Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Zakat fitrah penyucian harta (INFO)

Kadar bayaran zakat fitrah

Kadar yang ditetapkan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kekal sejak 2018 berdasarkan harga beras dimakan individu dan keluarga selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor iaitu:

RM7
Beras Super Spesial Tempatan (lima peratus)

RM14
Beras putih import
Beras perang
Beras pulut
Herba ponni
Beras wangi

RM21
Beras basmathi
Beras jepun
Beras merah

Kaedah bayaran

Amil
Seramai 2,800 penolong amil kariah dilantik. Mereka ditempatkan di 450 masjid atau surau

EZakatpay

  • JomPay
  • Touch ‘n Go eWallet
  • fpx.zakatselangor.com.my

Langkah 1: Masukkan maklumat pembayaran
Langkah 2: Pilih kaedah bayaran
Langkah 3: Pilih bank
Langkah 4: Cetak resit bayaran zakat

e-Dompet

  • GoPayz
  • Boost

Langkah 1: Buka aplikasi
Langkah 2: Pilih menu zakat
Langkah 3: Pilih Lembaga Zakat Selangor
Langkah 4: Masukkan maklumat peribadi dan buat bayaran
Langkah 5: Dapatkan resit pembayaran dengan mendaftar di e-zakatonline (ezo.zakatselangor.com.my)

Perbankan dalam talian

  • Public Bank
  • Hong Leong Bank
  • Affin Bank
  • Maybank
  • CIMB Bank
  • AmBank
  • RHB
  • Bank Islam
  • Alliance Bank
  • Bank Rakyat

Saluran dalam talian

  • Pos Malaysia
  • MYEG

Agihan untuk tahun 2O21

LZS mengagih RM28,032,900 kepada 61,315 penerima sempena Ramadan dan Syawal iaitu:

  • RM8,667,350 kepada 17,787 asnaf fakir
  • RM18,079,900 kepada 39,445 asnaf miskin
  • RM1,285,650 kepada 4,083 asnaf mualaf

(Setiap seorang menerima bantuan antara RM300 dan RM1,000, bergantung kepada bilangan tanggungan)

Kaedah pembayaran

  • Kredit ke akaun bank penerima
  • Baucar tunai (V-Cash)
  • Serahan tunai (bagi kes-kes tertentu)

Semakan status boleh dibuat dengan melayari www.ezo.zakatselangor.com.my

Sumber: Lembaga Zakat Selangor

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Semua cawangan Zakat Selangor dibuka setiap hari sepanjang Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dibuka setiap hari sepanjang Ramadan bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat harta dan fitrah.

Agensi berkata semua cawangan dibuka mulai jam 9 pagi hingga 3.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat, manakala pada Sabtu, Ahad dan cuti umum ia dibuka dari jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Bagi operasi di Pusat Tranformasi Bandar (UTC) Shah Alam bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang dan hanya ditutup pada cuti umum.

“Demi keselamatan bersama, kami menyeru agar kita dapat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang digariskan ketika berurusan di cawangan kami,” katanya di Facebook.

LZS juga memaklumkan bayaran zakat juga boleh dibuat secara dalam talian di EZakatpay: http://fpx.zakatselangor.com.my serta menerusi aplikasi e-dompet Touch n Go dan juga Jompay.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS lantik 2,800 penolong amil kutip zakat fitrah

PUCHONG, 13 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik seramai 2,800 penolong amil bagi melaksanakan kutipan zakat fitrah seluruh negeri.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Abdul Basith Hamid berkata mereka ditempatkan di 450 masjid dan surau.

“Ramadan tidak hadir tanpa ibadah zakat fitrah, justeru semua umat Islam wajib menunaikannya selagi mengikut syarat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Ramadan dan Aidilfitri LZS 2021 di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong semalam.

Sementara itu, Abdul Basith berkata kadar zakat fitrah di negeri ini kekal RM7, RM14 dan RM21 seorang seperti tahun sebelumnya selaras Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata golongan berkemampuan digalak menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

“Kadar tersebut adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21 seorang bagi individu memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kadar zakat fitrah di negeri kekal RM7 seorang seperti tahun sebelumnya.

Ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata kadar itu selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak 2018.

“Penetapan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 berdasarkan harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.

“Bagaimanapun, kita menggalakkan golongan berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan,” kata Saipolyazan M Yusop.

Beliau menambah kadar zakat fitrah bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi pula sebanyak RM14.

Sementara individu memakan beras basmathi, beras jepun dan beras merah dikenakan kadar RM21.

“Kutipan zakat fitrah tahun lalu meningkat kepada RM31.1 juta berbanding RM26 juta pada 2019 di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lagi.

Sebelum itu, Saipolyazan mengagihkan wang zakat Worldwide Holdings Berhad di Seksyen 13 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Hadir sama Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd Dato’ Ibrahim Md Yusof.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ramai bayar zakat fitrah bersemuka, LZS lantik 2,800 amil mudahkan urusan

SHAH ALAM, 20 MAC: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan menempatkan 2,800 amil fitrah di 431 masjid dan surau bagi urusan kutipan zakat sepanjang Ramadan nanti.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata bilangan itu lebih tinggi berbanding 1,878 amil tahun lalu memandangkan ramai umat Islam memilih cara bayaran secara bersemuka.

