlimen ke Bank Negara sambil membawa kain rentang bertulis ‘Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi’.

Beliau kemudiannya masuk ke bangunan Bank Negara sekitar jam 9.35 pagi sebelum keluar 20 minit kemudian.

Memorandum itu diterima Ketua Pusat Perhubungan Bank Negara, Mazlan Arifin dan Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik, Lee Poh Fong.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Penganjur skim kewangan haram diburu

SHAH ALAM, 4 MEI: Bank Negara Malaysia (BNM) tidak akan teragak-agak menguatkuasakan undang-undang terhadap pelaku dan penganjur skim kewangan haram serta berjanji pesalah akan berdepan tindakan tegas.

BNM dalam kenyataan berkata, ia termasuk undang-undang ditadbir BNM, Kanun Keseksaan, Akta Skim Kepentingan 2016, Akta Jualan Langsung dan Skim Anti-Piramid 1993 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, di bawah undang-undang itu, tindakan juga boleh diambil terhadap pelabur yang dengan sengaja menggalak dan menyertai skim haram terbabit.

“Orang ramai perlu memastikan mereka tidak terpedaya dengan skim ini dengan merujuk kepada Peringatan kepada Semua Pengguna Kewangan BNM yang menyenaraikan syarikat tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang serta peraturan berkaitan ditadbir bank pusat.

“Ia juga menyediakan maklumat berkenaan ciri lazim skim kewangan haram,” kata kenyataan itu.

BANK NEGARABagi tujuan itu, satu tindakan penguatkuasaan bersama terhadap mana-mana penipuan kewangan dan komplot akan dijalankan sebagai inisiatif antara agensi diketuai Jabatan Peguam Negara di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Bank pusat itu juga memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak menyertai skim yang menjanjikan pulangan, kadar faedah dan keuntungan tinggi yang tidak munasabah.

“Institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan perniagaan wang diarahkan untuk meningkatkan pemantauan dan pengesanan terhadap akaun pelanggan yang digunakan pelaku penipuan kewangan.

“Mereka juga diminta untuk terus mengukuhkan dasar dan proses usaha wajar pelanggan dalam mengenal pasti urus niaga dan aliran dana akaun bank yang mencurigakan supaya dapat mengelakkan institusi kewangan daripada menjadi saluran membantu skim haram itu,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tun M sedia disiasat

SEBERANG PERAI, 24 APRIL: Tun Dr Mahathir Mohamad bersedia disoal siasat berkenaan isu kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM), sekitar 1990-an.

Memetik BH Online, mantan Perdana Menteri itu berkata, beliau mengalu-alukan pihak berkuasa untuk memanggilnya menjalankan sesi soal siasat terbabit, pada bila-bila masa.

“Setakat ini saya tidak dipanggil mana-mana pihak berhubung siasatan isu ini. Bagaimanapun, saya bersedia untuk berbuat demikian.

“Malah, saya mengalu-alukan mereka (pihak berkuasa) menetapkan tarikh dan lokasi yang dianggap bersesuaian,” katanya dalam sidang media Program Bual Bicara Tun M, di sini, semalam.

Sebelum ini, kabinet bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas untuk menjalankan siasatan awal berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh BNM, sekitar 1990-an yang dianggotai pelbagai agensi kerajaan, termasuk individu dihormati dan berpengalaman luas dalam bidang tertentu.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Ekonomi Selangor ibarat ‘suci dalam debu’

SHAH ALAM, 19 APRIL: Selangor mampu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi mampan walaupun pertumbuhan ekonomi di peringkat nasional mengalami pertumbuhan lebih perlahan.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, hal itu ekoran Selangor sebagai negeri maju mempunyai kekuatan kewangan dan urus tadbir cekap.

“Jika Selangor terus beri insentif lebih baik daripada apa ditawarkan Kerajaan Persekutuan kepada pelabur, maka pelabur akan datang ke negeri itu.

