Categories
AGENDA NASIONAL

Keliru ketika berurusan punca pengunjung menunggu lama di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seorang suri rumah sanggup menunggu dua jam awal untuk memotong gelang kuarantin di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati walaupun kaunter dibuka jam 9 pagi.

Lina Salleh, 56 berkata dia bersama anaknya datang awal bagi mengelak berlaku kesesakan namun tidak menyangka perlu beratur panjang dan mengambil masa yang agak lama.

Lina Salleh.

“Saya datang tadi pukul 7 pagi dan ini baru selesai setengah jam tadi kira-kira 11.30 pagi. Penat, menggigil badan sebab beratur lama,” katanya yang mendakwa mendapat jangkitan dari anaknya yang keluar bekerja.

Pemandu peribadi, Mohamad Nasarudin Mohd Azmi, 26, pula berkata dari jam 8 pagi sehingga jam 11.30 pagi dia masih lagi menunggu ibunya yang beratur bagi dinilai tahap kesihatan selepas didapati positif Covid-19.

Mohamad Nasarudin Mohd Azmi.

“Ini pun saya tanya tadi dia baru dekat tengah-tengah belum masuk dalam lagi, mungkin jam 2 petang baru siap,” katanya yang tidak pasti bagaimana ibunya dijangkiti Covid-19 sedangkan tidak keluar rumah, manakala beliau dan bapanya didapati negatif ketika disaring.

V Somasundaran, 42, berkata dia menemani isterinya yang positif Covid-19 bagi dibuat penilaian selepas beberapa rakan sekerja di pasar raya dijangkiti wabak.

V Somasundran.

Katanya, ini kali pertama mereka ke CAC berkenaan dan keliru untuk berurusan buat kali pertama kerana tidak mendapat maklumat yang jelas.

“Dia tersalah beratur tadi nasib baik ada yang beritahu jika tidak mesti kena tunggu lama. Saya harap petugas dapat maklum lebih kerap bagi mengelak orang ramai dari tersilap,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MBSA mula bertugas 6 pagi elak sesak di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 17 JULAI: Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mula bertugas seawal 6 pagi di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini bagi memastikan kelancaran proses terutama mengelak kesesakan.

Pembantu penguat kuasa Mohd Shukri Shafieai berkata walaupun pusat berkenaan hanya dibuka pada 9 pagi, lima anggota bertugas perlu bersiap sedia berikutan orang ramai mula beratur seawal 7 pagi.

“Kita nak elak kesesakan kerana ada yang meletak kenderaan di kawasan tidak dibenarkan. Selain itu kita juga maklumkan lorong mana mereka perlu beratur bagi mengelak tersalah barisan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pembantu Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Mohd Shukri Shafieai. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI

Beliau berkata pihaknya memberi arahan dan makluman menggunakan pembesar suara bagi menjaga keselamatan diri masing-masing.

Hafizul Harun yang juga pembantu penguat kuasa MBSA berkata tiga kali khemah bertugas terpaksa ditukar dengan yang terakhir di kawasan tinggi dan berpagar susulan terdapat rakan mereka dijangkiti Covid-19.

“Ketua Polis Daerah Shah Alam pun arahkan kami elak dari turun dari sini kerana khuatir akan dijangkiti.

“Sebelum ini kami di bawah, jadi ada yang datang bertanya walaupun sudah jaga jarak tetapi terdapat beberapa rakan dijangkiti,” katanya.

Katanya, situasi semasa di CAC Stadium Malawati kian terkawal selepas beberapa pusat penialaian lain turut dibuka setiap hari bagi mengelak kesesakan seperti terjadi pada 12 Julai lalu.

Pada 15 Julai, CAC di Selangor dibuka setiap hari berbanding Isnin hingga Jumaat seperti sebelum ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu telah dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam pertemuan mereka susulan kesesakan berlaku di Stadium Malawati dan Sri Andalas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

CAC Stadium Malawati terkawal, sedikit sesak sebelah pagi

SHAH ALAM, 17 JULAI: Tersalah barisan dan datang terlalu awal antara faktor Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini, hari ini sedikit sesak pada waktu pagi.

