Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peniaga PKS dipelawa mohon geran padanan kumpulan kedua mulai1 Ogos

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kerajaan Negeri mempelawa peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) memohon Geran Padanan Digitalisasi kumpulan kedua yang dibuka pada 1 Ogos nanti.

EXCO industri kecil dan sederhana berkata pemberian geran itu dapat membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

“Inisiatif ini dapat memberi manfaat kepada 1,000 PKS Selangor dengan nilai keseluruhan geran RM5 juta.

“Selain itu, menerusi pemberian geran ini kita berharap dapat membantu usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan mereka,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berucap pada sidang media secara maya sempena pelancaran ‘Selangor Accelerator Programme 2021’ (SAP) melalui aplikasi Zoom hari ini.

Pada 12 April, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan geran tersebut untuk membantu PKS melakukan transformasi digital.

Sebanyak RM5 juta diperuntuk bagi manfaat 1,000 peniaga kecil dengan jumlah bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000.

Lima bidang pendigitalan yang ditawarkan ialah e-dagang, sistem sumber manusia, sistem akaun, pemasaran digital dan sistem Electronic Point of Sale (e-PoS) dan gerbang pembayaran.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Rawatan, khidmat nasihat percuma untuk warga Bandar Baru Klang

SHAH ALAM, 5 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang menawarkan rawatan dan konsultasi perubatan percuma bermula hari ini sehingga 11 Julai.

Wakil rakyatnya berkata tawaran itu terbuka kepada semua penduduk di kawasan berkenaan.

“Rawatan dan konsultasi percuma ini adalah anjuran pusat khidmat masyarakat dan Klinik Medic Suria.

“Program ini dijalankan untuk mengurangkan beban dan memastikan kesihatan penduduk terjaga,” kata Dato’ Teng Chang Khim menerusi Facebook.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MB rancakkan pendigitalan, bantu peniaga depani Covid-19

SHAH ALAM, 22 JUN: Inisiatif pendigitalan yang dirancakkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sepanjang tiga tahun pentadbirannya memacu sektor ekonomi negeri meski berdepan wabak Covid-19.

Memberi contoh, exco perdagangan berkata platform Grab Selangor dan Platform Selangor (PLATS) disusuli kempen e-Bazar Raya Selangor yang dibangunkan memastikan peniaga kecil terus dapat mencari rezeki.

“Mulai saat itu, Kerajaan Negeri mendaftar ramai pengusaha kecil dan sederhana yang sebelum ini dilihat ‘menjauhi’ e-dagang dan pendigitalan. Kita berikan insentif baucar pendaftaran serta geran padanan.

“Dari segi pencapaian juga agak baik, program e-Bazar Raya dan Tahun Baharu Cina merekodkan kesan ekonomi RM2.3 bilion,” kata Dato’ Teng Chang Khim mengulas ulang tahun ketiga pentadbiran Amirudin pada Sabtu lalu.

Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei pula menyifatkan inisiatif Amirudin dalam bidang pendigitalan membuka pandangan baharu masyarakat terhadap Selangor sebagai sebuah negeri pintar.

“Bila berlaku pandemik Covid-19, Dato’ Menteri Besar agak agresif. Hasilnya penjaja dapat berniaga manakala kami wakil rakyat boleh terus menjalankan tugas, ini benar-benar dikatakan negeri pintar.

“Saya gembira Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) mengambil inisiatif membuat penerangan tiga bahasa dalam aspek pendigitalan sekali gus lebih ramai audien dicapai,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Aspirasi MB bantu lahir tenaga mahir aeroangkasa

SHAH ALAM, 21 JUN: Aspirasi Dato’ Menteri Besar yang mahu menjadikan Selangor pemain utama aeroangkasa menjelang 2030 melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan penduduk tempatan.

EXCO Industri Dato’ Teng Chang Kim berkata Dato’ Seri Amirudin Shari mahu melihat kemajuan dalam bidang penerbangan bukan berdasarkan nilai pelaburan tetapi membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Katanya, perkongsian pintar antara Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor dan GE Engine Services Malaysia Sdn Bhd (GE Engine Services) misalnya melahirkan 46 juruteknik dalam bidang aeroangkasa pada 2019.

“Komitmen Dato’ Menteri Besar memang jelas. Beliau melawat Pejabat Airbus Bizlab di Toulouse, Perancis dan kilang penerbangan di Maghribi bagi melihat lebih dekat potensi untuk dibangunkan di Selangor.

“Melalui pimpinannya sejak tiga tahun lalu, program latihan tenaga kerja dilaksanakan dengan kerjasama GE Engine Services yang melahirkan 46 juruteknik. Ramai lagi tenaga mahir akan menyusul selepas ini,” katanya.

