Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor-Persekutuan setuju kerjasama tangani Covid-19

SHAH ALAM, 3 FEB: Kerajaan Selangor dan Persekutuan mencapai kata sepakat dalam usaha mencegah penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu terjalin hasil perbincangan bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) semalam.

Beliau menjelaskan antara isu disentuh ialah vaksin Covid-19, Pusat Transit Sementara (PTS), pewartaan, perkongsian data dan kerjasama agensi Kerajaan Negeri.

“Insya-Allah, berkat kerjasama dan persetujuan menteri dan pasukannya, kita akan umumkan beberapa kesepakatan yang berjaya dicapai – kemuncak kepada usahasama Persekutuan dan negeri tanpa menyembunyikan maklumat (working in silos),” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook malam tadi.

Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan membincangkan gerak kerja pengurusan Covid-19 pada 2 Februari 2021. Foto: Facebook Dato’ Menteri Besar

Beliau berkata pertemuan antara kedua pihak turut membabitkan pasukan kesihatan Selangor dan Kementerian Kesihatan (KKM) menghasilkan keputusan sangat produktif dan bakal melancarkan gerak kerja pengurusan wabak Covid-19.

“Di sebalik kesuraman dan kesedihan (doom and gloom) yang biasa kita dengar apabila dihadapkan dengan angka jangkitan meningkat, ternyata perbincangan ini melegakan.

“Ia memberi harapan untuk sama bergabung tenaga (put our heads together) memberikan yang terbaik buat Selangor dan Malaysia,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

26 daerah zon merah Covid-19 dalam tempoh 14 hari – CPRC

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Sebanyak 26 daerah di seluruh negara dikategorikan sebagai zon merah dalam tempoh 14 hari iaitu dari 7 hingga 20 Oktober, menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Berdasarkan senarai yang diberikan CPRC, Sabah mencatatkan jumlah zon merah tertinggi dengan 16 daerah manakala Selangor mencatatkan lima daerah, masing-masing dua daerah di Kedah (Kota Setar dan Pokok Sena) dan Pulau Pinang (Timur Laut dan Seberang Perai Selatan), manakala satu di Perak iaitu daerah Larut, Matang, Selama.

Memperincikan 16 daerah di Sabah itu, ia melibatkan daerah Lahad Datu, Kota Kinabalu, Sandakan, Tuaran, Kunak, Papar, Semporna, Tawau, Putatan, Penampang, Ranau, Beaufort, Kota Belud, Keningau, Tambunan dan Kudat.

Lima daerah di Selangor pula melibatkan Klang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat.

Dari segi mukim pula, Kedah melibatkan mukim Kota Setar dan Gajah Mati; Pulau Pinang (Georgetown dan Mukim 6); Perak (Taiping); dan Selangor (Klang, Kapar, Sungai Buloh, Petaling, Damansara, Kajang dan Tanjung Dua Belas (1)).

Selain itu, mukim merah di Sabah melibatkan Bandar, Silabukan dan kawasan Felda di Lahad Datu; Kota Kinabalu (Laut, Likas, Pantai, Sembulan, Darat, Kamung Air, Petagas dan Tanjung Aru); Sandakan (Sentosa, Karamunting, Beatrice, Batu Sapi, Sibuga dan Pantai Elopura); Tuaran (Indai, Serusup dan Tambalang); Kunak (Pekan); Papar (Pengalit/Kawang dan Labak/ Kinarut); Semporna (Bugaya dan Tampi-Tampi); Tawau (Sri Tanjung, Merotai dan Balung); Putatan (Petagas dan Lok Kawi); Penampang (Kepayan dan Penampang Baru); Kota Belud (Kulambai); dan Kudat (Tiga Papan).

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CPRC sedia data, laporan harian Covid-19 empat jam setiap hari

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Menyediakan laporan harian dan maklumat terkini Covid-19 dalam masa kurang daripada empat jam setiap hari, adalah tempoh kritikal bagi pasukan data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC).

Berkongsi cabaran aktiviti dan proses pengumpulan data Covid-19, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pasukan petugas di belakang tabir Kementerian Kesihatan (KKM) itu, akan menganalisis dan menterjemah data kepada laporan yang ringkas, padat serta mudah difahami.

“Data harian dikaji sehingga jam 12 tengah hari dan mereka hanya ada tempoh masa kurang 4 jam untuk keluarkan laporan harian maklumat terkini setiap hari. Semoga segala urusan dipermudahkan. Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau, pagi tadi.

Dalam hantaran yang sama Dr Noor Hisham turut berkongsi, hantaran Facebook yang dimuat naik seorang petugas CPRC Dr Mohamad Fadli Khairie, yang menceritakan peranan dan tugas pasukan itu.

Menurut Dr Mohamad Fadli dalam hantaran berkenaan, setiap hari tepat jam8 pagi, Ketua Pengarah Kesihatan akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang taruh dalam pengurusan Covid-19 KKM termasuk pakar perubatan, bagi membincangkan isu semasa seperti perincian kes harian, kluster aktif, keadaan hospital dan klinik kesihatan serta sumber manusia, selain langkah yang perlu diambil.

“Tugas kami bermula daripada menerima perlaporan dan notifikasi kes positif dari jam 12 tengah malam semalam hingga 12 tengah hari, pada hari ini.

“Setiap maklumat yang diterima akan diteliti untuk memastikan ketepatan dan kesahihan data. Setiap pesakit juga diberikan nombor kes sebagai ‘de-identification’ bagi membolehkan analisis data dan kerahsiaan data pesakit terjaga,” menurut Dr Mohamad Fadli dalam hantaran itu.

