Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sedia beri bantuan keselamatan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Polis bersedia memberikan bantuan bagi memastikan keselamatan semasa perjalanan, pengedaran, perpindahan dan penyimpanan, vaksin Covid-19 yang dijangka tiba pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, arahan dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah untuk bersiap-siaga memberikan bantuan jika diminta Kementerian Kesihatan Malaysia, berhubung pengurusan vaksin itu.

Beliau berkata polis bekerja 24 jam sehari dan akan memberikan bantuan sebaiknya, bagi memastikan keselamatan vaksin terpelihara.

“Polis memberi jaminan bahawa keselamatan vaksin berkenaan daripada ia tiba (di negara) hinggalah (kepada) urusan untuk diberikan kepada penerimanya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Acryl Sani berkata, segala urusan berkaitan keselamatan vaksin akan dipatuhi mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“SOP itu (sama) seperti mana kita membuat SOP ketika pengiringan keselamatan (yang lain misalnya) tugas keselamatan melbatkan duit, OKT (orang kena tuduh) dan seumpamanya. Memang ada SOPnya untuk kawalan keselamatan,” katanya.

Bernama melaporkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad ini, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Keberkesanan vaksin Covid-19 dapat diatasi guna mRNA – pakar

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Keberkesanan vaksin keluaran Pfizer terhadap varian baharu Covid-19 yang dikesan beberapa negara belum lagi diketahui, tetapi ancaman varian baharu itu boleh diatasi menerusi kaedah baharu Messenger RNA (mRNA) yang digunakan dalam penghasilan vaksin.

Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohd berkata ada kemungkinan vaksin kurang berkesan atau langsung tidak berkesan terhadap varian baharu itu.

“Bagaimanapun, dengan teknologi mRNA masalah ini akan dapat diatasi. Kandungan mRNA dalam vaksin boleh ditukar dengan mRNA baharu yang menyerupai virus varian baharu dalam masa beberapa minggu sahaja,” kata Nurul Azmawati.

Beliau berkata demikian menerusi sesi webinar bertajuk ‘Takut Dengan Vaksin Covid-19’ anjuran bersama USIM dan Pusat Sains Media (SMC) Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau menyarankan bekas pesakit Covid-19 untuk turut mengambil vaksin memandangkan ia membantu meningkatkan imuniti terhadap wabak itu.

Jumlah bekas pesakit yang mendapat jangkitan kedua adalah sedikit, oleh itu pakar menjangkakan antibodi yang dihasilkan hanya boleh melindungi seseorang bagi jangka masa beberapa bulan sahaja, katanya.

“Selepas dijangkiti Covid-19, sistem imuniti akan menghasilkan antibodi untuk menghalang jangkitan seterusnya. Masih banyak perkara yang belum difahami tentang antibodi terhadap virus penyebab Covid-19.

“Vaksin boleh diambil setelah seseorang bebas daripada sebarang jangkitan. Jika pesakit Covid-19 menerima rawatan ‘convalescent serum’, mereka perlu menunggu sehingga 90 hari sebelum mengambil vaksin,” katanya.

Sementara itu, Pengajar Khas Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan USIM Prof Datin Dr Che Ilina Che Isahak dalam webinar itu menyatakan kesan sampingan selepas suntikan vaksin merupakan perkara biasa dan positif kerana ia bermakna tindak balas imun berfungsi.

Antara kesan sampingan vaksin Covid-19 yang dilaporkan adalah sakit di tempat dicucuk, lemah lesu, sakit otot dan sendi, deman serta cirit-birit, dengan simptom itu kebiasaannya hilang dalam satu ke dua hari.

Beliau turut berkata kesan sampingan anafilaksi (reaksi alergi yang cepat) dilaporkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat merangkumi tekanan darah rendah, pening dan sesak nafas, namun, rawatan cepat boleh disediakan serta tiada kematian dilaporkan akibat anafilaksi selepas suntikan vaksin.

– BERNAMA