Categories
AGENDA NASIONAL

Empat kapal asing berlabuh di Labuan, penduduk setempat tidak perlu risau

LABUAN, 19 FEB: Tiada misteri yang menyelubungi kehadiran empat kapal yang berlabuh berhampiran dengan jeti Asian Supply Base di sini, yang kelihatan seperti ditinggalkan begitu sahaja oleh pemiliknya, sebagaimana tular di platform media sosial.

Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Wilayah Persekutuan Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah berkata tiada apa yang perlu dirisaukan mengenai kehadiran kapal itu kerana pihak berkuasa telah menjalankan pelbagai langkah mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan urusan yang berkaitan dengan kru kapal berkenaan.

“Tidak perlu panik, kami difahamkan kapal itu telah berada di perairan Malaysia sejak empat tahun lepas, dan di sekitar perairan Labuan ini sejak bulan Mei tahun lepas. Kru kapal itu tidak pernah kembali ke negara asal mereka sejak tarikh berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Semalam satu laporan sebuah akhbar nasional mempersoalkan kehadiran kapal Yue Yuan Yu 219, YueYuan Yu 220, Zhong Yue 22 dan Zhong Yue 23, yang berada di Malaysia sejak bertahun-tahun lamanya menimbulkan persoalan mengenai kru kapal dibimbangi memasuki negara secara tidak sah kerana enggan kembali ke negara asal yang dilanda wabak koronavirus 2019 (Covid-19) ketika ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua lagi warga China pulih, pesakit sembuh 13

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Pasangan warga China masing-masing berusia 52 tahun dan 49 tahun yang disahkan positif koronavirus 2019 (Covid-19) sebelum ini, dibenarkan keluar hospital petang semalam, menjadikan jumlah terkini pesakit sembuh adalah 13.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasangan suami isteri yang dirawat di Hospital Permai, Johor Bahru itu disahkan sembuh sepenuhnya selepas keputusan ujian Covid-19 ulangan kali kedua berturut-turut, didapati negatif.

“Kes ketujuh dimasukkan ke wad para 27 Januari, dan kesihatannya terus merosot disebabkan jangkitan teruk Hypoxia pada hari ketiga selepas dimasukkan ke wad.

“Pada hari kesembilan, pesakit menunjukkan perkembangan kesihatan yang amat baik, sehingga dia menjalani ujian dua kali berturut-turut dengan keputusan negatif Covid-19, dan hari ini dia dibenarkan pulang,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, semalam.

Susulan berita gembira itu, Dr Noor Hisham berkata semua kes positif Covid-19 yang dirawat di hospital itu telah sembuh sepenuhnya dan telah benarkan pulang.

Mengulas lanjut, beliau berkata pada awal saringan kesihatan, isteri kepada pesakit kes ketujuh itu disahkan menghidap Asymptomatic, namun simptom Covid-19 pada wanita itu dikesan pada hari kedua rawatan.

“Sampel yang diambil pada 5 Februari lepas menunjukkan negatif Covid-19, namun dia tetap berhasrat untuk tinggal di hospital sehingga suaminya dibenarkan keluar. Kita jalankan ujian sampel sekali lagi semasa suaminya sembuh, dan keputusannya tetap negatif dalam dua ujian susulan itu,” tambahnya.

Pasangan itu adalah individu kes ketujuh (suami) dan kelapan (isteri) yang masing-masing disahkan positif Covid-19 pada 28 Januari dan 30 Januari lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak perlu risau bergaul dengan bekas pesakit Covid-19

NILAI, 18 FEB: Masyarakat tidak perlu risau untuk bergaul dengan pesakit Covid-19 yang telah pulih atau individu yang disahkan negatif selepas dikuarantin, kerana mereka bebas daripada virus berbahaya itu.

Pegawai Perubatan Penyelaras Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, Dr Nur Adibah Shaharul berkata individu yang disahkan negatif dua kali berturut-turut setelah menjalani ujian, adalah bebas daripada virus berkenaan.

