Categories
AGENDA NASIONAL

Daging ternakan dijangkiti penyakit kulit tidak bahaya, boleh makan

PUTRAJAYA, 27 JUN: Karkas atau daging daripada ternakan yang dijangkiti Lumpy Skin Disease (LSD) tidak berbahaya kerana LSD bukan penyakit zoonotik, iaitu tidak menjangkiti manusia sama ada  secara langsung atau melalui daging, jelas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini.

Menurut kenyataan jabatan itu, daging ternakan yang dijangkiti  boleh dimakan setelah menjalani proses pemeriksaan oleh pihak berkuasa veterinar atau setelah dimasak dengan sempurna kerana virus LSD akan musnah pada suhu 65 darjah Celcius selama 30 minit.

DVS berkata semua lembu atau kerbau dijangkiti LSD diwajibkan disembelih di rumah sembelih jabatan dan perlu melalui pemeriksaan veterinar oleh pemeriksa daging jabatan, sebagaimana peruntukan Kaedah-kaedah Pemeriksaan Daging 1985, bagi memastikan daging tersebut sesuai dijual dan dipasarkan sebagai makanan manusia.

“Sekiranya terdapat lesi nodular pada karkas atau daging dan organ dalaman, maka daging akan dilupuskan sepenuhnya berdasarkan prosedur operasi standard Pelupusan Karkas Haiwan Berjangkit. Bagaimanapun, lesi penyakit LSD (nodular) kebiasaannya hanya terdapat pada lapisan kulit ternakan,” kata DVS.

LSD disebabkan virus Poxviridae dan boleh tersebar dalam kalangan ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung ternakan lembu yang terjangkit.

Tanda-tanda klinikal pada ternakan lembu terjangkit ialah nodular pada kulit di sebahagian atau keseluruhan tubuh lembu.

DVS berkata ia juga akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dengan meningkatkan pemantauan ke atas semua daging di pintu masuk negara dan di pasaran tempatan termasuk sekiranya terdapat daging di pasaran yang berpenyakit dan tidak disembelih di rumah sembelih di bawah jabatan itu.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia gantung import lembu dan kerbau Thailand, elak rebak penyakit

PUTRAJAYA, 8 JUN:  Malaysia menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit penyakit kulit kental (LSD) yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar ketetapan tersebut diambil bagi membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar menyeru semua pemain industri seperti pengimport, peraih dan penternak memberi kerjasama dengan membatalkan tempahan (sekiranya ada) dengan pihak pembekal lembu dan kerbau di Thailand,” menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata pemain industri juga dinasihatkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa veterinar negeri serta daerah berdekatan sekiranya terdapat lembu dan kerbau di ladang atau kandang menunjukkan gejala jangkitan LSD untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

“Walaupun penyakit LSD tidak zoonotik iaitu tidak menjangkiti manusia tetapi memberi kesan ekonomi kepada industri penternakan ruminan dan kerugian akibat penurunan berat badan, penurunan pengeluaran susu, keguguran dan kemandulan pada ternakan yang terjangkit,” katanya.

Sebagai usaha membanteras kemungkinan penyeludupan lembu dan kerbau dari Thailand, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Agensi Kawalan Sempadan untuk mempertingkatkan kawal selia di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

Jabatan Kastam dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) pula akan mempertingkatkan pemeriksaan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan lembu dan kerbau dari Thailand, katanya.

Pada 2 Jun lepas, Pengarah Maqis Kedah P. Lily Rosalind dilaporkan berkata pihaknya telah mengesan penyakit LSD pada 42 ekor lembu yang diimport dari Thailand di stesen kuarantin dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Menurutnya, kesemua lembu itu adalah sebahagian daripada 1,434 ekor lembu yang diimport pada 26 April lepas dan menjalani tempoh kuarantin sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor kesan satu kes penyakit kulit pada lembu di Gombak

SHAH ALAM, 5 JUN: Jabatan Perkhidmatan Veteriner (DVS) Selangor mengesan satu kes disyaki penyakit kulit kental (LSD) yang pertama di negeri ini di Gombak pada Rabu lalu.

EXCO Pertanian, Ir Izham Hashim berkata kes dikesan selepas terdapat tanda jangkitan penyakit pada lima ekor lembu pedaging.

“Sampel nodul dan darah lembu itu telah diambil dan dihantar ke makmal veterinar untuk ujian pengesahan.

“Pemilik lembu diarah mengasingkan ternakan yang sakit untuk dikuarantin serta tidak memindahkan ternakan keluar atau masuk ladang,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Izham, DVS Selangor kini sedang melaksanakan survelan aktif di semua ladang lembu dan kerbau.

“Penguat kuasa DVS Selangor akan mengawal sempadan negeri bagi mengelak kemasukan ternakan tidak mempunyai permit perjalanan dan sijil sah.

“Dalam masa sama, jabatan dan agensi Kerajaan Selangor akan bekerjasama dalam menangani masalah ini termasuk membanteras aktiviti penyeludupan ternakan dan melaksanakan pemusnahan vektor di ladang yang berisiko tinggi,” katanya.

Pada 2 Jun Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Penyakit kulit serang lembu, pengusaha digesa pantau ternakan

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar memantau penularan penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan lembu dan kerbau.

EXCO pertanian berkata pihaknya memandang serius penyakit tersebut yang dikesan di Sabak Bernam dan Hulu Selangor terutama untuk persediaan ibadah korban.

“Kita terima laporan ada dua kes LSD di Selangor, keadaan ini membimbangkan kerana memberi kesan besar kepada bekalan makanan serta industri ternakan.

“Penternak lembu atau kerbau digesa menghubungi agensi berkaitan sekiranya terdapat jangkitan kulit haiwan ternakan,” kata Ir Izham Hashim pada Majlis Pelancaran Agro Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) semalam mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.