Categories
NASIONAL

RM2.2 bilion setahun tampung kos rawatan hemodialisis

SEREMBAN, 12 APRIL: Kerajaan menampung kos rawatan hemodialisis berjumlah RM2.2 bilion setahun, bagi 50,000 pesakit buah pinggang yang menjalani rawatan di hospital kerajaan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan menanggung kos sebanyak RM44,000 setahun untuk seorang pesakit yang perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu.

“Oleh itu, penyakit buah pinggang dapat dicegah jika masyarakat mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat serta melakukan saringan kesihatan pengesanan awal penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama Menteri Kesihatan sempena Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di Taman Kelab Tuanku, Mambau, dekat sini, malam tadi.

Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan sudah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan (PeKa B40) untuk golongan pendapatan bulanan 40 peratus terendah (B40) berumur 50 tahun ke atas bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, skim itu menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

Justeru, beliau berharap ​​​​​​masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya skim PeKaB40 itu dalam usaha mencegah penyakit di peringkat awal. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Malaysia antara destinasi pilihan rawatan IVF

ALOR SETAR, 7 APRIL: Malaysia kini menjadi antara destinasi pilihan bagi pasangan dari negara luar untuk mendapatkan perkhidmatan rawatan persenyawaan in vitro (IVF), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, hal itu kerana kadar kejayaan kelahiran bayi IVF pada lebih 30 peratus di negara ini dianggap sebagai peratusan kejayaan yang sangat baik bagi bidang itu.

“Kalau kita ukur dengan prestasi di seantero dunia, kita berada dalam kalangan sangat membanggakan dan kejayaan (kelahiran melalui IVF) menunjukkan pencapaian yang tinggi.

“Dalam teknologi IVF ini banyak kekangan dan parameternya, jadi bagi 30 peratus, itu adalah sangat at par, diiktiraf setara (dengan perkembangan IVF di lain-lain negara),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 Unit Perubatan Reproduktif dan Tabung Uji di Hospital Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat 52 pusat Perkhidmatan Reproduktif dan Tabung Uji dalam sektor swasta dan empat di hospital-hospital kerajaan yang memberi perkhidmatan berasaskan zon iaitu Hospital Sultanah Bahiyah di Kedah, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas di Sabah dan Hospital Sultanah Nur Zahirah di Terengganu.

“Dijangkakan dalam masa terdekat ini, satu lagi pusat IVF bawah kementerian akan beroperasi di Hospital Raja Perempuan Bainun di Ipoh, Perak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata program subkepakaran Perubatan Reproduktif juga diperkasa untuk melatih lebih ramai pakar dalam bidang berkenaan bagi memenuhi keperluan semasa.

“Saya harap dapat penuhi keperluan tenaga, perjawatan dalam bidang IVF iaitu pegawai-pegawai sains, embryologist khususnya yang kita alami kekurangan buat masa ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana kontraktor yang terlibat dalam pembangunan fasiliti kesihatan yang gagal menjalankan kerja-kerja mereka mengikut jadual.

Beliau berkata, pihaknya sedaya upaya akan memastikan pembinaan fasiliti kesihatan seperti Hospital Pendang yang bakal memuatkan 126 katil, dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

Katanya pembinaan hospital yang menelan belanja RM222 juta itu bermula pada 7 Mei tahun lepas dan dijangka siap pada 1 Nov 2021.

Sementara itu, katanya pembinaan bangunan tambahan di Hospital Baling yang melibatkan kos sebanyak RM108 juta dimulakan pada 4 Mei tahun lalu dan dijangka siap pada 29 April 2021. –BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

‘X-Break’ 15 minit di setiap kementerian

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Kabinet bersetuju supaya setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman selama 15 minit sehari bagi membudayakan gaya hidup sihat, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata program ‘X-Break’ itu memerlukan setiap kementerian mengadakan aktiviti senaman sama ada pada sebelah pagi atau petang untuk kakitangan mereka.

