Categories
NASIONAL

Malaysia-negara EU bincang isu minyak sawit

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengulangi komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit secara mampan semasa mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari negara Kesatuan Eropah (EU) dan anggota Parlimen blok ekonomi itu, baru-baru ini.

Mesyuarat berasingan dengan menteri luar Hungary, Itali, Luxembourg, Romania, Sepanyol dan EU; serta Jawatankuasa Luar Negeri dan dua naib presiden Parlimen Eropah itu diadakan semasa lawatan kerja beliau ke Brussels, Belgium pada 21 hingga 23 Januari lalu, bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN-EU ke-22.

“Agenda utama Malaysia ialah isu minyak kelapa sawit. Menteri Luar menggariskan komitmen negara terhadap pengeluaran minyak kelapa sawit secara mampan dalam usaha meraih pengiktirafan antarabangsa bagi skim pensijilan Minyak Kelapa Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Beliau seterusnya menyeru EU dan negara anggotanya menjadi pemudah cara bagi usaha Malaysia membangunkankan industri minyak kelapa sawit, termasuk dengan menyebarkan maklumat tepat berkenaan minyak kelapa sawit selain menekankan sistem perdagangan bebas perlu bersifat adil,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Saifuddin sekali lagi menekankan bahawa industri minyak kelapa sawit negara kini tertumpu kepada usaha mempertingkatkan produktiviti dan hasil, bukannya memperluas pembukaan ladang baharu seperti diuar-uarkan sesetengah pihak di Eropah.

Beliau turut menerangkan bahawa MSPO adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang mempertimbangkan aspek alam sekitar, sosial dan ekonomi secara komprehensif, menurut kenyataan tersebut.

“Menteri Luar seterusnya menjelaskan kerjasama berterusan antara Malaysia dan badan pensijilan antarabangsa seperti Pensijilan​ ​​​​​​Kemampanan dan Karbon Antarabangsa menunjukkan MSPO dilaksanakan secara integratif dan bukan satu usaha persendirian” katanya.

Wisma Putra berkata, Saifuddin turut mengalu-alukan tindakan Itali menandatangani Perjanjian Pengisytiharan Amsterdam pada 2017 sebagai tanda sokongan kepada minyak kelapa sawit mampan di Eropah.

Bagi isu lain, Saifuddin menyatakan sokongan negara terhadap demokrasi penyertaan berasaskan kedaulatan undang-undang, selain menyuarakan agenda utama Malaysia termasuk melaksanakan pembaharuan serta mempromosikan perlindungan hak asasi manusia.

Beliau turut berkongsi berkenaan program bantuan kemanusiaan yang disampaikan Malaysia kepada pelarian Rohingya, termasuk mengendalikan hospital lapangan di Cox’s Bazar dan memberi peluang pendidikan kepada kanak-kanak Rohingya di negara ini.

“Isu Laut China Selatan juga telah dibangkitkan. Dalam hal ini, Menteri Luar mengulangi pendirian Malaysia bahawa Laut China Selatan harus bebas daripada sebarang aktiviti ketenteraan,” katanya.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Israel tiada hak bercakap nilai moral

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 19 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Negeri Israel sebagai tidak boleh diterima dan meloyakan.

Beliau berkata, kenyataan dibuat itu jelas satu tuduhan bahawa Malaysia tidak mempunyai semangat Olimpik dan melabel Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad anti-Yahudi.

“Israel tiada hak untuk bercakap tentang nilai moral apabila mereka sendiri adalah sebaliknya,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin berkata, Israel tidak pernah mengendahkan hak tidak terpisah rakyat Palestin.

Malah, katanya, negara itu melaksanakan dasar dan amalan tidak berperikemanusiaan yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa biarpun lebih separuh abad.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia akan terus menjadi penyokong tegar perjuangan rakyat Palestin yang disokong oleh komitmen jangka panjangnya ke arah mengembalikan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

Baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan Malaysia kekal dengan pendirian tidak membenarkan atlet Israel bertanding pada Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching bermula 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Oleh kerana itu, jurucakap Kementerian Luar Israel, Emmanuel Nahshon mengecam larangan penyertaan atlet Israel dalam acara sukan antarabangsa dianjurkan Malaysia dan menyifatkan keputusan itu diinspirasikan oleh sikap anti-Yahudi melampau Dr Mahathir.

Categories
NASIONAL

Saifuddin ketuai delegasi Malaysia ke Thailand

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mengetuai delegasi Malaysia ke Thailand bagi menghadiri Sesi Permukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Chiang Mai, Thailand, hari ini.

