SHAH ALAM, 25 DIS: Kerajaan Negeri akan menyalurkan bantuan bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di Kelantan.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, beliau sudah menghubungi Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, supaya dapat mengirimkan sumbangan tanda solidariti.
“Alhamdulillah, Kerajaan Selangor bersetuju dan jumlah bantuan mungkin diumumkan sehari dua ini,” katanya dalam kenyataan dipetik Harakah Daily, hari ini.
Husam juga menyatakan cuba menghubungi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi tujuan sama tetapi beliau masih berada di luar negara.
Beliau yang juga Adun Salor berkata, paras air di sungai utama di seluruh Kelantan menunjukkan peningkatan ketara.
Husam yang baru selesai melawat bilik gerakan banjir Kelantan di Kota Darulnaim, berkata paras air meningkat pada kedudukan kritikal di bebarapa jajahan seperti Kuala Krai, namun hujan sudah berhenti di seluruh negeri.
“Berkenaan penduduk yang terperangkap di atas sebuah bukit di Manek Urai, pihak bomba cuba menghantar bantuan pada malam ini juga dan pihak tentera akan membuat percubaan kali ketiga bagi menghantar bantuan pada esok pagi.
“Berdasarkan kedudukan yang kritikal pada waktu ini, jika hujan esok, pihak Majlis Keselamatan Negara harus menggerakkan lebih banyak jentera dan tenaga bantuan di kawasan kritikal, apatah lagi kemudahan perhubungan utama antara Kelantan dan negari lain terputus,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan bot bomba yang lebih besar umpamanya tidak dapat dihantar ke Kelantan.