Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Belanja jutaan ringgit bersih sungai tercemar, JAS sokong denda RM10 juta

SHAH ALAM, 30 MAC: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menyokong penuh hasrat kerajaan menaikkan jumlah denda terhadap pesalah alam sekitar dan sumber air daripada RM100,000 kepada RM10 juta.

Pengarahnya, Nor Aziah Jaafar berkata jumlah itu dianggap munasabah seiring dengan kos pembersihan pencemaran yang terpaksa dibelanjakan Kerajaan Negeri.

“Pada 2016, Kerajaan Selangor terpaksa membelanjakan RM8 juta bagi membersihkan Sungai Semenyih yang tercemar ketika itu, sementara Kerajaan Johor pula membelanjakan kira-kira RM6 juta untuk bersihkan Sungai Kim Kim.

“Berdasarkan beberapa senario ini, wajar angka bagi penalti maksimum itu dinaikkan kepada RM10 juta disamping hukuman penjara mandatori bagi memberi pengajaran kepada pesalah pencemar air.

“Kesan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab ini menyebabkan kesukaran kepada jutaan akaun pengguna dan menjadi antara isu yang sering meresahkan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar (bawah, kanan) dan Pengarah LUAS, Hasrolnizam Shaari (kiri) ketika Forum Air Selangor sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat negeri menerusi siaran langsung di Facebook LUAS pada 30 Mac 2021. FotoNADIAH ZAMLUS

Sebelum ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bercadang untuk meningkatkan jumlah hukuman denda sehingga RM10 juta berbanding RM100,000 ketika ini kepada pihak yang disabitkan dengan kesalahan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata jumlah itu antara perkara yang sedang dikaji kementeriannya dalam usaha untuk mencegah sebarang unsur pencemaran sungai.

Mengulas lanjut, Nor Aziah berkata sebanyak RM278,000 kompaun dikutip tahun lalu atas kesalahan jenayah alam sekitar melibatkan pencemaran air.

Jelas beliau kes tertinggi yang berjaya didakwa di mahkamah dan dikenakan denda bagi kesalahan yang sama pada 2019 ialah 100 kes dengan denda sebanyak RM1.37 juta.

“Namun pada tahun lalu hanya 38 pertuduhan dikemukakan dengan jumlah denda sebanyak RM325,000,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Alam Sekitar Selangor keluar 106 kompaun cemar sungai

SHAH ALAM, 3 NOV: Sebanyak 106 kompaun dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor ke atas pencemar sungai negeri ini bermula Januari hingga September lalu.

EXCO alam sekitar berkata denda bernilai RM212,000 susulan insiden pencemaran sungai berulang kali menyebabkan henti tugas loji rawatan air mutakhir ini.

Hee Loy Sian berkata bagi tindakan mahkamah pula, sebanyak 91 pertuduhan dikemukakan dengan nilai kompaun RM915,000.

“JAS Selangor membuat pemeriksaan berkala terhadap industri yang menghasilkan efluen, menyiasat segera aduan dan melaksana operasi gempur setiap bulan di kawasan perindustrian hulu sungai,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Sungai Burong Dato’ Mohd Shamsudin Lias pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Loy Sian berkata bagi peringkat pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Selayang mengeluarkan nilai kompaun tertinggi sebanyak RM40,000.

Manakala jumlah kompaun paling banyak dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kajang iaitu 211.

Sementara itu, beliau berkata Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang menyediakan draf pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menaikkan jumlah penalti dan nilai kompaun untuk menghukum pencemar sungai.

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis tahan lapan lelaki disyaki cemar Sungai Selangor

SHAH ALAM, 21 OKT: Polis menahan lapan lelaki termasuk dua beranak berhubung insiden pencemaran bau di Sungai Selangor hari ini.

Ketua jabatan siasatan jenayah Selangor berkata semua mereka ditahan di Rawang pada jam 11.30 pagi tadi.

