Categories
SELANGOR

Hannah : Minta KTMB Sedia Pelan Alternatif Kepada Pengguna Komuter Di Subang

Hannah KTM 01

SUBANG JAYA, 2 JAN : Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh hari ini mempersoal tindakan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bercadang menutup stesen KTM Subang Jaya buat sementara waktu tanpa mengeluarkan notis kepada orang ramai.

Beliau berkata, sehingga kini, KTMB masih gagal menjelaskan isu terbabit kepada orang ramai, malah tidak memberikan sebarang notis rasmi makluman pemandu teksi dan orang ramai.

“Pada 5 Disember lalu, saya mengadakan satu perjumpaan bersama Persatuan Teksi Subang Jaya untuk membincangkan mengenai beberapa perkara bagi membaikpulih infrastruktur di stesen tersebut. Berdasarkan perbincangan itu, kita ada mengemukakan beberapa cadangan dan satu surat rasmi dihantar kepada KTMB.

“Malangnya, pada 13 Disember lalu, pihak KTMB memaklumkan bahawa semua cadangan itu terpaksa ditolak berikutan stesen Subang Jaya akan ditutup bulan ini untuk pelaksanaan sambungan LRT. Apabila kita tanya bila stesen itu akan ditutup atau sama ada notis itu telah diberikan, mereka tidak dapat jawab,” katanya.

Sehubungan itu, tegas Hannah, pihak KTMB digesa untuk memberikan notis lengkap bagi rujukan orang awam berikutan sebilangan besar penduduk menggunakan stesen itu untuk ke tempat kerja.

Katanya, KTMB juga perlu menyediakan pelan alternatif bagi memindahkan pengguna ke stesen lain sebaik sahaja stesen tersebut ditutup tidak lama lagi.

“Sekiranya KTMB ingin menutup stesen itu, mereka perlu sediakan satu pelan supaya pengguna termasuk pemandu teksi dan bas tidak menghadapi kesukaran kelak,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemandu Teksi Subang Jaya, Che Ei Mohamad berharap supaya KTMB mempertimbangkan semula keputusan untuk menutup stesen itu kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka seharian.

Beliau berkata, ia juga akan menyebabkan peniaga-peniaga kecil di kawasan itu berdepan kerugian dan hilang mata pencarian.

“Kebanyakan daripada peniaga dan pemandu teksi telah berada di kawasan itu lebih 15 tahun. Kami terasa teraniaya kerana tidak dipanggil untuk berbincang. Saya berharap pihak KTMB akan memberi penjelasan berhubung perkara ini dalam masa terdekat,” katanya lagi.