Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Covid-19: Tiga lagi kes baharu di Singapura

SINGAPURA, 17 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan tiga lagi kes positif jangkitan Covid-19 di negara itu, menjadikan jumlahnya kini 75.

Menurutnya, dua dikaitkan dengan kluster di gereja Grace Assembly of God dan satu lagi dikaitkan dengan kes ke-41, seorang lelaki warga emas warga Singapura berumur 71 tahun yang disahkan positif pada 8 Februari lalu.

“Ketiga-tiga mereka adalah warga Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China,” kata MOH dalam kenyataan semalam.

Dengan perkembangan terbaharu, 18 daripada kes itu dikaitkan dengan gereja Grace Assembly of God.

Satu daripada dua kes yang dikaitkan dengan kluster di gereja Grace Assembly of God melibatkan seorang petugas tetap Tentera Udara Republik Singapura berumur 43 tahun, yang tidak lagi ke tempat kerja sejak mengalami simptom.

Petugas yang tinggal di Lorong 8 Toa Payoh itu dikenal pasti sebagai kontak rapat dengan kes ke-51, lelaki Singapura berumur 48 tahun yang tiada rekod perjalanan baru-baru ini ke China.

MOH berkata sehingga kini, lima kes dikaitkan dengan gereja The Life Church and Missions Singapore, sembilan dikaitkan dengan kedai ubat Yong Thai Hang, tiga dengan mesyuarat tertutup perniagaan di Grand Hyatt Singapore dan lima dikaitkan dengan tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights.

Dalam mengemas kini keadaan kes yang disahkan, MOH berkata sejumlah 19 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital.

Daripada 56 kes disahkan yang masih di hospital, kebanyakan dalam keadaan stabil atau semakin bertambah baik manakala lima dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Enam penumpang kapal persiaran Westerdam negatif Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Keputusan ujian pengesanan Covid-19 yang dijalankan ke atas enam penumpang kapal persiaran Westerdam disahkan negatif berdasarkan laporan Institut Penyelidikan Perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata empat warga Amerika Syarikat dan dua warga Belanda itu dalam keadaan sihat dan kini berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menaiki penerbangan selanjutnya.

“Pihak kedutaan dimaklumkan mengenai keputusan ujian dan mereka akan dibenarkan untuk menaiki penerbangan meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing,” katanya dalam kenyataan.

Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia sehingga ini kekal 22 orang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kapal persiaran berlepas, transit di pelabuhan China tidak dibenar masuk Malaysia

PUTRAJAYA, 16 FEB: Semua kapal persiaran yang berlepas atau transit di mana-mana pelabuhan di China tidak dibenarkan memasuki negara ini buat sementara waktu, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri berkata langkah sementara itu diputuskan bagi mengelak penularan Covid-19 susulan kes melibatkan seorang wanita warga Amerika Syarikat yang didapati positif bagi jangkitan kluster itu semalam.

Beliau berkata kerajaan mengambil maklum bahawa wanita berumur 83 tahun itu merupakan seorang daripada 1,455 penumpang kapal persiaran Westerdam yang pernah berlabuh di Hong Kong.

“Kami tahu kapal is singgah semalaman di Hong Kong sebelum memulakan pelayaran East Asia selama 14 hari pada 1 Februari.

“Jadi, ada kemungkinan berlaku kontak antara penumpang dengan penduduk Hong Kong yang memungkinkan ada antara mereka terdedah dengan virus itu,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata wanita itu bersama suaminya merupakan antara145 penumpang kapal persiaran yang berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lepas, kapal itu sebelum sampai di Malaysia pada hari berikutnya.

Menurut Dr Noor Hisham wanita itu dan suaminya telah dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dirujuk ke Hospital Sungai Buloh di mana ujian saringan yang dilakukan mengesahkan hanya wanita itu positif Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga memutuskan baki penumpang kapal persiaran Westerdam yang masih berada di Kemboja tidak dibenarkan memasuki Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata langkah itu mengambil kira semua penumpang berkenaan adalah kontak rapat dengan kes wanita warga Amerika Syarikat yang disahkan positif itu.