Saifuddin turut dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Bangkok, pada Sabtu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, Thailand merupakan Pengerusi ASEAN pada tahun ini dengan tema ‘Advancing Partnership for Sustainability’ dan sesi permukiman tersebut merupakan mesyuarat berjadual pertama negara-negara anggota ASEAN.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Luar Negeri Thailand itu turut melibatkan penyertaan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN dan Pegawai-Pegawai Kanan dari kesemua negara anggota ASEAN.

“Sesi permukiman yang akan didahului oleh Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN itu akan membincangkan inisiatif-inisiatif untuk menggerakkan lagi agenda pembinaan Komuniti ASEAN dan susulan pelaksanaan keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-33 di Singapura tahun lepas.

“Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa serta langkah-langkah bagi mengukuhkan hubungan ASEAN dengan rakan-rakan dialognya,” kata kenyataan itu.

Semasa di Bangkok, Saifuddin akan mengadakan perjumpaan dengan Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai bagi membincangkan isu-isu kerjasama dua hala terutamanya mengenai projek infrastruktur di sempadan Malaysia-Thailand.

Selain itu, proses rundingan damai di Selatan Thailand serta isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama, khususnya mengenai usaha-usaha yang telah dan sedang dilakukan kedua-dua negara dalam agenda mampan, akan turut dibincangkan.

“Malaysia dan Thailand mempunyai hubungan kerjasama yang kukuh dalam pelbagai sektor termasuklah perdagangan dan pelaburan, keselamatan dan pertahanan dan juga pelancongan.

“Thailand merupakan rakan dagang Malaysia yang kelima terbesar dan jumlah dagangan antara kedua-dua negara pada 2017 adalah sebanyak RM98.69 bilion, dengan jumlah perdagangan di sempadan sahaja melebihi 60 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan,” kata kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada keperluan bawa pulang rakyat Malaysia di Sudan

KUANTAN, 5 JAN: Belum ada keperluan untuk mengeluarkan arahan membawa pulang rakyat Malaysia di Khartoum, Sudan kerana keadaan di negara itu masih terkawal pada masa ini, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau seterusnya berharap pergolakan di negara itu akan berakhir dan keadaan kembali tenang dalam masa terdekat.

Katanya, dianggarkan kira-kira 150 rakyat Malaysia termasuk 109 penuntut, berada di negara berkenaan dan mereka dinasihatkan untuk mengelak daripada mengunjungi kawasan berhampiran lokasi bergolak tersebut.

“Kita minta supaya ibu bapa tidak bimbang dan jangan panik dengan keadaan di sana kerana laporan mutakhir daripada wakil kita di sana menyatakan keadaan masih terkawal. Memang ada penuntut di sana yang sudah kembali ke Malaysia.

“Tetapi ia secara kebetulan sekarang musim universiti bercuti dan mereka yang pulang sudah membuat perancangan awal untuk pulang (ke Malaysia)…bukan disebabkan keadaan bergolak,” katanya.

Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Dialisis kendalian Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Cenderawasih di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pertikaian ruang udara dengan Singapura ekoran pendaratan pesawat di Lapangan Terbang Seletar, Saifuddin sekali lagi menegaskan isu yang akan diberi keutamaan pada pertemuan dengan rakan sejawatnya, Vivian Balakrishnan di negara berkenaan pada Selasa depan.

Beliau berkata, Malaysia akan mengemukakan cadangan supaya pesawat yang hendak mendarat di Lapangan Terbang Seletar melalui arah lain, dan bukannya menggunakan ruang udara Pasir Gudang, Johor bagi menyelesaikan keadaan itu.

“Selain isu pendaratan di Seletar, antara isu lain akan dibincangkan ialah perjanjian berkaitan pengurusan ruang udara yang dimeterai dengan Singapura pada 1974, garis pelabuhan Johor dan perjanjian air yang terletak di bawah kuasa Peguam Negara.

“Peguam Negara kedua-dua negara ada bertemu pada akhir tahun lalu dan pada pertemuan Selasa ini, saya berharap sekurang-kurangnya mendapat tempoh masa untuk perkara ini,” katanya.

Saifuddin menambah isu berkaitan sempadan adalah ‘urusan berpanjangan’ yang biasa berlaku antara dua negara bersempadan dan berharap penyelesaian dalam situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai oleh kedua negara.

SUMBER: BERNAMA

Tun Mahathir, Khairuddin Keluar UMNO dialu-alukan


Tun Mahathir, Khairudin umum keluar UMNO berkuatkuasa serta merta. Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan tindakan tersebut.

Saifuddin Abdullah : ‘Di sana tegang, di sini tenang’

Pidato Rakyat oleh Biro Politik PKR , Datuk Saifuddin Abdullah pada Kongres Nasional KEADILAN 2015

Categories
NASIONAL

‘Hijrah kecil’ Saifuddin ubah Malaysia

Oleh: AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 15 OKT: Datuk Saifuddin Abdullah menganggap penyertaan beliau ke dalam PKR sebagai ‘hijrah kecil’ untuk meneruskan niat dan harapan membawa perubahan kepada Malaysia.