Mengulas tiga tahun pentadbiran Dato’ Menteri Besar pada 19 Jun lalu, beliau percaya Amirudin tidak sesekali menoleh ke belakang sekalipun sektor berkenaan berdepan cabaran getir berikutan pandemik Covid-19.

“Malah, Selangor telah membuat persiapan awal kerana sektor tersebut dijangka kembali rancak pada 2023.

“Antaranya kita akan teruskan penganjuran Pameran Penerbangan Selangor (SAS) yang ditangguh daripada 12 hingga 14 Ogos kepada 25 hingga 27 November,” katanya.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara pula menyifatkan pemilihan Subang sebagai antara lokasi dalam gugusan industri aeropolis dan aeroangkasa tepat kerana wujudnya kemudahan seperti landasan kapal terbang.

“Selain itu, ramai tenaga mahir di Dewan Undangan Negeri Kota Damansara kerana kebanyakan penduduk terutama di Kampung Melayu Subang asalnya dari komuniti aeroangkasa.

“Saya berbangga kerana kawasan saya wakili dipilih bagi projek berkenaan,” kata Shatiri Mansor lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKS digesa manfaat biaya Selangor Advanced, tingkat aliran tunai syarikat

SHAH ALAM, 14 JUN: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negeri ini digesa memanfaatkan pembiayaan tunai Selangor Advanced untuk meningkatkan aliran kewangan perniagaan yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berharap inisiatif ditawarkan Kerajaan Negeri membantu sektor PKS memperbaiki kecekapan operasi perniagaan sepanjang tempoh mencabar.

“Selangor Advance adalah program inovatif terunggul malah menjadi negeri paling produktif membantu PKS meskipun kita tidak kaya dengan rizab.

“Kerajaan Negeri sanggup menggunakan sebaik-baiknya sumber yang terhad untuk membantu sektor perniagaan khususnya PKS,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata kerajaan persekutuan wajar mencontohi usaha Selangor dengan melancarkan inisiatif sama untuk meningkatkan daya saing sektor PKS.

Selangor Advance berkonsepkan Tawarruq diperkenal pada Jun tahun lalu dengan dana permulaan RM100 juta bagi membantu PKS berdepan kesan ekonomi akibat pandemik.

Pada Rabu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan dana tambahan sejumlah RM200 juta untuk program Selangor Advance demi mengukuhkan daya saing perniagaan sekaligus menyelamatkan syarikat dan pekerja.

Peruntukan tersebut terkandung di bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu rakyat terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pelan bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ meliputi tiga strategi dan 25 program memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Tepis tanggapan Covid-19 tidak jangkiti ahli keluarga, kenalan rapat

KLANG, 31 MEI: Rakyat negeri ini diminta menepis tanggapan Covid-19 tidak menjangkiti antara ahli keluarga dan kenalan rapat sehingga mengabaikan tatacara operasi piawai (SOP).

Ahli Dewan Negeri Bandar Baru Klang berkata perkara seperti itu menjadi salah satu punca peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

“Saya beri peringatan supaya masyarakat terus berwaspada memandangkan virus ini boleh menjangkiti bila-bila masa sahaja tanpa mengenal sesiapa, bangsa mahupun agama.

“Pemerkasaan amalan norma baharu seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, menjaga kebersihan dan mengelak perhimpunan ramai penting saat ini, jadi kita perlu sama-sama jaga,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau ditemui pada program Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajan Selangor di Dewan Serbaguna Eng Ann di sini semalam.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata seramai 2,600 individu mendaftar awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan sehingga jam 2 petang, hampir 2,000 peserta membuat saringan secara terus serta pandu lalu sejak kaunter dibuka.

“Daripada jumlah ini, lebih 1,000 keputusan diketahui dengan hanya sembilan kes disyaki positif sekali gus membuktikan kadar jangkitan di kawasan ini amat rendah, namun kita menunggu secara penuh nanti,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

ECRL: Keputusan Persekutuan melulu, jajaran utara gagal bangunkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Tindakan Kerajaan Persekutuan mengekalkan laluan jajaran utara bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) gagal mendatangkan impak positif kepada ekonomi Selangor.

EXCO pelaburan berkata keputusan melulu itu dianggap merugikan kerana pembangunan dikatakan bakal berlaku di Serendah sudah dijalankan membabitkan jenama besar seperti UMW dan Perdua.

“Penggunaan jajaran selatan lebih menguntungkan susulan terdapat beberapa lokasi yang mampu menjana pendapatan negara.

“Ia ternasuk kawasan luar bandar dan salah satunya Pulau Carey yang berpotensi menjadi pelabuhan ketiga. Sekiranya Malaysia ingin bersaing dengan Singapura, kita perlu bangunkan infrastruktur utama sebegini,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pra pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim juga sekali lagi menegaskan Selangor tidak akan memberikan tanah kepada kerajaan Persekutuan sekiranya projek ECRL akan menggunakan jajaran utara seperti dicadangkan pada era Barisan Nasional (BN).

