Categories
AGENDA SUKANKINI

11 pasukan Liga-M mohon lesen AFC musim 2022

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengesahkan 11 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menghantar pengesahan permohonan Lesen Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi musim 2022.

Sepuluh daripada 11 pasukan itu terdiri pasukan Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United FC, Petaling Jaya (PJ) City FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC, Selangor FC, Penang FC, Terengganu FC, UiTM FC dan Kuala Lumpur FC, manakala Sarawak FC wakil tunggal Liga Premier.

Badan pentadbir Liga-M turut mengesahkan 11 pasukan itu antara 18 pasukan yang sudah menghantar pengesahan permohonan Lesen Kelab Kebangsaan bagi musim 2022 sebelum pengesahan permohonan itu ditutup pada 9 Februari lepas.

Dalam kenyataan hari ini, Unit Pelesenan Kelab MFL berkata pengumuman mengenai perkara itu adalah sebagai pemakluman awam kepada semua pihak.

Pada masa sama, MFL memaklumkan Sistem Pentadbiran Pelesenan Kelab AFC (CLAS) dibuka bermula hari ini dan setiap kelab diminta mengemukakan beberapa dokumen diperlukan mengikut tarikh ditetapkan.

Menurut MFL, tarikh akhir mengemukakan dokumen berkaitan Kriteria Personel & Pentadbiran adalah pada 31 Mac, diikuti dokumen Kriteria Undang-Undang (15 April), Kriteria Sukan (31 Mei), Kriteria Infrastruktur (15 Jun), Kriteria Perniagaan (30 Jun) dan Kriteria Kewangan pada 30 Julai depan.

Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan mengingatkan kesemua pasukan supaya menyerahkan dokumen yang diperlukan mengikut susunan kriteria dan tarikh akhir ditetapkan.

“Jika ada sebarang kekeliruan atau pertanyaan, pegawai pelesenan kelab boleh menghubungi secara terus dengan Unit Pelesenan Kelab MFL,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

PKP: Bola sepak, hoki dibenar latihan sahaja, acara beregu dilarang

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menjelaskan, latihan untuk sukan seperti bola sepak, bola keranjang, sepak takraw dan hoki, dibenarkan secara kemahiran kendiri tanpa melibatkan perlawanan dan sentuhan, ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Berikutan kekeliruan tatacara operasi piawai (SOP) mengenai sukan tersebut beliau berkata, latihan hantaran bola, kemahiran seperti menimbang dan menggelecek juga dibenarkan, asalkan penjarakan fizikal dipatuhi, tidak melibatkan sentuhan, selain kapasiti penggunaan padang atau gelanggang 30 peratus daripada kapasiti sebenar.

“Sukan seperti hoki dan bola sepak tidak boleh adakan perlawanan tetapi latihan sahaja, manakala acara beregu tidak dibenar untuk badminton, tenis dan ping pong, kerana sukar untuk menjaga penjarakan dan wujud kemungkinan untuk berlaku sentuhan dan ‘titisan’ sekali gus membawa risiko penularan.

“Kita nak tolong operator padang komersial beroperasi, sekurang-kurangnya mereka boleh membuat latihan, dan penggiat yang ada kelab boleh memulakan aktiviti kecergasan secara bersemuka, berbanding hanya menerusi secara dalam talian,” katanya ketika ditemui pemberita di Sports Arena hari ini.

Reezal Merican yang sebelum itu melakukan tinjauan ke Kelab Golf Glenmarie, venue latihan pasukan Liga Super UiTM FC di Stadium UiTM Shah Alam, dan Sports Arena Sentosa, mengakui berpuas hati dengan pematuhan kepada peraturan dan SOP di premis berkenaan.

Beliau turut memuji langkah operator fasiliti sukan, yang mengambil langkah tambahan seperti mempamerkan maklumat keputusan ujian calitan pekerja, yang dapat memberi keyakinan kepada pengguna, selain berharap pengusaha gimnasium mengekalkan kepatuhan, apabila hanya wujud satu kes penularan dalaman daripada 3.1 juta kunjungan ke kemudahan gimnasium, ketika ia diberi kelonggaran pada tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sports Arena Datuk Jack Koh sambil merakamkan penghargaan kepada kerajaan untuk membenarkan pihaknya beroperasi berkata, kebanyakan operator fasiliti sukan hampir ‘lemas’ dan tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’, selepas ditutup sejak 13 Jan lalu.

“Saya rasa mematuhi kepada SOP yang ketat lebih baik berbanding kami ditutup terus dan seperti yang boleh kita lihat, sukan adalah keperluan sama seperti makanan, air dan udara, untuk meningkatkan sistem imunisasi kita. Semua kakitangan kami diuji setiap bulan dan keputusannya dipaparkan, kami mensanitasi arena selepas setiap sesi dan melabur untuk membeli gantri pensanitasian, bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Kami juga membahagikan gelanggan kepada lima zon, setiap pasukan hanya bermain di satu zon,” katanya dan menambah fasiliti itu turut mempunyai 21 gelanggang badminton dan empat gelanggang futsal selain kemudahan gimnasium, yoga, ping pong, sepak takraw dan gimnastik.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Longgar sektor sukan diharap manfaatkan industri bola sepak

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Langkah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membentangkan permohonan kelonggaran sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diharap membuahkan hasil terbaik kepada semua pihak termasuk industri bola sepak.

