Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada pesakit positif Covid-19 dirawat di Hospital Shah Alam

SHAH ALAM, 15 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan terdapat pesakit positif Covid-19 dirawat di Hospital Shah Alam.

Menegaskan berita yang tular di media sosial palsu, kementerian turut menasihatkan orang awam supaya tidak mempercayai perkara tersebut.

“Hospital Shah Alam tidak disenaraikan untuk rujukan bagi penyakit Covid-19. Jangan berkongsi atau menyebarkan berita palsu ini,” kata KKM melalui Facebook rasminya.

Kementerian turut menafikan kejadian Covid-19 berlaku di Hospital Selayang, Sekinchan, Jenjarom dan Hospital Sunway, Cheras.

Terdahulu, satu video berdurasi 25 saat yang tular di media sosial menunjukkan beberapa individu sedang memakai sut berwarna putih serta topeng hidung dan mulut di hadapan Unit Kecemasan Hospital Selayang yang dikaitkan dengan Covid-19.

Setakat ini, polis membuka 26 kertas siasatan berhubung kes penyebaran berita tidak sahih mengaitkan penularan Covid-19 di media sosial.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Angka korban Covid-19 di China lepasi 1,500

SHAH ALAM, 15 FEB: Jumlah korban akibat Covid-19 di China melepasi 1,500 orang, selepas Hubei mencatatkan 139 kematian baharu hari ini.

Suruhanjaya kesihatan wilayah itu juga melaporkan 2,420 kes baharu wabak, menjadikan jumlah keseluruhan kes di kawasan tersebut sebanyak 54,406, lapor The Straits Times.

Jumlah kes di China keseluruhannya melebihi 66,000 setakat ini.

Beijing, ibu kota republik itu semalam mengenakan kuarantin selama 14 hari kepada penduduknya yang pulang dari bercuti sebagai langkah pencegahan penularan wabak dan mengancam akan menghukum mereka yang gagal mematuhi arahan tersebut.

Bagaimanapun, peraturan itu tidak dimaklumkan sama ada akan terpakai kepada bukan pemastautin Beijing atau orang asing yang tiba dari luar negara.

Sementara itu, seorang pegawai China dalam temu bual dengan Reuters mengakui Covid-19 adalah satu cabaran yang besar, namun mempertahankan usaha negaranya menguruskan wabak tersebut selain mengkritik tindakan “berlebih-lebih” negara lain.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA GLOBAL

Singapura catat sembilan lagi kes positif Covid-19

SINGAPURA, 15 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan sembilan lagi kes Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 67.

MOH dalam kenyataan memaklumkan kesemua kes membabitkan rakyat Singapura yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Satu daripada kes baharu itu membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang bertugas di sebuah hospital swasta.

Pada masa ini beliau ditempatkan dalam bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID), kata kementerian itu.

MOH berkata lelaki itu tidak ke tempat kerja sejak bermulanya gejala penyakit tersebut pada 7 Februari dan tidak mempunyai interaksi yang diketahui dengan kes lampau.

Mengemas kini situasi kes yang disahkan, MOH berkata setakat ini, dua lagi kes pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah kes yang dibenarkan keluar dari hospital ialah 17.

Daripada 50 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala enam dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dakwaan palsu lima kes positif di Hospital Klang

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan terdapat lima kes positif Covid-19 di Hospital Klang, Selangor berikutan video yang tular di media sosial semalam.

KKM melalui Facebook rasminya memaklumkan video berkenaan merupakan tatacara operasi piawai (SOP) dalam mengesan kontak rapat.

“Tular video dengan dakwaan ada lima kes positif di Hospital Klang adalah tidak benar. Jangan berkongsi atau menyebarkan berita palsu ini,” menurut catatan itu.

Semalam tular video berdurasi lima saat di media sosial yang mendakwa terdapat lima kes positif Covid-19 di Hospital Klang.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Sektor binaan pacu ekonomi tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan berkemungkinan besar meningkatkan pelaksanaan projek pembinaan pada separuh kedua 2020 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan cabaran di peringkat luaran, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata selain merangka pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak koronavirus 2019 (Covid-19), kerajaan dijangka menumpukan aspek perbelanjaan bagi membantu kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pengeluaran dan pelancongan yang terjejas akibat penularan virus tersebut.

“Bagaimana pun, peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak empat peratus tahun ke tahun kepada RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 serta projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula adalah memadai untuk merangsang sektor pembinaan,” katanya.

