Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Empat penguat kuasa Maqis, pemilik syarikat logistik didakwa

JOHOR BAHRU, 23 MEI: Empat penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pemilik syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan rasuah dan mengemukakan butiran palsu berhubung kes kartel daging.

Petugas Maqis Mohd Hafizan Khalid, 44 dan Nor Azlan Mat Suki, 40, serta pemilik syarikat Abdul Latif A Rahman, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dua lagi kakitangan Maqis – Mohammad Sofyan Mohd Zin, 27, dan Khairul Izat Sulaiman mengaku bersalah, masing-masing atas satu pertuduhan.

Mohd Hafizan didakwa menerima suapan wang tunai RM2,500 daripada seorang individu sebagai upah untuk melepaskan kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd dari negara yang tidak diiktiraf Jabatan Veterinar, di sebuah restoran di sini pada Disember 2016.

Nor Azlan menghadapi lima pertuduhan menerima suapan bernilai RM37,000 berhubung perkara sama juga di sebuah restoran di sini, antara Februari hingga April 2017.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Abdul Latif pula didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 bertujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2), yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Abdul Latif juga menghadapi dua pertuduhan pilihan iaitu mengemukakan dokumen palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi Mohammad Sofyan dan Khairul Izat, mereka masing-masing dituduh menerima wang suapan sebanyak RM30 dan RM100 pada 5 Okt 2020 dan 10 Nov 2020 bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan, yang mana mereka gagal melaporkan pemberian penyogokan kepada SPRM.

Pertuduhan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Mohd Hafizan yang diwakili peguam Mohd Razak Sharif manakala Nor Azlan yang diwakili peguam Peter Tan, masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 seorang dengan seorang penjamin.

Abdul Latif yang diwakili peguam S.Vijaya dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, mahkamah mengarahkan Mohammad Sofyan melantik peguam serta membenarkannya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes Mohd Hafizan, Nor Azlan, Abdul Latif dan Mohammad Sofyan akan disebut semula pada 29 Jun depan manakala untuk kes Khairul Izat yang diwakili peguam, mahkamah akan menjatuhkan hukuman pada petang ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Syarikat, pengarah dan pengurus dituduh lagi

JOHOR BAHRU, 22 APRIL: Sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku serta pengarah dan pengurusnya yang sebelum ini dituduh menggunakan perihal dagangan palsu dalam kes sindiket kartel daging sejuk beku import, hari ini sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.

Hari ini mereka didakwa atas empat pertuduhan bersabit kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang import bernilai RM643,465.39 pada Disember 2020.

Bagaimanapun, tertuduh Yong Chee Keong, 40, yang merupakan Pengarah LY Frozen Food Sdn Bhd mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara serentak bersama-sama pertuduhan ke atas syarikat, di hadapan Hakim Wan Mohd Nor Hisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, Yong yang mewakili syarikat dan dirinya didakwa dengan empat pertuduhan memiliki barang-barang larangan berjumlah RM643,465.39 bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak, 42.

Sementara itu, pengurus syarikat tersebut Chong Kim Kuang, 48, juga mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat LY Frozen Food, Yong dan Tan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di kamar berasingan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah premis beralamat No. 663, Jalan 3/4, Kawasan Perindustrian Desa Idaman, Senai di Kulai pada 15 Dis 2020.

Mereka didakwa menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1966 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM100,000 ke atas Yong dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan, sementara Chong pula dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang sama.

Mahkamah turut menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad manakala syarikat, Yong dan Chong diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ridzuan Othman dan Saifuz Zaman Abd Rahman.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Polis bongkar komplot 19 syarikat pengedar

JOHOR BAHRU, 11 APRIL: Sebanyak 19 buah syarikat pengedar sejuk beku dikenal pasti ‘berkomplot’ dan terlibat dalam kegiatan kartel daging import, dalam satu operasi yang dilaksanakan di enam negeri secara serentak dua hari lepas (9 April).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, syarikat yang terlibat membabitkan tujuh di Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat), Selangor (empat), Perak (satu), Pulau Pinang (dua) dan Kedah (satu).

Beliau berkata, 19 syarikat itu didapati ‘berkomplot’ dengan sebuah syarikat, yang merupakan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil.

