Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kesan negatif ekonomi China terhad – ahli ekonomi

CHICAGO, 14 FEB: Ahli ekonomi berpendapat kesan negatif dicetuskan wabak koronavirus 2019 (Covid-19) ke atas ekonomi China adalah terhad, lapor agensi berita Xinhua.

Profesor ekonomi di Institut Teknologi Illinois, Chicago Khairy Tourk berkata kesan negatif hanya berlaku pada suku tahun pertama, selepas itu sehingga akhir tahun keadaan kembali seperti biasa.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia memuji tindakan China dalam menangani wabak itu. Langkah pencegahan yang diambil bersesuaian dengan masa dan keadaan,” katanya.

Katanya, jika dibandingkan dengan kadar kematian akibat Zika dan Ebola, korban akibat Covid-19 jauh lebih rendah berbanding wabak lain.

“Jadi, apa yang berlaku sebenarnya ialah terlalu membesar-besarkan kesan negatif wabak itu,” katanya.

“Satu perkara positif mengenai ekonomi China ialah negara ini mampu membangunkan ekonomi digital, jadi pelajar boleh belajar dalam talian…saya juga terkejut bila dengar ada beberapa mahkamah di China sedang menjalankan perbicaraan secara dalam talian,” kata Tourk.

Katanya rakyat China sangat berdaya cipta dan pelbagai usaha diambil untuk mengurangkan kesan penularan penyakit dengan mengambil langkah tepat dalam menangani krisis itu.

Tourk menyeru semua masyarakat dunia bersama-sama berganding bahu dalam memerangi virus itu.

“Negara China yang sihat bermakna ekonomi dunia juga sihat,” kata Tourk.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

WHO : ‘Covid-19’ nama rasmi bagi koronavirus 2019

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Covid-19, yang bermaksud ‘Penyakit Virus Korona’ adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit), dalam taklimat media harian mengenai virus itu, di Geneva, Switzerland pada Selasa (waktu tempatan).

“Kami kini mempunyai nama bagi penyakit #2019nCoV : Covid-19,” katanya dalam siaran video di laman Twitter rasmi WHO.

“Di bawah garis panduan yang dipersetujui antara WHO, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kami harus mencari nama yang tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan manusia dan berkaitan dengan penyakit ini.

“Dengan adanya nama (rasmi) ia dapat mengelakkan penggunaan nama lain yang tidak tepat dan menimbulkan stigma. Ia juga memberikan kami format standard untuk digunakan bagi sebarang wabak koronavirus pada masa depan,” katanya.

Setakat ini, virus baharu itu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lepas, telah membabitkan 42,708 kes positif Covid-19, dengan kematian mencecah 1,017 mangsa di negara itu.

Terdapat 393 kes dilaporkan di 24 negara termasuk 18 kes di Malaysia manakala satu kematian dilaporkan di Filipina.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Koronavirus: Jumlah pegawai diplomatik di kedutaan, pejabat konsulat di China kekal

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Jumlah pegawai diplomatik di Kedutaan Besar Malaysia dan pejabat-pejabat konsulat Malaysia di China akan dikekalkan bagi memastikan sebarang urusan berjalan lancar dan berkesan.

Kedutaan Besar Malaysia di China dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil terutamanya bagi memberi khidmat bantuan kepada rakyat Malaysia yang berdepan dengan situasi wabak koronavirus 2019 di Wuhan dan juga China.

“Rakyat Malaysia yang berada di China boleh menghubungi pejabat Kedutaan di Beijing atau pejabat konsulat Malaysia di Shanghai, Guangzhou, Kunming, Nanning, Xi’an dan Hong Kong,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang menetap di kawasan Beijing, Hubei, Tianjin, Henan, Hebei, Heilongjiang, Jilin, Liaoning, Wilayah Autonomi Inner Mongolia, Qinghai, Shandong, Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur dan Wilayah Autonomi Tibet boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Beijing di talian +861065322531 (waktu pejabat) atau +8613161219838 / +8618513665810 (kecemasan).

Selain itu, bagi yang menetap di Shanghai, Anhui, Jiangsu dan Zhejiang boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Shanghai di talian +862160900360 (waktu pejabat)/ +8613761154009 (kecemasan).

Rakyat Malaysia yang menetap di Guangdong, Fujian, Hainan, Hunan dan Jiangxi, wakil Wisma Putra dapat dihubungi melalui Pejabat Konsulat Malaysia di Guangzhou di talian +862038770763 (waktu pejabat)/ +8618802087683 (kecemasan).