Katanya, ruang membawa perubahan sudah tidak dibincangkan secara komprehensif di dalam Umno hingga memaksa beliau mengambil keputusan meninggalkan parti berkenaan.

PC HQ PKR Datuk Saifuddin Masuk PKR (6)“Saya menyertai politik dengan niat dan idealisma yang jelas dengan objektif lebih tinggi daripada kepentingan peribadi serta ingin membina sebuah negara Malaysia lebih baik untuk semua.

“Malangnya, saya tidak melihat ia dibincangkan secara komprehensif dalam Umno-BN. Saya fikir, harus bersama dengan gabungan minda yang berada di sebelah sini (Pakatan),” katanya yang pernah memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Saifuddin berkata, dasar PKR yang sederhana sebagai parti berbilang kaum selain idealisma jelas membawa perubahan kepada negara menjadi antara faktor beliau menyertai parti itu.

Menyentuh soal kedudukannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of the Moderates (GMM), belia akan menghantar surat perletakan jawatan sejurus Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail pulang dari luar negara.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Sah Saifuddin sertai PKR

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 15 OKT: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus mengisytiharkan keluar Umno berkuatkuasa hari ini

Datuk Saifuddin aPengumuman itu dibuat Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di ibu pejabat parti itu, di Petaling Jaya yang turut dihadiri Saifuddin dan Timbalan Presiden PKr, Mohamed Azmin Ali.

Terdahulu, beberapa pihak mendesak Saifuddin yang juga bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno keluar daripada parti itu selepas didakwa mengeluarkan kenyataan yang berbeza dengan dasar mereka, sekali gus memperlihatkan Umno tidak boleh dikritik secara terbuka.

Penyertaan Saifuiddin ke dalam PKR juga dilihat bakal memperkukuhkan lagi gabungan Pakatan Rakyat (Pakatan), selepas penyertaan bekas veteran Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Berita lanjut bakal menyusul

 

Categories
NASIONAL

Saifuddin ditekan, ‘pelempang Cina’ beruntung

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 4 OKT: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Tajuddin Abdul Rahman beruntung kerana tidak menerima tekanan dalaman walaupun mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan memburukan lagi imej serta sokongan rakyat kepada parti itu.

Umno bukan sahaja tidak menekan atau mengambil tindakan displin terhadap Tajuddin, bahkan beliau juga langsung tidak ditegur oleh mana-mana pemimpin tertinggi parti selepas mengeluarkan kenyataan mahu ‘melempang Cina’.

tian chua picNaib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, berkata nasib berbeza dialami bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang ditekan supaya keluar daripada Umno kerana mengkritik parti itu.

“Umno tidak lagi boleh bertolenrasi dengan hujah rasional dan kritikan. Mereka menanam budaya pak turut dan sesiapa yang keluarkan kenyataan agak rasional akan ditekan.

“Ini menunjukkan Umno sudah keluar daripada pemikiran rasional dalam masyarakat kita,” katanya kepada Selangor Kini, hari ini.

Beliau berkata, kenyataan Tajuddin yang jelas memberi impak negatif terhadap keharmonian masyarakat berbilang bangsa itu dan diburukkan lagi dengan tingkah laku pemimpin negara yang hanya mendiamkan diri dalam isu terbabit.

“Keadaan ini akan menyebabkan pemimpin lain dan masyarakat tidak takut mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk ancaman atau penghinaan kepada mana-mana kaum,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Saifuddin letak jawatan Felo UM, solidariti penyingkiran Prof Redzuan

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah meletakkan jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan Universiti Malaya (UM) berkuatkuasa hari ini.

Perletakan jawatan yang diumumkan Saifuddin melalui laman Facebook beliau adalah atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti terhadap tindakan pentadbiran universiti tertua negara itu yang menyingkirkan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (UMCEDEL), Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman.

Datuk-Saifuddin-Abdullah“Prof Datuk Dr Redzuan Othman adalah Pengarah-Pengasas UMCEDEL & Dekan FSSS UM. Oleh kerana arahan daripada pihak tertentu di KPM, baru-baru ini beliau diarah meletak jawatan sebagai Pengarah UMCEDEL.

“Tapi beliau tidak menghebohkan cerita ini. Hari ini, beliau tidak disambung sebagai Dekan walaupun dicalon oleh pensyarah FSSS. Cerita ini disiarkan Malaysian Insider hari ini.