“Selangor mempunyai kelebihan untuk menarik pelaburan dengan syarat urus tadbir Kerajaan Negeri kekal baik juga tiada rasuah dalam urusan antara swasta dengan kerajaan kerana ini faktor penting untuk ekonomi terus berkembang walaupun dikelilingi suasana ekonomi malap,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, keadaan itu berbeza dengan Kerajaan Persekutuan yang tidak menerapkan amalan urus tadbir bersih dan terpalit dengan pelbagai skandal, sekali gus menyebabkan pelabur asing semakin menjauhkan diri kecuali beberapa entiti berkepentingan.

dr_rosli_yaakob_Katanya, hal itu menjadikan Selangor kekal sebagai peneraju ekonomi negara, sekali gus sebagai antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Faktor bilangan tanah perindustrian yang banyak dan harga berpatutan berbanding pesaingnya, Pulau Pinang turut menyebabkan pelabur menjadikan negeri itu sebagai lokasi alternatif.

“Selangor adalah negeri paling maju di pantai barat, banyak tanah perindustrian berbanding Pulau Pinang yang tepu dan mungkin juga ada pelabur di Pulau Pinang tetapi apabila mendapati harga tanah perindustrian naik, pelabur itu akan akan menjadikan Selangor sebagai pilihan kedua,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Ekonomi global dijangka bergerak sederhana

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 FEB: Ekonomi global dijangka berada pada landasan pertumbuhan sederhana walaupun terdapat tanda-tanda pertumbuhan mampan tahun ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan, baru-baru ini memaklumkan walaupun ekonomi bertambah baik, namun risiko kepada pertumbuhan global terus meningkat.

“Ini ekoran harga komoditi tidak menentu, ketidakpastian dasar dan prospek pertumbuhan ekonomi maju utama, kegiatan mengelak risiko yang semakin nyata dalam pasaran kewangan global juga perkembangan geopolitik.

“Walaupun persekitaran luaran akan terus mencabar, dijangkakan ekonomi Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan mampan dengan pemacu utamanya ialah permintaan dalam negeri,” katanya.

BNM memaklumkan penggunaan swasta dijangka terus disokong pertumbuhan upah dan guna tenaga, dengan dorongan tambahan daripada pengumuman langkah kerajaan menyokong pendapatan boleh guna isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan terus ditegarkan pada pelaksanaan projek infrastrktur secara berterusan serta perbelanjaan modal dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan,” katanya.

Sementara itu, RHB Research menjangkakan inflasi akan meningkat kepada tiga peratus tahun ini dari 2.1 peratus, pada 2016.

BANK NEGARA MALAYSIA (BNM)Dalam satu nota penyelidikannya, jangkaan itu dibuat berdasarkan harga bahan api yang lebih tinggi, penghapusan subsidi ke atas harga barang terpilih, peningkatan kos perniagaan serta penyusutan ringgit yang menyebabkan harga import lebih tinggi.

“Kadar inflasi naik kepada 3.2 peratus tahun ke tahun, pada Januari 2017 dari +1.8 peratus pada Disember dan November 2016 disebabkan pemulihan dalam kos pengangkutan,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata, BNM dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada paras semasa, iaitu tiga peratus pada 2017.

“Ia hanya penolakan kos dan kami percaya BNM boleh bertolak-ansur tanpa mengetatkan dasar kewangan walaupun tekanan inflasi yang lebih tinggi.

“Kelemahan mata wang akan menyebabkan BNM mempunyai ruang terhad untuk menurunkan kadar itu,” katanya.

Inflasi meningkat pada Januari 2017, berikutan pemulihan dalam kos pengangkutan manakala kos makanan dan minuman naik pada bulan itu.

-AA-

Categories
EKONOMI

Rizab BNM sehingga 15 Feb RM426.2 bilion

SHAH ALAM 22 FEB: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah USD95.0 bilion (bersamaan dengan RM426.2 bilion) pada 15 Februari 2017.

BNM dalam satu kenyataan melaporkan paras rizab itu memadai untuk membiayai 8.4 bulan import tertangguh dan ialah 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek.

Rizab antarabangsa BNM pada 31 Januari 2017 lalu berjumlah USD95.0 bilion (bersamaan dengan RM426.0 bilion).

Paras rizab itu memadai untuk membiayai 8.6 bulan import tertangguh dan ialah 1.3 kali hutang luar negeri jangka pendek.

