Categories
NASIONAL SELANGOR

21 keluarga warga emas dapat sumbangan DUN Sri Muda

Adun Sri Muda Suhaimi Shafei 01

SHAH ALAM 19 SEPTEMBER: Suhaimi Shafei berkesempatan mengadakan kunjungan dan menyampaikan barangan keperluan harian kepada 21 keluarga warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda.

Program Ziarah Kasih Warga Emas itu bertujuan bertanya khabar dan membantu meringankan bebanan golongan berkenaan.

Suhaimi berkata, setiap bantuan perlu dilakukan secara menyeluruh selain memastikannya sampai kepada penerima tanpa mengira kaum dan keturunan.

“Program menziarahi ke rumah ini bukan semata-mata menyampaikan sumbangan malah ia memberi ruang kepada penduduk mengutarakan masalah setempat, contohnya masalah pemparitan serta jalan yang berlubang.

“Selaras dengan slogan meneruskan kecemerlangan selangor justeru setiap lapisan masyarakat kita raikan,” katanya sambil menyatakan program sejak Ramadan itu akan diteruskan ke seluruh kampung.

Dalam lawatan dua hari itu, Suhaimi melawat ke 21 rumah sekitar Kampung Baru Hicom, Jalan Kebun, Flet Sri  Proton, Seksyen 27, Alam Megah dan Bukit Naga.

Rata-rata warga emas gembira dengan kehadiran Suhaimi dan mengakui bersyukur pemimpin setempat mengambil berat tentang keadaan warga emas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Minta TNB, TM Baiki Kabel Runtuh Punca Banjir Kilat

yb shuhaimiSHAH ALAM, 18 DIS : Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM) digesa segera bertindak terhadap runtuhan jambatan kabel yang menyekat laluan air ke Sungai Kandis, di sini sehingga mengakibatkan banjir kilat di beberapa kawasan di Sri Muda.

Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, pihaknya membuat aduan kepada jabatan berkaitan pada 3 November lepas, namun sehingga kini masih tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau berkata, ekoran kejadian itu, banjir kilat dilaporkan masih berlaku sehingga semalam di sekitar kawasan Bukit Naga, Kampung Sri Gambut, Kampung Batu Lapan, Taman Sri Meena, Sentosa, Taman Mewah Jaya dan Bukit Rimau.

“Punca utama berlakunya banjir sudah tentu disebabkan hujan lebat, namun ia turut membabitkan masalah saliran. Kita  banyak bersihkan saliran tetapi masih terdapat parit yang yang belum dibaiki salah satunya kabel voltan ke arah Sungai Kandis.

“Jadi itu antara punca yang menyebabkan air tersekat dan tidak boleh mengalir. Bila air banyak, saliran itu akan bergerak perlahan dan menyebabkan banjir kilat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Beliau berkata, sebagai langkah awal, pihaknya memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasi masalah berkenaan.

Katanya lagi, insiden banjir kilat kawasan Sri Muda dilaporkan berlaku sejak 16 November lalu.

“Untuk kawasan yang teruk dilanda banjir seperti Kampung Johan Setia, pihak JPS telah mengambil tindakan membersihkan 11 parit sepenuhnya. Maka apabila hujan turun, air tidak masuk ke dalam rumah dan mengalir terus ke Sungai Air Hitam.

“Beberapa kawasan lain belum diatasi sepenuhnya ekoran utiliti masih belum dibaiki. Bagaimanapun, kita akan laksanakan tindakan segera,” ujarnya.