Categories
SELANGOR

Mantan Mufti Selangor dilantik anggota Mais, Ahli Dewan di-Raja

SHAH ALAM, 15 JULAI: Mantan Mufti Selangor Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid dilantik sebagai anggota Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Ahli Dewan di-Raja Selangor.

Pelantikan itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Beliau telah berkhidmat sebagai Mufti Selangor selama 23 tahun dan memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bagi memberi peluang kepada orang baharu yang lebih muda serta berkaliber,” menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook.

Terdahulu, baginda berkenan menerima menghadap Dato’ Setia Mohd Tamyes di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Mufti: Puasa batal jika berbuka tiga minit awal

SHAH ALAM, 21 APRIL: Seseorang yang berbuka seawal tiga minit sebelum masuk waktu Maghrib, maka puasanya terbatal, jelas mufti Selangor.

Namun Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata jika individu berkenaan berbuka selepas tempoh azan tersebut, puasanya masih sah.

Beliau mengulas kesilapan Masjid Al-Khairiyah Sri Gombak melaungkan azan Maghrib tiga minit sebelum masuk waktu pada Isnin lalu.

“Andai kata ada orang berbuka sebaik terdengar laungan Allahuakhbar maka terbatal tetapi jika telah selesai azan baru berbuka dikira sah kerana ia biasanya tiga minit paling minimum.

“Situasi sama jika kita terus solat, jadi tidak sah sebab belum masuk waktu. Kalau azan secara berlagu ia berlarutan empat minit maka tak batal,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bagaimanapun Mohd Tamyes menjelaskan pihaknya tidak menerima aduan mengenai kejadian luar jangka itu.

Nasihatnya, jika kesilapan diakui pihak masjid, maka wajib untuk mereka yang terus berbuka pada waktu itu menggantikan puasa.

“Jadikan satu pengajaran supaya akan datang kita bukan sekadar mendengar azan tetapi perlu memastikan waktu sebenar bagi meyakinkan untuk berbuka di samping yakin puasa kita sah,” katanya.

Terdahulu tular di media sosial kenyataan Masjid Al-Khairiyah memohon maaf memaklumkan berlaku masalah teknikal pada paparan digital waktu azan hingga azan Maghrib dilaungkan tiga minit lebih awal.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Mufti Selangor: Sah bayar zakat guna Shopee, ikut hukum syarak

SHAH ALAM, 25 DIS: Pungutan zakat melalui platform e-dagang Shopee sah pada sisi agama dan tidak melanggar hukum syarak, kata mufti Selangor.

Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menjelaskan syarikat itu tidak dilantik sebagai amil, sebaliknya hanya ejen kutipan bagi memudahkan urusan bayaran zakat.

Beliau berkata proses tersebut juga tidak melibatkan sebarang urusan akad yang wajib diuruskan oleh amil beragama Islam sahaja.

“Hanya kaedah pembayaran mereka (Shopee) sahaja digunakan bagi memudahkan proses zakat kerana masyarakat kini lebih selesa menggunakan transaksi dalam talian.

“Saya difahamkan upah syarikat itu dibayar oleh amil dan bukan ambil 1/32 atau 1/16 dari jumlah (zakat) dikutip mereka,” katanya kepada SelangorKini sambil menambah bayaran zakat tetap sah tanpa lafaz akad.

Kenyataan itu susulan pertikaian Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia semalam berhubung peranan sebenar Shopee di sebalik proses memungut zakat.

Presidennya Zamihan Mat Zin turut mempersoal kadar upah diterima portal tersebut, sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak atau tidak.

Bermula 18 Disember, Lembaga Zakat Selangor melantik syarikat e-dagang terkemuka itu sebagai ejen kutipan zakat bagi memudahkan urusan umat Islam negeri ini.

Kaedah sama turut dilaksana pusat pungutan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Solat Aidiladha hanya sunat, tidak perlu berpusu ke masjid

SHAH ALAM,23 JULAI: Umat Islam di negeri ini diingatkan tidak berpusu-pusu ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Aidiladha pada 31 Julai, kata mufti Selangor.

“Solat sunat hari raya merupakan amalan yang amat dituntut tetapi ia bukan perkara wajib dalam agama seperti solat Jumaat dan lima waktu, jadi ingatan saya janganlah kita bersesak-sesak ke masjid.

“Kita masih berperang dengan Covid-19 dan umat Islam di Malaysia dan Selangor khasnya sedang berdepan ujian Allah, saya minta kita bersabar menempuhnya dan patuhi arahan,” kata Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya bimbang jika masyarakat terlampau teruja ingin menunaikan amalan sunat tersebut sehingga mengabaikan peraturan selepas tidak dapat berbuat demikian pada Aidilfitri lepas.

Sebelum ini Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak membenarkan umat Islam di Selangor melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dalam negeri itu.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata hanya imam, bilal dan siak yang bertugas sahaja diberikan kebenaran.

Categories
SELANGOR

Galak bayar zakat fitrah ikut beras dimakan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Umat Islam di Selangor digalakkan mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan walaupun kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengeluarkan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan adalah bertepatan dengan kehendak hadis.

“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.

“Mengikut pandangan ulama, wajib zakat fitrah adalah mengikut apa yang menjadi kelaziman seseorang itu makan.

“Sebagai contoh, bagi mereka yang biasa membeli beras RM2.60 sekilogram, kadar zakat dibayar ialah RM7, manakala mereka yang makan beras Gred Super berharga RM8 sekilogram, kadar zakat adalah RM20.80,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang biasa dimakan bukanlah perkara baru kerana ia telah dibuat oleh pengeluar zakat yang berkemampuan.

“Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan dan menguji keimanan. Andai kita menjadi pemurah bermakna kita berjaya mengikis penyakit bakhil.

“Sehubungan itu, bagi membantu umat Islam mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah,” katanya.