“Ini bukan pendirian saya tetapi Kerajaan Negeri. Kita bukan sekadar memandang dari sudut ekonomi sebaliknya turut melihat kepada aspek alam sekitar yang mungkin akan terjejas,” katanya.

Berdasarkan jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Jajaran tersebut bagaimanapun diubah pentadbiran Pakatan Harapan supaya tidak melalui Bentong dan Gombak bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer melalui Permatang Kuarza.

ECRL dijangka siap pada 2026 dan perkembangan projek mencapai 20.37 peratus sehingga Januari lalu berbanding jangkaan asal 19.39 peratus.

Categories
EXCO SELANGOR

E-bazar Tahun Baharu Cina catat RM619 juta kesan riak, tarik lebih 77,000 peniaga

SHAH ALAM, 7 APRIL: Kempen Selangor E-Bazar Tahun Baharu Cina pada 1 Februari lalu mencatatkan RM619 juta kesan riak kepada ekonomi negeri termasuk jualan terus bernilai RM35.5 juta.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen yang berlangsung sehingga 7 Mac itu juga berjaya menarik 77,903 peniaga termasuk 19,644 peniaga baharu menerusi platform e-dagang terkemuka, Shopee dan Lazada.

“Kerajaan Negeri amat bangga apabila lebih ramai peniaga baharu menerokai bidang e-dagang pada kempen kali ini, ia dibuktikan menerusi peningkatan sebanyak 157 peratus peniaga berbanding sasaran awal iaitu 12,500 peniaga.

“Saya juga percaya kempen ini telah membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro mengaplikasikan pendigitalan ketika berdepan persekitaran perniagaan yang mencabar kesan daripada Covid-19,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata kempen kali ini juga menunjukkan perubahan demografi pengguna e-dagang iaitu daripada golongan anak muda kepada kumpulan dewasa bekerja.

“Kita dapati kebanyakan pengguna yang tertarik pada kempen ialah mereka berusia dari 35 hingga 44 tahun.

“Empat kategori jualan paling popular iaitu kesihatan, kecantikan, automotif dan barangan rumah. Tidak ketinggalan ialah barang berkaitan dengan permainan, buku dan hobi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pameran Penerbangan Selangor lonjak ekonomi pasca Covid-19

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Kerajaan Negeri berharap Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2021 dijadual berlangsung pada Ogos mampu melonjak ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

EXCO pelaburan berkata pameran tersebut membuka peluang syarikat tempatan dan antarabangsa untuk bekerjasama termasuk menandatangani perjanjian perniagaan.

“Langkah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) membenarkan pelawat perniagaan masuk ke Malaysia sekiranya memenuhi syarat memudahkan urusan penganjuran.

“Mengikut perancangan SAS akan dijadikan acara tahunan namun ia bergantung kepada situasi semasa penularan wabak,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran SAS 2021 hari ini.

Pameran terbabit dijadual berlangsung pada 12 hingga 14 Ogos di Skypark Subang dengan menyasarkan sebanyak 30 pempamer dan 5,000 pelawat.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata SAS 2021 mengalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan menyediakan platform kepada syarikat tempatan serta usahawan industri kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu seiring sasaran Selangor sebagai pemain utama aeroangkasa menjelang 2030.

Usaha itu diperkukuh menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Aeroangkasa dikendali Pejabat Koordinasi Industri Angkasa Selangor Darul Ehsan (S-DAICO).

Aktiviti pembuatan aeroangkasa di Malaysia mengunjurkan pendapatan RM21.2 bilion, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (RM20.4 bilion) manakala kejuruteraan dan reka bentuk (RM13.6 bilion) pada 2030.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor catat nilai pelaburan tertinggi tiga tahun berturut-turut

SHAH ALAM, 2 MAC: Selangor berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi yang diluluskan tiga tahun berturut-turut sebanyak RM38.7 bilion daripada jumlah RM164 bilion bagi tahun 2020.

Walau ekonomi tidak menentu susulan penularan Covid-19, EXCO pelaburan menjelaskan RM18.4 bilion daripada jumlah itu datang daripada sektor pembuatan.

“Juara tiga tahun berturut-turut! Selangor mencatat jumlah pelaburan tertinggi yang diluluskan (RM38.7 billion) dan juga dalam sektor pembuatan (RM18.4 bilion) bagi tahun 2020.

“Angka tiga tahun tersebut merupakan angka yang paling tinggi dalam tempoh 27 tahun lalu,” kata Dato’ Teng Chang Khim di Facebook.