Mengenai keluhan pihak kesihatan Kemboja mengapa penumpang terlibat didapati positif selepas ujian yang dilakukan di negara itu menunjukkan sebaliknya, Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan tidak berniat mempertikai keputusan ujian yang dibuat Kemboja.

“Daripada segi Kemboja mungkin mereka sudah buat apa yang mereka rasa adalah cukup dan kita pula buat ikut cara kita. Apa yang kita buat, bila sampai di sini, kita periksa sebagaimana saringan yang kita buat pada individu lain, ini untuk kita jaga rakyat kita,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri berkata seorang lagi pesakit, iaitu kes ke-15 melibatkan wanita warga China yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bharu telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang semalam menjadikan jumlah keseluruhan sembuh adalah seramai lapan orang.

Dr Wan Azizah berkata kesemua mereka telah menjalani ujian pengesanan ulangan COVID-19 dan didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut.

Ini bermakna jumlah kes Covid-19 yang masih menerima rawatan di wad adalah seramai 14 orang, katanya dan menambah tiada kes baharu kluster itu dilaporkan hari ini.

Jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia sehingga ini kekal 22 orang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Keputusan ujian Covid-19 warga Amerika Syarikat kekal – Dr Wan Azizah

PUTRAJAYA, 16 FEB: Kementerian Kesihatan telah menjalankan ujian ulangan Covid-19 ke atas pasangan suami isteri warga Amerika Syarikat yang merupakan penumpang Kapal Persiaran Westerdam, dan menerima keputusan sama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ujian ulangan Covid-19 itu dijalankan ke atas mereka lewat malam tadi dan keputusan sama diperolehi iaitu positif bagi isteri dan negatif bagi suami beliau.

“Hasil ujian pengesanan Covid-19 pada 15 Februari lepas mendapati isterinya, 83 tahun adalah positif. Pesakit mengalami gejala batuk tetapi tiada demam atau sesak nafas, dan dapatan X-ray beliau menunjukkan tanda radang paru-paru.

“Manakala ujian ke atas suaminya didapati negatif Covid-19. Namun beliau kini menerima rawatan bagi jangkitan bakteria yang dialami,” katanya pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19, di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata pasangan suami isteri itu merupakan antara 145 penumpang penerbangan sewa khas Malaysia Airlines MH8763 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sihanoukville, Kemboja yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 petang, Jumaat.

Kesemua 145 penumpang itu telah menjalani saringan kesihatan dan didapati pasangan suami isteri itu dikesan bergejala melalui pemeriksaan pengimbas terma dan dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk pemeriksaan selanjutnya.

Wanita itu kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh, katanya.

Kapal persiaran itu telah berlabuh di Hong Kong sehari sebelum memulakan pelayaran East Asia Cruise selama 14 hari pada 1 Februari, bagaimanapun Jepun, Filipina, dan Thailand melarang kapal itu daripada berlabuh di pelabuhan-pelabuhan mereka selepas beberapa orang penumpang sebuah lagi kapal persiaran Diamond Princess yang di berlabuh di Jepun didapati positif bagi Covid-19.

“Kapal persiaran ini seterusnya tidak dibenarkan berlabuh di beberapa negara sebelum menerima kebenaran untuk berlabuh di Sihanoukville, Kemboja pada 13 Februari.

“Pengendali kapal persiaran itu Holland American Line telah menyewa pesawat khas Malaysia Airlines bagi membawa sebahagian penumpang kapal persiaran daripada Laparan Terbang Antarabangsa Sihanoukville ke pelbagai destinasi akhir penumpang melalui KLIA,” katanya.

Mengikut perancangan, beliau berkata pihak MAS akan menyediakan empat penerbangan pesawat sewa khas bermula 14 Februari sehingga 16 Februari, namun setelah dimaklumkan KKM mengenai kes positif itu, MAS telah membatalkan baki penerbangan sewa khas yang lain.

Sementara itu, Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (NADMA) berkata daripada 143 penumpang yang melepasi saringan dan tidak bergejala, 137 orang telah meneruskan perjalanan manakala baki enam orang masih menunggu penerbangan sambungan ke destinasi masing-masing.

