Categories
PBT SELANGOR

MBPJ lancar sistem e-Cagaran

PETALING JAYA, 9 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan sistem e-Cagaran bagi menaiktaraf sistem lama yang sudah digunapakai sejak 2003, sekali gus menjadikan mereka sebagai Pihak Berkuasa Tempatan pertama melaksanakan sistem seumpama itu, di negeri ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, setelah 10 tahun menggunakan sistem lama, MBPJ mengambil keputusan untuk menaiktaraf berdasarkan keperluan dan kehendak semasa.

Katanya, proses menaiktaraf mengambil masa 18 bulan dan mula digunapakai pada 1 Februari lalu, namun ia kembali dinaiktaraf berdasar maklum balas Jabatan Audit Negara.

“Sistem e-Cagaran ini mampu memberi keselesaan serta penjimatan masa kepada pelanggan kerana boleh diakses orang awam tanpa perlu berkunjung ke kaunter MBPJ seperti sebelum ini.

“Tambah menarik apabila e-Cagaran ini berupaya untuk membuat pemulangan semula melalui kaedah Pemindahan Dana Elektronik (EFT) berbanding pemulangan menggunakan kaedah cek.

“Paling penting pengguna boleh membuat semakan status cagaran melalui laman web MBPJ, justeru dengan penambahbaikan ini semoga wang cagaran yang dikutip oleh majlis dapat diuruskan dengan baik serta teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pelancaran Sistem e-Cagaran dan Program Tuntut Wang Cagaran di Bilik Gerakan MBPJ, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, sehingga 30 September, MBPJ menguruskan 34 jenis cagaran berjumlah RM225,876,333.

“Cagaran atau deposit yang dikutip MBPJ bertujuan supaya pemohon mematuhi semua syarat ditetapkan majlis.

“Ianya adalah liabiliti kepada majlis dan kerana itulah setiap cagaran diterima perlu diuruskan dan disimpan dengan baik dan teratur,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBPJ berjaya kurang kadar jenayah 70%

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 21 DIS: Pelaksanaan inisiatif pemutihan kawasan ‘Blackspot’ oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mengurangkan kadar jenayah sehingga 70 peratus di kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, impak positif itu menyaksikan penurunan 70.83 peratus bagi kes pecah rumah, 68.42 peratus (jenayah ragut) dan 50 peratus (curi motorsikal).

Manakala, 35.29 peratus menurun bagi kes curi kereta dan 42.10 peratus bagi jenayah samun.

“MPBJ bertanggungjawab dalam mewujudkan persekitaran selamat dan sejahtera buat semua penduduk di Petaling Jaya.

“Pelaksanaan ini direalisasi melalui Pelan Induk Keselamatan Petaling Jaya dengan empat aspek utama dirancang iaitu Keselamatan Persekitaran, Keselamatan Infrastruktur, Keselamatan Digital dan Pengurusan Keselamatan serta Penguatkuasaan,” katanya di mesyuarat bulanan, di sini.

Pada masa sama, katanya, MBPJ turut membuat temuramah Kajian ‘Fear of Crime’ terhadap 200 penduduk di kedua-dua kawasan terbabit bagi melihat keberkesanan projek dan program keselamatan dilaksanakan.

“Hasil daripada kajian itu menunjukkan peratusan ‘Rasa Selamat Penduduk’ meningkat iaitu daripada 16 peratus kepada 87 peratus bagi penduduk di Flat Kg. Lindungan PJS 6.

“Manakala, dari lapan peratus meingkat kepada 68 peratus bagi penduduk di Pangsapuri Damai dan sekitar Mentari Business Park, PJS 8,” katanya.

Beliau berkata penurunan kadar jenayah di kedua-dua kawasan hitam dan peningkatan rasa selamat di kalangan penduduk membuktikan keberkesanan pelaksanaan program itu.

Terdahulu, program pemutihan itu dilaksanakan melalui pendekatan lima langkah segera projek fizikal Bandar Selamat iaitu pencahayaan, pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor, pemasangan cermin keselamatan, papan tanda peringatan jenayah dan penyediaan tempat letak motosikal berkunci.