“LZS galakkan pembayaran dalam talian tambahan lagi ketika pandemik Covid-19 ini. Bagaimanapun kita dapati cara bayaran kepada amil tetap jadi pilihan.

“Tahun lalu sebanyak RM18 juta dikutip menerusi transaksi secara maya selama sebulan. Kutipan menerusi amil untuk dua minggu pula RM13 juta, jadi kita putuskan tambah bilangan,” kata Saipolyazan Mat Yusop ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya kadar zakat fitrah ditetapkan tahun ini sama seperti tahun lalu iaitu RM7, RM14 dan RM21 mengikut jenis beras selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“LZS menyeru orang ramai yang masih tidak mampu mengganti puasa membuat bayaran fidyah secepat mungkin.

“Untuk tahun ini, kita peruntukkan RM33 juta bagi bantuan raya dan mula disalurkan sehari sebelum Ramadan,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais: Tiada transaksi bayaran zakat pada pagi raya

SHAH ALAM, 21 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak membenarkan transaksi pembayaran zakat fitrah di semua masjid dan surau seluruh negeri ini pada pagi Aidilfitri, kata pengarahnya.

Mohd Shahzihan Ahmad berkata ketetapan dilakukan bagi memastikan tiada orang awam berada di sekitar dan ruang solat masjid serta surau ketika solat sunat Aidilfitri berjalan kecuali pegawai ditetapkan agensi itu.

“Ia sebagai langkah mengawal sebarang kejadian yang boleh menyebabkan penularan wabak Covid-19, berdasarkan wujudnya trend masyarakat Islam sebelumnya bersesak-sesak menunaikannya di saat akhir pada pagi sebelum solat sunat Aidilfitri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata umat Islam yang dikira wajib menunaikan zakat berkaitan pada malam Aidilfitri hendaklah melunaskan kewajipan masing-masing dengan kadar segera bagi mengelak terlepas melakukan kefarduan itu.

“Bayaran zakat fitrah boleh dibuat sama ada secara dalam talian atau melalui amil yang dilantik di lokasi dan pada waktu ditetapkan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Orang awam juga boleh menghubungi LZS jika mahu mengenal pasti cawangan berhampiran atau kaedah untuk melunaskan bayaran zakat berkenaan.

Categories
AGAMA AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: RM4 juta zakat fitrah ditunai dalam talian, sambutan hebat

SHAH ALAM, 9 MEI: Peningkatan drastik kira-kira RM4 juta zakat fitrah ditunaikan menerusi dalam talian sepanjang 14 hari Ramadan tahun ini, kata ketua divisyen kutipan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata jumlah itu meningkat berbanding tempoh sama tahun lalu hanya RM700,000 zakat fitrah ditunaikan dalam talian bagi tempoh sama.

“Kita lihat sambutan amat memberangsangkan. Malah, orang ramai juga sudah mula terima kaedah bayaran dalam talian sejak kita mula menggalakkan pembayaran menerusi medium ini pada awal Ramadan lalu demi mengekang Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata mereka yang belum menunaikan zakat fitrah digalakkan membuat pembayaran segera menerusi laman sesawang Zakat Selangor, www.zakatselangor.com.my di pautan EZakatPay atau perbankan internet di sembilan bank, selain portal MyEG, Pos Online dan aplikasi e-dompet GoPayz serta Boost.

Bagaimanapun, jelasnya golongan kurang mahir teknologi pula masih boleh menunaikan kewajipan itu sepanjang Ramadan ketika Perintah Kawalan Pergerakan melalui 1,800 Penolong Amil Fitrah yang ditugaskan di masjid dan surau sekitar negeri ini.

Mohd Sabirin berkata bilangan Penolong Amil Fitrah juga dikurangkan berbanding tahun lalu 2,800 kerana mengambil kira beberapa faktor keselamatan ketika penularan Covid-19.

“LZS juga menggariskan panduan dan syarat kepada Penolong Amil Fitrah yang dibenarkan mengutip zakat fitrah semasa Perintah Kawalan Pergerakan antaranya berumur 60 tahun ke bawah, sihat serta tiada penyakit kronik dan gejala Covid-19 ketika bertugas,” kata beliau.

Pada masa sama, LZS menasihatkan Penolong Amil Fitrah dan pengeluar zakat sentiasa amalkan kebersihan, jaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat fitrah boleh dibayar secara dalam talian mulai hari ini – LZS

SHAH ALAM, 24 APRIL: Zakat fitrah boleh dibayar secara dalam talian bermula hari ini, kata ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor.

Saipolyazan M.Yusop berkata bayaran berkenaan boleh dibuat menerusi laman web, https://fpx.zakatselangor.com.my/v2/.

Katanya pada portal tersebut, pembayar zakat perlu mengisi maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan pilih jenis zakat.

