Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia longgar pintu sempadan, PRK Chini dalam kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Selepas lebih tiga bulan Malaysia menutup pintu sempadan negara bagi menghalang kemasukan warga asing, larangan tersebut mula dilonggarkan secara berperingkat dalam pasca-Covid-19 yang kini memasuki fasa pemulihan.

Memasuki hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan mula membuka pintu masuk negara dengan membenarkan kemasukan kumpulan ekspatriat tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Kebenaran diberikan kepada ekspatriat yang dalam Kategori Ep1, Pas Lawatan Profesional dan Pas Residen Kepada Golongan Berbakat yang melibatkan pengurusan tertinggi.

Selain itu, dalam pertimbangan untuk memberi kelonggaran kepada warga Singapura dan Brunei yang ingin memasuki negara ini sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Langkah tersebut sebagai timbal balas kepada Singapura dan Brunei yang turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka, tanpa sebarang sekatan.

Walaupun kelonggaran diberikan namun setiap daripada mereka mestilah menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

Langkah ini penting untuk memastikan tidak ada jangkitan Covid-19 import yang masuk ke negara ini bagi memastikan perjuangan membendung penularan wabak ini akan menemui kejayaan sepenuhnya.

Selain itu, hari ini juga adalah hari pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Chini, yang mencatat sejarah – kebiasaan baharu perjalanan pilihan raya di negara ini.

Antaranya yang diperkenalkan ialah penyokong parti tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga jarakan sosial.

Kelonggaran lain kepada calon dan parti ialah berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja, selain hanya tiga orang dibenarkan berkempen dari rumah ke rumah dan digalakkan menggunakan platform dalam talian dan media sosial.

Semoga semua yang terbabit tidak kira calon, pengundi dan penyokong patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak timbul kluster PRK DUN Chini pula kelak!

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Lawatan Agong ke Brunei perkukuh hubungan diraja

BANDAR SERI BEGAWAN (Brunei), 17 OGOS: Lawatan negara tiga hari Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke Brunei bermula esok, bakal mengukuhkan lagi hubungan diraja antara kedua-negara yang terjalin sejak 35 tahun lepas.

Brunei merupakan negara sulung yang dikunjungi Sultan Abdullah sejak ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai lepas.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, Ismail Salam ketika ditemui wartawan Malaysia berkata sudah menjadi kebiasaan bagi Malaysia untuk mengadakan lawatan ke negara Islam dan negara Melayu beraja.

“Ini merupakan tradisi yang kita ikuti selama ini. Lawatan ini juga merupakan tradisi untuk terus mengukuhkan jalinan antara hubungan diraja antara kedua negara.

“Ia lebih kepada hubungan secara am yang ingin dirapatkan terutamanya kerjasama yang sedia terjalin yang akan terus dipertingkatkan untuk masa hadapan,” katanya dalam sidang media di Pejabat Kedutaan Malaysia ke Brunei di sini, hari ini.

Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijadual berangkat ke ‘negara zikir’ itu esok (Ahad).

Ismail berkata banyak perkara yang boleh dicapai menerusi hubungan baik itu antaranya meningkatkan ekonomi pelancongan serta pendidikan Malaysia dan Brunei.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri hari ini, lawatan itu juga sebagai mengenang kembali lawatan bersejarah Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang merupakan Yang di-Pertuan Agong pertama mengadakan Lawatan Negara ke Brunei sebaik sahaja negara itu mencapai kemerdekaan pada 1984.

Hubungan akrab antara ketua utama kedua-dua negara itu juga terserlah, apabila Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha merupakan antara tetamu Diraja dari negara luar yang berangkat menghadiri istiadat pertabalan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang berlangsung di Istana Negara hujung bulan lepas.

Berdasar pemerhatian Bernama, kemesraan Brunei mengalu-alukan ketibaan pasangan diraja dari Malaysia itu juga begitu dirasai apabila Jalur Gemilang turut berkibar megah, bersama-sama bendera rasmi negara itu di persisiran jalan sekitar Bandar Seri Begawan.

Sempena kunjungan itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong antara lain dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara, Majlis Menghadap dan Majlis Santapan Diraja yang akan dihoskan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.

Sultan Hassanal Bolkiah sempena lawatan itu turut berkenan menganugerahkan Darjah Kerabat Mahkota Brunei (D.K.M.B) iaitu bintang kebesaran tertinggi negara itu kepada Yang di-Pertuan Agong dan Darjah Kerabat Laila Utama Yang Amat Dihormati (D.K) kepada Raja Permaisuri Agong.

Yang di-Pertuan Agong pula akan menganugerahkan Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada isteri Sultan Brunei, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.

Selain itu, Sultan Abdullah dan isteri turut dijadual menghadiri Majlis Santapan Malam bersama rakyat Malaysia di negara itu dan melawat beberapa tempat bersejarah dan Jabatan Kerajaan di Bandar Seri Begawan.