“Masyarakat perlu faham pesakit yang telah sembuh daripada Covid-19 atau hasil ujian negatif dua kali berturut-turut, mereka tidak membawa virus ini, tak ada yang perlu dirisaukan oleh masyarakat,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemantauan (HSC) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dekat sini hari ini.

Seramai 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu susulan wabak Covid-19, telah dibenarkan keluar dari pusat pemantauan berkenaan hari ini setelah tamat tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif jangkitan Covid-19.

Mereka yang dibenarkan pulang itu termasuk dua kes yang sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Dr Nur Adibah yang juga berperanan sebagai penyelaras pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi operasi pusat pemantauan (HSC) itu, berkata lokasi itu akan melalui proses pembersihan secara klinikal terutama bilik yang didiami mereka.

Katanya, ini termasuk disinfeksi pada setiap koridor bangunan, permukaan perabot, tilam, langsir dan sebagainya.

Kumpulan 107 orang itu dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Mereka kemudiannya dibawa ke AKEPT untuk menjalani pemantauan selama 14 hari, mulai 4 Februari lepas.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TPM lega rakyat Malaysia dibenar keluar pusat pemantauan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa lega apabila kesemua rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Feb lepas ekoran ancaman Covid-19 dibenarkan keluar daripada pusat pemantauan.

“Bagi saya ini satu berita gembira,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian dan penyerahan tajaan Kumpulan Sunway bagi penubuhan SunwayForGood Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Seberang Jaya, di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya Selasa berkata semua 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari lepas dibenarkan keluar setelah menamatkan tempoh pemantauan 14 hari di pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Sehingga Selasa, jumlah kes positif terkumpul Covid-19 di Malaysia ialah 22 dengan hanya 11 pesakit masih dirawat di wad sementara 11 lagi sudah dibenarkan pulang.

Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan membawa pulang dua rakyat Malaysia disahkan positif Covid-19 di atas kapal Diamond Princess yang berlabuh dan sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun, Dr Wan Azizah berkata mereka akan dirawat di Jepun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook rasmi miliknya hari ini berkata, terdapat dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian Covid-19 di atas kapal berkenaan.

Kedua-dua mereka yang positif sedang dirawat di Jepun.

“Kapal persiaran Diamond Princess yang sedang dikuarantin, mencatatkan kes kluster terbesar di luar China dengan lebih 400 orang yang diuji disahkan positif,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Semalam, media melaporkan sebanyak 455 penumpang kapal itu disahkan positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: 107 dari Wuhan dibenar keluar pusat pemantauan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Semua 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China pada 4 Februari lalu susulan wabak Covid-19 telah dibenarkan keluar dari pusat pemantauan di Nilai, Negeri Sembilan setelah tamat tempoh kuarantin.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sampel ulangan bagi mereka telah disahkan negatif jangkitan Covid-19.

“Mereka yang dibenarkan pulang ini termasuk dua kes yang sebelum ini positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di sini hari ini.

Dzulkefly bagaimanapun menjelaskan seorang daripada 107 individu berkenaan sedang menerima rawatan di wad bagi isu kesihatan yang dialami, dan ia tiada kaitan dengan Covid-19.

Kumpulan itu dibawa pulang ke tanah air dengan pesawat khas melalui misi bantuan kemanusiaan yang dilaksanakan kerajaan Malaysia.

Mereka kemudiannya dibawa ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) untuk menjalani tempoh pemantauan selama 14 hari, mulai 4 Februari lalu.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia kekal 22 dengan 11 daripadanya masih dirawat di hospital.

“Bilangan kes yang telah discaj dari hospital sehingga hari ini ialah 11,” katanya sambil menambah tiada kes baharu dilaporkan hari ini.

Dua puluh dua kes itu merangkumi 12 yang dilaporkan dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI), lapan dalam kalangan kontak rapat, dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang melalui misi bantuan kemanusiaan dari Wuhan.

Bilangan itu juga terdiri daripada 15 warganegara China, enam rakyat Malaysia dan seorang warganegara Amerika Syarikat.

