Categories
NASIONAL

Laporan polis oleh SU sudah memadai – Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Laporan polis dibuat Setiausaha Politik Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung video tular pagi tadi sudah memadai, kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, baginya laporan itu sudah cukup untuk pihak berkuasa menyiasat penularan video lucah mengaitkan dirinya itu.

Katanya, walaupun bukan dirinya membuat laporan terbabit namun ia dilaporkan berdasarkan pandangan daripada peguam dan dilihat cukup untuk polis menjalankan siasatan.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya kira pandangan yang diberikan peguam juga membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham.

Sementara itu, mengulas sama ada beliau menyesyaki dalang disebalik penularan video terbabit, Mohamed Azmin berkata, pihaknya enggan membuat sebarang pertuduhan melulu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang pertuduhan melulu dan biarkan sahaja pihak berkuasa menyiasat,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

 

Categories
NASIONAL

Jangan terjebak politik jijik – Azmin

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 JUN : Kerajaan hari ini perlu berpegang pada politik nilai dan prinsip jelas serta tidak terjebak dengan politik kejam dan jijik, tegas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, perkara itu perlu diberi perhatian selaras teguran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mahu memfokuskan kepada penyelesaian semua pimpinan berkaitan masalah ekonomi, kos sara hidup selain menggalakkan pelaburan negara.

Katanya, semua pihak perlu bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak mengugat kestabilan pada hari ini.

“Saya dalam kapasiti yang kecil dan terhad ini mendokong penuh terhadap gagasan dan dasar Perdana Menteri untuk memastikan pelaburan dalam negara terus dipertingkatkan.

“Sebab itu kita sedang berusaha gigih supaya semua dasar dan program yang kita akan jalankan ini adalah menjadi satu keyakinan kepada pelabur untuk meneruskan pelaburan di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Jalinan Aidilfitri anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian dan EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han dan Setiausaha Politik Mohamed Azmin, Hilman Idham.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, beliau menyeru kepada seluruh pimpinan untuk mengambil serius teguran Perdana Menteri sekali gus menolak politik berbaur jijik.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam kenyataan berkata, beliau menegaskan semua pihak untuk tidak terlibat dalam politik kotor.

“Apabila kalah dengan lawan, awak nak tunjuk video lucah. Cara ini sangat kotor, kena amalkan politik bersih,” kata Dr Mahathir.

Semalam, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak kelmarin dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden KEADILAN itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Categories
NASIONAL

Permintaan ke sekolah agama meningkat

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 23 MEI: Permintaan bagi pendaftaran masuk ke sekolah agama semakin meningkat, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, ia ekoran wujudnya keperluan membina sekolah agama yang semakin tinggi sejak akhir-akhir ini.

“Hari ini kita bukan saja menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan tapi pada masa sama keperluan untuk mendidik kerohanian juga dititikberatkan supaya agama dijaga dengan baik.

“Oleh sebab itulah permintaan masuk ke sekolah agama meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri Gombak Setia 2019 di Surau Jabal Nur, di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Soffan Affendi Aminudin.

Pada majlis sama, 500 penerima dari kawasan DUN Gombak Setia menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri.

Mohamed Azmin berkata, beliau percaya Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melihat aspek pembangunan institusi agama.

“Kepimpinan Kerajaan Negeri bukan sahaja bersih dan berintegriti tetapi turut menggunakan kekayaan untuk membela dan memelihara sekolah, surau dan institusi agama,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan memperuntukkan sebanyak RM1,940,400 kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk meneruskan pelaksanaan program fast track SPM pelajar tahfiz persendirian dengan memanfaatkan fasiliti sedia ada sekolah-sekolah JAIS.

Pada masa sama, kerajaan turut akan memperuntukkan RM24 juta bagi penambahbaikan infrastruktur sekolah-sekolah di Selangor supaya tahap infrastrukturnya lebih selamat dan kondusif.

Pemberian itu termasuklah bantuan sebanyak RM10 juta bagi di Sekolah Agama Rakyat.

Categories
NASIONAL

Pemberian insentif peneroka Felda dijangka sebelum Aidilfitri

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 23 MEI: Kerajaan dijangka akan menyalurkan pemberian insentif Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) sebelum Aidilfitri, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah bertemu dengan pengurusan FELDA bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya akan cuba pastikan ia dapat disalurkan sebelum Aidilfitri namun begitu setakat ini tidak ada pemberian duit raya kepada peneroka, memang agak tidak munasabah untuk memberi sebarang janji.

