Categories
NASIONAL

Henti teroka tanah atau Cameron Highlands berdepan banjir lebih teruk

KUALA LUMPUR (Bernama): Penerokaan tanah yang berterusan di Cameron Highlands akan mengakibatkan kemungkinan ia berdepan tanah runtuh dan banjir lumpur lebih teruk pada masa akan datang, kata pakar geologi.

Pensyarah Geologi Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Tajul Anuar Jamaluddin berkata kerakusan peneroka menarah bukit untuk membangunkan ladang sayuran baharu hanya akan menyebabkan berlaku mendapan tanah yang berisiko menyebabkan tanah runtuh.

“Sekiranya hujan lebat berlaku, cerun bukit yang ditarah akan mula terhakis dan dengan empangan sedia ada yang tidak mampu lagi menampung kuantiti air yang banyak akan menyebabkan banjir lebih besar,” katanya kepada Bernama bagi mengulas kejadian banjir lumpur di Cameron Highlands Rabu lepas.

Jelasnya, tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pertanian selepas kawasan tanah tinggi itu diteroka secara berleluasa tanpa sebarang kawalan.

Tambahnya, Cameron Highlands mempunyai tanah jenis granit yang bersifat gembur dan mudah terhakis sekiranya terdapat sebarang pemotongan mahupun penggunaan bahan kimia yang tinggi.

“Mereka (peneroka) tarah semua tanah untuk bangunkan ladang sayur di tanah baharu kerana tanah mereka yang sedia ada sudah tidak subur akibat penggunaan baja kimia yang merosakkan tanah.

“Ia dilakukan demi keuntungan tanpa memikirkan risiko penduduk sekitarnya dengan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh,” katanya.

Justeru Tajul Anuar menyeru peneroka untuk mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada dengan menggunakan baja organik dan teknologi bakteria baik untuk menyuburkan semula tanah mereka.

Beliau juga meminta pihak berkuasa bertindak segera dengan menghentikan sebarang projek penerokaan dan menyita semua kawasan pertanian haram.

“Cameron Highlands merupakan ikon pelancongan negara dengan landscape muka bumi yang cantik serta udara sejuk. Kalau pihak berkuasa tidak ambil kisah akan aktiviti penarahan ini, siapa mahu datang? Identiti Cameron Highlands juga turut ‘terhakis’ sama,” katanya.

Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat.

Dalam kejadian itu, lima mangsa terkorban manakala lima lagi cedera serta turut menjejaskan 203 penduduk yang terdiri daripada 47 keluarga di Kampung Baru Ringlet dan Lembah Bertam yang terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Dewan Orang Ramai Ringlet.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan PR 2014 : Atasi pembaziran BN – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) 2014 mengumumkan peruntukan RM500 juta setahun bagi melaksanakan pembangunan Orang Kelainan Upaya (OKU) selain menggariskan pengukuhan manfaat bagi warga emas dengan menambah pakar geriatrik terlatih serta diperuntukkan RM50 juta untuk melaksanakan beberapa langkah membantu golongan belia

2. Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

3. Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri meletakkan sasaran menjadikan KUIS sebagai universiti penuh pada tahun 2016.

Categories
SELANGOR

Selangor salur RM50,000 bantu mangsa bencana Cameron Highland

Cameron-highland-Banjir-3SHAH ALAM 24 OKT: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengumumkan bantuan segera berjumlah RM50,000 kepada mangsa bencana dan kemusnahan di Bertam Valley, Cameron Highlands.

Exco Kebajikan Kerajaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail, berkata bantuan itu bertujuan meringankan beban yang ditanggung mangsa kerana kemusnahan harta benda yang dialami dalam kejadian banjir kilat, awal pagi semalam.

“Kerajaan dan rakyat Selangor ingin merakamkan rasa empati terhadap semua mangsa sama ada yang meninggal dunia atau masih hidup, keluarga dan waris mereka. Semoga Tuhan memberi ketabahan dan kesabaran kepada mereka untuk melalui dan bangkit daripada musibah yang melanda,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Rodziah berkata, beliau berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil iktibar dengan mematuhi langkah keselamatan dengan memberi keutamaan terhadap menyelamatkan nyawa manusia.

“Kematian tiga orang akibat banjir kilat yang melanda Bertam Valley itu amat menyedihkan. Prosuder dan langkah keselamatan dan menyelamat nyawa wajar diberi keutamaan mengatasi perkara lain.

“Penduduk sekitar yang terkejut dan terperangkap kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri perlu dijadikan iktibar supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

-NFN-