“Mengikut permit pengimport, syarikat ini hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan. Hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan, bagi tahun 2020.

“Walau bagaimanapun, syarikat itu (syarikat pengimport) didapati telah mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggan, yang dibuktikan melalui invois yang dirampas. Siasatan juga mendapati keuntungan tahunan 19 syarikat ini adalah antara RM1 juta hingga RM52 juta,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Dalam Op Kartel Daging yang dijalankan, Jabatan Siasatan Jenayah turut menahan 36 individu terdiri daripada 26 lelaki dan 10 perempuan, berusia antara 28 hingga 67 tahun. Daripada jumlah itu, 34 daripadanya adalah pengarah syarikat dan dua lagi adalah pengurus syarikat.

Selain mengimport dari syarikat di negara Brazil, syarikat pengimport itu juga menerima bekalan daripada syarikat tempatan, dan bekalan yang diterima akan dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Katanya, syarikat terbabit juga didapati telah menempah kotak berlogo halal, untuk membungkus semula daging yang diimport dari negara Brazil, dan yang diterima dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kita dapati syarikat ini banyak menerima tempahan, kerana menawarkan harga yang lebih murah berbanding syarikat pembekal daging halal lain, serta kemudahan pembayaran kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain, yang hanya menerima pembayaran secara ‘Cash on Delivery’ menjadi faktor utama kepada tempahan tinggi diterima syarikat berkenaan.

Katanya, siasatan pihak polis mendapati kegiatan itu telah menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran.

Huzir berkata kegiatan itu bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia, di mana daging yang dibungkus semula itu juga tidak dapat disahkan tahap kebersihan dan tidak diperakui oleh pihak veterinar.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan berkaitan isu kartel daging itu dan dijangka akan lebih ramai yang akan ditahan selepas ini.

Dalam masa sama beliau berkata, polis masih meneruskan usaha memburu dua lelaki yang dipercayai dalang utama kes berkenaan iaitu, Tan Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, dekat sini dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang.

Pada 1 Dis tahun lepas, satu serbuan yang dilakukan beberapa pihak berkuasa ke atas gudang sejuk beku di Senai, dekat sini, telah membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging dari luar sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Syarikat, dua individu didakwa guna logo halal palsu

JOHOR BAHRU, 9 FEB: Sebuah syarikat makanan sejuk beku dan dua individu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 21 pertuduhan memiliki, menawarkan dan menggunakan logo halal palsu berkaitan kartel daging, Disember tahun lepas.

Tertuduh, syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, pengurus syarikat itu Chong Kim Kuang, 48, dan pengarahnya Yong Chee Keong, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan, yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, dua tertuduh bersama syarikat serta seorang lagi pengarah yang masih bebas, Tan Siew Huak, 42, didakwa menggunakan suatu perihal dagangan palsu iaitu berkaitan logo halal Islamic Co-ordinating Council of Victoria dan Perth Mosque Incorporated dari Australia ke atas sejumlah 3,418 unit kotak makanan sejuk beku.

Kesemua mereka juga didakwa menawarkan barangan berkenaan atas label GBP Australia Pty Ltd dan Ararat Meat Exports Pty Ltd yang menggunakan logo halal Australia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan oleh orang Islam dengan cara yang bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Selain itu, mereka turut didakwa atas kesalahan memiliki barangan berkenaan yang menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan GBP Australia Pty Ltd dan Ararat Meat Exports Pty Ltd.

Semua kesalahan terbabit dilakukan di sebuah premis beralamat No. 663 Jalan Idaman ¾ Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, dalam daerah Kulai kira-kira 3.30 petang pada 1 Dis 2020.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Jika sabit kesalahan, kesemuanya boleh didenda tidak lebih daripada RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Onn Abd Aziz, Kwan Li Sa, Syazwani Zawawi, T Ashivinii dan Kee Shu Min manakala tertuduh diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Yusman Che Aman dan Saiful Zaman Abd Rahman.

Mahkamah menetapkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM250,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap dua minggu sekali di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Mahkamah juga menetapkan 28 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Ini merupakan pendakwaan pertama melibatkan kes kartel daging selepas ia dibongkar pada 1 Dis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Ejen penghantaran terlibat rasuah direman lima hari

JOHOR BAHRU, 12 JAN: Seorang ejen penghantaran daging sejuk beku dikenakan perintah reman selama lima hari oleh Mahkamah Majistret hari ini, dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah berhubung isu skandal kartel daging.