“Ini kerana usaha kita hendak mendapatkan RM6.23 bilion untuk menyelamatkan FELDA juga amat besar,” katanya kepada media selepas menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada penduduk kawasan Gombak Setia, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu pemberian duit raya kepada peneroka FELDA yang menjadi tanda tanya sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, beliau percaya peneroka FELDA memahami kedudukan kewangan kerajaan agak ‘ketat’, pada waktu ini.

Katanya, ia kerana keutamaan kerajaan adalah bagi memastikan nasib peneroka dapat dibela dalam tempoh jangka masa panjang.

“Saya juga melihat sambutan yang cukup positif kerana mereka memahami kita cukup komited untuk membantu,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Jangan terjebak aktiviti ekstremisme – Mohamed Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

GOMBAK, 22 MEI: Umat Islam tidak sepatutnya terbabit dengan aktiviti ekstremisme yang akan membawa imej buruk di mata orang bukan Islam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, umat Islam perlu berpegang kepada prinsip kesederhanaan dan keadilan, walaupun berdepan cabaran dari dalam mahupun luar negara.

“Ramadan adalah masa terbaik untuk menggilap prinsip ini ketika berdepan cabaran yang makin getir tidak kira dalam isu politik mahupun ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia 2019, di Surau Jabal Nur, di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Pada majlis itu, seramai 500 penerima dari kawasan DUN Gombak Setia menerima sumbangan Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL

Azmin ziarah Ismail Kamus

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MEI: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menziarahi pendakwah terkenal Ustaz Dato’ Ismail Kamus, di sebuah hospital, hari ini.

Azmin turut berkongsi gambar pertemuan itu menerusi laman twitternya.

“Saya mendoakan semoga Ustaz Ismail Kamus dikurniakan kesembuhan dan kesihatan untuk terus menyebarkan dakwah dan syiar Islam. Amin,” tulisnya.

Terdahulu, Ismail dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembedahan jantung pada 9 Mei lalu.

Turut hadir menziarahi beliau sebelum ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagi yang ingin mengikuti perkembangan pendakwah terkenal itu bolehlah melayari laman facebook Ustaz Dato Ismail Kamus.

 

Categories
NASIONAL

Rai Wesak di bulan suci, tonjol sisi perpaduan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 MEI : Sambutan Hari Wesak yang diraikan dalam masa sama umat Islam sedang berpuasa di bulan suci Ramadan sekali gus menonjolkan sisi perpaduan kukuh antara kaum.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu dapat menonjolkan sisi perpaduan kukuh rakyat Malaysia dalam memahami, menghormati dan menghargai nilai toleransi antara kaum serta agama di negara ini.

“Biar kita berlainan kepercayaan, namun semangat perpaduan dipelihara dalam usaha kita bersama menjadikan Malaysia sebagai negara berekonomi maju merentasi kaum dan agama.

“Selain itu, kita perlu memupuk sifat cintakan keamanan, kebaikan, kasih sayang serta pengiktirafan nilai kemanusiaan yang mampu mengikat kita untuk bersatu sebagai rakyat Malaysia ke arah negara yang aman dan harmoni.

“Saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Wesak bagi masyarakat beragama Buddha di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masyarakat beragama Buddha menyambut Hari Wesak adalah bersempena memperingati kelahiran, pencerahan agung dan kewafatan Gautama Buddha.

 

Categories
NASIONAL

Isu matrikulasi: Serah pada KPM cari mekanisma terbaik

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

HULU KELANG, 30 APR: Mekanisma penyelesaian terhadap isu matrikulasi perlu diserahkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kata Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, secara prinsipnya semua anak-anak yang cemerlang harus mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

“Secara prinsipnya bagi saya mana-mana anak yang mendapat keputusan cemerlang, harus mendapat tempat dalam universiti. Mereka adalah aset negara yang perlu dijaga dan diberi akses pendidikan yang berkualiti.