“Anak beranak berusia 62 dan 31 tahun merupakan pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera manakala enam suspek lain termasuk empat warga asing adalah pekerjanya.

“Semua akan direman esok di Mahkamah Selayang mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan,” kata Datuk Fadzil Ahmat dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin, Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenal pasti tiga kawasan kilang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor.

Ahad lalu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Sungai Selangor Fasa 2, Sungai Selangor Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas susulan pencemaran dikesan pada jam 2 pagi.

Susulan itu, lebih 1.1 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan sekitar wilayah Kuala Lumpur, Shah Alam/Klang, Kuala Langat, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima cubaan cemar sungai berjaya dihalang – MB

SHAH ALAM, 10 SEPT: Lima cubaan mencemarkan sungai di Selangor berjaya dihalang dalam tempoh dua bulan ini, lapor Sinar Harian.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cubaan itu akan menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa ditutup operasi.

“Cumanya kali ini pencemaran itu adalah melibatkan masalah bau dan sesuatu yang tak dapat dilihat dengan mata,” katanya merujuk insiden pencemaran Sungai Gong, Rawang.

Minggu lalu, seramai 1.2 juta pemegang akaun di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air selepas LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Gangguan itu melibatkan Kuala Lumpur, Petaling, Klang-Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Categories
EXCO SELANGOR

Agensi kerajaan tidak dikecualikan tindakan jika cemar sungai

KAJANG, 10 NOV: Tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang menyebabkan air sungai di Selangor tercemar.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, ini termasuk agensi kerajaan sekiranya siasatan mendapati mencemarkan sungai.

“Kerajaan Negeri tak teragak-agak mengambil tindakan tegas kepada semua pihak walaupun agensi kerajaan seperti Indah Water misalnya.

“Kalau sisatan kita mendapati ada agensi kerajaan terlibat, tindakan sama dikenakan seperti syarikat atau kilang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Titisan Bernilai Peringkat Dewan Undangan Negeri Kajang di Dewan Orang Ramai Taman Mesra di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri sentiasa melakukan pemantauan rapi terhadap kebersihan sungai bagi mengelakkan pencemaran.

Categories
ADN SELANGOR

Cemar sungai di Selangor, enam syarikat didenda RM90,000

SHAH ALAM, 4 NOV: Enam syarikat didenda sebanyak RM90,000 akibat mencemarkan sungai-sungai di negeri ini, demikian dedah EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Katanya, tindakan itu diambil sejak 2013 hingga tahun ini ekoran tindakan pemilik syarikat yang terbabit melepaskan bahan buangan mengandungi minyak ke dalam sumber air tanpa kebenaran Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

“Pada 26 Jun 2019, sebuah premis juga telah dikenakan tindakan penahanan operasi selama dua minggu dan disita Majlis Perbandaran Kajang selama 39 hari.

“Sementara pada 28 September, pencemaran bau berlaku disebabkan individu tidak bertanggungjawab membuang ‘solvent’ dalam saluran paip pembentungan di kawasan perumahan Bandar Bukit Mahkota, sehingga kini suspek tidak dapat dikesan dan masih diteruskan pengesanan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Lau Weng San (PAKATAN – Banting) berhubung individu dan syarikat yang didakwa di mahkamah kerana mencemarkan sungai.

Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri melalui LUAS telah melaksanakan beberapa langkah kawalan dan pencegahan bagi mengelakkan tragedi pencemaran sungai berlaku termasuk menubuhkan Mesyuarat Pasukan Petugas Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat.

Katanya, tindakan penguatkuasaan, melaksana dan mengemaskini inventori punca pencemaran di Sungai Semenyih, Sungai Beranang dan Sungai Rinching juga dibuat berdasarkan kajian guna tanah dan inventori aktiviti di rizab sungai.

“Pada masa sama kita turut meningkatkan pengambilan kakitangan penguatkuasaan bagi memperkasakan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan LUAS,” katanya.