Program keselamatan dan pembangunan sosial pula meliputi program rondaan dan kehadiran polis, pemasangan CCTV, program pembersihan warga asing dan operasi membanteras penagih dadah serta memperluaskan program kesedaran.

Bagi 2016, kawasan terpilih bagi pelaksanaan projek ini adalah di kawasan Kampung Lindungan, PJS 6 serta Pangsapuri Damai dan Mentari Business Park, PJS 8 yang mencatatkan kadar jenayah tinggi.

Selepas program dilaksanakan, kes jenayah pecah rumah (7 kes), kes jenayah ragut (6 kes), curi motorsikal (20 kes), curi kereta (11 kes), dan samun (22 kes).

=EZY=

Categories
SELANGOR

MBPJ, Bandung garis lima kerjasama MoU

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 28 NOV: Kerjasama antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan Bandung, Indonesia diperkukuhkan lagi apabila satu Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani semalam.

MoU itu menggariskan empat kerjasama meliputi pelbagai aspek yang ditandatangani Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain dan Walikota Bandung, Mochamad Ridwan Kamil.

Mohd Azizi berkata, MoU melibatkan aspek pendidikan, ekonomi, pembangunan, pelancongan dan kebudayaan itu membolehkan MBPJ mencontohi Bandung sebagai finalis Inovasi Smart City Organisation Awards 2015 di Barcelona.

MOU PJ - BANDUNG“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Bandung kerana berjaya menjadi finalis untuk Inovasi Smart City Organisation Awards 2015 dan akan bersaing dengan Moscow, Dubai, Buenos Aires, Curitiba dan Peterborough.

“Saya harap semua Ahli Majlis, Pegawai dan kakitangan MBPJ serta masyarakat dapat mengambil peluang mempelajari amalam terbaik yang diamalkan di Bandung,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU MBPJ dengan Bandung di The Club @ Bukit Utama, di sini.

Katanya, selain Bandung, MBPJ turut menjalin kerjasama dengan tiga bandar raya lain iaitu, Asan di Korea, Guangzhou di China dan Saitama di Jepun.

Hadir sama, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.

Sementara itu, Mochamad Ridwan pada majlis sama berharap MoU itu dapat diterjemahkan dengan gerak kerja yang memanfaatkan kedua belah pihak.

Walikota Bandung Mochamad Ridwan“Saya lihat Petaling Jaya membangun dengan baik sekali, sebab itu saya yakin MoU ini tidak sekadar majlis sahaja tetapi sesuatu yang benar supaya masing-masing dapat belajar sesuatu,” katanya.

Terdahulu, dalam rangka lawatan kerja delegasi Bandung ke Petaling Jaya, Mochamad Ridwan turut diberi penghormatan menanam Monumen Bandung dan pokok hiasan sebagai simbolik persahabatan bandar raya itu di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ.

-AA-

Categories
SELANGOR

Transformasi PJ melalui Belanjawan 2014

alinah okuPETALING JAYA, 8 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi fokus kepada lima sektor pembangunan utama dalam pelan bajet tahunannya selaras dengan hasrat menjadikan kawasan itu sebagai bandar lestari (PJ Lestari) pada 2014.

Pelan pembangunan yang dipersetujui melalui bengkel ‘PJ Livable City Strategic Plan 2030’ pada September lalu itu merujuk kepada prasarana lestari, persekitaran mesra alam, pengurusan trafik, gaya hidup lestari dan memperkasakan organisasi dengan anggaran kos melebihi RM150 juta.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, di bawah prasarana lestari, Majlis akan menumpukan kepada pembangunan sistem infrastruktur hijau, menyelenggara jalan raya serta menaiktaraf sistem saliran dan perparitan bagi mengatasi masalah banjir kilat di kawasan itu.

“Di bawah sektor ini, MBPJ juga akan menyediakan kemudahan pejalan kaki, siar kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU) dan laluan sikal mesra alam serta menyelenggara beberapa kemudahan awam lain seperti lampu jalan,” katanya dalam ucapan pembentangan Bajet MBPJ 2014 di Dewan Bunga Tanjung, semalam.