Bagi yang menetap di Hong Kong dan Wilayah Pentadbiran Khas Macau pula boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Hong Kong di talian +85228210800 (waktu pejabat)/ +85269006390 (kecemasan) manakala yang tinggal di Shaanxi, Gansu dan Wilayah Autonomi Ningxia Hu boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Xi’an di talian +862989568478 (waktu pejabat)/ +8615229089757 (kecemasan).

Sementara itu, rakyat Malaysia yang menetap di Yunnan, Sichuan dan Chongqing boleh menghubungi Pejabat Konsulat Malaysia di Kunming di talian +8687163165088 (waktu pejabat)/ +8618487341474 (kecemasan).

Bagi yang menetap di Guizhou dan Guangxi Zhuang Autonomous Region, wakil Wisma Putra di Pejabat Konsulat Malaysia di Nanning boleh dihubungi di talian +867715662562 (waktu pejabat) atau+8615977783818/ +8615977783898 (kecemasan).

Baru-baru ini, media melaporkan kerajaan memberi jaminan akan membawa pulang 298 pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia termasuk 212 ahli keluarga mereka di Beijing dan tujuh lagi pejabat kedutaan.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, ia juga bertujuan meminimumkan risiko pendedahan kepada mereka yang berada di China, susulan penularan wabak koronavirus baharu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Koronavirus: Jumlah kematian kini 811

BEIJING, 9 FEB: Jumlah keseluruhan kematian akibat wabak koronavirus 2019 meningkat kepada 811 semalam di China , menurut kenyataan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan hari ini.

Daripada angkat itu, ia termasuk dua warga luar iaitu dari Jepun dan Amerika Syarikat yang meninggal pada Sabtu serta merupakan kes orang asing pertama berlaku di negara Tembok Besar itu, lapor aljazeera.com.

Dimaklumkan 89 kematian dicatat di seluruh China sehingga tengah malam semalam dengan 81 daripadanya di Hubei, wilayah wabak itu dikesan pada Disember tahun lalu.

Angka kematian terbaharu kerana koronavirus mengatasi catatan daripada virus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di China dan Hong Kong, iaitu hampir 650 orang meninggal dunia pada dua dekad lalu.

Sehingga kini jumlah jangkitan di negara itu meningkat kepada 37,198.

Categories
AGENDA GLOBAL

China catat 5,974 kes koronavirus, 132 kematian

BEIJING, 29 JAN: Jumlah kes wabak koronavirus 2019 baharu yang disahkan di China mencecah 5,974 dengan kematian meningkat 132, lapor agensi berita Sputnik.

Sehari sebelum itu, pihak berkuasa kesihatan berkata terdapat 4,515 kes koronavirus yang disahkan dan 106 kematian.

Dalam tempoh 24 jam lalu, 1,459 kes baharu dilaporkan, 26 kematian dengan 25 dicatatkan di wilayah Hubei.

“Pada tengah malam 28 Januari (16:00 GMT), kira-kira 5,974 kes yang disahkan dilaporkan membabitkan 59 wilayah, seramai 1,239 pesakit berada dalam keadaan kritikal, 132 meninggal dunia manakala 103 dibenarkan keluar hospital,” menurut kenyataan pihak berkuasa kesihatan.

Kes jangkitan turut disahkan berlaku di wilayah pentadbiran khas China di Hong Kong sebanyak lapan kes, Macau (tujuh) dan Taiwan (lapan).

Di samping itu 6,973 kes disyaki dan 59,990 lagi berada di bawah pemantauan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

China catat 4,515 jangkitan koronavirus, 106 maut

BEIJING, 28 JAN: China mencatatkan 4,515 kes disahkan koronavirus dan jumlah kematian akibat penularan virus baharu itu meningkat kepada 106 orang, kata Suruhanjaya Kesihatan Negara China.

Menurut agensi berita Sputnik, pihak berkuasa kesihatan itu pada Ahad berkata sehingga 26 Januari, terdapat 2,744 kes disahkan koronavirus, 80 kematian manakala 51 lagi orang dibenarkan keluar hospital.

Dalam tempoh 24 jam lalu, suruhanjaya itu merekodkan 1,771 kes baharu yang disahkan dengan 26 kematian – 24 di wilayah Hubei dan masing-masing satu di Beijing dan di wilayah Hainan. Sembilan orang dibenarkan keluar hospital.

“Pada tengah malam 27 Januari (16:00 GMT Isnin), suruhanjaya menerima maklumat kira-kira 4,515 kes penyakit radang paru-paru disebabkan oleh virus baharu itu, membabitkan 30 wilayah.

“Daripada jumlah itu 976 orang berada dalam keadaan kritikal, 106 maut dan 60 lagi dibenarkan keluar hospital,” menurut kenyataan suruhanjaya itu.

