Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO minta Kerajaan Persekutuan salur hasil ekonomi dengan adil

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan Persekutuan digesa mengagihkan perolehan hasil kewangan secara adil kepada setiap negeri.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata Kerajaan Selangor memperjuangkan isu tersebut sejak 2008 untuk menikmati peratusan pembahagian sepatutnya.

“Malah, negeri ini menyumbang 24.2 peratus kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) setiap tahun ekoran produktiviti tinggi malah pada 2020 pendapatan Malaysia adalah RM227.3 bilion yang mana sekitar RM55 bilion daripada kita,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung webinar bertajuk Hasil Cukai Pendapatan Untuk Negeri Juga, Bolehkah Malaysia Contohi Indonesia? anjuran Pertubuhan Wisdom Malaysia malam tadi.

Webinar itu dikendalikan Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Wisdom Malaysia, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau disertai panelis Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh dan Pengurus Ideas (Unit Kewangan Awam), Sri Murniati.

Chang Khim berkata peruntukan dari persekutuan juga tidak setimpal dengan hasil sumbangan negeri apabila Selangor hanya terima empat peratus dari Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) dan pembangunan infra.

Beliau berkata sekiranya Selangor mendapat hasil yang lebih sudah tentu ia boleh menjadi lebih maju berbanding ketika ini.

“Selangor digambar negeri paling kaya walhal kecekapan urus kewangan yang dilihat mewah kerana banyak program kebajikan dilaksanakan antaranya pakej rangsangan ekonomi seperti bantuan golongan B40, pendigitalan dan kesihatan.

“Jutaan ringgit dibelanjakan tetapi kita tetap berjaya uruskan kewangan dengan baik namun apa diterima balik dari persekutuan adalah kecil,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tahun Baru Cina untuk semua, program dialih bahasa

SHAH ALAM, 2 FEB: Program sambutan Tahun Baru Cina 2021 peringkat negeri secara dalam talian pada 12 Februari sesuai ditonton semua golongan dan lapisan masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (Limas) berkata bertemakan ‘Tahun Baharu, Harapan Baharu’, program 68 minit itu dilengkapi alih bahasa berbahasa Melayu akan memudahkan penonton menghayatinya.

“Persembahan tidak hanya menonjolkan muzik untuk kaum Cina sebaliknya sesuai buat Melayu, India dan Barat.

“Memandangkan ia secara maya, rakyat berbangsa Cina dan yang lain di luar negara boleh bersama-sama merasai kemeriahannya,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika ditemui hari ini.

Membabitkan kos lebih RM400,000, EXCO Kerajaan Negeri itu berkata program berkenaan berada dalam persiapan terakhir.

“Kita sudah jangkakan dari Disember sambutan tahun ini tidak boleh seperti kebiasaan maka timbul cadangan dibuat dalam talian.

“Selama 12 tahun kita sambut dengan meriah. Buat himpunan di beberapa tempat antaranya Ampang Jaya, Klang dan Petaling tapi kali ini ia berbeza namun harap kemeriahan masih dirasai,” katanya.

Program julung kali diadakan itu menampilkan 12 persembahan seperti nyanyian, tarian dan kebudayaan bermula jam 9 malam selain diselitkan ucapan dan mesej positif Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari serta ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Orang ramai boleh menonton di laman Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari https://www.facebook.com/ami.mbselangor serta di beberapa media elektronik.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Program jana ekonomi negeri diteruskan ikut situasi semasa

SHAH ALAM, 19 JAN: Dua program besar yang dirancang tahun ini bagi menjana ekonomi negeri akan diteruskan sama ada secara fizikal atau maya, bergantung kepada situasi semasa Covid-19.

EXCO pelaburan berkata program meliputi Pameran Penerbangan Selangor 2021 pada 2 April, sementara Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor 2021 pada Oktober.

Dato’ Teng Chang Khim memaklumkan kedua-dua acara tersebut bagi menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan mempromosi negeri sebagai hab perdagangan global.

“Memandangkan ketika ini kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dan darurat, kita akan lihat keadaan semasa untuk sebarang penganjuran program,” katanya dalam sidang media semalam.