=EZY=

Categories
NASIONAL

BNM: Kadar inflasi meningkat 1.7%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Kadar inflasi seperti diukur peratus perubahan tahunan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 1.7 peratus, pada suku keempat 2016 berbanding 1.3 peratus, pada suku ketiga tahun lalu, didorong pelarasan menaik harga bahan api.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataan memaklumkan, bagi tahun 2016 secara keseluruhan, purata inflasi ialah 2.1 peratus menyamai kadar pada 2015.

Katanya, inflasi dalam kategori pengangkutan pula mencatat kadar negatif lebih kecil pada 2.6 peratus, pada suku itu (S3 2016: -7.4 peratus).

Sementara itu, Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 4.5 peratus pada suku keempat 2016, mengatasi jangkaan umum penganalisis iaitu pada kadar 4.4 peratus.

Catatan prestasi suku terakhir tahun lalu itu menjadi kadar KDNK keseluruhan 2016 adalah 4.2 peratus.

“Prestasi ekonomi pada suku keempat 2016 didorong peningkatan berterusan dalam perbelanjaan swasta, manakala dari segi penawaran pula dipacu sektor perkilangan dan perkhidmatan.

“Secara keseluruhan, permintaan dalam negeri berkembang pada kadar lebih sederhana, memandangkan peningkatan aktiviti penggunaan dan pelaburan swasta melebihi daripada diimbangi kemerosotan dalam perbelanjaan awam,” katanya.

74BOCudYUzizPada suku keempat, penggunaan swasta meningkat 6.2 peratus, disokong pertumbuhan upah dan guna tenaga berterusan.

Pelaburan swasta mencatat peningkatan 4.9 peratus, ekoran perbelanjaan modal berterusan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.

“Walaupun pertumbuhan pelaburan awam bertambah baik terutama hasil daripada perbelanjaan lebih tinggi untuk aset tetap oleh syarikat awam, namun secara keseluruhan ia terus menguncup pada suku keempat.

“Penggunaan awam juga merosot 4.2 peratus ekoran rasionalisasi perbelanjaan untuk bekalan dan perkhidmatan serta pertumbuhan sederhana bagi perbelanjaan emolumen.

“Bagi sektor luaran, eksport bersih menyumbang secara positif kepada pertumbuhan apabila eksport benar berkembang lebih cepat berbanding import benar,” katanya.

-AA-

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Harga kereta tempatan dijangka naik 5-10%

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 DIS: Harga pasaran kenderaan tempatan dan import yang dipasang di negara ini dijangka bakal meningkat sekitar 5 hingga 10 peratus ekoran trend berterusan kejatuhan nilai ringgit.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, kenaikan itu mungkin boleh mencecah sehingga 15 peratus jika nilai ringgit terus merudum.

“Walaupun kereta seperti Proton dan Perodua adalah keluaran Malaysia tetapi mereka banyak bergantung kepada komponen diimport seperti kenderaan import yang dipasang dalam negara tentunya turut terkesan.

“Peratusan sebenar kenaikan ini banyak bergantung kepada peratusan kejatuhan nilai ringgit, misalnya selepas Donald Trum menang, harga ringgit jatuh dalam lima peratus, sekali gus boleh menyebabkan harga kereta naik,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, selain Proton dan Perodua, antara pengeluar lain yang dijangka menerima kesan kejatuhan nillai ringgit adalah kenderaan import yang dipasang dalam negara seperti Naza Kia.

dr_rosli_yaakob_Katanya, kenaikan itu berlaku apabila pengeluar kenderaan tempatan dan import yang dipasang di dalam negara tiada pilihan lain kecuali terpaksa membayar harga tinggi bagi mendapatkan komponen kenderaan masing-masing dari negara pengeluar.

“Bagi memastikan kelangsungan perniagaan, pengeluar ini tiada pilihan kecuali terpaksa menaikkan harga pasaran kenderaan keluaran masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Aminar Rashid Salleh berkata, Perodua sedia mengkaji semula nilai pasaran harga keretanya jika ringgit terus lemah berbanding mata wang utama dunia.

-AA-