Perintah reman sehingga 16 Jan itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Fathiah Mohd Fedzir yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Lelaki berusia 55 tahun yang direman itu diwakili peguambela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Lelaki berkenaan ditahan di pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Tertuduh yang berpakaian baju lokap SPRM berwarna oren, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi tadi dengan diiringi pegawai SPRM dengan menaiki kenderaan agensi itu.

Semalam, Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan lelaki itu pada pukul 8 malam tadi, namun enggan mengulas lanjut berikutan kes masih dalam siasatan.

Pada 4 Jan lepas, empat individu termasuk dua pengarah syarikat-syarikat pengimport daging sejuk beku turut dikenakan reman, kerana dipercayai terlibat dalam kes rasuah dalam aktiviti penyeludupan bahan mentah itu.

Tiga hari kemudian, dua pegawai Maqis ditahan SPRM Johor, kerana disyaki terbabit dengan kegiatan rasuah berhubung isu aktiviti penyeludupan bahan mentah sejuk beku dari negara yang dilarang untuk dibawa masuk ke Malaysia.

Pada 1 Dis tahun lepas, pihak berkuasa menyerbu sebuah kilang di Senai, sekali gus mendedahkan kegiatan kartel daging sejuk beku import yang membawa masuk daging tanpa sijil halal, sebelum meletakkan logo halal palsu untuk membolehkannya dijual di pasaran tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu kartel daging: SPRM tidak tolak penglibatan syarikat ternama

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan syarikat ternama dalam isu berhubung kegiatan kartel penyeludupan daging sejuk beku ke Malaysia.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata siasatan menyeluruh SPRM akan dilakukan untuk membuktikan pembabitan pihak tertentu dalam kes kartel daging itu.

“Sekiranya ia sudah melibatkan kartel seperti yang didakwa, kami percaya mesti ada ‘taikun’ atau syarikat ternama yang terlibat dalam perkara ini. SPRM akan siasat dan tiada sesiapa akan terlepas.

“Bagaimanapun, nama syarikat atau taikun yang dipercayai terlibat ini tidak dapat didedahkan kerana ia masih dalam peringkat siasatan,” katanya dalam satu program bual bicara terbitan sebuah televisyen swasta (NTV7) semalam.

Beliau berkata adalah tidak adil jika nama syarikat didedah kerana kes masih dalam siasatan manakala dakwaan penglibatan dalam kartel atau berlakunya pengimportan daging secara haram itu juga hanya berdasarkan laporan dibuat oleh pihak media.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman percaya sindiket dalam, luar negara dalang kartel daging

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Polis percaya kegiatan kartel daging import yang menggunakan label halal palsu melibatkan rangkaian luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata ia berdasarkan jumlah dan nilai rampasan serta sitaan yang terlibat sebelum ini.

“Siasatan berhubung kegiatan itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada orang awam.

“Selain itu, siasatan merangkumi pihak terlibat dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging beku melalui Permit Import (AP),” katanya dalam kenyataan.

Datuk Huzir Mohamed ketika sidang media harian Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman pada 30 Oktober 2019. Foto BERNAMA

Huzir berkata setakat ini polis menerima 13 laporan daripada orang awam di seluruh negara yang gusar dengan kemunculan isu berkenaan.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media baru-baru ini melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

“PDRM memandang serius dan komited untuk menanganinya dengan jaringan kerjasama agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin serta Pemeriksaan Malaysia dan Jabatan Kastam,” kata Huzir.

Beliau berkata tindakan ke atas sindiket ini adalah wajar kerana ia mencetuskan kegusaran rakyat Malaysia serta menyentuh sensitiviti agama Islam.

“Sindiket ini juga mencetuskan ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal dan memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Suruhanjaya diraja langkah terbaik siasat isu kartel daging

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik bagi menyiasat isu tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan hari ini berkata usaha dan hasrat yang murni ini telah dipersetujui dengan pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.

Terdahulu di Dewan Negara hari ini, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid mengumumkan kerajaan bersetuju dan menyokong penuh cadangan untuk menubuhkan RCI bagi menyiasat isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal.