Chang Khim berkata Kerajaan Selangor tidak meletakkan peratusan tinggi pelaburan tahun ini memandangkan pergerakan terhad berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, jelasnya, aktiviti berkait perniagaan dan perdagangan tetap diteruskan secara dalam talian.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Darurat tak ganggu pentadbiran Kerajaan Selangor

SHAH ALAM, 16 JAN: Pentadbiran Kerajaan Selangor tidak terkesan dan berjalan seperti sedia kala biarpun darurat dikuat kuasa di seluruh negara.

“Darurat secara jelasnya tidak mengganggu pentadbiran Kerajaan Negeri kerana kuasa eksekutifnya masih sama.

“Malah mesyuarat EXCO yang pertama pada tahun ini berlangsung pada 13 Januari lalu, selepas pengumuman dibuat,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian ketika Program Bual Bicara Condiser This ‘Emergency Limitless Executive Power?’ menerusi Astro Awani, malam tadi.

EXCO Kerajaan Negeri itu turut beranggapan tindakan pengumuman darurat berkenaan sebagai langkah untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Pengisytiharan darurat bagi menangani ancaman Covid-19 yang berkuat kuasa 11 Januari lalu diwarta dan disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara manakala keesokannya dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong.

Selasa lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, memberi perkenan tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos atau suatu tarikh lebih awal jika angka kes harian Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Categories
EXCO SELANGOR

Patuhi SOP, bantu kerajaan putus jangkitan Covid-19 – EXCO

SHAH ALAM, 13 JAN: Masyarakat digesa memberi kerjasama kepada kerajaan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) agar penularan Covid-19 dapat diputuskan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata tindakan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua adalah langkah tepat untuk tujuan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya meminta orang ramai berganding bahu membantu kerajaan memutuskan jangkitan ini. Jangan menganggap kita kebal virus dan tidak terjangkit.

“Sayangkan nyawa sendiri dan orang tersayang dengan pematuhan SOP,” kata EXCO Kerajaan Negeri itu kepada SelangorKini.

Beliau turut menjelaskan Kerajaan Negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan berharap keadaan akan terkawal dalam tempoh terdekat.

Isnin lalu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP meliputi tiga peringkat untuk tempoh 14 hari bemula hari ini.

PKP dikuat kuasa di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

PKP Bersyarat pula di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala PKP Pemulihan melibatkan Perlis dan Sarawak.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Peserta anugerah usahawan e-dagang catat jualan RM36.6 juta

SHAH ALAM, 3 DIS: Pertandingan Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 anjuran Kerajaan Selangor merekodkan jualan RM36.6 juta dalam tempoh dua minggu.

EXCO pelaburan berkata nilai jualan secara dalam talian meningkat hampir 300 peratus berbanding hanya RM13 juta pada tahun lepas.

“Seramai 123 usahawan e-dagang yang menyertai pertandingan pada tahun ini berjaya merekodkan 264,284 tempahan barangan. Ini membuktikan ekosistem digitalisasi semakin penting sejak penularan Covid-19.

“Selain itu 54.7 peratus peserta pertandingan datang dari Lembah Klang sekali gus menunjukkan Selangor berpotensi menjadi hub e-dagang di negara ini pada masa depan,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika menyampaikan ucapan secara maya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 hari ini.

Pertandingan tersebut yang bermula 3 hingga 16 November menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM40,500.

Anugerah berprestij tersebut bertujuan memberikan penghargaan kejayaan, kreativiti dan inovasi usahawan e-dagang selain membuka peluang meningkatkan lagi jenama mereka dalam industri e-dagang.

Categories
ADN SELANGOR

Covid-19: Penduduk Klang terus waspada, tingkat disiplin elak jangkitan

SHAH ALAM, 17 NOV: Penduduk Klang digesa tidak alpa dan meningkatkan disiplin kendiri bagi mengelak jangkitan Covid-19 susulan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang berkata kegagalan masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dibimbangi mencetuskan situasi lebih buruk yang akan membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah terbabit.