Sehingga hari ini, sejumlah 583 PUI dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC). Bagi kontak rapat kepada kes positif, 230 kes dikesan adalah negatif dan 13 kes masih menunggu keputusan makmal.

Sementara itu, mereka yang menjalani tempoh kuarantin di AKEPT dilihat mula keluar dari lokasi itu pada kira-kira 4.30 petang tadi setelah dibenarkan berbuat demikian.

Menurut penyelaras bagi pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Nur Adibah Shaharul, mereka didapati negatif jangkitan Covid-19 selepas menjalani peringkat akhir ujian sampel bagi virus itu semalam.

Dr Nur Adibah, yang juga Pegawai Perubatan Penyelaras Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban, berkata setiap individu berkenaan telah menjalani ujian sampel sebanyak tiga kali sepanjang tempoh pengawasan.

“Pertama, KKM melakukan ujian sampel pada 4 Februari di Air Disaster Unit (ADU) sejurus mereka tiba di lapangan terbang. Ujian sampel dilakukan sekali lagi pada 10 Feb manakala dalam peringkat terakhir pula, ujian sampel dilakukan semalam (17 Februari),” katanya ketika ditemui Bernama.

Misi membawa pulang rakyat Malaysia dan ahli keluarga mereka dilakukan selepas mereka terkandas di Wuhan berikutan sekatan perjalanan keluar masuk oleh kerajaan China sejak 23 Januari lalu, susulan penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Ditanya mengenai prosedur operasi selepas tempoh kuarantin itu tamat, Dr Nur Adibah berkata pihaknya terus melakukan pembersihan secara klinikal terutama di bilik yang didiami mereka.

“Kita akan buat proses pembersihan secara klinikal seperti disinfeksi pada setiap koridor bangunan, permukaan perabot, tilam, langsir dan sebagainya. Prosedurnya sama seperti proses pembersihan yang dilakukan di hospital,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penghantar barang didakwa buat kenyataan palsu berhubung Covid-19

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Seorang penghantar barang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan palsu berhubung penularan jangkitan Covid-19 di laman profil Facebooknya.

Shamsul Anuar Mohd Khairi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M. Saravanan.

Lelaki itu didakwa telah membuat kenyataan dalam laman ‘Facebook’ mengenai jangkitan Covid-19 di dalam bas persiaran di negara ini yang digunakan oleh pelancong dari China dan jangkitan itu akan aktif apabila berlaku musim panas melampau, dengan niat hendak atau mungkin menyebabkan ketakutan kepada awam supaya orang awam terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Wangsa Maju di sini pada 9.53 pagi, 27 Januari lepas mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Rajdeep Singh tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam P. Suthes yang mewakili Shamsul Anuar memohon supaya anak guamnya dibenarkan diikat jamin kerana tertuduh penanggung tunggal keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Anak guam saya mempunyai lima anak yang masih bersekolah serta seorang isteri tidak bekerja. Saya juga mohon jaminan minimum,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri seminggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 April untuk sebutan semula kes.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dua rakyat Malaysia positif, dirawat di Jepun

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Dua rakyat Malaysia di atas kapal Diamond Princess, yang berlabuh dan sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun, disahkan positif Covid-19 dan sedang dirawat di negara tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini berkata terdapat dua lagi rakyat Malaysia yang masih menunggu keputusan ujian Covid-19.

“Kapal persiaran Diamond Princess yang sedang dikuarantin, mencatatkan kes kluster terbesar di luar China dengan lebih 400 orang yang diuji disahkan positif.

“Terdapat dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian Covid-19 di atas kapal tersebut. Kedua-dua mereka yang positif sedang dirawat di Jepun,” menurut catatan itu.

Semalam, media melaporkan sebanyak 455 penumpang kapal itu disahkan positif Covid-19 sehingga kini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Covid-19: Angka korban melonjak kepada 1,868 orang

SHAH ALAM, 18 FEB: Jumlah kematian akibat Covid-19 di China melonjak kepada 1,868 orang setakat ini, selepas 93 orang lagi meninggal dunia di wilayah Hubei dan 72 di Wuhan.

