Categories
NASIONAL

Pengundian PRK Kuala Besut Terkawal

N1-kuala-Besut

SHAH ALAM 24 JULAI : Proses pengundian Pilihan Raya Kecil Kuala Besut hari ini berlangsung dalam keadaan aman dan terkawal.

Sehingga jam 11 pagi tadi , seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi.

Selepas tamat tempoh 12 hari berkempen, hari ini merupakan hari penentuan samada kedudukan kerusi 16:16 dapat direalisasikan Pakatan Rakyat melalui PRK Kuala Besut, Terengganu.

PRK ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PAS, Azlan Yusof dengan calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Seawal 8 pagi tadi, sebanyak lapan pusat mengundi di sekitar Kuala Besut mula dibuka bagi membolehkan 17, 683 pengundi mendaftar membuat pilihan.

Pusat undian yang dibuka termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Besut, SK Alor Peroi, SK Kampung Nangka, SK Pulau Perhentian, SK Kampung Nail, SK Kampung Baharu dan SK Bukit Puteri.

Kesemua pusat undian akan dibuka sehingga jam 5 petang kecuali SK Pulau Perhentian yang akan ditutup pada jam 3 petang hari ini.

Undi awal pula diadakan pada 20 Julai lalu di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak.

Menurut laporan Malaysiakini, calon PAS, Azlan atau lebih dikenali sebagai Che Long hadir membuang undi di SK Kampung Baharu seawal jam 8 pagi tadi dengan ditemani isterinya.

Sementara itu, lawannya daripada BN, Tengku Zaihan pula mengundi di SMK Kuala Besut pada jam 8.15 pagi, juga ditemani isteri beliau.

Jika PAS menang, maka BN dan PR masing-masing akan mempunyai bilangan kerusi yang sama banyak dalam DUN, namun jika sebaliknya, status quo akan kekal.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata jumlah keluar mengundi setakat jam 10 pagi cukup tinggi.

Setakat jam 11 pagi, seramai 7,356 orang (44.49 peratus) sudah keluar mengundi dan jika dicampur undi awal, jumlah keseluruhannya adalah 8,268 (46.76 peratus).

Pada 5 Mei lalu, peratusan keluar mengundi bagi DUN Kuala Besut ialah 86.7 peratus.

Keputusan rasmi PRK Kuala Besut hari ini hanya akan diumumkan selepas pukul 10 malam nanti bagi memberi peluang kepada pemimpin serta penyokong parti-parti bertanding menunaikan solat Tarawih.

PRK kali ini diadakan berikutan kematian Adun Kuala Besut, Dr A. Rahman Mokhtar (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

Pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) Mei lepas, BN mendahuli dengan 17 kerusi sementara PR memenangi 15 kerusi; PAS (14) dan PKR (1).

Categories
NASIONAL

Husam : Pas Yakin Boleh Menang Di Kuala Besut

Husam ceramah no kopiah 01

KUALA LUMPUR 9 JULAI : Pas yakin akan mencapai kemenangan dalam Pilihanraya Kecil Kuala Besut yang akan diadakan pada 24 Julai ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata walaupun Umno-BN memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kuala Besut dengan majoriti yang selesa dalam pilihanraya umum ke-13, Pas masih ada peluang untuk menakluk kerusi itu.

“Kita masih ada peluang untuk menang. Kita sudah ada calon, lepas tengok calon BN. Baru kita boleh tahu berapa peratus kita akan menang,” katanya dalam sidang media, di sini.

Husam turut menyifatkan kenyataan Ketua Umno Besut, Datuk Seri Idris Jusoh  yang menyatakan Umno akan mempertahankan kemenangan itu dengan majoriti yang lebih besar sebagai kenyataan yang ‘angkuh’.

“Walaupun majoriti BN menang itu besar dan sah, namun PRK ini adalah tugas yang berat.

“Saya yakin rakyat boleh menilainya secara keseluruhannya. Jika Pas menang, agenda rakyat dapat dirangka dengan komprehensif,” katanya.

Beliau yang juga Pengarah Pilihanraya berkata calon yang akan bertanding pada pilihanraya itu akan diumumkan malam ini oleh Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang.

Dalam PRU-13, Dr A. Rahman Mokhtar daripada Umno-BN memenangi kerusi Kuala Besut dengan majoriti 2,434 undi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jerebu : Badan Syarikat Kelapa Sawit Antarabangsa Siasat Tiga Anggota Daripada Malaysia – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 26062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Sebuah badan antarabangsa yang mewakili syarikat kelapa sawit sedang menyiasat samada lima anggotanya, tiga dari Malaysia dan dua dari Indonesia, terlibat di dalam aktiviti pembakaran hutan di Indonesia.

2. Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) bagi pihak kerajaan Indonesia kini, dilaporkan melaksanakan operasi secara besar-besaran bagi memadamkan kebakaran hutan di kepulauan Sumatera yang mencetuskan jerebu di dua negara jirannya, Malaysia dan Singapura.

3. Perasmian Sidang Dewan Negeri Selangor Jumaat ini akan diadakan di dalam bangunan sekiranya tahap jerebu di Shah Alam berada di tahap membimbangkan.

4. Penjawat awam di negeri ini diseru supaya mempraktikkan kecekapan dan ketepatan dalam perkhidmatan dalam usaha meningkatkan lagi produktiviti jabatan perkhidmatan awam.

5. Seorang anggota Exco kerajaan negeri Terengganu Dr A Rahman Mokhtar meninggal dunia akibat paru-paru berair hari ini.

6. Adun Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan yang terlibat dalam insiden jeti runtuh semalam memaklumkan dirinya tidak mengalami kecederaan serius.