Kes jangkitan turut disahkan berlaku di wilayah pentadbiran khas China di Hong Kong, Macau dan Taiwan, masing-masing sebanyak lapan, tujuh dan lima kes.

Di samping itu 6,973 kes disyaki dan 44,132 lagi berada di bawah pemantauan.

Virus baharu itu mula dikesan di bandar Wuhan China pada akhir Disember. Pada Isnin, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meningkatkan tahap risiko global daripada “sederhana” kepada “tinggi,”.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

China catat 80 kematian, kesan 769 kes baharu koronavirus

WUHAN, 27 JAN: China mengesahkan jumlah keseluruhan jangkitan koronavirus di seluruh negara meningkat kepada 2,744 dengan 769 kes baharu dikesan.

Bagaimanapun, tiada kematian baharu disahkan di luar wilayah Hubei menjadikan jumlah korban di seluruh negara akibat wabak itu kepada 80 orang, lapor AFP.

Ratusan doktor tentera dihantar ke wilayah itu dan pihak berkuasa bergegas membina dua hospital untuk menangani krisis terbabit.

Virus yang merebak di seluruh China turut dilaporkan di beberapa negara lain antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Australia, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Korban koronavirus di China meningkat kepada 54, lebih 300 kes baru

WUHAN CHINA, 26 JAN: Jumlah korban disahkan akibat koronavirus di China meningkat kepada 54 mangsa apabila pihak berkuasa di wilayah Hubei melaporkan 13 lagi kematian dan 323 kes baru.

Angka terbaru dari Hubei di kawasan pusat penularan meletakkan jumlah jangkitan disahkan di seluruh China pada 1,610, berdasarkan angka dikeluarkan oleh kerajaan pusat, lapor AFP.

Beratus-ratus doktor tentera telah dihantar ke Hubei dan pihak berkuasa bergegas membina dua hospital lapangan untuk menangani krisis.

Virus ini telah merebak di seluruh negara di China dan kes telah dilaporkan di beberapa negara lain sejauh Amerika Syarikat, Perancis dan Australia.

Presiden China, Xi Jinping, memberi amaran bahawa negaranya menghadapi keadaan yang berbahaya berikutan penularan coronavirus yang bertambah cepat.

“Kita menghadapi keadaan yang suram berikutan kepantasan koronoavirus ini menular,” katanya mengikut laporan agensi berita rasmi Xinhua.

Categories
AGENDA GLOBAL

China hadapi situasi getir perangi penularan koronavirus

WUHAN, 26 JAN: Presiden China, Xi Jinping semalam memberi amaran negara itu berdepan situasi getir, serentak dengan usaha pihak berkuasa mengekang penularan virus yang sudah meragut 41 nyawa dan menjejaskan sambutan Tahun Baharu Lunar.

Negara paling padat penduduk di dunia itu kini sedang bertungkus-lumus memerangi jangkitan virus yang sudah menyerang 1,300 penduduk, menyebabkan semua kemudahan perubatan padat dengan pesakit.

Situasi itu sekali gus memaksa kerajaan membina hospital kedua serta menutup lebih banyak lokasi pelancongan, lapor AFP.

Sementara itu, sambutan perayaan paling penting untuk China terpaksa dibatalkan untuk sekurang-kurangnya 56 juta penduduk apabila pihak berkuasa meluaskan larangan perjalanan di seluruh wilayah Hubei, sebagai sebahagian daripada usaha menghalang virus terbabit dari terus merebak.

Di Wuhan, 450 pegawai perubatan tentera sudah dikerah bagi membantu merawat pesakit di Hubei, iaitu lokasi sebuah pasar hidupan laut dan haiwan hidup dikesan sebagai tempat bermula penyebaran wabak ini.

Semalam, ketika orang ramai sepatutnya meraikan Tahun Baharu, barisan pesakit memenuhi sebuah hospital di bandar dalam keadaan marah dan kecewa.

“Kami menunggu sekurang-kurangnya lima jam untuk berjumpa doktor,” kata seorang wanita yang enggan dikenali.

Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an berkata, ada pesakit yang menunggu sehingga dua hari dan ramai di antara mereka membawa kerusi sendiri kerana perlu berbaris lama sebelum berjumpa doktor.

Pihak berkuasa Wuhan dilaporkan sudah memulakan pembinaan hospital baharu yang dijangka mengambil masa dua minggu dengan tambahan 1,300 katil, lapor media rasmi.

Kerja pembinaan hospital pertama sudah dimulakan Jumaat lalu dan boleh digunakan dalam tempoh seminggu lagi.