Di bawah fokus persekitaran mesra alam, MBPJ akan melaksanakan pelan induk landskap menerusi program Landskap dan Pengindahan serta Program Pembangunan Koridor Hijau sebagai langkah menjadikan Petaling Jaya sebagai bandaraya dalam taman.

Tidak ketinggalan katanya, MBPJ turut mempertingkatkan kualiti kerja pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal dengan menambah bilangan kakitangan dan membeli peralatan tambahan bagi mencapai sasaran 30 peratus kerja pembersihan awam.

“Bagi menyokong program menjadikan Petaling Jaya sebagai bandar raya berkarbon rendah juga, pihak Majlis akan melanjutkan program insentif meletak kenderaan secara percuma bagi pembelian kereta hybrid dari enam bulan kepada satu tahun,” katanya.

Beliau berkata, fokus pembangunan pengurusan trafik pula merujuk kepada usaha meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

MBPJ menjalin kerjasama strategik bersama PRASARANA dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk mewujudkan perkhidmatan bas, hub terminal dan perkhidmatan bas perantara di kawasan pusat bandar. Bilangan tempat petak parkir akan dikurangkan dan kadar caj parkir dinaikkan bagi mengurangkan kenderaan persendirian dalam bandar.

MBPJ mensasarkan 60% penggunaan pengangkutan awam dan 40% kenderaan persendirian di Pusat Bandar menjelang tahun 2030.

Katanya, di bawah aspek sama, MBPJ turut berhasrat mengadakan sistem kawalan trafik bersepadu dan pemantauan berpusat bagi lampu isyarat di kawasan Petaling Jaya.

“Bagi kawasan baru yang sedang dibangunkan pula, Majlis telah mensyaratkan pemaju supaya memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lampu isyarat dan lampu jalan untuk diserahkan kepada MBPJ dan dipantau oleh pusat kawalan trafik tersebut,” katanya.

Gaya hidup lestari pula merujuk kepada peningkatan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan di lokasi ‘hot spot’ bagi mengurangkan indeks jenayah.

MBPJ akan meneruskan Program Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) bagi meronda kawasan komuniti masing-masing, dan penubuhan Unit Polis Bantuan di Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan bagi menjalankan kerja-kerja rondaan keselamatan bersama pihak polis.

Sementara itu, dibawah pelan pemerkasaan organisasi, struktur pentadbiran akan disusun semula dengan membentuk 5 jabatan sahaja (daripada 10 jabatan sedia-ada) mengikut aktiviti utama, iaitu Perancang Bandar, Rekabentuk Bandar, Pembangunan Perkhidmatan & Komuniti, Perniagaan Bandar dan Perniagaan Korporat.

Serentak dengan itu, Unit Integriti diketuai oleh pegawai yang dipinjamkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan ditubuh dan menganggotai Mesyuarat-Mesyuarat Jawatankuasa, Lembaga Tender dan Sebutharga serta Jawatankuasa Audit dan Tadbir Urus.

Pengurusan perlesenan juga ditambahbaik melalui kaedah kawal selia diri, antaranya dengan memperkenalkan Quick Response Code (QR Code) yang dilekatkan pada premis perniagaan dan kad pekerja. QR ini memaparkan maklumat pemegang lesen, aktiviti lesen serta tempoh sah lesen dan boleh diakses melalui telefon berinternet.

“Diharap perlaksanaan ini akan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, mengurangkan aduan rakyat dan melaksanakan projek dengan lebih efisyen dan efektif,” kata Alinah.

Belanjawan MBPJ yang dicadangkan bagi tahun 2014 adalah RM305 juta (anggaran Hasil), manakala anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM 278 juta sementara anggaran perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM46.55 juta.

Categories
SELANGOR

Datuk Bandar jamin isu parkir MBPJ akan diselesaikan

gambar hiasan
gambar hiasan

PETALING JAYA, 28 OGOS : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi jaminan untuk menyelesaikan isu parkir kereta di Kompleks C yang didakwa tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan bagi kegunaan orang ramai.