Pemerhati bola sepak Mohd Sadek Mustafa berpendapat kelonggaran menjalani sesi latihan berpasukan terbuka boleh diberi kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M) menjelang sepak mula musim 2021 yang dijadual bermula 5 Mac ini.

Beliau optimis semua pasukan akan memberikan kerjasama mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) serta pendekatan bakal dikenakan bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

“Memang pasukan-pasukan sepatutnya sudah memulakan latihan bersama dari sekarang. Sekurang-kurangnya dapat dibenarkan berlatih untuk dua sesi seperti SOP dikenakan pada musim lepas.

“Jadi diharapkan keputusan positif akan dicapai kerana saya percaya pihak kerajaan juga semestinya akan memikirkan langkah terbaik untuk kebaikan semua pihak dalam tempoh kita berdepan pandemik ini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.

Mohd Sadek yang juga pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyifatkan semua pasukan sedang berlumba dengan masa dalam mempersiapkan pasukan dan memastikan persediaan pada tahap terbaik sebelum saingan bermula.

Beliau berkata dengan masa terhad, pasukan boleh melakukan pengubahsuaian daripada aspek latihan bersesuaian supaya barisan pemain dapat mencapai keserasian di dalam padang dengan segera.

“Jadi kerjasama pasukan dan juga teknikal pasukan serta barisan kejurulatihan amat penting ketika ini untuk mereka menyediakan pelan sepatutnya sebaik sahaja keputusan dibuat berhubung usaha yang telah dibentangkan oleh KBS,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengesahkan KBS membentangkan permohonan kelonggaran bagi sektor sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP pada Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun jelas Reezal Merican, KBS dan MKN sedang meneliti dan memperinci beberapa perkara berkaitan SOP serta pendekatan yang terbaik untuk pertimbangan dan keputusan muktamad dalam masa terdekat termasuk cadangan serta SOP melibatkan aktiviti sukan ‘outdoor’ dan gimnasium.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sathianathan harap Liga-M 2021 berlangsung, laksana SOP ketat

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Di sebalik ketidaktentuan dan ancaman pandemik Covid-19, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) B. Sathianathan berharap saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 tidak berdepan nasib sama seperti musim lepas.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu mengakui bukan sahaja barisan pemain dan pegawai pasukan akan terkesan, malah perjalanan liga yang terganggu turut menjejaskan semua pihak terbabit sekali gus berkemungkinan besar ‘membunuh’ keseluruhan industri bola sepak tempatan.

“Saya fikir sekiranya kita menunggu sehingga Covid-19 reda, ramai pemain industri bola sepak akan gulung tikar. Jadi kita mesti berfikir di luar kotak, bola sepak bukan sukan dimainkan suka-suka, bola sepak adalah sebuah industri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sathianathan, 62, berpendapat dengan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) ketat dan lebih komprehensif saingan Liga-M tidak mustahil berjalan dalam keadaan terkawal selain mampu membendung penularan wabak itu dalam kalangan pemain serta pegawai pasukan.

Menurut beliau, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau kerajaan boleh mengguna pakai pendekatan kebanyakan negara di Eropah yang membenarkan saingan liga berjalan dengan pematuhan SOP ketat.

“Kita tidak boleh batalkan saingan liga, kita mesti menganggap bola sepak sebagai industri dan kemukakan SOP terbaik bagi memastikan perjalanan liga boleh diteruskan. Kita juga boleh melihat dan mengaplikasikan cara liga-liga di Eropah menguruskan perjalanan liga dalam tempoh mencabar ini.

“Dengan SOP itu, kita tunjukkan kepada kerajaan bahawa kita mampu mengambil tanggungjawab ini dengan cekap seterusnya setiap pasukan perlu memainkan peranan masing-masing dalam memastikan segala SOP dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata saingan Liga-M sudah pasti menjadi elemen hiburan buat peminat bola sepak tempatan seterusnya mampu melepaskan lelah seharian dan mengatasi tekanan hidup yang mungkin dihadapi kesan daripada Covid-19.

Namun, beliau beranggapan sekiranya tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan, sepak mula saingan Liga-M 2021 yang dijadual pada 28 Februari perlu diteliti semula memandangkan pasukan bakal menghadapi kesuntukan masa mempersiapkan pasukan.

