Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

SOP solat sunat Aidiladha diputuskan esok – EXCO

SHAH ALAM, 15 JULAI : Tatacara operasi piawai (SOP) pelaksanaan solat sunat Aidiladha akan diputuskan esok, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata kemungkinan SOP sama digunakan seperti solat sunat Aidilfitri lalu, namun ia bergantung pada keadaan semasa.

“Esok kita akan putuskan SOP solat sunat Aidiladha. Mungkin akan kekal solat di rumah masing-masing selepas mengambil kira banyak faktor kes Covid-19 yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas di Restoran D’Rakit Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Mengikut ketetapan sebelum ini, seramai 20 dan 50 jemaah dibenarkan bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri, Jumaat dan fardu lima waktu mengikut kapasiti maksimum masjid serta surau di Selangor.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong, Permaisuri tunai solat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan

KUANTAN, 31 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.

Keberangkatan Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke masjid itu pada jam 8.25 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.

Turut berangkat menunaikan solat sunat itu ialah anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kesemua mereka sedondon mengenakan baju Melayu berwarna kelabu.

Solat sunat itu dipimpin oleh imam besar masjid Mohd Hafiz Suhaili manakala bacaan khutbah Aidiladha disampaikan Kadi Kuantan Abdul Aziz Abd Karim.

Seri Paduka juga berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan sembilan ekor lembu yang diadakan di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Solat Aidiladha secara terbuka, bilangan jemaah mengikut kapasiti masjid

SHAH ALAM, 29 JULAI: Solat sunat Aidiladha di semua masjid dan surau di negeri ini dilaksanakan dengan kehadiran umat Islam secara terbuka iaitu siapa cepat dia dapat, mengikut jumlah kapasiti sesuatu rumah ibadat.

Uni Korporat Jabatan Agama Islan Selangor memaklumkan perkara itu diperkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dengan jemaah boleh memenuhkan ruang solat selepas penjarakan sosial 1.5 meter dilakukan.

Bagaimanapun ia dikecualikan bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) yang menggunakan sistem e-Pass.

“Sementara jemaah wanita hanya dibenarkan solat di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dengan hanya 220 orang manakala Masjid Diraja Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pula 250 sahaja.

“Pelaksanaan solat sunat Aidiladha bagi semua masjid dan surau di Selangor adalah pada jam 8 pagi,” kata agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, ibadah korban pula hanya akan dilakukan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, masjid daerah, masjid DiRaja, masjid naik taraf, masjid institusi dan masjid kariah atau tempat ditentukan pihak masjid.

“Oleh itu, diingatkan sekali lagi supaya jemaah dan ahli jawatankuasa masjid serta surau untuk sentiasa mematuhi langkah pencegahan dan garis panduan ditetapkan sebelum ini bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Ketetapan ini seharusnya diambil berat bagi memastikan kelangsungan peranan institusi masjid dan surau dapat diteruskan serta berjalan lancar ke arah pembinaan kesatuan juga kekuatan umat Islam,” katanya.

Antara nasihat buat jemaah:

1. Berwuduk dari rumah
2. Pakai pelitup muka
3. Bawa sejadah sendiri
4. Sihat dan tidak bergejala (bacaan suhu melebihi 37.5 Celcius dilarang hadir)
5. Guna pembasmi kuman
6. Tidak berjabat tangan di kalangan jemaah
7. Hadir lebih awal ke masjid atau surau
8. Patuh penjarakkan sosial

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Solat Aidiladha hanya sunat, tidak perlu berpusu ke masjid

SHAH ALAM,23 JULAI: Umat Islam di negeri ini diingatkan tidak berpusu-pusu ke masjid dan surau untuk menunaikan solat Aidiladha pada 31 Julai, kata mufti Selangor.

“Solat sunat hari raya merupakan amalan yang amat dituntut tetapi ia bukan perkara wajib dalam agama seperti solat Jumaat dan lima waktu, jadi ingatan saya janganlah kita bersesak-sesak ke masjid.

