Categories
AGENDA NASIONAL

PBKD lulus vaksin Pfizer untuk golongan umur 12 tahun ke atas

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) ke-359 (DCA) hari ini meluluskan penggunaan vaksin Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech, kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Comirnaty sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat pada 8 Jan lalu, bagi tujuan imunisasi aktif kepada individu yang berusia 18 tahun dan ke atas.

“Walaupun tambahan indikasi ini diluluskan, Kementerian Kesihatan (KKM) berpandangan keutamaan pemberian vaksin masih lagi kepada kumpulan berisiko tinggi, selaras dengan dasar sedia ada yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, PBKD juga memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk kegunaan semasa bencana bagi dua produk vaksin yang memerlukan hanya satu dos pelalian.

Katanya dua vaksin itu adalah ‘Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector)’ keluaran CanSino Biologics Inc, China, dengan pemegang pendaftaran produk Solution Biologics Sdn Bhd dan ‘Janssen Covid-19 Vaccine’ keluaran Johnson & Johnson, yang diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Noor Hisham berkata, pendaftaran ‘Janssen Covid-19 Vaccine’ yang diperolehi kerajaan Malaysia melalui fasiliti COVAX, dilaksanakan melalui mekanisme perakuan ke atas kelulusan WHO EUL.

Beliau berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan, produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa, bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko kekal positif.

“KKM sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19, melalui perolehan bekalan vaksin yang telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan, oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan PBKD,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga komited untuk memastikan penduduk Malaysia mencapai imuniti kelompok selaras dengan sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya vaksin Pfizer-BioNTech sesuai untuk ibu hamil

PUTRAJAYA, 17 MEI: Hanya vaksin jenis Pfizer-BioNTech sesuai diberikan kepada mereka yang hamil dengan tempoh kandungan berusia 14 hingga 33 minggu, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Bercakap pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan secara maya hari ini, Khairy berkata dua lagi vaksin iaitu Sinovac dan AstraZeneca tidak disyorkan untuk ibu hamil buat masa ini.

Beliau berkata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) akan mengkoordinasi dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membolehkan vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kepada golongan itu.

Khairy yang juga menteri sains, teknologi dan inovasi berkata pengambilan vaksin berkenaan juga boleh ditangguhkan selepas kehamilan.

Katanya, vaksin Pfizer-BioNTech juga sesuai diberikan kepada ibu menyusu namun bagi vaksin Sinovac dan AstraZeneca, data keselamatannya adalah terhad dan pengesyoran akan dibuat selepas konsultasi.

“Ini merupakan panduan klinikal semasa yang dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan orang ramai mengenai vaksin bagi golongan hamil dan menyusu, dan mereka dinasihatkan mendapatkan pandangan doktor sekiranya mempunyai keraguan berkaitan,” katanya.

Menurut Khairy, hingga kini, seramai 10.18 juta individu mendaftar untuk menerima vaksin Covid-19.

Seramai 1.202 juta orang menerima satu dos manakala 733,237 orang telah lengkap menerima dua dos vaksin, dengan jumlah keseluruhan vaksin yang diberikan setakat ini ialah sebanyak 1,935,632 dos.

Mengenai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) industri, Khairy berkata kerajaan belum membuka PPV industri namun CITF telah meluluskan permohonan kilang Pharmaniaga untuk projek rintis.

“CITF meluluskan permohonan industri ini kerana mereka merupakan kilang vaksin yang mana mereka terlibat dalam pembotolan vaksin Sinovac. Kilang Pharmaniaga membeli vaksin mereka sendiri untuk diberi kepada pekerja kilang mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jemaah haji diberi vaksin Pfizer-BioNTech, AstraZeneca

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Jemaah Malaysia yang dipilih mengerjakan ibadah haji tahun ini akan diberikan vaksin Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca seperti yang diiktiraf oleh kerajaan Arab Saudi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkaitan perkara itu.

“Menerusi perbincangan ini, semua jemaah akan menerima vaksin Pfizer-BioNTech sekiranya bekalan mencukupi, sekiranya tidak, vaksin AstraZeneca akan digunakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan di Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai perkembangan tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan ibadah haji dan umrah, Zulkifli berkata perkara itu akan dibawa ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas kerajaan Arab Saudi membuat keputusan berkaitan pelaksanaan ibadah itu.

Arab Saudi ketika ini belum membuat sebarang keputusan mengenai ibadah haji dan umrah musim ini dan negara itu hanya mengiktiraf vaksin Covid-19 jenama Pfizer-BioNTech dan AstraZeneca.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia terima 182,520 dos tambahan Pfizer-BioNTech esok

PUTRAJAYA, 23 FEB: Malaysia akan menerima 182,520 dos tambahan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech esok (Rabu), untuk edaran ke negeri yang belum menerima bekalan, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

Beliau yang juga menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, vaksin berkenaan yang dikeluarkan di Belgium dijadualkan tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada sebelah pagi dari Singapura.

“Vaksin yang bakal tiba ini akan dihantar ke negeri-negeri yang belum menerima bekalan,” katanya dalam sidang media selepas melakukan simulasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini.

Khairy berkata, vaksin itu akan diedarkan ke Kedah, Melaka, Negeri Sembilan dan Perak esok (Rabu, 24 Feb), manakala Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula, pada Khamis (25 Feb).

Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos selamat tiba di Malaysia melalui pintu masuk negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang pada 21 Feb (Ahad).

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb ini, dengan Fasa 1 dari Feb hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Khairy sebelum ini dilaporkan berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin Covid-19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dimulakan lebih awal daripada jadual asal pada 26 Feb.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis sedia beri bantuan keselamatan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Polis bersedia memberikan bantuan bagi memastikan keselamatan semasa perjalanan, pengedaran, perpindahan dan penyimpanan, vaksin Covid-19 yang dijangka tiba pada Ahad ini.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, arahan dikeluarkan kepada semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah untuk bersiap-siaga memberikan bantuan jika diminta Kementerian Kesihatan Malaysia, berhubung pengurusan vaksin itu.

Beliau berkata polis bekerja 24 jam sehari dan akan memberikan bantuan sebaiknya, bagi memastikan keselamatan vaksin terpelihara.

“Polis memberi jaminan bahawa keselamatan vaksin berkenaan daripada ia tiba (di negara) hinggalah (kepada) urusan untuk diberikan kepada penerimanya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Acryl Sani berkata, segala urusan berkaitan keselamatan vaksin akan dipatuhi mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

“SOP itu (sama) seperti mana kita membuat SOP ketika pengiringan keselamatan (yang lain misalnya) tugas keselamatan melbatkan duit, OKT (orang kena tuduh) dan seumpamanya. Memang ada SOPnya untuk kawalan keselamatan,” katanya.

Bernama melaporkan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech akan tiba di negara ini pada Ahad ini, sementara pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, akan mula dilancarkan secara berfasa pada 26 Februari.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, beliau akan menerima suntikan vaksin itu pada hari pertama pelaksanaan program berkenaan, bersama-sama petugas barisan hadapan.

– BERNAMA