“Saya tahu akan cerita ini sejak awal melalui beliau dan VC (Naib Canselor) UM. Prof Redzuan terima kedua-dua keputusan ini dengan berlapang dada. Atas prinsip kebebasan akademik dan solidariti dengan beliau, saya meletak jawatan sebagai Felo Penyelidik Kanan UM hari ini,” kata Saifuddin dalam laman Facebook beliau.

The Malaysian Insider melaporkan, Prof Mohamad Redzuan yang juga Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) UM turut tidak disambung bagi jawatan itu yang didakwa dilakukan universiti atas tekanan Kementerian Pelajaran ekoran rasa tidak puas hati Putrajaya terhadap beberapa tinjauan politik yang dijalankan UMCEDEL.

prof redzuanBerita berkenaan penyingkiran beliau diketahui apabila UM mengeluarkan senarai dekan baru universiti dan nama Prof Mohamad Redzuan tiada dalam senarai itu, pada 26 Jun lalu.

Sumber turut memberitahu The Malaysian Insider, tindakan menyingkirkan Prof Mohamad Redzuan dilakukan atas alasan beliau akan bersara tahun depan, selain tekanan Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Zaini Ujang iaitu rakan beliau ketika aktif di dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

-NFN-

Categories
NASIONAL

Raja Kamarul : PRU-13 Tsunami Nilai Bukan Politik Bangsa

Kamarul Bahrin

SHAH ALAM 16 MEI : Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah tsunami politik bangsa tetapi perubahan pengundi yang lebih memilih kepada perjuangan sistem nilai demokrasi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata masyarakat kini tanpa mengira bangsa bangkit dengan memperjuangkan nilai menentang rasuah dan ketidakadilan yang berlaku.

“PAS banyak menang di kawasan yang banyak institusi pendidikan dan bukan kepada sentimen bangsa, di Terengganu banyak isu berkenaan pengabaian hak orang Melayu.

“Kini masyarakat semakin sedar dengan soal kebergantungan kepada pihak kerajaan dan kerajaan (Umno-BN) amat suka orang Felda bergantung harap, kerajaan tidak ingin mereka berdikari dan merdeka daripada mencari nafkah atas usaha sendiri,” kata Raja Kamarul.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu, di sini.

Dalam pada itu Kamarul turut mempersoalkan sikap kerajaan pimpinan Umno-BN yang didakwa gagal dalam menangani isu professional Melayu apabila tidak menghargai peranan mereka dalam membangunkan negara.

Kata Raja Kamarul, beliau mengambil contoh mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican yang kini diambil bekerja oleh syarikat asing di Singapura.

“Orang-orang yang amanah tidak dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan dan tiada tempat , seorang Melayu lebih dipercayai oleh negara di Singapura dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Wacana ini turut mengetengahkan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Program ini dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang dihadiri kira-kira 500 orang.

Categories
NASIONAL

Masalah Melayu Pulau Pinang Warisan Umno-BN

wacana sinar 01

SHAH ALAM 15 MEI : Masalah Melayu Pulau Pinang yang ada kini adalah ‘warisan’ yang gagal ditangani dengan baik oleh pentadbiran BN sebelum ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP sentiasa berhadapan dengan tohmahan daripada BN kononnya meminggirkan masyarakat Melayu.

Hakikatnya ia adalah propaganda media kawalan Umno-BN yang memainkan sentimen itu dengan menuduh pemimpin Pakatan Rakyat(PR) tidak membela kebajikan orang Melayu.

Contohnya berkenaan perobohoan 20 gerai yang melanggar undang-undang sebenarnya hanya melibatkan empat gerai dimiliki Melayu tetapi yang dicanang di media seolah-olah keseluruhan gerai Melayu dirobohkan.

wacana sinar 02“Ada kes di mana gerai milik Cina tetapi dalam media menjadi gerai Melayu, Kerajaan Pakatan Rakyat lah yang terus mempertahankan Kampung Tradisi Melayu, dalam masa pemerintahan PR lima tahun tidak ada rumah Melayu yang dirobohkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel panel Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan sistem tender terbuka mewujudkan pelaksanaan projek yang telus dan bebas rasuah melalui sistem e-tender dan e-perolehan yang menguntungkan kontraktor Bumiputera.

“Apabila mempunyai sebuah kerajaan bersih maka akan wujiud sebuah pentadbiran yang bersih, selepas lima tahun sistem tender terbuka dilaksanakan hampir 80 peratus dimenangi oleh kontraktor Bumiputera.

“Pelaburan asing juga meningkat, kini sebanyak RM36 bilion pelaburan asing diperolehi dalam tempih lima tahun berbanding RM18 bilion oleh kerajaan terdahulu,” kata beliau.

Wacana kali ini turut mengetengahkan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Program ini dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang dihadiri kira-kira 500 orang dalam program wacana itu