Menurut Affin Hwang, kerajaan juga diunjurkan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur pada tahun ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyamai langkah pada 2001, 2003, 2008 dan 2009 menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi untuk menampan sebarang penyusutan.

Pada Mei 2003 misalnya, kerajaan telah mengumumkan rangsangan ekonomi RM7.3 bilion untuk mengurangkan impak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dengan tumpuan menyokong perbelanjaan swasta dan membantu PKS serta perniagaan berkaitan pelancongan.

Antara projek infrastruktur berskala besar dijangka dihidupkan semula tahun ini adalah Projek Bas Rapid Transit, Projek Sistem Transit Rapid (antara Johor Bahru dan Singapura) dan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Selain itu, ‘nasib’ mengenai kemungkinan projek lain yang disambung semula seperti Laluan 3 Transit Aliran Massa Lembah Klang, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi KL-Singapura juga dijangka diketahui pada tahun ini.

“(Berikutan itu) kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan belian utama membabitkan saham syarikat Gamuda, SunCon, AQRS dan HSS, Konsortium AME Elite, Pintaras Jaya serta Taliworks,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Mahathir nyatakan solidariti, sokongan kepada China

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan solidariti dan sokongan padu Malaysia kepada China dalam mengendalikan wabak koronavirus 2019 (Covid-19).

Dalam perbualan telefon lebih setengah jam dengan Presiden China Xi Jinping semalam, Dr Mahathir turut menzahirkan keyakinan terhadap setiap usaha dilakukan presiden dan kerajaannya berhubung perkara itu.

“Kedua-dua pemimpin bercakap tentang persefahaman bersama dan hubungan erat untuk membendung dan menangani epidemik Covid-19 , serta meminimumkan kesannya,” kata Kementerian Luar dalam kenyataan.

Menurut kementerian itu, Presiden Xi menghargai persahabatan dan bantuan Malaysia, dan memberi jaminan China mempunyai kekuatan menangani wabak Covid-19 dan akan menjaga rakyat Malaysia dan rakyat negara lain yang kini berada di China sama seperti warganegara mereka.

Kedua-dua pemimpin bersetuju tentang perlunya usaha bersepadu, dengan perdana menteri merujuk kepada langkah bersama yang akan diambil oleh Asean dan China untuk memastikan situasi itu terkawal.

“Kedua-dua pemimpin juga bersetuju untuk sering berhubung antara satu sama lain dalam memberikan respons terhadap epidemik itu,” kata kenyataan itu.

Media melaporkan lebih 64,000 kes disahkan dan lebih 1,400 kematian dilaporkan di China sejak bermulanya wabak itu.

Terdapat 19 kes Covid-19  disahkan di Malaysia sehingga semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Kesan negatif ekonomi China terhad – ahli ekonomi

CHICAGO, 14 FEB: Ahli ekonomi berpendapat kesan negatif dicetuskan wabak koronavirus 2019 (Covid-19) ke atas ekonomi China adalah terhad, lapor agensi berita Xinhua.

Profesor ekonomi di Institut Teknologi Illinois, Chicago Khairy Tourk berkata kesan negatif hanya berlaku pada suku tahun pertama, selepas itu sehingga akhir tahun keadaan kembali seperti biasa.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia memuji tindakan China dalam menangani wabak itu. Langkah pencegahan yang diambil bersesuaian dengan masa dan keadaan,” katanya.

Katanya, jika dibandingkan dengan kadar kematian akibat Zika dan Ebola, korban akibat Covid-19 jauh lebih rendah berbanding wabak lain.

“Jadi, apa yang berlaku sebenarnya ialah terlalu membesar-besarkan kesan negatif wabak itu,” katanya.

“Satu perkara positif mengenai ekonomi China ialah negara ini mampu membangunkan ekonomi digital, jadi pelajar boleh belajar dalam talian…saya juga terkejut bila dengar ada beberapa mahkamah di China sedang menjalankan perbicaraan secara dalam talian,” kata Tourk.

Katanya rakyat China sangat berdaya cipta dan pelbagai usaha diambil untuk mengurangkan kesan penularan penyakit dengan mengambil langkah tepat dalam menangani krisis itu.

Tourk menyeru semua masyarakat dunia bersama-sama berganding bahu dalam memerangi virus itu.

“Negara China yang sihat bermakna ekonomi dunia juga sihat,” kata Tourk.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Universiti awam ada kuasa autonomi tangguh kelas

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Universiti awam mempunyai kuasa autonomi sendiri dalam membuat sebarang keputusan melibatkan arahan penangguhan kelas pengajian susulan penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata keputusan yang sama dilaksanakan universiti awam apabila negara dilanda jerebu sebelum ini, bagi memastikan kesihatan setiap warga universiti terjaga.