Kedua-dua hospital berkenaan memiliki saiz menyamai premis kesihatan sementara yang dibina bagi menangani wabak SARS di Beijing pada 2003 dan mengorbankan 650 penduduk di tanah besar serta Hong Kong.

Categories
GLOBAL

China bina hospital baharu dalam masa 10 hari tangani koronavirus

BEIJING, 25 JAN: China giat mendirikan sebuah hospital baharu dalam tempoh 10 hari untuk merawat pesakit ketika penularan wabak maut yang menjangkiti ratusan penduduk di negara itu, lapor AFP.

Kemudahan di pusat bandar Wuhan dijangka akan digunakan pada 3 Februari bagi menangani peningkatan jumlah pesakit dijangkiti koronavirus dalam usaha mengekang penyebarannya.

Berpuluh-puluh jentera berat yang sedang giat beroperasi dirakamkan syarikat penyiar tempatan, CCTV.

Hospital itu akan mempunyai kapasiti 1,000 katil membabitkan kawasan lebih 25,000 meter persegi (270,000 kaki persegi), kata agensi berita rasmi Xinhua itu.

Pembinaan bermula sebaik laporan timbul kekurangan katil di hospital yang ditetapkan untuk menangani wabak, yang kini menjangkiti 830 orang di seluruh China.

Xinhua berkata kemudahan baru ini bertujuan untuk “mengurangkan kekurangan sumber rawatan perubatan dan meningkatkan keupayaan untuk menjaga pesakit.”

“Kami telah mengerahkan semua pekerja yang ditinggalkan di Wuhan untuk bekerja kuat dalam memastikan pembinaan sepanjang masa,” kata pengurus kumpulan pembinaan Wuhan Construction, Zhang Chongxi

Categories
AGENDA NASIONAL

Koronavirus: China kenakan perintah kuarantin di Wuhan

KUALA LUMPUR, 23 JAN: China mengenakan perintah kuarantin di Wuhan, susulan penularan wabak koronavirus.

Kementerian Kesihatan Malaysia dalam catatan Twitter yang berkongsi mengenai perkara itu memaklumkan 11 juta penduduk di situ juga tidak dibenarkan keluar.

“Semua pengangkutan awam seperti bas, subway, feri dihentikan sementara bermula 10 pagi 23 Januari. Lapangan terbang ditutup dan semua penerbangan dari Wuhan dibatalkan,” menurut catatat tersebut.

Media semalam melaporkan, setakat ini sembilan maut akibat virus itu, manakala kira-kira 400 lagi telah dijangkiti.

Amerika Syarikat turut mengumumkan virus berkenaan telah memasuki negara itu.

Pada Isnin, Suruhanjaya Kesihatan Negara China mengesahkan jangkitan manusia kepada manusia yang membabitkan koronavirus baharu itu.

Sebelum ini, virus itu dianggap hanya boleh dijangkiti selepas terdedah kepada haiwan yang sakit.

– BERNAMA

Categories
GLOBAL

Penduduk China 2019 lepasi 1.4 bilion meningkat 4.6 juta

BEIJING, 18 JAN: Jumlah penduduk di tanah besar China telah melepasi angka 1.4 bilion pada akhir tahun 2019, lapor agensi berita Xinhua memetik data rasmi.

Jumlah penduduk di tanah besar negara itu mencecah 1.40005 bilion pada akhir tahun lepas, meningkat 4.67 juta berbanding tahun sebelumnya, demikian menurut data Biro Statistik Negara (NBS).

Angka itu tidak termasuk penduduk di wilayah pentadbiran khas Hong Kong dan Macao serta Taiwan atau rakyat China yang menetap di luar negara, menurut NBS.

Sementara itu, populasi golongan usia yang bekerja terus menyusut.

Data menunjukkan golongan itu yang berusia antara 16 dan 59 tahun, menyusut 890,000 berbanding tahun sebelumnya kepada 896.4 juta yang menyumbang kepada 64 peratus daripada jumlah penduduk.

Data NBS juga menunjukkan golongan berusia 60 tahun dan ke atas meningkat kepada 4.39 juta yang menyumbang kepada 18.1 peratus daripada jumlah penduduk.

Sejumlah 14.65 juta bayi dilahirkan pada 2019 yang menyaksikan penurunan 580,000 berbanding tahun sebelumnya dan terus berkurangan selama tiga tahun berturut-turut.

Negara itu mula membenarkan pasangan berkahwin mempunyai dua anak pada 2016, sekali gus menamatkan dasar seorang anak yang dilaksanakan selama berdekad-dekad bagi menangani kebimbangan semakin memuncak berkaitan populasi menua.

-BERNAMA