Dalam kemas kini hariannya, suruhanjaya kesihatan negara mengesahkan 1,886 jangkitan baharu, menjadikan keseluruhan kes 72,436, lapor The Straits Times.

Penularan wabak membantutkan sektor pembuatan dan pelancongan di seluruh rantau itu susulan sekatan perjalanan termasuk penerbangan dan pelayaran.

Sementara itu, BHOnline melaporkan wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan Covid-19, mengumumkan akan melaksanakan sekatan perjalanan lebih ketat terhadap semua penduduknya bagi menghalang wabak tersebut merebak.

Mengikut peraturan baharu, semua perniagaan akan ditutup dan semua 58 juta penduduk di wilayah itu tidak boleh meninggalkan kediaman atau perkampungan masing-masing.

Tiada sebarang kenderaan atau pelawat dibenarkan masuk ke kawasan kediaman atau perkampungan, kecuali benar-benar perlu.

Hubei turut melarang semua kenderaan di atas jalan raya, kecuali kereta polis, ambulans, kenderaan yang membawa barangan keperluan dan beberapa kenderaan lain yang dibenarkan.

Jumlah orang awam di dalam premis perniagaan yang dibenarkan beroperasi pula akan dihadkan, serta ‘penyelarasan kolektif’ bagi individu yang dibenarkan keluar daripada rumah untuk membeli barangan keperluan.

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura sahkan dua lagi kes positif Covid-19

SINGAPURA, 18 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan dua lagi kes positif jangkitan Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 77.

Satu daripada kes itu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun, antara kumpulan rakyat Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 9 Februari, menurut MOH dalam satu kenyataan.

MOH berkata mangsa tidak menunjukkan sebarang gejala ketika menaiki pesawat dan dikuarantin sejurus mendarat di Singapura.

Dia kini ditempatkan di bilik isolasi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Sementara itu, kes lain membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 35 tahun tanpa sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Dia disahkan dijangkiti virus Covid-19 pagi semalam dan ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaaan Penyakit Berjangkit, menurut kementerian itu.

Mangsa adalah kontak kes ke-50, yang merupakan seorang pekerja lelaki Bank DBS berusia 62 yang disahkan dijangkiti virus itu pada 12 Februari.

Sehingga kini, MOH berkata sejumlah 24 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar dari hospital.

Kenyataan itu menyebut daripada 53 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala empat berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari ini, MOH berkata 937 kes yang disyaki diuji negatif bagi Covid-19 manakala baki 103 kes masih menunggu keputusan ujian makmal.

Pada masa sama, MOH mengenal pasti 2,358 kontak rapat yang dikuarantin dan daripada jumlah ini, 1,081 sedang dikuarantin manakala 1,277 selesai menjalani kuarantin mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Hala tuju, promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 diubah

PUTRAJAYA, 17 FEB: Hala tuju dan promosi Tahun Melawat Malaysia (VM2020) perlu diubah, bagi diselarikan dengan situasi negara yang sedang berhadapan dengan Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata penularan Covid-19 yang memberi kesan kepada negara serta industri pelancongan antarabangsa, memerlukan satu inisiatif dan strategi berkesan, untuk memastikan misi menarik kehadiran pelancong tidak terjejas.

Bagi tujuan itu, beliau berkata kementerian telah memanggil sebahagian besar daripada pengurus pemasaran Tourism Malaysia di luar negara untuk berkongsi pandangan dan merangka langkah terkini, yang boleh diambil bagi menangani kesan daripada penularan wabak tersebut.

“Pada masa ini, keprihatinan utama kita ialah wabak Covid-19 di China, yang boleh dan telah memberi kesan kepada sektor pelancongan tempatan dan global.

“Bagaimanapun, bencana yang melanda tanah besar China itu, boleh menjadi faktor yang menjejaskan kedatangan pelancong China ke Malaysia, sekali gus memberi kesan kepada VM2020,” katanya pada majlis makan malam sempena persidangan Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar negara, di sini malam ini.