“Jika penduduk bimbang (kawasan mereka) dikenakan PKPD maka teruskan amalan pematuhan SOP. Elakkan melepak, berkunjung ke tempat tumpuan awam termasuk mengadakan acara jamuan di rumah melibatkan kehadiran orang ramai.

“Walaupun kebanyakan kes Covid-19 berlaku di tempat kerja misalnya di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove namun masyarakat harus berwaspada, jangan kerana jangkitan belum terjadi di kawasan perumahan dan kita anggap ia tidak akan berlaku,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika dihubungi hari ini.

EXCO kerajaan negeri itu berkata pemahaman tinggi masyarakat terhadap ancaman wabak akan mendorong mereka mengadaptasi norma baharu dalam aktiviti seharian tanpa sebarang masalah.

“Sekiranya sebelum ini memakai pelitup muka dianggap sekadar untuk mengelak dikompaun maka mereka perlu memperbetulkan sikap itu kerana virus boleh menjangkiti sesiapa sahaja.

“Saya percaya jika kita semua memahami betapa bahayanya wabak ini, setiap individu akan kekal berdisiplin mematuhi SOP seterusnya mampu mencegah penularan,” katanya.

Semalam Klang mencatat 38 kes Covid-19 manakala kelmarin dengan jumlah harian tertinggi iaitu 100 sekali gus kekal dalam zon merah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Agenda Digitalisasi buka peluang baharu perniagaan, pekerjaan

SHAH ALAM, 31 OKT: Agenda Digitalisasi Selangor yang menjadi fokus Belanjawan 2021 bakal mewujudkan peluang baharu perniagaan dan pekerjaan, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut juga meningkatkan daya saing perniagaan serta produktiviti syarikat untuk bangkit berdepan tempoh mencabar akibat penularan Covid-19.

“Peningkatan daya saing mewujudkan lebih banyak peluang serta cabang baharu perniagaan. Apabila ini berlaku, rantaian bekalan akan bertambah untuk memenuhi permintaan pasaran.

Dato’ Teng Chang Khim. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Selain itu, ekosistem digitalisasi yang semakin berkembang turut mempengaruhi pertambahan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Chang Khim berkata kemampuan ekonomi Selangor untuk bangkit susulan dampak Covid-19 bergantung sejauh mana rakyat cepat berubah serta menyokong agenda digitalisasi.

Sejumlah RM369 juta, atau satu pertiga dari keseluruhan belanja pembangunan, disediakan bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam belanjawan yang dibentangkan semalam.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor lancar kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri melancarkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula hari ini dengan peruntukan RM2 juta.

EXCO pelaburan berkata program beli-belah dalam talian dengan kerjasama Shopee dan Lazada bagi membantu peniaga berdepan krisis ekonomi berikutan penularan Covid-19.

Dato’ Teng Chang Khim menjelaskan langkah itu turut mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan.

Dato’ Teng Chang Khim. Foto ARKIB SELANGORKINI

“Untuk kempen ini kita tidak menetapkan sasaran keuntungan, namun berharap ia melebihi program e-Bazar Raya yang dilaksana sebelum ini,” katanya menambah kedua-dua syarikat e-dagang itu masing-masing menerima subsidi baucar RM1 juta.

Teks ucapan tersebut dibacakan Ketua Pengarah Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris dalam sidang media secara maya hari ini.

Chang Khim berharap inisiatif itu dapat meningkatkan jualan dan pendapatan peniaga kecil selain menggalakkan orang ramai membeli barangan keperluan secara dalam talian.

“Saya yakin strategi pendigitalan bakal menjadi penjana baharu ekonomi Selangor dan membantu peniaga bangkit semula selepas krisis pandemik Covid-19,” kata beliau lagi.

e-Bazar Raya Selangor bersama Shopee yang dianjur pada Mei hingga Julai mencatat pulangan RM341.5 juta, melebihi sasaran awal RM8 juta.

Categories
BERITA UTAMA

EXCO: Pendigitalan percuma bantu PKS tingkat urus tadbir pekerja

SHAH ALAM, 15 OKT: Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) yang diwujudkan Kerajaan Negeri membantu peniaga melaksanakan pendigitalan operasi syarikat.