“Jika minggu ini kerajaan membenarkan sesi latihan berpasukan diadakan, mungkin pada 28 Februari kita tidak menghadapi masalah untuk memulakan liga tetapi jika PKP dilanjutkan dan pasukan masih tidak dibenarkan berlatih, ia mustahil untuk bermula pada tarikh itu,” katanya.

Beliau berkata persiapan paling ideal memerlukan sekurang-kurangnya tujuh minggu bagi mengurangkan risiko kecederaan meskipun kini pemain giat menjalani latihan secara dalam talian.

Impak Covid-19 menyaksikan saingan Liga Super dan Liga Premier 2020 bermula pada Mac terpaksa ditangguh hingga penghujung Ogos manakala beberapa pertandingan utama Liga-M antaranya Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan.

Namun, MFL pada Jumaat lepas mengesahkan saingan Liga-M 2021 tidak akan dibatalkan dengan badan pentadbir Liga-M itu kini sedang membincangkan serta mengkaji mekanisme pelaksanaan saingan itu dalam PKP.

MFL turut dijangka mengeluarkan kenyataan media berhubung kalendar liga tempatan musim 2021 pada minggu ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Harimau Malaya buntu tanpa persediaan optimum hadapi kejohanan

KUALA LUMPUR, 14 JAN: Pasukan bola sepak negara tidak mempunyai pilihan selain terpaksa meneruskan cabaran pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tanpa persediaan optimum seandainya ia diteruskan mengikut perancangan pada Mac depan.

Pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui, skuad bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe berkemungkinan besar tidak dapat dikumpulkan untuk menjalani latihan berpasukan menjelang saingan itu, selepas kem latihan pusat yang dijadual diadakan pada bulan ini dibatalkan.

Malah beliau berkata dengan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2021 yang akan bermula hujung Februari depan, serta ketidaktentuan tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, ia menambah kesukaran dalam usaha mengumpulkan pemain.

“Kita sudah tidak ada pilihan selepas kita tak dapat nak adakan (kem latihan pusat) pada bulan ini. Jika kita nak panggil pemain pada bulan dua (Februari), mereka pasti sibuk dengan persiapan pasukan masing-masing, menjelang Liga-M yang bermula 26 Februari.

“Jadi macam mana kita nak panggil mereka semua untuk sertai kem latihan pusat selama 10 hari, mana ada pasukan ingin lepaskan pemain ketika mereka sedang giat dalam persediaan pramusim,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Bernama, hari ini.

Kem latihan pusat skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 dijadual bermula 15 hingga 26 Januari ini, namun terpaksa dibatalkan ekoran pelaksanaan PKP di enam negeri untuk tempoh 14 hari sehingga 26 Januari.

Pada masa sama, Mohd Yusoff berkata pihaknya kini menunggu keputusan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung jadual saingan kelayakan itu, sama ada ia akan diteruskan pada Mac atau ditangguh untuk diadakan secara karnival pada Jun di lokasi terpilih.

Menurut beliau, pasukan negara boleh memanfaatkan kalendar perlawanan antarabangsa dari 22 hingga 30 Mac depan untuk menjalani kem latihan pusat, sekiranya FIFA memutuskan untuk menunda saingan kelayakan itu pada Jun.

“Pada saya, mereka (FIFA) kena maklumkan cepat, kalau tidak susah semua negara dalam menentukan hala tuju musim ini. Namun apa saja keputusan mereka (FIFA) kita akan buat perancangan baharu atau ubah suai mengikut keadaan tertentu, bagi menghadapi saingan itu.

“Setakat ini, saya melihat kalau perlawanan pada Mac sukar untuk diadakan kem latihan pusat, tetapi sekiranya pada Jun kita masih berpeluang,” jelasnya.

Malaysia dijadual menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 25 Mac, sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Gelaran penyerang terbaik pembakar semangat Eki buru kejayaan bersama Selangor

KUALA LUMPUR, 1 JAN: Kejayaan memenangi trofi penyerang terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2020 (ABK20), membakar semangat penyerang kebangsaan Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi untuk memburu kejayaan lebih gemilang bersama pasukan Selangor, pada saingan Liga Malaysia 2021.

Bekas penyerang Perak itu mengakui terkejut dengan pemilihan untuk dirinya menerima anugerah berkenaan, setelah bergelut dengan prestasi hambar pada musim lalu, selain sukar untuk mendapatkan minit permainan di bawah jurulatih Mehmet Durakovic.

“Memang saya tidak menyangka trofi ini akan menjadi milik saya, kerana kalau kita tengok ada tujuh calon pemain import yang sememangnya cukup berkualiti dan bukan mudah untuk ditandingi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) semalam.

“Namun, saya bersyukur kerana usaha saya untuk menampilkan prestasi terbaik atas padang berbaloi, dan semestinya anugerah yang diterima ini menjadi penghormatan kepada saya untuk melakukan lebih baik pada masa hadapan,” kata pemain berusia 26 tahun itu yang mesra dengan panggilan Eki.