“Cadangan itu sudah dipersetujui oleh semua jemaah Menteri baru-baru ini, kami cadangkan 15 minit setiap hari sama ada pagi atau petang (untuk bersenam) tetapi ia fleksibel mengikut kesesuaian setiap kementerian.

“Sekarang ini memang ada kementerian yang sudah lakukan, tetapi kami akan keluarkan satu garis panduan buat semua yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen hidup aktif ‘Big WALK’ di sini, hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) esok untuk merangka satu Pekeliling bagi diedarkan kepada setiap kementerian.

Tahun lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mencadangkan agar kakitangan pejabat kerajaan mahupun swasta memperuntukkan masa selama 15 minit melakukan aktiviti senaman.

Perdana Menteri berkata kakitangan boleh berbuat demikian dengan berehat seketika sekitar pukul 11 pagi di luar pejabat berhawa dingin.

Terdahulu kira-kira 3,000 perserta bersenam dan berjalan sejauh tiga kilometer pada program Big WALK di ibu kota hari ini dalam usaha menggalakkan gaya hidup sihat. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Hospital Rembau dibuka Jun ini – Dr Dzulkefly

PUTRAJAYA, 2 APR: Hospital Rembau di Negeri Sembilan dengan kos RM104 juta akan dibuka bagi memberi perkhidmatan kesihatan mulai Jun depan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, hospital dengan kapasiti 76 katil, yang mula dibina pada September 2013 itu adalah kluster kepada Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan pakar-pakar perubatan dari hospital berkenaan ditugaskan secara berkala di Hospital Rembau untuk rawatan tertentu.

“Pembukaan hospital ini akan memberikan nilai tambah kepada penduduk setempat dalam mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya, sambil menambah Hospital Rembau itu kini sudah mencapai tahap 90 peratus siap.

Pengoperasian Hospital Rembau yang sepatutnya dibuka pada September 2016 menjadi antara isu hangat yang dibangkitkan calon pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undang Negeri (DUN) Rantau yang sedang berlangsung.

Dzulkefly berkata, cadangan projek klinik kesihatan gantian jenis kelas tiga di Rantau dan Bandar Baru Sendayan, Negeri Sembilan telah diterima dan ia melibatkan kos pembinaan sebanyak RM35 juta setiap satu.

Klinik kesihatan gantian itu bakal dilengkapi kemudahan kuarters dan mampu memberi perkhidmatan sokongan dan klinikal kepada kira-kira 800 pesakit sehari, katanya.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata kementerian itu sedang melakukan perincian terhadap beberapa mekanisme sebelum mengumumkan satu mekanisme khusus bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran.

Antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah berkaitan rantaian bekalan serta peranan yang boleh dilakukan pemain industri farmaseutikal selepas mekanisme tersebut diumumkan sebelum akhir tahun ini, katanya.

“Kementerian tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan untuk memastikan hanya mekanisme yang terbaik diangkat untuk dilaksanakan kelak,” katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan berkata kertas kerja bagi mekanisme pelaksanaan penyelarasan kawalan harga ubat-ubatan di seluruh Malaysia sedang dijalankan bagi mengawal kos.

Ia dibuat dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

NCD punca utama jangka hayat rakyat tidak dapat ditingkatkan

KUALA SELANGOR, 31 MAC: Penyakit tidak berjangkit (NCD) dikesan antara menjadi penyebab utama purata jangka hayat rakyat Malaysia tidak dapat ditingkatkan, hanya mencapai sekitar usia 75 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata ini kerana kesedaran masyarakat di Malaysia terhadap NCD serta komplikasinya dilihat masih rendah berbanding rakyat negara lain yang sentiasa berusaha memanjangkan jangka hayat mereka.

Mengambil contoh darah tinggi serta diabetis daripada kelompok penyakit NCD, Dr Dzulkefly memberitahu 50 peratus daripada pesakit yang dirawat di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak menyedari yang mereka menghidapi penyakit berkenaan dan perkara itu dilihat amat membimbangkan.

“Hari ini, (jangka hayat) rakyat kita sudah ‘tersekat’ untuk satu dekad berbanding negara lain iaitu pada purata umur 75 tahun yang mana individu lelaki biasanya mencapai usia sehingga 73 tahun manakala wanita 78 tahun.