Jelas beliau, setiap data kes positif yang disiasat akan dikenal pasti tentang maklumat sosiodemografi, kadar nilai kitaran ambang (CT value), punca jangkitan, jenis saringan dan risiko penyebaran kes terhadap masyarakat.

Selain itu beliau berkata, hubungan epidemik antara satu kes dengan kes yang lain, terutama apabila melibatkan hubungan antara negeri juga dikaji dan sekiranya ada, perbincangan dengan negeri dan daerah dilakukan untuk mengumumkan kluster tersebut.

“Waktu genting bagi kami antara jam 4 dan 5 petang, sebelum sidang media harian mengenai perkembangan Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, semua data perlu dimuktamadkan selain proses verifikasi agar tiada kesilapan. Semua proses perlu berlaku dengan cepat dan tepat.

“Menjadi cabaran apabila bilangan kes harian yang sangat tinggi menyukarkan urusan analisa data. Apa pun yang berlaku, zero error (kesilapan sifar) dan 100 peratus accuracy (ketepatan) sentiasa jadi matlamat kami,” menurut beliau dalam tulisan itu.

Dr Mohamad Fadli berkata dengan data akhir itu, semua kes terlibat akan melalui proses geokod (geocoding) bagi klasifikasi mukim dan daerah, untuk digunakan pasukan aplikasi MySejahtera untuk ‘hotspot tracking’.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

46,713 kes denggi setakat 30 Mei – CPRC

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Sejumlah 46,713 kes denggi dilaporkan dari 29 Dis tahun lepas hingga 30 Mei tahun ini, demikian menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia Bagi Tahun 2019 dan 2020.

Angka dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis Negara (CPCR) Kementerian Kesihatan menunjukkan penurunan sebanyak 6,228 kes (11.8 peratus) berbanding 52,941 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Laporan itu turut menyebut bahawa tidak kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-22 (24-30 Mei) 2020 dengan jumlah kumulatif 82 kematian berbanding 81 bagi tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-22 dalam tahun 2020, sejumlah 1,625 kes denggi telah dilaporkan yang menyaksikan penurunan sebanyak 8.8 peratus berbanding minggu sebelumnya,” menurut laporan yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebook beliau hari ini.

Setakat minggu ke-22 tahun ini, Selangor mempunyai angka tertinggi kes denggi iaitu 26,943 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (4,617) serta Johor (4,111).

Laporan CPRC turut menyatakan bahawa 48 kes Chikungunya dilaporkan sepanjang minggu ke-22 dengan jumlah keseluruhan 596 kes dicatatkan dari 29 Disember tahun lepas hingga 30 Mei 2020.

Menurut laporan itu, Pengawasan Zika dilakukan oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 29 Dis 2019 hingga 30 Mei 2020 manakala saringan dilakukan ke atas sampel darah dan air kencing individu dengan gejala disyaki namun tiada kes positif zika dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengorbanan petugas CPRC perlu dihargai – KP kesihatan

KUALA LUMPUR, 25 MEI: Petugas Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) adalah antara pekerja di belakang tabir yang perlu dihargai kerana mereka turut bertugas sepanjang musim perayaan serta mengorbankan masa bersama keluarga.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sejak berlakunya pandemik Covid-19, masyarakat mula mengenali peranan penting yang dimainkan oleh CPRC khususnya dan Kesihatan Awam secara amnya.

“Semua pihak perlu mengambil berat akan kepentingan kesihatan awam. Petugas CPRC juga mengumpul, menganalisis dan melapor data harian semua kejadian wabak dan bencana di seluruh negara yang diterima dari lapangan bagi pelaporan setiap hari.

“Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua petugas CPRC di seluruh negara yang bertungkus lumus siang malam, tujuh hari seminggu termasuk cuti umum dan hujung minggu bagi merancang, menyelaras dan melaksana pelan kesiapsiagaan dan respons KKM di peringkat ibu pejabat, Jabatan Kesihatan Negeri, Pejabat Kesihatan Daerah, hospital, klinik dan lapangan,” katanya

Dr Noor Hisham melalui Facebook rasminya berkata, beliau sempat meluangkan masa bersama petugas CPRC negeri dari seluruh negara melalui sesi sidang video sebelum Mesyuarat Harian CPRC pada petang tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

14 daerah masih zon merah, Perlis kini zon hijau

SHAH ALAM, 22 APRIL: Sebanyak 14 daerah di seluruh negara kekal zon merah mengikut kes aktif positif Covid-19 manakala Perlis kini dilabel zon hijau setakat jam 12 tengah hari semalam.

Menurut kenyataan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kumulatif kes pula zon merah masih kekal 30 daerah di seluruh negara.

Semua 14 kawasan zon merah itu ialah empat di Kuala Lumpur, tiga di Selangor, masing-masing dua di Johor dan Sarawak manakala Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka pula masing-masing satu daerah manakala Perlis berstatus zon hijau apabila tiada sebarang kes aktif dilaporkan.

Menurut angka CPRC, jumlah kes positif Covid-19 di seluruh negara adalah 5,482 dengan jumlah kes aktif 2,041.

Lembah Pantai merekodkan kes aktif tertinggi iaitu 347, meningkat tiga kes berbanding kelmarin, manakala Kuching kedua tertinggi dengan 217 kes.

Zon merah mewakili jumlah positif melebihi 41 kes, zon jingga (21-40 kes), zon kuning (1-20 kes) dan zon hijau tiada kes.