“Kita masih berperang dengan Covid-19 dan umat Islam di Malaysia dan Selangor khasnya sedang berdepan ujian Allah, saya minta kita bersabar menempuhnya dan patuhi arahan,” kata Dato’ Mohd Tamyes Abdul Wahid kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata pihaknya bimbang jika masyarakat terlampau teruja ingin menunaikan amalan sunat tersebut sehingga mengabaikan peraturan selepas tidak dapat berbuat demikian pada Aidilfitri lepas.

Sebelum ini Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak membenarkan umat Islam di Selangor melaksanakan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau dalam negeri itu.

Pengarah Jais Mohd Shahzihan Ahmad berkata hanya imam, bilal dan siak yang bertugas sahaja diberikan kebenaran.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Solat Aidiladha: Bilangan jemaah bergantung kapasiti masjid, surau

SHAH ALAM, 23 JULAI: Umat Islam di negeri ini tidak perlu memohon untuk menunaikan solat Aidiladha di masjid dan surau pada 31 Julai seperti mengerjakan solat Jumaat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata bilangan jemaah juga tidak dihadkan tetapi mengikut jumlah kapasiti sesuatu rumah ibadat dengan penjarakan sosial 1.5 meter.

“Perkara ini dipersetujui dan mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan ia terpakai di semua masjid negeri dan daerah.

“Jais mengingatkan kepada pengurusan masjid dan surau di seluruh negeri agar mengawal jemaah dan jangan berebut-rebut untuk menunaikan solat Aidiladha kerana ia hanya amalan sunat,” kata Mohd Shahzihan Ahmad kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) solat berkaitan sama seperti ditetapkan untuk solat Jumaat dan lima waktu.

Berikut persediaan penting sebelum ke masjid dan surau:
1. Berwuduk dari rumah
2. Memakai pelitup muka
3. Membawa sejadah sendiri (ukuran standard)
4. Sihat dan tidak bergejala (bacaan suhu melebihi 37.5 Celcius dilarang hadir)
5. Menggunakan cecair pembasmi kuman atau membersihkan tangan ketika
hadir dan pulang dari masjid/surau
6. Hadir lebih awal ke masjid atau surau kebenaran khas Jumaat
(sebelum azan pertama berkumandang)
7. Sentiasa mematuhi dan menjaga penjarakan sosial.

Categories
BERITA UTAMA

Semarak semangat korban warnai sambutan Aidiladha umat Islam

KUANTAN, 11 OGOS: Umat Islam di seluruh negara hari ini memulakan sambutan Hari Raya Aidiladha dengan memenuhi masjid untuk menunaikan solat sunat Aidiladha diikuti ibadah korban dalam menghayati syiar Islam.

Di PAHANG, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini.

Turut berangkat ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan adinda-adinda baginda.

Seri Paduka berdua menunaikan solat sunat itu bersama ribuan jemaah, dengan sebahagiannya tidak melepaskan peluang bersalaman dengan Sultan Abdullah sebaik sahaja selesai solat.

Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 juga mengadakan ibadah korban melibatkan tiga ekor lembu yang mana Sultan Abdullah dan Tengku Hassanal berkenan mencemar duli menyaksikan ibadah itu sebelum berangkat pulang.

Di KUALA LUMPUR, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara, yang diimamkan imam masjid berkenaan Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menunaikan Solat Sunat Aidiladha di Masjid Negara hari ini. Foto BERNAMA

Dr Mahathir kemudian turut mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia, serta mengingatkan umat Islam bahawa Aidiladha bukan hanya menuntut korban binatang ternakan, sebaliknya mereka mesti sanggup berkorban demi membantu masyarakat Islam yang memerlukan.

Di SELANGOR, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat negeri itu di Masjid Negeri Selangor, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.

Turut sama berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Solat Aidiladha diimamkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya, manakala khutbah Aidiladha yang bertajuk ‘Ibadah Korban dan Haji Lambang pengabdian Sejati’ dibacakan oleh khatib yang juga merupakan Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid.