“Sebab utama ini berlaku akibat NCD terutama penyakit darah tinggi yang membawa komplikasi serangan jantung; diabetis akan berakhir dengan kegagalan buah pinggang; penyakit berkaitan kolestrol dan pelbagai lagi. Punca kedua (yang memendekkan jangka hayat) baru kanser,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor di Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini hari ini.

Katanya, antara punca banyak rakyat masih kurang tertarik untuk menjalani ujian saringan kesihatan adalah disebabkan tahap kesedaran yang rendah, tidak peluang untuk berbuat demikian selain tidak mahu melakukannya.

Memberi contoh Singapura, Dr Dzulkefly berkata negara berkenaan amat serius dalam menangani penyakit NCD sehingga melancarkan ‘perang’ ke atas diabetis yang mana setiap rakyatnya diwajibkan menjalani ujian saringan kesihatan.

Walaupun Malaysia belum sampai ke tahap itu, beliau berkata KKM sentiasa memberi khidmat terbaik malah menasihati rakyat supaya sentiasa peka dengan kesihatan masing-masing seperti kempen KKM yang menganjurkan setiap ibu bapa harus bertanggungjawab terhadap kesihatan seluruh anggota keluarganya.

“KKM boleh anjurkan pelbagai program tetapi jika rakyat tetap tak mahu terlibat malah tak mahu juga mengikuti rawatan susulan di fasiliti kita, buat apa? Kita sudah buat yang terbaik (memberi khidmat kesihatan sewajarnya kepada seluruh rakyat).

KUALA SELANGOR, 31 Mac — Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berucap pada Majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat di Kampung Bukit Kuching Tengah Jeram hari ini.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

“Saya mahu mengingatkan (kepada semua rakyat), kita mungkin lihat penyakit diabetis sebagai biasa tapi komplikasinya seperti perlu melalui proses dialisis, strok mahupun amputasi anggota badan, ia pasti akan mengganggu kualiti hidup.

“Bayangkan, kos dialisis seorang pesakit buah pinggang di fasiliti KKM menelan belanja sehingga RM44,000. Komplikasi seperti ini menyebabkan kewangan keluarga terbeban. Kita tak mahu ini berlaku. Kita mahu produktiviti warganegara (berada pada paras) tinggi,” katanya.

Disebabkan itu kata Dr Dzulkefly, program Skim Peduli Sihat (PeKa B40) selain program tambahan iaitu Kampungku Sihat, diharapkan dapat mencegah peningkatan jumlah pesakit NCD selain bertujuan mengumpul data kesihatan rakyat dengan cara menyantuni mereka melalui beberapa ujian saringan.

Katanya, data berkenaan amat penting untuk memastikan pihaknya mengesan penyakit berkaitan NCD dalam kalangan rakyat selain memberikan perkhidmatan kesihatan sewajarnya khususnya bagi golongan B40.

Ditanya sama ada program Kampungku Sihat akan diperluaskan ke seluruh negara, Dr Dzulkefly berkata ia mungkin boleh dilakukan mengikut keupayaan KKM dengan memberi tumpuan khusus kepada kampung-kampung yang dilihat tercicir daripada khidmat kesihatan asas.

Pada program Kampungku Sihat peringkat Parlimen Kuala Selangor, 550 pelatih daripada dua Institut Latihan KKM menjalankan beberapa ujian saringan kesihatan asas ke atas penduduk di tiga kampung bagi kawasan Jeram meliputi pemeriksaan tekanan darah, bacaan aras gula dalam darah dan pengiraan indeks jisim tubuh (BMI) sebagai simbolik kepada perasmiannya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gubal akta berasingan warta tempat awam kawasan larangan merokok

MELAKA, 31 MAC: Kementerian Kesihatan komited menggubal Akta Kawalan Tembakau secara berasingan yang mewartakan semua tempat awam sebagai Kawasan Larangan Merokok dengan senarai tempat terhad untuk perokok menghisap rokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bukan hasrat beliau atau kementerian untuk mengisytiharkan merokok sebagai menyalahi undang-undang tetapi ia bagi memastikan orang ramai terutama wanita dan kanak-kanak tidak terdedah kepada asap rokok.