“Untuk universiti, mereka memang ada autonomi, sebagai contoh semasa masalah jerebu, universiti juga diberi autonomi untuk membuat keputusan atau penyusunan paling sesuai buat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis prapelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2020, di sini malam tadi.

Pesta buku itu akan berlangsung dari 27 Mac hingga 5 April depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC – sebelum ini dikenali sebagai PWTC).

Media melaporkan pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengarahkan semua penuntutnya untuk bercuti selama 10 hari bermula semalam.

Ia sebagai langkah awal berjaga-jaga dalam usaha menangani penularan Covid-19 dan mencegah sebarang jangkitan di universiti itu.

Dalam pada itu, Teo berkata bagi penutupan sekolah kerajaan pula, ia akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Setakat ini, kita tidak ada terima arahan ataupun nasihat daripada KKM untuk tutup sekolah. Ini kerana belum ada pelajar yang disahkan positif (Covid-19).

“Aktiviti luar (kelas) setakat ini berjalan seperti biasa tetapi kalau kes menjadi semakin serius, jadi kami (KPM) akan bangkit isu ini kepada KKM untuk mendapatkan nasihat mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI

Tingkat belanja rakyat, kerja belia kukuhkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan perlu menumpukan usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk belia selain menyediakan peruntukan lebih besar kepada B40 dan M40 bagi meningkatkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat, yang akan membantu memperkukuh semula ekonomi negara, kata seorang penganalisis di bank pelaburan.

Beliau berkata kerajaan perlu mencontohi inisiatif kerajaan Indonesia dalam menggalakkan rakyatnya berbelanja ketika ekonomi mengalami kelembapan.

“Menerusi pemberian tunai ke dalam poket mereka, terutama belia, ini sebenarnya dapat membantu kerajaan untuk memperkukuh semula ekonomi ini.

“Tetapi pada masa sama, saya lebih menekankan aspek kadar guna tenaga pekerjaan, yang sangat tinggi,” katanya kepada Bernama.

Data menunjukkan kadar pengangguran belia di Malaysia adalah 11.9 peratus pada 2009, susut kepada 9.7 peratus pada 2011 dan mencecah 10.9 peratus pada 2018, lebih daripada tiga kali ganda kadar pengangguran nasional iaitu sebanyak 3.3 peratus.

“Sebelum ini kita mempunyai skim mewujudkan lebih banyak pekerjaan contohnya dalam sektor telekomunikasi dan perbankan, namun kini jumlah skim ini semakin mengecil. Kita berada dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, anda sudah menghasilkan bakat, tetapi ke mana mereka pergi?,” katanya.

Beliau juga menegaskan penting untuk kerajaan menstabilkan ekonomi terlebih dahulu sebelum melaksanakan campur tangan monetari (pengurangan kadar faedah) selain menangguhkan mekanisme apungan harga petrol.

Langkah lain untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna adalah dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengurangkan caruman pekerja, dan secara keseluruhannya pengguna akan mempunyai lebihan wang sekurang-kurangan RM5 bilion dalam poket mereka.

Kerajaan sebelum ini telah menggunakan kaedah yang sama untuk merangsangkan ekonomi pada 2009, 2013 dan 2016, apabila KWSP menurunkan kadar caruman pekerja daripada 11 peratus kepada lapan peratus berasaskan pilihan.

Kelmarin, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Sehubungan itu pakar ekonomi tersebut berkata bagi pertanian, pengurangan kos baja oleh penanam telah menyebabkan pengeluaran lebih rendah, sementara isu penawaran dan permintaan komoditi di China dan India juga memberi kesan kepada sektor ini.

“Saya menjangkakan pertanian terus menyeret turun ekonomi pada 2020 namun saya tidak bimbang mengenai perlombongan dan pertanian kerana kedua-dua sektor ini menyumbangkan kira-kira 14 peratus kepada ekonomi. Lebih penting lagi, enjin pertumbuhan kita sebenarnya adalah perkhidmatan dan pembuatan yang merupakan kira-kira 80 peratus daripada KDNK.

“Apa yang kita khuatir adalah penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) yang boleh memberi kesan kepada perbelanjaan sektor pelancongan, runcit dan perkilangan walaupun ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China telah reda, tidak pulih sepenuhnya,” katanya

Beliau mengunjurkan KDNK setahun penuh 2020 pada 4.4 peratus susulan wujudnya ketidaktentuan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP serbu syarikat naik harga 100 peratus pembasmi kuman

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Sebuah syarikat pengeluar cecair pembasmi kuman di Kajang, kira-kira 23 kilometer dari sini, diserbu selepas dipercayai menaikkan harga lebih 100 peratus dalam tempoh kurang dua minggu.