Tinjauan SelangorKini pada jam 10 pagi mendapati terdapat individu positif Covid-19 beratur bersama mereka yang mahu memotong gelang tamat kuarantin hingga menyebabkan barisan panjang.

Kekeliruan itu berlaku berikutan orang ramai mula beratur seawal jam 7 pagi sedangkan CAC hanya dibuka pada jam 9 pagi.

Situasi bagaimanapun terkawal sebaik petugas  datang memaklumkan orang ramai lorong tepat untuk beratur sama ada lorong golongan positif Covid-19 atau  lorong memotong gelang kuarantin.

Terdapat juga petugas yang lengkap memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) menolak troli berisi air mineral untuk diberikan kepada mereka yang sedang beratur.

Sekitar jam 11.30 pagi keadaan kembali tenang dan teratur di mana tiada lagi barisan panjang dan situasi itu berterusan hingga tengah hari.

Pada 12 Julai, hampir 4,000 individu hadir ke CAC di Stadium Malawati, Seksyen 13 di sini bagi membuat penilaian kesihatan.

Pegawai Perubatan CAC Dr Ziti Akhtar Supian berkata jumlah berkenaan antara yang tertinggi direkodkan sejak dibuka lima bulan lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

CAC Stadium Malawati: Tiada lagi barisan panjang orang ramai

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tiada lagi barisan panjang kelihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini setakat jam 11.20 pagi tadi.

Antara tindakan kawalan termasuk menambah jumlah petugas dan memasukkan lebih ramai pesakit ke bahagian dalam stadium, lapor Twitter Bernama.

Kehadiran orang ramai ke CAC berkenaan terkawal berbanding Isnin lepas susulan beberapa penambahbaikan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata antaranya memperluas ruang Bahagian Kecemasan yang dilengkapi tangki oksigen selain satu kawasan baharu dibuka di pekarangan stadium bagi saringan ke atas pekerja industri.

Jumlah pegawai perubatan serta ambulans turut ditambah, selain ruangan tempat duduk penonton di dalam arena stadium dipenuhkan bagi mengurangkan jumlah pengunjung berada di luar stadium.

CAC Stadium Malawati juga menerima sumbangan 10 khemah daripada Kerajaan Selangor, 14 khemah daripada Pasukan Bantuan dan Tindakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) selain sumbangan kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Isnin lalu, hampir 4,000 individu hadir ke CAC tersebut bagi membuat penilaian kesihatan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Operasi CAC Stadium Malawati, Sri Andalas terkawal lepas ditambah baik

SHAH ALAM, 14 JULAI: Kehadiran orang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini hari ini dilihat terkawal dengan jumlah kehadiran tidak seramai berbanding Isnin lepas susulan beberapa penambahbaikan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Tinjauan Bernama di CAC Stadium Malawati hari ini mendapati keadaan lebih teratur berbanding sebelum ini ekoran peningkatan kes Covid-19 di Selangor akhir-akhir ini, sehingga menyaksikan kawasan berkenaan menjadi tumpuan individu yang menetap di daerah Petaling bagi menjalani saringan Covid-19.

Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata beberapa penambahbaikan dilakukan sejak Isnin termasuk memperluaskan ruang Bahagian Kecemasan yang dilengkapi tangki oksigen manakala satu kawasan baharu dibuka di pekarangan stadium itu bagi tujuan saringan ke atas pekerja industri.

Jumlah pegawai perubatan serta ambulans turut ditambah, selain ruangan tempat duduk penonton di dalam arena stadium dipenuhkan bagi mengurangkan jumlah pengunjung yang berada di luar stadium.