Beliau mengulas laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) 2020 yang menunjukkan Sabah merekod pelaburan RM21 bilion, Sarawak (RM19.6 bilion), Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16 bilion).

Lima negeri ini menyumbang 68.5 peratus jumlah pelaburan yang diluluskan.

Selangor juga berjaya menarik jumlah pelaburan tertinggi dalam bidang pembuatan, diikuti Sarawak (RM15.7 bilion), Pulau Pinang (RM14.1 bilion), Sabah (RM12.0 bilion) dan Johor (RM6.8 billion).

Lima negeri ini menyumbang 73.4 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan bagi sektor pembuatan tahun lalu.

Pada 2019, Selangor mencatat nilai pelaburan RM47.8 bilion sekali gus menyumbang 23.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Pelaburan RM164 bilion yang melibatkan 4,599 projek dijangka dapat mewujudkan 114,673 peluang pekerjaan bahar dalam pelbagai sektor ekonomi.

Daripada jumlah ini, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang RM99.8 bilion atau 60.9 peratus, sementara pelaburan langsung asing (FDI) pula RM64.2 bilion (39.1 peratus).

Grafik oleh Mida yang dikongsi di Facebook Teng Chang Khim
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor anjur Tahun Baharu Cina dalam talian secara langsung

SHAH ALAM, 11 FEB: Kerajaan Selangor menganjurkan sambutan Tahun Baharu Cina 2021 peringkat negeri secara dalam talian pada 12 Februari jam 9 malam.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor berkata sambutan perayaan besar-besaran itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Sambutan pada tahun ini dimeriahkan dengan pelbagai persembahan seperti muzik dan kebudayaan Cina yang sesuai untuk tontonan semua bangsa.

“Kerajaan Selangor juga menganjurkan kempen Rebut Peluang Menang Angpau bernilai RM10,000,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata kempen itu hanya diadakan di Facebook Dato’ Menteri Besar dan Teng Chsng Khim dengan sebanyak 310 angpau disediakan serta peserta berpeluang memperoleh antara RM28 (150 angpau) dan RM168 (lima angpau).

Katanya, bagi memenangi angpau RM168 cabutan akan diadakan pada minit ke-15, 30, 45, 60 dan selepas siaran langsung tamat.

Senarai pemenang akan diumumkan pada 15 Februari.

 

Berikut langkah-langkah penyertaan:

1. Saksikan sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Selangor secara dalam talian pada 12 Februari, jam 9 malam dan kongsi di Facebook serta jadikan siaran umum

2. Tanda rakan dan keluarga anda sebanyak mungkin di ruangan komen, tulis ucapan selamat dan letak tanda pagar #alliwantforcnyisyou

Layari Facebook Teng Chang Khim dan linktr.ee/cnyselangor untuk maklumat lebih jelas.

Kumpulan kebudayaan yang bakal membuat persembahan ialah:

1. Emcees’ Talk Show – Soo Wee Seng & Soo Rui Yang
2. Reunion – Hands Percussion Malaysia
3. Reminiscence – Han Fong Dance Ensemble
4. The Conqueror – Sara Heng & Hands Percussion Malaysia
5. Don’t Worry, My Dear – Fresco Harmonica Ensemble
6. Teochew Puppet Documentary – Teochew Puppet & Opera
7. A New Bloom- Ong Chia Kun & Howz & Jimmy Ch’ng
8. Lion Dance Documentary – The King of Lion Dance
9. Lion Dance – Subang Hong Teck
10. Horse Dance – Shui Tung Fang Band
11. CNY Song 2021 – Tha Jie Ying
12. Gong Xi Gong Xi – Barisan EXCO

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Tadbir urus Selangor wajar jadi contoh negeri lain – EXCO

SHAH ALAM, 10 FEB: Selangor menunjukkan teladan baik dalam aspek pentadbiran yang seharusnya diikuti negeri lain.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata sebanyak 10 jawatankuasa diwujudkan untuk melakukan semak dan imbang demi pembangunan negeri serta kebajikan masyarakat.

“Rakyat dapat melihat peranan dimainkan Ahli Dewan Negeri (ADN) walaupun penyokong kerajaan begitu kritikal dan lantang.

“Justeru, ini adalah satu kelebihan berbanding negeri lain dan iktibar boleh dipelajari adalah kita mempunyai syarat untuk mendapat perkongsian hasil lebih baik daripada persekutuan,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung webinar bertajuk Hasil Cukai Pendapatan Untuk Negeri Juga, Bolehkah Malaysia Contohi Indonesia? anjuran Pertubuhan Wisdom Malaysia malam tadi.

Webinar itu dikendalikan Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Wisdom Malaysia, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau disertai panelis Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Tricia Yeoh dan Pengurus Ideas (Unit Kewangan Awam), Sri Murniati.