Categories
AGENDA NASIONAL

Daging ternakan dijangkiti penyakit kulit tidak bahaya, boleh makan

PUTRAJAYA, 27 JUN: Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada  secara langsung atau melalui daging, jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, daging ternakan yang dijangkiti  boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna kerana virus LSD akan musnah pada suhu 65 darjah Celcius selama 30 minit.

DVS berkata semua lembu atau kerbau dijangkiti LSD diwajibkan disembelih di rumah sembelih jabatan dan perlu melalui pemeriksaan veterinar oleh pemeriksa daging jabatan, sebagaimana peruntukan Kaedah-kaedah Pemeriksaan Daging 1985, bagi memastikan daging tersebut sesuai dijual dan dipasarkan sebagai makanan manusia.

“Sekiranya terdapat lesi nodular pada karkas atau daging dan organ dalaman, maka daging akan dilupuskan sepenuhnya berdasarkan prosedur operasi standard Pelupusan Karkas Haiwan Berjangkit. Bagaimanapun, lesi penyakit LSD (nodular) kebiasaannya hanya terdapat pada lapisan kulit ternakan,” kata DVS.

LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit.

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.

DVS berkata ia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua daging di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan termasuk sekiranya terdapat daging di pasaran yang berpenyakit dan tidak disembelih di rumah sembelih di bawah jabatan itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pilihan sendiri elak makan daging import – menteri

KUALA NERUS, 30 DIS: Umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan. Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim yang dilapor menyarankan umat Islam menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Zulkifli berkata ia merupakan pandangan dan saranan oleh Zamri sebagai satu ikhtiar atau ‘jalan berhati-hati’ yang boleh dipilih umat Islam sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap status halal daging import.

Bagaimanapun katanya pihak yang berkaitan dengan isu ini termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberikan penjelasan yang sebaiknya bagi meredakan keresahan dan keraguan masyarakat Islam.

Timbalan Menteri (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid dalam satu program semalam berkata tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal dan masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata masih terlalu awal bagi pihaknya memutuskan untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jakim.

“Ini terlalu awal untuk kami katakan apa-apa, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan…kami akan melihat dengan lebih meluas lagi dari pelbagai aspek.

“Seperti yang saya katakan kita akan kerjasama dengan beberapa pihak dan kemas kini SOP (tatacara operasi piawai) Jakim dan beberapa yang terkait dengan cara import daging dan pelaksanaannya. Insya-Allah kita akan tengok dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu Tun Hanif Omar yang dilapor mencadangkan Jakim dirombak secara besar-besaran, bertujuan untuk melantik mereka yang lebih kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan itu.

– BERNAMA

Categories
EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor jual ayam, daging bawah harga kawalan 22 – 23 Mei

SHAH ALAM, 21 MEI: Pasar Agro Selangor (SAM) menawarkan jualan ayam dan daging segar di bawah harga kawalan bermula esok sehingga Sabtu sempena sambutan Aidilfitri, kata EXCO Industri Asas Tani.

Ir Izham Hashim berkata harga sekilogram ayam ditawarkan ialah RM7.20 sekilogram berbanding harga kawalan RM7.50 sekilogram, sementara daging segar dijual RM33.50 (harga kawalan RM34 sekilogram).

“Antara lokasi jualan ialah Tapak Pasar Tani Saujana Utama, Laman Niaga Komuniti Bandar Baru Bangi, Tapak Pasar Tani Seksyen 13 Shah Alam, Tapak Pasar Tani Kelana Jaya SS6, Pusat Operasi Fama Dengkil dan Pusat Operasi Fama Puchong.

“Kesemua tapak jualan ini dibuka dari 8 pagi hingga 2 petang, dan pelanggan boleh membeli barangan ini secara pandu lalu sahaja,” katanya kepada SelangorKini.

Izham berkata jualan istimewa itu dilaksanakan khas bagi memudahkan orang ramai mendapatkan barang mentah bermutu dengan harga berpatutan.

“Ini adalah usaha Kerajaan Negeri untuk bantu rakyat. Untuk rujukan, orang ramai boleh layari laman Facebook Agro Selangor atau Facebook Izham Hashim,” katanya.