Persidangan selama empat hari bermula hari ini anjuran bersama Tourism Malaysia dan Malaysia Airport Holdings Berhad itu, dihadiri 26 Pengurus Pemasaran serta 11 Pengarah Pejabat Luar Negara. Ketika ini, terdapat 34 Pengurus Pemasaran Tourism Malaysia di luar.

Mohamaddin berkata China merupakan pasaran tradisi dan penting bagi Malaysia, menjadikan ia antara 10 negara utama menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara, melalui sektor pelancongan.

Beliau berkata atas faktor itu, strategi berkesan serta pelan tindakan pemulihan perlu dibangunkan, untuk kempen VM2020, khusus bagi menangani kesan susulan daripada Covid-19, yang secara langsung menjejaskan industri pelancongan negara.

Mohamaddin berkata untuk tempoh sementara, pengurus pemasaran Tourism Malaysia serta pihak yang berkenaan perlu beralih fokus kepada pasaran tidak terjejas dengan wabak itu, seperti di rantau ASEAN, India, Asia Barat serta Korea Selatan.

Kementerian berharap persidangan ini akan dapat menghasilkan satu langkah atau hala tuju lebih berkesan, dalam meningkatkan aliran trafik pelancong daripada pasaran antarabangsa, ketika kerajaan bekerja keras menangani penularan Covid-19, katanya.

Susulan wabak Covid-19 di China, kerajaan pada 27 Jan lepas memutuskan menggantung sementara semua kemudahan imigresen kepada rakyat negara itu dari Wilayah Hubei, termasuk Bandar Wuhan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Warga Malaysia pertama dijangkiti Covid-19 sembuh, dibenar pulang

KUALA LUMPUR, 17 FEB: Warga Malaysia pertama dijangkiti Covid-19 sebelum ini, dibenarkan pulang hari ini (Isnin), selepas sembuh sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia menjadikan angka terbaru yang berjaya sembuh setakat ini, sembilan orang.

Katanya individu berumur 41 tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor, dan pesakit telah menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 serta didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut, sebelum dibenarkan pulang.

“Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dan hanya 13 kes yang masih dirawat di wad,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini

Dr Dzulkefly memaklumkan daripada keseluruhan 22 kes yang dilaporkan, 12 kes dalam kalangan kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat, dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Dr Dzulkefly dalam kenyataan itu turut memaklumkan telah membuat telesidang bersama dengan Menteri Kesihatan Kemboja, Prof Mam Bunheng petang ini bagi memperkukuhkan kerjasama di antara dua negara, dalam usaha menangani kejadian jangkitan Covid-19 ini.

Katanya, pada telesidang tersebut, Dr Dzulkefly telah maklumkan kepada Mam Bunheng bahawa pesakit warga Amerika Syarikat, menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik.

“Saya turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan Covid-19 ulangan telah dijalankan mengikut tatacara yang telah ditetapkan, dan didapati masih positif.

“Saya dan Menteri Kesihatan Kemboja berharap keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik.

“Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama secara rapat dengan semua negara yang terlibat dan pihak WHO, dalam pengurusan kes Covid-19 dan penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Covid-19: Jumlah kematian cecah 1,765 orang

SHAH ALAM, 17 FEB: Angka korban susulan Covid-19 di China meningkat kepada 1,765 orang hari ini, selepas wilayah Hubei melaporkan 1,933 kes baharu dan 100 kematian tambahan.

Sekurang-kurangnya 70,400 orang dijangkiti wabak di seluruh negara, lapor The Straits Times.

Suruhanjaya Kesihatan Hubei berkata jumlah kes di wilayah itu mencecah 58,182 setakat semalam dengan 1,696 kematian dilaporkan.

Jumlah kes baharu meningkat hampir lima peratus dari hari sebelumnya, namun jumlah kematian turun berbanding kelmarin.

Hampir 90 peratus daripada kes baharu berada di ibu kota Hubei iaitu Wuhan, tempat asal penularan virus. Wuhan menyumbang 71 peratus kes jangkitan dan 77 peratus kematian.

Wilayah itu dituduh gagal menangani wabak tersebut dari awal, yang menyebabkannya tersebar di seluruh negara.