Datuk Bandar MBPJ, Datik Paduka Alinah Ahmad berkata, MBPJ akan meneliti isu berkenaan dari semasa ke semasa sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Saya akan tengok perkara ini secara holistik. Kita tidak boleh selesai sekaligus aduan yang dibuat, tetapi kita akan pantau dulu dan ambil tindakan secara keseluruhan,” katanya ketika mengulas kenyataan Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran yang meminta MBPJ menaiktaraf parkir Kompleks C, di sini.

Terdahulu, Rajiv dalam lawatannya ke kompleks tersebut menggesa pihak MBPJ supaya segera melakukan kerja-kerja pembaikan di tempat letak kereta itu supaya boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.

Beliau turut meminta supaya MBPJ merobohkan bangunan kolej lama yang sudah dikosongkan di tingkat dua bangunan itu supaya boleh menempatkan kira-kira 400 buah kereta dalam satu-satu masa.

Selain itu, Rajiv turut meminta MBPJ supaya memasang lampu limpah di setiap tingkat bangunan, menempatkan pengawal keselamatan serta memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Kompleks parkir ini sangat strategik kedudukannya kerana dilengkapi laluan pejalan kaki, tetapi malangnya ia tidak diselenggara dengan baik dan kurang memuaskan orang ramai,” katanya.

Sebagai langkah awal, pihak MBPJ telah mula memasang lampu limpah di tingkat satu dan dua kompleks parkir tersebut selain melakukan kerja-kerja pembersihan.

Categories
SELANGOR

Aidilfitri Tidak Lengkap Dirai Tanpa Kasih Ayah dan Ibu

PETALING JAYA, 8 SEPT : Syawal diselubungi dengan suasana sayu dan perasaan tidak lengkap apabila ia dirayakan tanpa orang yang paling disayangi.

Anak-anak yatim yang kehilangan ayah dan ibu meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan persiapan ala kadar dan pasrah menerima ketentuan takdir.

Itulah pengalaman yang diceritakan oleh anak-anak yatim yang ditemui TVSelangor di Majlis Jamuan Hari Raya Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini baru baru ini.

Rata-rata mereka teruja beramah mesra dan diraikan dalam suasana ceria sambil diberikan duit raya oleh Datuk Bandar MBPJ, Roslan Sakiman.

Bagi Mohd Faiz Shah, 15, yang kehilangan ayah akibat penyakit kanser paru-paru, suasana hari raya yang diraikan seolah-olah dengan sesuatu dan tidak lengkap.

“Hari raya macam kurang sesuatu dan tidak berasa seronok. Kini segalanya digalas oleh ibu saya dalam menyediakan segala persiapan raya.

“Saya harap program-program ini diteruskan pada setiap tahun bagi menceriakan anak-anak yatim. Memang seronoklah dapat pergi program rumah terbuka raya seperti ini,” katanya.

Mohd Fikri Shah, 13, berkata beliau berasa sedih kerana persiapan yang biasa dilakukan setiap Syawal seperti memasak juadah raya dilakukan tanpa kehariran ayahnya.

“Pada 1 Syawal saya menziarahi kubur ayah dan apabila menonton iklan anak yatim di televisyen itu , saya amat sedih mengenangkannya,” katanya.

Manakala bagi Norhaslina Johan, 14, beliau sudah merayakan Aidilfitri tanpa ayah sejak tujuh tahun lepas.

“Sedih sangat beraya tanpa ayah,selepas kehilangan ayah segala-galanya tanggungjawab dipikul oleh ibu dalam menyediakan segala persiapan hari raya,” ujarnya.

Mohd Izwan Abdul Latif, 13, berasa Syawal kali ini amat berlainan daripada sebelumnya apabila baru sahaja kehilangan seorang ayah yang mengidap penyakit.

“Suasana hari raya kurang suasana gembiranya, kali ini raya bersama atuk di Banting.

“Persiapan raya kali ini kurang, manakala emak kena bekerja untuk menanggung keluarga. Jadi persiapan itu sederhana dan sekadar apa yang mampu,” katanya.

Dalam majlis itu ,seramai 100 anak yatim dari sekitar daerah Petaling Jaya menerima sumbangan duit raya dari MBPJ dan Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan MBPJ,Aznan Hassan.

Kira-kira 400 tetamu daripada pelbagai bangsa hadir dalam majlis rumah terbuka itu.