EXCO pelaburan berkata program percuma selama tiga bulan bakal memberi pendedahan kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meningkatkan kecekapan urus tadbir pekerja.

“Penyedia perkhidmatan sistem yang dilantik Kerajaan Negeri akan mengajar pemilik PKS untuk menguruskan operasi perniagaan dengan efektif dan berkesan secara digitalisasi.

“Rekod kehadiran pekerja, jadual pekerja, senarai tugasan pekerja, waktu pekerja mula bekerja tidak kira di mana berada dan pelbagai urusan lagi boleh dilakukan menerusi teknologi pintar,” ucap Dato’Teng Chang Khim pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 secara maya hari ini.

Pada 1 Oktober, Chang Khim berkata syarikat sektor pembuatan yang mempunyai pekerja tidak melebihi 200 orang dan sektor perkhidmatan tidak lebih 75 orang layak menyertai program tersebut.

Beliau berkata program tersebut membantu meringankan bebanan kos dan meningkatkan produktiviti PKS di Selangor dalam melaksanakan urus tadbir pekerja secara digitalisasi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sitec lahir lebih 90 pakar khidmat digital, promosi produk usahawan

AMPANG, 20 SEPT: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) melahirkan lebih 90 pakar penyedia perkhidmatan dalam platform digital ekonomi sejak dua tahun lalu.

EXCO Perindustrian dan Perdagangan Dato’ Teng Chang Khim berkata kesemua menjalani latihan dan bimbingan selama empat bulan di bawah Program Pemecut Selangor (Selangor Accelerator Programme).

“Pakar penyedia perkhidmatan ini berperanan mempromosi dan mengiklankan produk usahawan di platform e-dagang seperti Lazada, Shopee, Lazada, BungkusIT serta Youbeli.

“Jika peniaga tidak tahu cara membuat iklan dengan baik walaupun menjual produk yang bagus, maka pakar ini sedia membantu,” katanya berucap pada program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 di di sini semalam.

Jelajah siri ketiga itu menghimpunkan 200 usahawan sekitar Ampang untuk mempelajari ilmu perniagaan digital daripada Shopee, Lazada, Boost e-dompet, Avana, Ninja Van, BungkusIT, Youbeli dan agensi Kerajaan Negeri antaranya Hijrah Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Jambatan bertingkat: Penduduk boleh kemuka cadangan lebih baik

SHAH ALAM, 13 SEPT: Persatuan penduduk diberi tempoh seminggu untuk mengemukakan cadangan lebih baik berhubung pembinaan jambatan bertingkat di persimpangan Bandar Meru dan Bandar Bukit Raja.

EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim berkata beliau bersedia memberi peruntukan RM50,000 untuk membiayai kos melantik perunding dengan syarat cadangan yang dikemukakan mereka dipersetujui Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.

“Sekiranya dalam tempoh seminggu penduduk boleh mengemukakan cadangan lebih baik dan dipersetujui JKR, saya akan beri bantuan kewangan RM50,000 untuk mereka melantik perunding.

“Jambatan bertingkat tetap akan dibina tetapi aliran trafik berlainan iaitu lori tidak lagi perlu masuk ke kawasan perumahan Bandar Baru Bukit Raja. Lori dan trak akan buat pusingan U berdekatan Klang Sentral,” katanya ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan persatuan penduduk di Bandar Bukit Raja sebelum ini membuat aduan berhubung cadangan asal projek kerana mereka mendapati lori dan trak akan masuk ke kawasan perumahan untuk membuat pusingan U dan keadaan itu menimbulkan gangguan selain membahayakan keselamatan.

Terdahulu Chang Khim hadir sesi taklimat pembinaan persimpangan bertingkat berkenaan kepada penduduk Bandar Bukit Raja, Klang di Dewan Hamzah MPK pagi tadi.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan sesi taklimat berkenaan dan hampir 30 persatuan penduduk dijemput,” katanya.

Menurut Chang Khim pembinaan jambatan bertingkat membabitkan kos RM80 juta itu ditanggung sepenuhnya oleh Sime Darby selaku pemaju. Ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun.