Categories
PENDAPAT RENCANA

Malaysia, Singapura perlu perkemas SOP rentas sempadan

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Malaysia dan Singapura perlu memperkemas tatacara operasi piawai (SOP) sebelum membenarkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara yang dikenakan sekatan sejak Mac susulan penularan pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kedua-dua negara perlu mempunyai persefahaman bersama selain membincangkan langkah untuk mengurang atau menangani risiko sekiranya berlaku sebarang jangkitan.

Beliau berkata Malaysia hendaklah lebih bersifat memilih untuk bertolak ansur dalam soal ini kerana dibimbangi kelak akan berlaku penularan Covid-19.

“Bagi Singapura, kita bermula bulan ini, kita boleh melaksanakannya. Bagaimanapun, kita perlu meneliti situasi yang menyaksikan data positif Singapura pada kadar 8.2 peratus (daripada 1,000 penduduk) manakala Malaysia pada kadar 0.9 peratus… kita perlu memutuskan siapa yang akan dibenarkan masuk.

“Tidak semua orang di Singapura dibenarkan masuk, kita sama sekali tidak akan membenarkan kumpulan pekerja asing di negara itu masuk. Mungkin rakyat Singapura dan ekspatriat yang tinggal di sana lebih enam bulan dibenarkan masuk,” katanya dalam webinar yang diadakan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia bertajuk ‘Malaysia: Responding to the Covid-19 pandemic’ semalam.

Teliti Situasi Kedua-Dua Negara

Beliau berkata Malaysia dan Singapura juga perlu meneliti situasi kedua-dua negara dan jika ia kondusif, ia boleh dilaksanakan.

Dr Noor Hisham juga berkata perbincangan dengan negara lain seperti Singapura, Brunei, Australia dan New Zealand masih berlangsung.

“Jika sebuah negara berada dalam zon merah, sebuah lagi dalam zon hijau, agak sukar untuk negara dalam zon hijau menerima pelancong negara zon merah.

“Kami perlu meneliti situasi dari semasa ke semasa. Kami lakukan secara berperingkat bagi perniagaan, sebagai contoh kami membenarkan perniagaan yang membawa maksud anda boleh masuk dan memohon, kemudian kami boleh benarkan.

“Bagaimanapun, bagi jumlah pelancong yang besar, kami tidak akan benarkan namun bagi perniagaan adalah dibenarkan… kami akan mengenakan kuarantin ke atas anda. Terdapat risiko rentas sempadan, kebimbangan kedua-dua negara tetapi perlu memperkemas SOP sebelum melaksanakannya,” katanya.

Merujuk data jumlah ujian bagi setiap 1,000 penduduk sumber Our World in Data University of Oxford setakat 3 Ogos menunjukkan Malaysia menjalankan sebanyak 30.25 ujian dan pada kadar positif 0.91 peratus; Korea Selatan sebanyak 30.47 ujian pada kadar positif 0.90 peratus, Jepun sebanyak 8.63 ujian (4.30 peratus), Thailand 5.43 ujian (0.90 peratus), Singapura 105.35 ujian (8.20 peratus), New Zealand 97.91 ujian (0.30 peratus), Kanada 109.78 ujian (2.80 peratus) dan Australia 170.45 (0.40 peratus).

“Malaysia, Korea Selatan dan Thailand mempunyai kadar 0.9 peratus yang bermakna ketiga-tiga negara berjaya membendungnya namun bukan di Singapura kerana semalam kita boleh melihat sejumlah 256 kes, jadi kes masih meningkat di luar sana dalam komuniti yang bermakna mereka perlu meningkatkan ujian.

“Lihat New Zealand yang mempunyai kadar ujian sebanyak 97.91 (bagi 1,000 penduduk), mereka amat bagus kerana kadar positif mereka sudah pun 0.3 peratus. Kanada contohnya melakukan banyak ujian namun kadar positif ialah 2.8 peratus. Berbanding kita, kita setara atau lebih baik berbanding negara lain,” katanya.

Belajar Tangani Covid-19 

Sementara itu, beliau berkata terdapat banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada negara seluruh dunia dalam usaha menangani pandemik Covid-19 dan Malaysia setakat ini bertuah kerana dapat mengharungi semua ini dalam bulan-bulan mencabar tanpa sebarang kesan buruk kepada kesihatan dan ekonomi negara.

“Kesemua ini berlaku berikutan kepimpinan yang mantap dan keyakinan rakyat terhadap sains dan fakta, bukannya khabar angin dan kebimbangan,” katanya.

Turut hadir dalam webinar itu Timbalan Pengerusi EuroCham Malaysia Luciano Pezzota dan Ketua Pegawai Eksekutif EuroCham Malaysia Sven Schneider.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ekspatriat pengurusan tertinggi dibenar masuk Malaysia mula 24 Jun

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Ekspatriat kategori EP1 melibatkan pengurusan tertinggi dibenarkan masuk ke Malaysia mulai Rabu ini (24 Jun), kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata individu dalam kategori EP1 seperti pengarah urusan syarikat dibenarkan masuk ke negara ini secara automatik tanpa perlu mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Imigresen.

“Apabila mereka ini tiba di Malaysia, pihak Imigresen akan membuat semakan terhadap pas ekspatriat sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Selain itu, ekspatriat daripada kategori EP1 ini perlu memuat turun aplikasi MySejahtera serta menjalani ujian saringan Covid-19 melalui pengambilan swab,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khairul Dzaimee berkata demikian mengulas berhubung keputusan kerajaan yang kini membenarkan ekspatriat kategori EP1 masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau berkata pelajar tempatan yang ingin ke luar negara bagi tujuan menyambung pengajian juga dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal Jabatan Imigresen mulai Rabu ini.

“Pelajar hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan terus memantau kemasukan warga asing di pintu-pintu masuk utama negara bagi mengelak pembolosan terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan kini membenarkan ekspatriat melibatkan pengurusan tertinggi masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

Ismail Sabri berkata mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia longgar pintu sempadan, PRK Chini dalam kebiasaan baharu

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Selepas lebih tiga bulan Malaysia menutup pintu sempadan negara bagi menghalang kemasukan warga asing, larangan tersebut mula dilonggarkan secara berperingkat dalam pasca-Covid-19 yang kini memasuki fasa pemulihan.

Memasuki hari ke-11 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kerajaan mula membuka pintu masuk negara dengan membenarkan kemasukan kumpulan ekspatriat tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen Malaysia.

Kebenaran diberikan kepada ekspatriat yang dalam Kategori Ep1, Pas Lawatan Profesional dan Pas Residen Kepada Golongan Berbakat yang melibatkan pengurusan tertinggi.

Selain itu, dalam pertimbangan untuk memberi kelonggaran kepada warga Singapura dan Brunei yang ingin memasuki negara ini sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Langkah tersebut sebagai timbal balas kepada Singapura dan Brunei yang turut memberi kelonggaran kepada rakyat Malaysia untuk masuk ke negara mereka, tanpa sebarang sekatan.

Walaupun kelonggaran diberikan namun setiap daripada mereka mestilah menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

Langkah ini penting untuk memastikan tidak ada jangkitan Covid-19 import yang masuk ke negara ini bagi memastikan perjuangan membendung penularan wabak ini akan menemui kejayaan sepenuhnya.

Selain itu, hari ini juga adalah hari pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri kawasan Chini, yang mencatat sejarah – kebiasaan baharu perjalanan pilihan raya di negara ini.

Antaranya yang diperkenalkan ialah penyokong parti tidak dibenarkan mengiringi calon dan hanya boleh berada 1.5 kilometer dari dewan itu bagi menjaga jarakan sosial.

Kelonggaran lain kepada calon dan parti ialah berkempen secara berceramah dengan kapasiti tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa dan tempat serta terhad di premis tertutup sahaja, selain hanya tiga orang dibenarkan berkempen dari rumah ke rumah dan digalakkan menggunakan platform dalam talian dan media sosial.

Semoga semua yang terbabit tidak kira calon, pengundi dan penyokong patuh kepada saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya tidak timbul kluster PRK DUN Chini pula kelak!

-BERNAMA