“Bagaimanapun, mekanisma dan kaedahnya kita serah pada kementerian untuk melihatnya. Kini kementerian sedang berkerja keras ke arah usaha itu,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika ditanya mengenai isu kuota matrikulasi untuk bukan Bumiputera di Pangsapuri Taman Permai, di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan bersetuju meningkatkan tempat bagi kemasukan ke matrikulasi kepada 40,000 tempat dan mengekalkan kuota kemasukan iaitu 90 peratus Bumiputera serta 10 peratus bukan Bumiputera.

Dalam perkembangan sama, Biro Hal Ehwal Universiti Pemuda DAP pula menyifatkan peningkatan pengambilan program matrikulasi terbabit akan mendatangkan lebih banyak masalah kerana bakal menghalang lepasan STPM memasuki universiti awam.

Categories
NASIONAL

Bantuan kewangan RM500 buat mangsa flat retak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APR: Kerajaan akan memberi bantuan kewangan sebanyak RM500 untuk setiap keluarga terbabit dalam kejadian pangsapuri retak di Blok F Taman Keramat Permai, di sini, Jumaat lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu akan dihulurkan secepat mungkin bagi membantu mengurangkan beban dihadapi mangsa berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) juga bersedia mempertimbangkan sedikit bantuan kewangan memandangkan sebahagian besar penduduk di blok terbabit hanya bekerja sendiri dan terpaksa bercuti untuk menguruskan kedudukan rumah masing-masing.

“Sementara ini, saya sudah bertemu dengan keluarga meminta supaya mereka bersabar kerana kita mahu pastikan jabatan dan agensi teknikal benar-benar memberi pengakuan tentang keselamatan bangunan sebelum keputusan diambil.

“Kita akan siapkan kesemua kemudahan yang terbaik di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya AU2 termasuk memberi kemudahan penghawa dingin dalam dewan berkenaan mulai malam ini sehingga mereka berpindah.

“Makanan juga akan disediakan, manakala Jabatan Kesihatan akan berada di lokasi untuk memberi khidmat kesihatan kepada warga emas dan mereka yang memerlukan rawatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas turun padang bagi meninjau situasi di blok bangunan berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha serta Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, pihaknya juga akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin untuk memastikan struktur bangunan lama itu terus dipantau sepanjang masa.

“Bangunan dibina dan diduduki selama 28 tahun dan daripada maklumat awal kita dapati sudah tentu bangunan lama ini berada di atas tapak yang mungkin berlaku mendapan dalam tempoh begitu panjang.

“Hal ini juga sedang diteliti oleh jabatan teknikal khususnya Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM),” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari Jumaat lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit sehingga memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Semalam, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Siasatan lengkap flat retak dirumus 2 Mei

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APR: Keputusan siasatan lengkap berhubung keretakan serius Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai, di sini, dijangka akan dirumuskan selewat-lewatnya, pada 2 Mei ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu memandangkan kajian lebih terperinci akan diteruskan Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bersama Perunding ZNA (ASIA) Sdn Bhd sehingga 1 Mei ini.

Katanya, juruperunding profesional dilantik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu juga akan mengemukakan pandangan mereka kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan selanjutnya selepas siasatan terbabit.

“Langkah yang diambil seperti  ‘resistivity test’ untuk melihat profil tanah sama ada daripada segi kedudukan tanah, kemampanan tanah di bawah bangunan terbabit dan juga bagi melihat pergerakan struktur bangunan.

“Bagaimanapun, selama tiga hari ini dilaporkan tidak ada pergerakan yang ketara sama ada tanah atau bangunan, tetapi pemantauan masih lagi berjalan kerana saya mahu keselamatan penduduk diberi keutamaan.

“Sekiranya siasatan mendapati struktur bangunan ini selamat untuk diduduki maka kita jangka sebelum Ramadan penduduk dan pemilik boleh kembali ke unit masing masing, namun jika dapatan itu sebaliknya, saya akan berbincang dengan Kerajaan Negeri dan PKNS apakah langkah yang perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas turun padang bagi meninjau situasi di blok bangunan berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain; EXCO Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha serta Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, bangunan yang dibina sejak 1985 itu masih memerlukan penambahbaikan, terutama di unit yang mengalami keretakan berdasarkan pandangan dan penelitian dijalankan Perunding ZNA serta IKRAM.

Katanya, tindakan itu memerlukan pemilik dan penduduk untuk tidak berada dalam bangunan berkenaan buat sementara waktu memandangkan kerja baik pulih akan mengambil masa yang agak lama.