CAC Stadium Malawati juga menerima sumbangan 10 buah khemah daripada Kerajaan Selangor, 14 buah khemah daripada Pasukan Bantuan dan Tindakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) di samping sumbangan kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Sementara itu, keadaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas juga didapati lebih teratur dan terkawal berbanding hari pertama pengoperasian pusat berkenaan, Isnin lepas.

Tinjauan Bernama di sekitar CAC Andalas mendapati walaupun jumlah individu yang hadir untuk menjalani saringan Covid-19 dilihat agak ramai dan terpaksa beratur panjang, keadaan masih terkawal.

Semalam, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pengurusan CAC di Selangor akan ditambah baik khususnya berkaitan proses pendaftaran pesakit, bekalan tangki oksigen dan penambahan bilangan petugas kesihatan.

Dalam pada itu, tinjauan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam yang ditutup semalam ekoran penularan kes Covid-19 dalam kalangan petugasnya, mendapati aktiviti pemberian vaksin kembali beroperasi seperti biasa hari ini.

Susulan penutupan sehari PPV itu bagi tujuan sanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sebanyak 6,000 janji temu suntikan vaksin dijadualkan semula.

Hanya individu yang divaksin sahaja dibenarkan masuk dan menaiki lif yang diselia oleh petugas PPV dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

JKNS ambil langkah drastik elak pesakit bersesak di CAC Malawati

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan tidak berlaku limpahan pesakit di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Malawati, semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat tersebut hanya mampu merawat sehingga 1,500 pesakit sehari namun semalam 4,483 individu telah hadir bagi mendapat rawatan.

“Bagi memastikan perkara ini dapat diatasi segera kita menempatkan tambahan kakitangan seramai 85 orang yang dimobilisasikan dari negeri lain di samping petugas diambil dari klinik kesihatan di Selangor.

“Kita juga mewujudkan beberapa laluan di CAC Malawati iaitu laluan pemotongan gelang serta laluan khas untuk warga emas, OKU (orang kelainan upaya) dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, semalam.

Beliau turut memaklumkan CAC lain akan dibuka setiap hari bagi mengelak kesesakan di Stadium Malawati selain menggalakkan pihak swasta mewujudkan pusat penilaian terbabit.

Sementara itu, bagi situasi di CAC Andalas, Dr Sha’ari berkata seramai 1,900 orang telah hadir semalam namun ia hanya mampu merawat 1,000 pesakit sehari.

Katanya, situasi itu menimbulkan kegusaran penduduk dan langkah segera diambil dengan mengasingkan kawasan pesakit dengan perumahan penduduk serta meletakkan petugas untuk mengawal trafik.

“Kita juga akan melakukan penilaian semula jika CAC Andalas tidak dapat beroperasi dengan baik dan memindahkan ke tempat lain yang akan dikenal pasti dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Subang Jaya sumbang 6,000 roti kepada pesakit CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 8 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya menyumbangkan sebanyak 6,000 roti kentang dan minuman kepada pesakit di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati sepanjang bulan ini.

Wakil rakyatnya berkata inisiatif itu dijayakan bersama pertubuhan aktif dalam misi mengurangkan pembaziran makanan ‘What A Waste PLT’ yang menyediakan roti kentang serta tenaga kerja manakala Persatuan Penduduk USJ5 menyumbang dana RM13,000.

“Sumbangan kepada pesakit Covid-19 ini bagi membolehkan mereka menghilangkan lapar dan dahaga apabila menunggu giliran disaring yang kita sedia maklum mengambil masa panjang.

“Tiada penjualan makanan dan minuman di sini bagi mengelakkan jangkitan kerana kebanyakan pengunjung ke CAC adalah pesakit Covid-19, keadaan itu sedikit menyulitkan terutama kepada warga emas serta kanak-kanak,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan itu kepada wakil CAC Stadium Malawati hari ini. Turut hadir pengasas bersama ‘What A Waste PLT’, Alvin Chen.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) yang bernaung di bawah pertubuhan bukan kerajaan itu dengan mendapat upah membuat roti kentang.