Kejayaan dipilih sebagai anugerah penyerang terbaik itu merupakan kejayaan kali kedua buat pemain kelahiran Tawau, Sabah itu, yang pernah mengungguli anugerah sama sewaktu mewakili PKNP FC pada 2017.

Selain gelaran penyerang terbaik, Muhammad Shahrel Fikri turut membawa pulang trofi penjaring terbanyak Liga Super (pemain tempatan) menerusi ledakan 10 gol pada ABK20 yang majlisnya diadakan secara maya semalam, susulan penularan pandemik Covid-19.

Berkongsi kegembiraan sama adalah pemain pertahanan tengah kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang dinobatkan selaku pemain pertahanan terbaik buat kali kelima, selepas memenangi anugerah sama empat kali sebelum ini iaitu pada 2009, 2010, 2012 dan 2015.

Menurut pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, beliau agak terkejut dengan pemilihan namanya selaku pemenang, kerana berpandangan terdapat calon lain yang lebih layak untuk membawa pulang trofi pemain pertahanan terbaik kali ini.

“Apa-apa pun, saya percaya kepada rezeki dan ternyata tahun ini menjadi rezeki saya selepas kali terakhir menang pada tahun 2015.

“Insya-Allah selagi saya mampu bermain, saya akan sentiasa berikan yang terbaik, tetapi apa-apa pun, saya bermain bola bukanlah semata-mata untuk menang anugerah, tetapi lebih kepada kepuasan sendiri sebab bola sepak adalah karier saya,” kata pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.

ABK20 yang disiarkan secara langsung dari ibu pejabat MFL di Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam menyaksikan pasukan JDT mendominasi keseluruhan anugerah dengan kemenangan lima kategori.

Penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias dipilih sebagai penjaga gol terbaik, disusuli pengendali JDT Benjamin Mora (jurulatih terbaik), pemain sayap kebangsaan Muhammad Safawi Rasid (pemain tengah terbaik), selain gelaran pasukan terbaik turut dimenangi skuad Harimau Selatan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Sokongan peminat tempatan ditagih bangunkan bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Peminat bola sepak Malaysia tidak sepatutnya terlalu memuja kelab luar negara, sebaliknya perlu meningkatkan sokongan mereka terhadap skuad tempatan demi pembangunan sukan itu di negara ini, kata Pengarah yang juga ketua jurulatih Kuala Lumpur Youth Soccer (KLYS) Luis Pablo Pozzuto.

Katanya menerusi sokongan padu terhadap liga luar negara seperti Liga Perdana Inggeris (EPL), La Liga Sepanyol dan Serie A Itali, mereka, tanpa menyedarinya, telah mengabaikan liga tempatan khususnya di peringkat akar umbi.

Pengendali berusia 53 tahun dari Argentina itu yang menetap di negara ini sejak lebih 18 tahun lalu selepas menamatkan karier bersama Pulau Pinang, berkata bagi membolehkan bola sepak tempatan membangun, peminat perlu menunjukkan sokongan kepada pasukan dan pemain dengan menonton perlawanan, termasuk liga kecil.

“Pembangunan mengambil masa… namun kita perlu terlebih dahulu mengubah mentaliti daripada terlalu banyak menonton Liga Inggeris kepada menyaksikan perlawanan bola sepak tempatan. Di Argentina, mereka juga menonton EPL, namun jika ada pasukan divisyen dua (dari Argentina) bermain pada masa yang sama, mereka akan menonton perlawanan divisyen dua itu.

“Kita perlu mempunyai semangat mendalam terhadap kelab kita sendiri, tetapi di Malaysia, peminat lebih berahi terhadap kelab asing. Anda tinggal di KL, tapi kenapa anda lebih sukakan (kelab) Liverpool? Media juga perlu mempromosikan aksi bola sepak tempatan dan menggalakkan masyarakat menonton perlawanan di stadium,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pozzuto adalah antara beberapa pemain profesional yang bertuah kerana berpeluang menerima bimbingan legenda bola sepak mendiang Diego Maradona ketika bermain bersama pasukan Divisyen Pertama Argentina, Deportivo Mandiyu pada 1994.

Pada penghujung kerjayanya, Pozzuto bermain untuk pasukan Kelantan bagi musim 1997 dan 1998 serta Pulau Pinang (2001-2003) dan membantu skuad Harimau Kumbang itu menjuarai Divisyen 1 (Perdana 1) pada 2001 sebelum beralih kerjaya, melatih beberapa pasukan Liga Malaysia seperti Public Bank dan Melaka.

Mengulas lanjut, beliau berkata isu kebantutan pembangunan bola sepak di negara ini tidak akan selesai dengan hanya menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semata-mata memandangkan peminat, pencarian bakat serta sistem pembangunan turut memainkan peranan besar.