“Enam penumpang itu akan menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan sekiranya ujian itu disahkan negatif, mereka akan dibenar meneruskan perjalanan dan jika positif mereka akan dibawa ke hospital bagi pemantauan kesihatan seterusnya,” katanya.

Beliau menjelaskan aktiviti pengesanan kontak rapat telah dilaksanakan serta merta dengan melibatkan komunikasi di peringkat Malaysia International Health Regulations (IHR) Focal Point dengan National IHR Focal Point dari negara lain yang terlibat.

Maklumat ringkas mengenai setiap penumpang yang terlibat disalurkan kepada National IHR Focal Point bagi digunakan oleh Kementerian Kesihatan negara terlibat untuk menyusuli dan menjejaki penumpang terbabit sebaik mereka tiba di destinasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tindakan pantas kerajaan kawal penyebaran berita palsu

MARANG, 16 FEB: Tindakan pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia berjaya mengurangkan penularan berita palsu Covid-19.

Timbalan Menteri KKMM Datuk Eddin Syazlee Shith berkata sehingga kini, sekurang-kurangnya 12 individu didakwa atas kesalahan itu di seluruh negara.

“Pada mulanya, ketika amaran diberikan kita lihat masih ada pihak yang menganggap amaran itu tiada sebarang kesan, tetapi selepas 12 individu didakwa, barulah mereka sedar apakah kesan dan akibat daripada perbuatan itu (menyebarkan berita palsu).

“Ketika ini, jumlahnya (berita palsu) sudah semakin berkurangan dan semua pihak semakin berhati-hati, ini adalah satu petanda yang positif,” katanya kepada pemberita ketika melawat Pasar Binjai Rendah di sini sempena program ‘Info On Wheels’ hari ini.

Kes penyebaran berita palsu boleh disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata pelaksanaan program IOW oleh Jabatan Penerangan di seluruh negara mendapat maklum balas yang sangat positif daripada rakyat kerana mereka dapat memahami semua inisiatif disediakan kerajaan dengan baik.

“Setakat ini memang ramai yang mengatakan program ini bagus dan berharap ia terus dilaksanakan pada masa akan datang kerana mereka dapat bersua muka secara terus dengan agensi pelaksana.

“Antara maklum balas yang kita terima ialah rakyat mahu e-tunai diperhebatkan lagi dan ada yang mencadangkan agar syarat untuk I-Suri dilonggarkan supaya lebih ramai yang dapat menikmati manfaatnya,” katanya.

Program IOW yang dimulakan sejak 23 Januari lalu sehingga kini diadakan di 4,162 lokasi tumpuan ramai di seluruh negara dengan memberi penerangan lengkap mengenai beberapa inisiatif kerajaan untuk rakyat seperti Bantuan Sara Hidup, I-Suri, Peka B40, MySalam, COVID-19 dan e-tunai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Angka korban Covid-19 lepasi 1,600 orang

SHAH ALAM, 16 FEB: Jumlah kematian akibat Covid-19 di China melonjak kepada 1,665 orang hari ini selepas 142 nyawa lagi dilaporkan terkorban.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, terdapat 2,009 kes baharu dicatatkan di seluruh negara dengan 1,843 kes di wilayah Hubei, tempat asal wabak dikesan pada Disember lalu, lapor The Straits Times.

Seramai 68,500 orang dijangkiti, kata suruhanjaya kesihatan negara, dengan kebanyakan kematian berlaku di Hubei.

Sementara itu, sejumlah 9,419 pesakit dibebaskan dari hospital selepas pulih sepenuhnya.

Perancis melaporkan kematian pertama akibat Covid-19 di luar Asia pada Sabtu, yang membangkitkan kebimbangan global mengenai wabak itu.

Categories
AGENDA GLOBAL

Lima lagi kes positif Covid-19 disahkan di Singapura

SINGAPURA, 16 FEB: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura hari ini mengesahkan lima lagi kes jangkitan Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini 72.

MOH dalam kenyataan memaklumkan kes positif baharu melibatkan tiga rakyat Singapura dan masing-masing seorang warga Bangladesh dan China yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China, baru-baru ini.

Tiga daripada mereka dikaitkan dengan kluster di gereja The Grace Assembly of God, seorang kluster di tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights dan satu lagi kes dikaitkan dengan kes sebelumnya.