“Kemudian akan terpapar nilai bayaran zakat fitrah mengikut jenis beras iaitu RM7, RM14 atau RM21. Terdapat dua pilihan kaedah pembayaran samaada ‘Financial Process Exchange (FPX) atau JomPay.

“Sebelum bayaran diteruskan, pembayar perlu membaca akad niat zakat fitrah seperti yang tertera pada layar skrin,” katanya kepada SelangorKini.

Selain itu LZS turut menyediakan kemudahan pembayaran menerusi sembilan perbankan internet iaitu Public Bank, Hong Leong Bank, Maybank, CIMB, Ambank, Bank Rakyat, RHB, Bank Islam dan Alliance Bank.

“Bayaran turut boleh dibuat menerusi Portal MyEg, Pos Online dan aplikasi e-dompet seperti GoPayz dan Boost.

“Bagi tujuan semakan dan mencetak penyata bayaran zakat yang telah dilakukan, pembayar zakat boleh layari https://ezo.zakatselangor.com.my,” katanya.

Jelas Saipolyazan, pembayaran dalam talian itu dibuat bagi mengambil kira situasi wabak Covid-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan pada masa ini.

“Ini bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat, bukan sahaja zakat fitrah malahan zakat harta pada bulan Ramadan,” katanya.

Kadar Zakat Fitrah yang ditetapkan di Selangor ialah RM7 seorang, ia selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri yang mengekalkan kadar fitrah pada tahun ini di Selangor.

Categories
SELANGOR

Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

SHAH ALAM, 27 APR: Kadar zakat fitrah bagi Selangor kekal RM7 seorang tahun ini, menurut kenyataan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kenyataan itu menyebut kadar itu ditetapkan berdasarkan harga beras semasa bagi beras Super Tempatan Gred A.

“Bagi golongan berkemampuan, mereka boleh memilih untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan bagi diri sendiri dan tanggungan,” jelas kenyataan itu.

Kadar zakat fitrah bagi golongan itu adalah sebanyak RM14 seorang bagi beras lima kilogram bernilai RM13 hingga RM44 manakala RM21 seorang bagi jenis beras lima kilogram melebihi RM44.

“Bagaimanapun, kadar bayaran zakat fitrah melebihi RM7 adalah sebagai galakan sahaja dan tiada paksaan kepada pengeluar zakat di Selangor,” menurut kenyataan itu.

Bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini, seramai 2,754 penolong amil fitrah telah dilantik di seluruh negeri berkenaan.

Selain itu, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di 27 cawangan LZS yang dibuka setiap hari termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini bagi memudahkan masyarakat mengambil kesempatan menunaikan kewajipan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, waktu urusan cawangan LZS pada hari bekerja bermula dari 8.30 pagi hingga 4.30 petang manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, ia akan dibuka bermula 9.00 pagi hingga 3.00 petang.

Di samping itu, bayaran zakat fitrah juga boleh ditunaikan di beberapa pasar raya terpilih di sekitar Lembah Klang serta melalui 14 penolong amil Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 15 penolong amil Institut Pendidikan Islam Swasta (IPIS) di seluruh Selangor.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Galak bayar zakat fitrah ikut beras dimakan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Umat Islam di Selangor digalakkan mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan walaupun kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengeluarkan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan adalah bertepatan dengan kehendak hadis.

“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.

“Mengikut pandangan ulama, wajib zakat fitrah adalah mengikut apa yang menjadi kelaziman seseorang itu makan.

“Sebagai contoh, bagi mereka yang biasa membeli beras RM2.60 sekilogram, kadar zakat dibayar ialah RM7, manakala mereka yang makan beras Gred Super berharga RM8 sekilogram, kadar zakat adalah RM20.80,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang biasa dimakan bukanlah perkara baru kerana ia telah dibuat oleh pengeluar zakat yang berkemampuan.

“Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan dan menguji keimanan. Andai kita menjadi pemurah bermakna kita berjaya mengikis penyakit bakhil.

“Sehubungan itu, bagi membantu umat Islam mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Selangor kekal kadar zakat fitrah RM7

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 13 JUN: Kadar zakat fitrah bagi umat Islam di Selangor tahun ini kekal RM7 seorang bagi memudahkan masyarakat di negeri itu menunaikan rukum Islam keempat itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa, berkata 26 cawangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan dibuka tujuh hari seminggu sepanjang Ramadan.

“Tahun ini, LZS mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM21.5 juta. Orang ramai dinasihatkan menunaikan zakat kepada 2,422 ketua dan penolong amil yang mempunyai sijil lantikan dan kad tauliah sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Datuk Mohamad Adzib Mohd IsaMohamad Adzib berkata, orang ramai juga boleh menunaikan zakat fitrah di pasaraya terpilih sekitar Lembah Klang dan sepuluh institut pengajian tinggi di Selangor.

Katanya, pembayaran juga boleh dilakukan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, Digi.

“Ia terbuka kepada pelanggan pra-bayar dan pasca bayar iaitu nilai bayaran zakat ditolak daripada nilai kredit atau dicaj pada bil,” katanya.

-NFN-