Bekas pemain tengah dan juga penyerang itu berkata pasukan yang bermain dalam liga utama harus mempunyai pelan pembangunan pemain pelapis dengan menubuhkan pasukan remaja, bermula pada usia bawah sembilan tahun yang dilatih sehingga mereka boleh menjadi pasukan simpanan.

Katanya secara purata, kanak-kanak lelaki di Malaysia memulakan latihan bola sepak secara serius pada usia 15 tahun, (sedangkan) beliau bermain dalam divisyen pertama ketika berumur 16 tahun.

Jelasnya pada masa sekarang, mereka perlu mula dilatih seawal usia tiga atau empat tahun.

“Untuk menjadi seorang doktor, anda perlu belajar dari peringkat sekolah rendah, menengah hingga universiti. Begitu juga dengan bola sepak, kita perlu ada (pasukan) bawah 9, 12, 15 dan 19 tahun,” katanya.

“Ramai bersungut, macam mana nak biayai program pembangunan sedangkan nak bayar gaji pemain pasukan utama pun ada masalah. Mungkin kejayaan tidak dikecapi sekelip mata, tetapi jika kita berjaya menghasilkan seorang pemain berkualiti, dia boleh dijual kepada pasukan luar… kemudian gunakan wang itu untuk pembangunan. Jika anda tidak melabur, sistem ini tidak akan berjalan,” tegasnya.

Mengenai sistem sekolah sukan, Pozzuto berkata sekolah sukan harus menilai pelajar secara tahunan dan menggantikan mereka yang tidak menunjukkan prestasi cemerlang dengan bakat baharu berpotensi.

– BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

2020 masa ‘rehat’ bola sepak, jana semangat musim depan

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Tanggal 18 Mac 2020 akan terpahat buat selamanya dalam ingatan peminat bola sepak tempatan sebagai permulaan masa ‘rehat’ sukan nombor satu negara itu.

Pastinya tiada siapa boleh membayangkan permainan paling popular di dunia ini juga akan menjadi mangsa pandemik Covid-19 sehingga memaksa kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada hari itu.

Pandemik itu yang meragut lebih 1.6 juta nyawa penduduk dunia setakat ini menjejaskan perancangan hampir kesemua kejohanan, baik di peringkat domestik dan pentas luar negara sepanjang tahun, sehingga menyaksikan skuad kebangsaan menutup tirai 2020 tanpa sebarang aksi antarabangsa berbanding 13 perlawanan tahun lepas.

Lebih menyedihkan akibat penularan virus itu, Piala Malaysia, kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara, buat pertama kalinya dibatalkan sejak 1947 yang pada waktu itu terkesan akibat Perang Dunia Kedua.

Azam Skuad Kebangsaan

Selepas beraksi cemerlang pada 2019, skuad kebangsaan melangkah ke 2020 bersama azam melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023, namun peminat Harimau Malaya terpaksa menunggu lebih lama apabila Covid-19 memaksa pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 ditunda ke tahun depan.

Malah, misi skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menebus kekecewaan setelah muncul naib juara Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2018, juga terbantut apabila beberapa kali ditangguh sebelum AFF memutuskan menunda kejohanan dwitahunan itu pada tahun ini ke Disember 2021 susulan Covid-19.

Pemain Selangor, Ifedayo Olusegun Patrick Omosyi (kanan) mengawal bola sambil diasak pertahanan PDRM pada aksi perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 3 Okt 2020. Foto BERNAMA

Di peringkat domestik, keutamaan kerajaan membendung wabak penyakit berjangkit itu menerusi pelaksanaan PKP memaksa kesemua aktiviti bola sepak profesional serta amatur ‘direhatkan’ seketika sebelum beberapa kejohanan akhirnya terpaksa dibatalkan.

Saingan Liga Super dan Liga Premier muncul dua kejohanan yang diberi kebenaran untuk kembali bersambung tanpa kehadiran penonton selepas tertangguh kira-kira lima bulan sejak Mac, sementara atas faktor kekangan masa Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan Piala FA dan Piala Cabaran.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut sementara Pulau Pinang ditabalkan juara Liga Premier selepas kedua-dua saingan itu kembali bersambung pada penghujung Ogos apabila mendapat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan.

Impak Covid-19 Jejas Saingan

Namun, impak Covid-19 menyaksikan kedua-dua saingan itu dipendekkan kepada satu pusingan merangkumi 11 perlawanan berbanding format asal mempunyai dua pusingan (22 perlawanan), sementara beberapa kejohanan utama dibatalkan bagi memberi laluan kepada berlangsungnya Piala Malaysia.

Bagaimanapun, satu keputusan mengejut apabila Piala Malaysia pada awalnya mendapat kebenaran juga terpaksa dibatalkan selepas pusingan pertama berjaya dijalankan sedangkan kejohanan berprestij itu hanya berbaki tiga pusingan – suku akhir, separuh akhir dan final.