Menurut MOH sejumlah 18 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital.

Daripada 54 kes positif yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala enam dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat ini, lima kes dikaitkan dengan The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road; sembilan kes kepada kluster dikaitkan dengan kedai produk kesihatan Cina, Yong Thai Hang; tiga (mesyuarat perniagaan swasta di Grand Hyatt Singapura); dua (tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights) dan dua lagi (Grace Assembly of God).

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

TPM: Malaysia masih selamat dikunjungi

GEORGE TOWN, 16 FEB: Rakyat diseru untuk bersama-sama memberikan mesej positif, bahawa Malaysia masih selamat dikunjungi walaupun negara kini berdepan penularan Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata permulaan tahun ini agak mencabar khususnya untuk sektor pelancongan dan kerajaan sedang merangka pelbagai strategi bagi membantu industri itu.

“Sehingga hari ini, kerajaan persekutuan masih melaksanakan penganjuran acara atau program serta aktiviti membabitkan orang ramai.

“Namun, kita perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah perlindungan diri serta kesiapsiagaan seperti saranan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2020 di Padang Kota Lama, di sini malam tadi.

Pada masa sama, beliau turut menasihati rakyat untuk tidak menyebarkan dan mempercayai berita tidak benar atau maklumat palsu di media sosial yang menimbulkan kesan buruk seperti perasaan panik serta pergaduhan.

Sebaliknya, masyarakat digalakkan sentiasa merujuk portal ‘sebenarnya.my’ bagi mendapatkan maklumat terkini yang sahih daripada sumber rasmi kerajaan.

Katanya, dalam usaha menangani persepsi negatif terhadap penularan Covid-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan bagi merangka strategi pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan dengan keadaan itu.

Selain itu, Motac turut merangka strategi jangka masa pendek untuk pasaran jarak dekat negara ASEAN, sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelancongan negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Satu lagi kes positif Covid-19, jumlah terkini 22 – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Satu lagi kes positif virus Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah terkini jangkitan di negara ini kepada 22 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes terbaru itu membabitkan seorang wanita warga Amerika Syarikat berumur 83 tahun yang merupakan antara penumpang kapal persiaran yang telah berlabuh di Kemboja pada 13 Februari lepas.

Beliau berkata semua penumpang dan anak kapal telah dibenarkan pulang ke negara masing-masing oleh kerajaan Kemboja setelah memaklumkan bahawa saringan kesihatan telah dijalankan ke atas mereka.

“Seramai 145 penumpang kapal persiaran tersebut telah mengambil penerbangan ke Malaysia pada 14 Februari dan daripada jumlah tersebut, beliau (kes ke-22) dan suaminya telah dikesan bergejala sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

“Ujian saringan pengesanan Covid-19 telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) dan disahkan positif. Pesakit dirawat di wad isolasi hospital berkenaan dan dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Dr Noor Hisham berkata, ujian pengesanan Covid-19 turut dilakukan terhadap suaminya, berusia 85 tahun, seorang warga Amerika Syarikat, namun negatif dan kini masih menerima rawatan serta pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialaminya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Thailand sahkan seorang kakitangan perubatan dijangkiti Covid-19

 

BANGKOK, 15 FEB: Thailand melaporkan satu kes baharu jangkitan Covid-19 yang membabitkan seorang kakitangan perubatan negara itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini ialah 34.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Suwanchai Wattanayingcharoenchai berkata wanita berusia 35 tahun itu telah didiagnosis dengan virus tersebut selepas mempunyai kontak dengan seorang pesakit Covid-19.

Beliau berkata kakitangan perubatan dari sebuah hospital itu yang demam serta mengalami kesukaran bernafas segera dibawa ke Institut Penyakit Berjangkit Bamrasnaradura untuk dikuarantin dan kemudian diuji positif bagi Covid-19.

“Kami mendapati bahawa beliau (kakitangan perubatan itu) tidak memakai penutup hidung dan mulut serta pakaian yang sesuai bagi melindungi dirinya semasa berurusan dengan pesakit dijangkiti.