Timbalan Pengarah Pencegahan Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azman Adam berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan orang awam berhubung peningkatan harga cecair pembasmi kuman dikeluarkan syarikat berkenaan yang dijual secara dalam talian.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatian dilakukan awal bulan lepas di laman sesawang syarikat berkenaan mendapati harga bagi satu pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter dijual pada harga RM118 berbanding harga sebelumnya RM112.

“Bagi tempoh dua minggu kemudian, harga produk berkenaan terus meningkat hingga mencecah peningkatan 100 peratus iaitu RM228 yang direkodkan semalam di laman sesawang syarikat terbabit,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Azman berkata pihaknya turut merampas 37 pek cecair pembasmi kuman seberat lima liter setiap satu dianggarkan bernilai RM8,436 dalam serbuan itu.

“Kami memandang serius mengenai peningkatan harga cecair pembasmi kuman kerana permintaan semakin meningkat dalam kalangan pengguna berikutan penularan koronavirus 2019 (Covid-19),” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Harga dan Antipencatutan 2011.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: MTUC nasihat majikan tidak nafi hak pekerja

KUALA LUMPUR, FEB: Kongress Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menasihatkan majikan untuk tidak menggunakan isu koronavirus 2019 (Covid-19) sebagai alasan menafikan hak pekerja.

Setiausaha Agung MTUC J. Solomon berkata situasi yang berlaku kini memerlukan libat urus yang kerap antara majikan dan wakil pekerja, bagi memastikan penyakit dan juga kebimbangan mengenainya dapat dielakkan daripada merebak.

Kedua-dua pihak perlu bekerjasama dan mencari penyelesaian bagi masalah yang berlaku ketika masa kini, katanya dalam satu kenyataan.

“Dengan mengadakan sesi libat urus antara satu sama lain, tidak ada pihak akan mencurigai tindakan yang diambil di tempat kerja. Ini termasuklah tindakan kuarantin, jika perlu, yang seharusnya tidak dilihat sebagai mendiskriminasi tetapi demi keperluan kesihatan,” katanya.

Majikan perlu mengambil kira untuk mengurangkan pergerakan perniagaan di kawasan terjejas pada masa ini dan menyediakan penginapan yang bersesuaian,” katanya sambil menambah mereka boleh menggunakan sidang video pada ketika, ini dan mengurangkan risiko.

Kenyataan itu turut menggariskan beberapa perkara untuk majikan, termasuk memperkuatkan polisi cuti sakit dan menggalakkan pekerja untuk duduk di rumah jika mereka tidak sihat dan tidak menghantar pekerja ke China atau negara lain yang terjejas, kecuali bagi urusan yang benar-benar perlu.

Menurut Seksyen 15 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, adalah menjadi tanggungjawab majikan antaranya menyediakan satu kawasan kerja untuk pekerja yang bebas daripada bahaya yang diketahui, satu tempat kerja yang selamat dan tanpa sebarang risiko kepada kesihatan, kata Solomon.

Beliau berkata, majikan juga perlu mendidik pekerja mengenai tanda-tanda dan gejala Covid-19 dan langkah meminimumkan risiko jangkitan, selain melaksanakan dan/atau menilai protokol respon kecemasan di tempat kerja.

-BERNAMA

TAG: MTUC, COVID-19, perniagaan, wakil pekerja, majikan, pekerja

Categories
AGENDA GLOBAL

Kes pertama Covid-19 dilaporkan di London

LONDON, 13 FEB: Kes pertama disahkan koronavoris 2019 (Covid-19) dilaporkan di bandar raya London pada Rabu, lapor agensi berita Anadolu memetik media tempatan.

Mangsa seorang wanita dipercayai dibawa pulang dari China, tempat beliau disyaki dijangki virus itu dan kini dirawat di sebuah hospital London.

Awal minggu ini, kerajaan British mengisytiharkan Covid-19 sebagai ancaman serius dan pasti akan mengancam kesihatan awam.

“Seorang lagi pesakit di England telah diuji positif Covid-19, menjadikan jumlah kes di United Kingdom sembilan kes,” kata Ketua Pegawai Perubatan Britain Prof Chris Whitty.

“Virus itu disebarkan dari China dan pesakit telah dipindahkan ke pusat pakar NHS di “Guy and St Thomas” di London,” katanya.

-BERNAMA