Senario itu membuktikan betapa agenda keselamatan dan kesihatan rakyat menjadi keutamaan kerajaan dalam memerangi Covid-19 dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berpendapat bola sepak membabitkan sentuhan sesama pemain boleh menyebabkan risiko jangkitan wabak itu.

Jurulatih Sementara Selangor Michael Feichtenbeiner memberikan arahan kepada pemain ketika sesi latihan di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FA Selangor) pada 10 Oktober 2020. Foto: Facebook FA Selangor

Ketegasan kerajaan turut terserlah apabila tidak memberi pelepasan kepada pasukan JDT menyertai saingan Liga Juara-Juara AFC 2020 Zon Timur di Doha, Qatar dari 18 Nov hingga 13 Dis susulan dasar kerajaan yang masih kekal menutup pintu sempadan negara.

Dalam pada itu, pembangunan di peringkat belia turut menerima kesan akibat Covid-19 ekoran keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan saingan Piala Belia dan Piala Presiden musim ini.

Malah, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut menangguhkan Kejuaraan Bawah 19 Tahun (B-19) AFC ke Mac 2021, yang mana skuad B-19 negara kendalian Brad Maloney mengintai peluang melakar sejarah menjadi pasukan Malaysia pertama membuat penampilan di pentas Piala Dunia B-20.

Anak Tempatan Bukti Keupayaan

Biarpun Covid-19 memberi tamparan hebat kepada arena bola sepak tempatan, peminat tempatan sebenarnya mempunyai sesuatu untuk dibanggakan serta dikenang pada 2020 apabila dua anak watan berjaya melebarkan sayap menyertai kelab Eropah.

Sejarah tercipta pada 24 Oktober apabila pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan di liga utama Eropah selepas menandatangani kontrak lima tahun bersama pasukan liga profesional Belgium, KV Kortrijk pada Ogos lepas.

Pemain sayap skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid layak beraksi di pentas liga utama Eropah berdasarkan pengalaman dan kemahiran. Foto: Facebook Sapawi Rasid

Sementara bintang JDT yang juga pemain skuad kebangsaan Muhammad Safawi Rasid menarik minat kelab profesional liga Portugal Portimonense S.C untuk dipinjamkan sehingga penghujung musim.

Dalam pada itu, FAM terus mengorak langkah menjalin kerjasama dengan Majlis Sukan Negara (MSN) membentuk Skuad Projek FAM-MSN yang bakal dibimbing bekas pemain kebangsaan Yusri Che Lah dan bakal beraksi dalam saingan Liga Premier bermula musim depan.

Langkah itu merupakan usaha mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam membantu barisan pemain muda negara mengharungi transisi ke pentas senior dan profesional.

Justeru, menjelang musim 2021, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berharap industri bola sepak negara kembali bersinar dengan sokongan semua pihak, selain skuad kebangsaan dapat melakar pencapaian membanggakan dengan layak beraksi pada pentas Piala Asia 2023.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

DYMM Sultan Selangor abadi jersi hadiah Super Mokh di galeri

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

Oleh Norrasyidah Arshad

Sebagai negeri yang terkenal gah dalam arena bola sepak tempatan, sukan itu diambil berat oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Kejohanan Piala Sultan Selangor antara usaha yang dilakukan baginda mulai 2001 bagi menyemarakkan sukan tersebut. Piala yang memasuki edisi ke-19 tahun ini diwujudkan ketika baginda bergelar Raja Muda.

Kejohanan hanya membabitkan pasukan Selangor dan Singapura, dua pasukan handalan selepas Singapura tidak lagi menyertai Piala Malaysia sejak 1995.

Perlawanan itu dianggap penerus antara dua musuh tradisi di padang pada setiap tahun. Ia sekali gus mengukuhkan hubungan antara Selangor dan Singapura khususnya dalam aspek sukan.

Bagaimanapun, Piala Sultan Selangor edisi ke-19 yang dijadual berlangsung 15 Ogos terpaksa dibatalkan berikutan penularan Covid-19.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga kerap mencemar duli menyaksikan perlawanan membabitkan Red Giants termasuk tampil dengan gaya santai dan ada kalanya mengenakan jersi pasukan negeri.

Baginda turut mengambil inisiatif turun bertemu pemain bagi menitipkan kata-kata perangsang, umpamanya sebelum perlawanan dengan Sabah pada peringkat akhir Piala Malaysia 2002.

Apatah lagi, Red Giants ketika era 1970-an memiliki ramai pemain berbakat dan dianggap pemain terbaik negara ketika itu termasuk Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari atau diberi jolokan Super Mokh.

Mokhtar menyertai Selangor pada 1971 dan mewakili negeri ini dalam Pertandingan Piala Burnley (sekarang Piala Razak), di Kuching, Sarawak. Perlawanan pertama menentang Kedah dan menjaringkan gol pertamanya pada perlawanan itu.

Pada 1986, Sultan Sharafuddin menerima hadiah jersi keramat nombor 10 milik Super Mokh. Jersi itu diberikan Mokhtar selepas memimpin Selangor menjuarai Piala Malaysia.