Di JOHOR, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama hampir 2,000 jemaah di Masjid Pasir Pelangi di sini.

Keberangkatan tiba baginda disertai Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, anakandanya yang lain serta menantunya Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Selesai solat, Sultan Johor bersama kerabat diraja Johor turut berkenan meluangkan masa bersalaman dengan jemaah yang hadir sebelum berangkat pulang.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti di Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidiladha.

Sementara itu, petugas pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, dalam kesibukan mencari remaja perempuan warga Ireland itu sempat menunaikan solat Aidiladha bersama 150 penduduk setempat di Masjid Kariah Pantai.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Adly Zahari menyertai kira-kira 5,000 muslimin dan muslimat menunaikan solat sunat di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Solat sunat berkenaan diimankan oleh Imam Besar Masjid Al Azim, Datuk Mohammad Hashim yang turut membacakan khutbah.

DI KELANTAN, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berangkat ke Masjid Muhammadi untuk menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah.

Baginda yang mengenakan persalinan jubah berwarna putih tiba kira-kira pukul 8.25 pagi turut diiringi Tengku Mahkota Kelantan Dr Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob.

Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 1,000 jemaah di Masjid Al-Muktaffi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.

Ketibaan baginda pada pukul 7.50 pagi diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta berangkat sama, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan beberapa pemimpin kerajaan negeri.

Tinjauan Bernama di sekitar Kuala Terengganu mendapati umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha dalam kesederhanaan namun meriah dengan kehadiran kaum keluarga dan jiran tetangga untuk turut sama bergotong royong melakukan ibadah korban.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh.

Ketibaan baginda pada kira-kira pukul 8.30 pagi disambut barisan exco dan pegawai-pegawai kerajaan negeri. Turut berangkat, Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Selesai solat sunat Aidiladha, Sultan Nazrin bersama-sama kira-kira 1,500 jemaah bertakbir raya sempena Aidiladha dan sebelum berangkat pulang, baginda meluangkan masa beramah mesra dan bersalaman dengan para jemaah di masjid berkenaan.

Di SABAH, Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni menunaikan solat sunat Aidiladha bersama ribuan jemaah di Masjid Negeri, yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Suhaidi Kunting.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menyertai kira-kira 4,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Pulau Pinang.

Solat Sunat Aidiladha itu dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negeri, Mohd Noordin Samah dan selepas solat Abdul Rahman turut mengambil kesempatan bersalaman dengan jemaah.

Sebanyak lapan ekor lembu turut dikorbankan pada Majlis Korban Perdana di kawasan parkir masjid itu untuk diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin.

Di SARAWAK, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir pada majlis Korban Perdana anjuran Majlis Islam Sarawak di Dewan Hikmah.

Sebanyak empat ekor lembu telah dikorban dan diagihkan kepada 250 asnaf yang terdiri daripada asnaf Unit Saudara Kita di Samariang, Petra Jaya dan asnaf-asnaf di sekitar bandar raya ini.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan General Datuk Zamrose Mohd Zain turut menyempurnakan Majlis Sambutan Aidiladha dan Ibadah Korban di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Kem Penrissen.

Di KEDAH, umat Islam tetap menyambut Aidiladha dalam suasana meriah meskipun sederhana selepas lebih 500 rumah di beberapa daerah rosak antaranya pada bahagian bumbung dan siling akibat ribut pada Jumaat.

Sementara itu, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan isteri Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Al-Aman, Alor Setar.

Turut menunaikan solat sunat itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Raja Muda Kedah juga berkenan menyampaikan sumbangan daging korban kepada fakir miskin dan mangsa ribut di Masjid Ar-Rahmah, Alor Setar.

Di PERLIS, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 2,000 jemaah di Masjid Al-Hussien, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor mengimamkan solat itu manakala Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan khutbah.

Selesai sembahyang Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen berkenan melihat penyembelihan korban seekor lembu sumbangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan masjid.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Dr Mahathir sertai ribuan jemaah solat sunat Aidiladha

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai ribuan umat Islam menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negara di sini.