“Saya sudah berbincang dengan PKNS jika bangunan ini boleh didiami dengan sedikit pemulihan dan pembaikan, maka PKNS bersedia untuk menanggung kos pembaikan unit berkenaan.

“Sementara itu penduduk terbabit akan dikenal pasti tempat penginapan yang baik. Kita juga sudah mengenal pasti dua lokasi berdekatan dengan tapak ini untuk ditawarkan kepada 37 keluarga terbabit tertakluk kepada perbincangan bersama keluarga berkenaan.

“Sewa juga akan dibiayai PKNS untuk tempoh kerja pembaikan kerana saya tidak mahu penduduk ini dibebankan dengan masalah kewangan kerana struktur bangunan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 12.40 tengah hari Jumaat lalu, penghuni Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai digemparkan dengan penemuan beberapa keretakan di struktur bangunan terbabit sehingga memaksa seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarahkan berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai.

Semalam, mangsa yang berada di pusat pemindahan itu dipindahkan ke lokasi kedua di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2 terdiri daripada 24 keluarga membabitkan 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU).

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin lawat mangsa flat retak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU KELANG, 29 APRIL: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menyantuni mangsa terjejas susulan keretakan serius Pangsapuri Taman Keramat Permai, di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, sebentar tadi.

Ketibaan Ahli Parlimen Gombak kira-kira 12.20 tengah hari turut disertai Pegawai Daerah Gombak, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain.

Turut serta dalam kunjungan berkenaan adalah Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Mohamad Hilman Idham dan ADN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Dalam kunjungan itu, Mohamed Azmin turut bertanya khabar dan beramah mesra bersama mangsa di pusat pemindahan terbaharu berkenaan selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Keramat Permai dijadikan lokasi pemindahan pertama, pada Jumaat lalu.

Seusai melawat, beliau menikmati makan tengah hari bersama keluarga mangsa dan menunaikan solat Zohor berjemaah di surau berhampiran.

Beliau juga turun padang untuk melihat sendiri situasi di Blok F Pangsapuri Taman Keramat Permai yang mengalami keretakan dan meninjau dengan lebih dekat keretakan berlaku termasuk di aras empat dan aras bawah blok berkenaan.

Mohamed Azmin kemudian mendengar taklimat oleh Ketua Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan wakil PKNS serta Majlis Perbandaran Ampang Jaya sepanjang tinjauan itu.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, seramai 222 penghuni daripada 37 keluarga diarah berpindah ke pusat pemindahan sementara sebagai langkah keselamatan selepas penemuan beberapa kesan retakan pada pangsapuri empat tingkat berkenaan.

Sehingga 2.15 petang, seramai 84 mangsa termasuk dua Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada 24 keluarga berada di pusat pemindahan itu.

Categories
NASIONAL

Tangani tindakan melampau EU – Azmin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 APR: Kementerian berkaitan perlu menangani segera tindakan melampau Kesatuan Eropah (EU) yang menghalang pemasaran kelapa dan minyak sawit daripada Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu sebagai salah satu usaha meningkatkan harga komoditi kelapa sawit yang rendah ketika ini.

“Harga komoditi kelapa sawit di luar bidang kuasa kerajaan. Ia ditentukan pasaran antarabangsa. Ketika ini ia amat rendah.

“Kita maklum EU melancarkan bukan sahaja kempen tetapi propaganda melampau menghalang pemasaran kelapa dan minyak sawit dari negara ini.

“Maka, kementerian yang bertanggungjawab bukan sahaja perlu mengambil tindakan defensif tetapi juga ofensif menjawab semua tuduhan dilemparkan beberapa negara maju hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Astro Awani di slot Agenda Awani: Menjelang Setahun Malaysia Baharu, malam ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, peladang dan pekebun khususnya generasi muda disaran meneroka teknologi baharu bagi meningkatkan hasil dan produktiviti.

“Kita perlukan rancangan jangka masa panjang. Saya sudah mencadangkan supaya peneroka tidak terlalu bergantung kepada hasil sawit.

“Dengan teknologi terkini, Revolusi Perindustrian 4.0, robotik, dron dan pelbagai teknologi canggih, peladang atau pekebun dalam kalangan generasi muda boleh menggunakan pakai teknologi ini sebagai usaha meningkatkan produktiviti,” katanya.