Hadiah itu amat dihargai baginda dan disimpan di Muzium Galeri Bola Sepak Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

Selain jersi, baginda Sultan Selangor juga turut menyimpan pelbagai koleksi berkaitan bola sepak yang dikumpul sejak menjadi Raja Muda termasuk keratan akhbar berkaitan kejayaan pasukan Selangor.

Cetusan idea muzium itu juga jelas menggambarkan bola sepak sebagai satu perkara yang amat akrab di hati baginda.

Baginda merasakan bola sepak mampu menyatupadukan rakyat berbilang kaum yang menghuni negerinya.

Terbaru, Kasut Emas milik bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus yang dibeli baginda pada 14 September lalu turut ditempatkan di muzium berkenaan.

Kasut Emas penyerang kebangsaan itu yang diterima pada 2002 melalui Anugerah Kasut Emas dibeli dengan satu nilai harga yang tidak didedahkan.

Langkah Sultan Sharafuddin mendapat pujian ekoran Khalid mengambil keputusan menjual koleksi kesayangannya berikutan masalah kewangan sejak tiga tahun lalu.

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

AFF tingkat kerjasama bangun semula hala tuju bola sepak

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) meningkatkan kerjasama dengan semua negara anggota badan itu dalam mencari jalan serta hala tuju sukan bola sepak pasca-Covid-19.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata semua pihak harus bersuara dalam mencari jalan terbaik buat industri bola sepak untuk kekal makmur seandainya Covid-19 tidak dapat dibendung sepenuhnya.

“Kami mengharapkan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan negara anggota AFF agar dapat membantu ahli gabungan menaikkan standard bola sepak Asia Tenggara terutama ketika berdepan senario ketidaktentuan Covid-19,” katanya dalam kenyataan selepas Kongres AFF ke-27 yang dijalankan secara maya hari ini.

Menurut Hamidin, kongres yang diadakan secara maya itu turut membincangkan agenda lain antaranya mengenai penyata kewangan untuk tahun berakhir 31 Disember 2019 dan laporan aktiviti badan induk itu sepanjang 2020.

Berikutan Covid-19, AFF pada Julai lepas mengumumkan penundaan baki semua kejohanan bola sepak dan futsal di bawah naungannya termasuk Piala AFF yang ditunda ke April hingga Mei tahun depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pengadil bola sepak perlu wibawa, perbaiki mutu – Subkhiddin

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bekas pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kebangsaan Subkhiddin Mohd Salleh mencabar barisan pengadil tempatan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab supaya kewibawaan mereka di atas padang tidak dipersoalkan.

Menjelang saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula awal bulan depan, Subkhiddin yang merupakan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menggalakkan setiap pengadil kebangsaan membuat persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.

Subkhiddin, 53, berkata persediaan dari segi pemahaman mengenai bola sepak dan keupayaan membaca perlawanan dapat mengelak seseorang pengadil daripada membuat keputusan meragukan sehingga gagal mengawal perlawanan dengan baik.

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata pengadil yang tidak bersedia akan berasa tertekan ketika menjalankan tugas yang turut berpotensi mempengaruhi keputusannya di atas padang.

“Pengadil kalau tidak bersedia, dia akan menjadi seperti yo-yo, sentiasa susah hati memikirkan apa yang perlu dibuat dalam sesuatu perlawanan itu,” katanya kepada Bernama.

“Pengadil perlu ada pengetahuan tentang perlawanan yang ditugaskan, gaya permainan kedua-dua pasukan, kedudukan semasa, rekod perlawanan. Apabila semua input berada dalam genggaman baru boleh imbangi pengadilan dengan baik,” tambah Subkhiddin.

Menyentuh mengenai keupayaan membaca perlawanan, beliau berkata pengadil harus bijak menjangkakan sesuatu insiden berdasarkan intensiti perlawanan ketika itu, sambil menekankan kedudukan di atas padang memainkan peranan penting dalam membantu pengadil membuat sebarang keputusan.

Jelas beliau, pengadil sering kali tersilap membuat keputusan apabila tidak dapat melihat kejadian dengan jelas akibat gagal berada di kedudukan yang tepat ketika sesuatu insiden berlaku dalam perlawanan tersebut.

“Pengadil perlu selalu berada hampir di kawasan yang dijangkakan kerana mereka akan lebih berada dalam keadaan tenang dan bersedia untuk membuat sesuatu keputusan. Jika pengadil asyik sampai selepas insiden berlaku, mereka tidak nampak apa proses tersebut,” katanya.

Pada masa sama, Subkhiddin turut menggalakkan pengadil kebangsaan menjadi lebih kreatif dengan memperbanyakkan menonton perlawanan di Internet sebagai alternatif kepada kekangan dihadapi dalam membuat persediaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.