“Kesemua 24 kakitangan perubatan yang mempunyai kontak rapat dengan beliau bagaimanapun telah diuji negatif bagi Covid-19,” katanya pada taklimat harian di sini hari ini.

Bagaimanapun, Suwanchai tidak mendedahkan sama ada kakitangan itu seorang doktor atau jururawat.

Beliau berkata semua kakitangan perubatan dan pekerja kesihatan barisan hadapan perlu mematuhi semua langkah berjaga-jaga yang standard untuk melindungi diri mereka.

Ketika ini, sejumlah 14 pesakit yang disahkan dijangkiti virus Covid-19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital manakala 20 lagi masih menerima rawatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan pusat beli-belah perlu tingkat pencegahan Covid-19

PUTRAJAYA, 15 FEB: Pengurusan pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan diingatkan supaya meningkatkan langkah pencegahan Covid-19 dengan mengikut saranan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad.

“Keadaan masih terkawal. Setakat ini tidak ada keperluan untuk menutup mana-mana pusat membeli-belah di Wilayah Persekutuan dan tidak ada permintaan dari KKM untuk pihaknya berbuat demikian.

“Apa yang penting semua pihak termasuk pengurusan pusat membeli-belah dan pengunjung mengamalkan langkah pencegahan seperti yang disarankan oleh KKM,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari di sini hari ini.

Baru-baru ini, KKM mengeluarkan panduan langkah pencegahan Covid-19 di pusat membeli-belah di mana pemilik premis perlu kerap melakukan disinfeksi di eskalator dan susur tangan, troli, tombol pintu dan butang lif.

Pengunjung pusat membeli-belah pula perlu kerap membasuh tangan dengan sabun dan air serta menggunakan cecair pembasmi kuman tangan selain memakai penutup mulut dan hidung.

Sehingga kini, Malaysia mencatatkan 21 kes positif Covid-19 dengan 15 kes melibatkan warganegara China dan enam merupakan warganegara Malaysia. Daripada 21 kes positif ini, tujuh individu sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Tiada bukti pesakit pulih dijangkiti semula

IPOH, 15 FEB: Tiada bukti menunjukkan bahawa individu yang telah pulih daripada jangkitan Covid-19 akan dijangkiti semula, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata pada kebiasaannya mana-mana individu yang sembuh daripada infeksi virus akan mempunyai imuniti dalam tubuh untuk melawan penyakit berkaitan.

“Memang dikhuatiri jangkitan semula boleh berlaku, tapi setakat ini tiada bukti ini akan berlaku. Selalunya, selepas infeksi viral jarang sekali dapat jangkitan kali kedua sebab boleh dapat perlindungan melalui imuniti kita.

“Di negara China, misalnya, doktor menggunakan plasma darah pesakit yang telah pulih (daripada Covid-19) untuk merawat mereka yang sakit teruk, tapi ini kita perlukan data untuk tahu ia berkesan atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sistem pemantauan keselamatan sekolah, di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengumumkan bahawa setakat ini sebanyak tujuh individu yang dijangkiti Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan pulang.

Selain itu, Dr Lee menasihati orang ramai agar elakkan stigma terhadap mereka yang tiba dari China atau ada kontak dengan kes yang disahkan positif Covid-19 kerana kebimbangan terhadap perkara itu akan hanya akan mengganggu kehidupan seharian.

Kementerian Kesihatan telah mengambil tindakan sewajarnya termasuk mengasingkan mereka yang tiba dari China sekiranya mempunyai simptom jangkitan selama dua minggu dan jika tiada simptom, risiko untuk penularan Covid-19 amat rendah.

“Kontak kepada pesakit Covid-19 juga kementerian akan saring untuk memastikan mereka tidak menjangkiti sesiapa. Bila (ujian) negatif, risiko mereka sebagai punca penyakit agak rendah. Jadi jangan terlalu takut dan ada stigma terhadap mereka yang jadi kontak atau pulang dari China,” kata Dr Lee.

Pada majlis itu, Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, menyampaikan sumbangan Persatuan Peralatan Komputer dan Digital Perak antaranya kamera litar tertutup kepada 25 sekolah dan pertubuhan kebajikan.

– BERNAMA