Brunei merupakan rakan dagangan penting Malaysia dengan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada tahun lepas adalah sebanyak USD981.2 juta (RM3.9 bilion) dan Brunei merupakan negara ketujuh terbesar daripada rakan dagangan di rantau Asia Tenggara.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

Malaysia terus desak Laut China Selatan kekal bebas

SINGAPURA 21 OKT: Malaysia akan terus mendesak supaya Laut China Selatan dikekalkan sebagai zon yang bebas daripada sebarang persaingan dan peningkatan ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, desakan itu akan terus dilakukan walaupun kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan China memberi jaminan akan menjadikan laluan antarabangsa itu kawasan yang selamat.

Kebimbangan tercetus semula berikutan hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang kedua-dua negara itu di Laut China Selatan pada 30 September lalu.

Katanya saranan untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman telah dilakukan sejak daripada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah sekarang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita mahu negara-negara kuasa besar menghormati Laut China Selatan adalah kawasan aman dan berkecuali,” katanya.

Mohamad yang berada di sini sejak 18 Oktober, mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari mulai 19 Oktober.

Mohamad berkata di forum terbuka, kuasa-kuasa besar ini sentiasa menyatakan mereka menghormati undang-undang perairan antarabangsa namun realiti adalah sebaliknya.

“Itu pengakuan mereka tetapi dalam realitinya kita lihat baru-baru ini hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang di Laut China Selatan di kawasan Spratly Island.

“Semua negara Asean termasuk Pengerusinya Singapura mengatakan kalau berlaku perlanggaran pada hari itu mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) mungkin berlainan berlaku. Adakah jadi mesyuarat atau tidak atau mesyuarat nak bincang hal apa,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Brunei temui telaga minyak & gas darat pertama dalam 37 tahun

BANDAR SERI BEGAWAN 15 APRIL: Brunei berjaya menemui semula telaga minyak dan gas di Telaga Layang-Layang di kawasan Lumut yang merupakan penemuan darat signifikan pertama bagi Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dalam tempoh 37 tahun.

Media tempatan negara itu MEDIA PERMATA melaporkan jumlah sebenar penemuan penting itu masih belum dinilai tetapi kiraan awal menunjukkan bahawa sasaran awal iaitu 18mmboe telah dilepasi.

Dilaporkan potensi pendapatan adalah bersamaan dengan kira-kira 15 peratus daripada belanjawan tahunan negara sebanyak B$6 bilion (kira-kira RM19 bilion).

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini, BSP berkata, penemuan minyak dan gas Layang-Layang itu merupakan yang pertama menggunakan konsep geologi terbaru iaitu Shale diapir trap.

Shale diapir trap diterjemahkan daripada data seismos dan kajian singkapan  kawasan Brunei (Brunei field outcrop studies). Shale diapir merupakan satu ruang luas yang disuntik dengan Syal (Shale) di bawah tekanan sub permukaan yang tinggi dan sebelum ini, tidak dianggap sebagai mekanisme perangkap sah (valid trap mechanisme) untuk BSP sehingga sekarang.

Apa yang menjadikan penemuan itu satu yang menakjubkan adalah penggunaan teknologi pemprosesan seismos baru dan terkini dengan data lama yang sedia ada.

Telaga sedalam 4,319 meter; lebih daripada tinggi Gunung Kinabalu iaitu 4,095 meter; ditemui di Layang-Layang dalam kawasan Lumut, Daerah Belait selepas 37 tahun tempat sama pernah diteroka.

Walaupun sudah berusia lebih 80 tahun, ia merupakan satu kurnia yang terus berjasa di mana Seria merupakan kelahiran bagi industri minyak dan gas di Brunei dan akan terus menjana masa depan Brunei bagi generasi  mendatang.

P4-A_13417Menurut kenyataan tersebut, paling bermakna apabila telaga digerudi selama 567 hari tanpa rekod kemalangan itu dijumpai berdekatan pedalaman Seria, lapangan minyak pertama dan tertua di Brunei dibuka pada 1929 lalu.

Untuk rekod, sejak 88 tahun terdapat lebih 900 telaga cari gali sekitar lapangan medan tersebut, namun kini hanya kira-kira 350 buah yang masih lagi beroperasi mengeluarkan sejumlah 167,000 tong minyak sehari untuk Brunei.

Dianggarkan telaga baharu itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak 18 juta tong minyak manakala tiga lagi telaga telah dikenal pasti positif berada di kawasan tersebut yang bakal diteroka sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Sekitar 90 peratus sumber ekonomi Brunei adalah daripada hasil minyak termasuk di perairan Laut China Selatan seluas lebih 10,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 100 kilometer dari pantai.

Selain daripada kempen penerokaan itu, minyak yang ditemui di Telaga Layang-Layang berkenaan akan terus dinilai dan dimajukan dengan sasaran tinggi ditetapkan bagi produksi pertama pada 2018 menerusi saluran paip ke BLNG dan SPARK yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Telaga Layang-Layang.

Penerokaan itu dijangka membawa kepada lebih banyak perkembangan minyak dan gas darat pada masa akan datang serta membuka lebih banyak peluang bagi Brunei dalam sektor hiliran.

Pengarah Urusan BSP, Dr Ceri Powell berkata, pencapaian itu merupakan sesuatu yang amat menarik di mana ia menunjukkan bagaimana teknologi terkini dan teknik canggih dalam penterjemahan data boleh membuka pelbagai peluang yang baru.

 Gambar ihsan BSP

=EZY=