Di Malaysia, kemuncak kepada ketidakpuasan hati peminat terhadap mutu pengadilan tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan memaksa FAM beralih menggunakan khidmat pengadil profesional dari Jepun bagi mengadili aksi final Piala FA musim lepas.

Namun, kesalahan serta kecuaian dalam membuat keputusan melibatkan beberapa aksi berprofil tinggi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, menyaksikan mutu pengadilan tempatan masih pada tahap membimbangkan.

Enggan meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu pengadil kebangsaan, Subkhiddin mengakui kebanyakan pengadil kebangsaan bukan berstatus profesional dan mempunyai pendapatan tetap, sebaliknya tugasan mengadili perlawanan adalah pekerjaan sambilan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM tidak boleh lepas tangan dan perlu bawa masalah pengadil ini. Walaupun mereka tidak dibayar secara profesional, bantulah mereka untuk jadi lebih profesional kerana mereka tidak fikir pasal penat atau masalah bayaran sebaliknya hanya fikiran tertumpu pada perlawanan.

“Ia salah satu cara untuk bantu pengadil lebih fokus menjelang tugasan mereka, kalau dia datang ke perlawanan dengan masalah, dia akan hilang konsentrasi,” tegas Subkhiddin.

Bagi menjaga kualiti mutu pengadilan tempatan, Jawatankuasa Pengadil FAM baru-baru ini menggantung tugas empat pengadil serta empat lagi diberikan amaran keras berikutan prestasi tidak konsisten mengadili saingan Liga-M musim ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Mutu pengadilan jadi tumpuan, elak kontroversi

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Barisan pegawai perlawanan tempatan sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila mereka perlu melaksanakan tanggungjawab mengadili saingan Piala Malaysia 2020 yang dijangka bermula awal November depan, dengan penuh berkesan dan mengelak daripada membuat keputusan yang mengundang kontroversi.

Mutu pengadilan berkualiti secara konsisten menjadi tuntutan dan harapan utama setiap pemain, jurulatih dan pihak pengurusan pasukan terutama melibatkan perlawanan berprofil tinggi dalam sesuatu kejohanan utama.

Malah, peminat yang masih setia memberikan sokongan kepada aksi bola sepak tempatan turut mengharapkan setiap perlawanan bebas daripada dicemari insiden membabitkan keputusan pengadil yang meragukan.

Mengambil contoh saingan Liga Super dan Liga Premier musim ini, kesalahan serta kecuaian dalam membuat keputusan melibatkan beberapa aksi berprofil tinggi menyaksikan mutu pengadilan tempatan masih di tahap membimbangkan.

“Dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) ada (pengadil) memang teruk tetapi ramai yang bagus. Ada mempunyai standard sangat tinggi, ada pula perlu diawasi,” kata jurulatih berpengalaman dan bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan B Sathianathan.

Sepanjang lebih sedekad membimbing pasukan beraksi di Liga-M, bekas pengendali Selangor, Felda United, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan itu mendakwa hanya beberapa pegawai perlawanan sahaja yang mampu melaksanakan tugas dengan baik sepanjang perlawanan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa sehingga kini barisan pengadil muda berpotensi tidak diketengahkan secara serius selain pengadil yang mendapat panggilan mengadili aksi antarabangsa, diberi peluang dalam kancah saingan tempatan.

“Ada beberapa pengadil saya puji terutama yang muda, ada sudah pun bertugas dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia, jadi takkan mereka tidak boleh diberikan tugas mengadili aksi tempatan.

Beberapa pengadil muda ini mereka dibentuk sejak enam tahun lepas menerusi program mengenal pasti bakat anjuran Jabatan Pengadil FAM dan dalam kumpulan pengadil yang terpilih, tiga daripadanya sekarang memang ada standard tinggi,” kata Sathianathan.

Sementara itu, Jawatankuasa Pengadil FAM baru-baru ini menggantung tugas empat pengadil serta empat lagi diberikan amaran keras berikutan prestasi tidak konsisten mengadili saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Sathianathan berkata langkah itu yang bertujuan memberi pengajaran kepada barisan pengadil supaya tidak mengulangi kesilapan sama, bukan alternatif terbaik memandangkan tindakan itu sebelum ini turut gagal dalam memperbaiki kelemahan pengadil.

Sebaliknya, beliau beranggapan pihak pengurusan pasukan perlu memainkan peranan dalam membantu FAM mengatasi isu mutu pengadilan.

Beliau berkata pasukan yang terpalit dengan kontroversi melibatkan keputusan pengadil perlu tampil lebih profesional dengan membuat bantahan rasmi kepada FAM dan bukannya menerusi pihak media semata-mata.

FAM bakal menampilkan 10 muka baharu pegawai perlawanan tempatan pada saingan Piala Malaysia musim ini, yang bermula 6 November dengan kesemuanya bakal menggalas tugas sebagai penolong pengadil.

-BERNAMA