Jelas Rosol, kerajaan memandang serius isu kartel daging haram yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menyambut baik hasrat KPDNHEP untuk menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal bagi menyelaraskan tindakan dan isu berkaitan halal, yang akan turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Zulkifli berkata beliau dan Jakim mengambil prihatin dan meletakkan kecaknaan yang penuh terhadap isu pemalsuan logo halal dalam kes kartel daging haram baru-baru ini termasuk mengadakan beberapa lawatan ke syarikat pemain industri yang terlibat dalam pengimportan dan penyembelihan daging.

“Usaha ini dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan kualiti pensijilan halal produk-produk daging yang dihasilkan di dalam negara adalah di tahap yang terbaik.

“Bagi produk daging import, Jakim akan terus menggiatkan usaha dan penambahbaikan bagi memastikan Badan Pensijilan Halal Luar negara mematuhi semua standard yang telah ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kartel daging import, dedahkan dalang libat kenamaan

SHAH ALAM, 29 DIS: Kerajaan diminta tidak melindungi golongan kenamaan yang terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran daging import haram.

EXCO pembangunan usahawan berkata siasatan telus perlu dibuat dan dikongsi kepada rakyat kerana isu berkenaan menimbulkan kegelisahan mutakhir ini.

Rodziah Ismail menegaskan dalang kartel daging perlu diheret ke muka pengadilan berikutan ia melibatkan industri halal dan sensitiviti umat Islam.

Rodziah Ismail bercakap pada sidang media berkaitan perumahan di Hotel De Palma Seksyen 19, Shah Alam pada 22 Disember 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Isu ini juga bukti kegiatan rasuah dan salah guna kuasa pengurusan kerajaan melibatkan penjawat awam yang serius dan memerlukan tindakan agresif serta proaktif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, wakil rakyat Batu Tiga turut mencadangkan harga daging import diturunkan bagi membantu usahawan tempatan dan menghapuskan korupsi.

Pada 21 Disember, media melaporkan kegiatan kartel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kartel tersebut dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa masuk antaranya daging kangaru dan kuda.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlarutan lebih 40 tahun lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Kartel daging tindakan paling hina, tidak boleh dimaafkan

SHAH ALAM, 29 DIS: Isu kartel penyeludupan dan pengedaran daging import haram yang berlaku di negara ini disifatkan tindakan paling hina dan keji.

Presiden Parti Keadilan Rakyat menegaskan dalang di sebalik kes tersebut tidak wajar dimaafkan kerana melibatkan soal halal dan menceroboh darah daging umat Islam.

“Ini bukan hanya tanggungjawab Kementerian Pertanian malah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia juga perlu bertanggungjawab kerana mereka keluarkan cop halal,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui di sini.

“Saya rasa tidak wajar umat Islam maafkan perkara ini. Harus ada tekad politik untuk segera memberi jawapan dan hukum pihak yang memperalatkan agama di samping meracuni rakyat.”

Pada 21 Disember, media melaporkan kegiatan kartel menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Kartel tersebut dikatakan bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk membawa masuk antaranya daging kangaru dan kuda.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu dipercayai berlarutan lebih 40 tahun lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Polis jamin bantu siasat dalang kartel daging import

LANGKAWI, 29 DIS: Polis beri jaminan untuk turut membantu siasatan kes kartel daging import, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah agensi paling relevan dalam isu itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya juga sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung isu itu berdasarkan laporan daripada beberapa individu dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

“Isu ini berkaitan perihal dagangan, jadi paling relevan untuk menyiasatnya adalah KPDNHEP, tapi dalam pada itu polis tetap jalankan siasatan daripada laporan yang mendakwa wujud kartel yang melakukan penyelewengan, dalam isu daging import.

“Saya melihat daripada sudut jika terbukti kegiatan ini benar (berlaku), dan timbulkan kegusaran kepada orang ramai, saya (polis) akan ambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun setakat ini masih belum ada sebarang penahanan dibuat oleh pihaknya, berhubung kes itu.

Isu kartel daging import seludup yang diragui status halal, kini menjadi hangat setelah media berjaya membongkar kes itu baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai.

– BERNAMA