Solat sunat itu diimamkan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Dr Mahathir ketika ditemui pemberita kemudian mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Beliau turut mengingatkan umat Islam bahawa Aidiladha bukan hanya menuntut korban binatang ternakan, sebaliknya mereka mesti sanggup berkorban demi membantu masyarakat Islam yang memerlukan.

“Inilah harapan kita iaitu kita belajar berhubung korban dan pentingnya pengorbanan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Terdahulu, Syaikh Ismail dalam khutbah bertajuk Aidiladha: Di manakah Pengorbanan Kita? menyeru setiap umat Islam mengambil sikap prihatin dan bersedia berkorban menghulurkan bantuan kepada seluruh umat Islam yang hidup dalam kesusahan di serata dunia.

Beliau berkata, pengorbanan dan bantuan adalah berdasarkan kemampuan sama ada dengan wang, tenaga, buah fikiran dan doa.

“Semoga dengan secebis pengorbanan yang kita hulurkan, ia tetap dinilai sebagai amal soleh dan sebagai bukti kejujuran iman kita kepada Allah SWT,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Sultan Selangor tunai solat sunat Aidiladha

SHAH ALAM, 11 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha bersama rakyat di Masjid Negeri, hari ini.

Baginda yang diiringi Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari tiba kira-kira 8 pagi.

Turut berangkat Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan kerabat diraja lain.

Sebaik selesai solat dan khutbah, baginda turut mengambil kesempatan bersalaman dengan rakyat sebelum berangkat ke tapak penyembelihan untuk menyerahkan lembu korban.

Proses penyembelihan disempurnakan Imam Besar Masjid Negeri, Muhammad Farhan Wijaya.

Sementara itu, khutbah bertajuk Ibadah Korban dan Haji Lambang Pengabadian Sejati disampaikan Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid.

Dalam khutbahnya, beliau mengingatkan umat Islam untuk memperkukuhkan ekonomi masing-masing dengan berusaha lebih gigih supaya dihormati.

“Antara roh ibadah haji dan korban yang mesti kita hayati juga ialah berusaha memperolehi harta yang lebih dengan pekerjaan halal.

“Jika semangat ini dihayati oleh umat Islam, sudah pasti mereka tidak menjadi bangsa yang miskin, mundur dan lemah, bahkan akan muncul sebagai umat yang mulia dan dihormati.

“Ibadah haji juga mengajak umat Islam supaya menghayati semangat kesatuan berteraskan ketauhidan kepada Allah SWT, mengelak perpecahan sekalipun berbeza bangsa dan warna kulit,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor solat sunat Aidiladha bersama 5,000 jemaah

OLEH AFIX REDZUAN

BUKIT JELUTONG, 1 SEP: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin mencemar duli ke Masjid Tengku Ampuan Jemaah bagi menunaikan solat sunat Aidiladha.

Turut berangkat DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan ketibaan baginda disambut barisan kepimpinan Kerajaan Negeri diketuai Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, Datin Seri Shamshida Taharin serta Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Solat sunat Aidiladha yang dihadiri 5,000 jemaah diimamkan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid yang menyampaikan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Hakikat Sebuah Pengorbanan’.

Antara pengisian khutbah menceritakan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail yang menuruti perintah Allah SWT menjalani ibadah korban.

Sejurus selesai, rakyat jelata turut mengambil kesempatan bersalaman bersama baginda dan Tengku Permaisuri Selangor.

Baginda bersama Tengku Amir Shah turut menyaksikan proses penyembelihan selain menyumbangkan seekor lembu yang diwakilkan Timbalan Mufti Selangor, Sahibus Samahah Dr Anhar Opir dan daging berkenaan diagihkan kepada rakyat selaras tuntutan ibadah korban selepas selesai majlis santapan.

Masjid Tengku Ampuan Jemaah turut menerima 26 ekor lembu lagi untuk ibadah korban yang akan dilangsungkan, esok.

IMG_20170901_094226