Beliau berkata, dalam apa jua perubahan, pengubahsuaian norma-norma masyarakat yang semula jadi melibatkan merokok tentu tidak mudah, tetapi kementerian yakin bahawa ia boleh dan akan dilakukan dengan kejayaan muktamad.

“Mungkin suatu hari nanti kita akan mempunyai peruntukan undang-undang yang melarang merokok di sekitar kanak-kanak bawah umur tanpa mengira lokasi kesalahan itu dilakukan.

“Hati saya hancur-luluh setiap kali melihat orang dewasa merokok semasa mendukung anak mereka,” kata beliau ketika berucap pada Majlis “Recognition and Awards Ceremony for Revolution Smoke-Free Workplace Campaign” di sini malam tadi.

Turut hadir Exco Kesihatan dan Anti dadah negeri Melaka Low Chee Leong dan Presiden Malaysian Women’s Action on Tobacco Control and Health, Roslizawati Ali.

Pada Majlis itu, 14 hotel di Melaka menerima pensijilan sebagai tempat kerja bebas asap rokok yang disampaikan oleh Dr Dzulkefly.

Dr Dzulkefly berkata asap rokoh mengandungi beribu-ribu jenis bahan kimia beracun yang jika terhidu boleh menyebabkan kanser, penyakit jantung, penyakit paru-paru dan masalah kesihatan lain yang serius.

“Oleh itu, undang-undang dan dasar yang efektif perlu digubal dan dikuatkuasakan dengan ketat untuk memastikan penduduk dilindungi secukupnya daripada ancaman pencemaran daripada asap rokok,” kata beliau.

Beliau berkata sebagai penjaga kesihatan awam, kementerian bertekad untuk mengutamakan kepentingan yang terbaik kepada rakyat mengatasi mana-mana entiti komersial.

“Tetapi usaha itu boleh menjadi sangat mencabar, dan kami mungkin tidak dapat melakukan segala-galanya sendiri. Oleh itu, saya menyeru kepada semua sektor terutama masyarakat awam, agensi kerajaan dan sektor swasta untuk menyokong kami,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tender pra-kelayakan bina hospital Pasir Gudang kini dibuka

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) membuka tender pra-kelayakan bagi membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tender itu akan ditutup pada 4 April ini.

“Kami dalam proses tangani perkara ini. (Bagi) mereka yang mahu terbabit dalam tender ini, kita pada tahap pra-tender.

“Kita akan lakukan perkara ini dalam rangka kerja dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mana-mana pembangunan fasiliti di negara kita,” katanya dalam sidang media Penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan di sini, semalam.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah, wujud keperluan untuk membina sebuah hospital kerajaan di kawasan Pasir Gudang, susulan insiden pencemaran sisa kimia dan berharap kerajaan menyegerakan pembinaannya.

Pada masa sama, Dr Dzulkefly turut mengumumkan penubuhan Majlis Penasihat Kesihatan yang dianggotai tujuh anggota.

Katanya, penubuhannya bagi menyediakan landasan yang membolehkan pakar dan tokoh di luar KKM berkongsi idea, pandangan, mengenengahkan isu serta penyelesaian berkaitan sektor kesihatan tanpa menafikan kepakaran sedia ada kementerian itu.

Katanya, majlis itu akan bermesyuarat sekurang-kurangnya 12 kali setahun atau berdasarkan keperluan.

Berikut adalah senarai anggota Majlis Penasihat Kesihatan:

1. Bekas Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengerusi IMU Group, Tan Sri Abu Bakar Sulaiman sebagai pengerusi

2. Ketua Setiausaha Rendah Perkongsian, Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa, Tan Sri Jemilah Mahmood

3. Profesor Ekonomi dan Kajian Pembangunan Universiti Malaya (UM), Tan Sri Kamal Mat Salih

4. Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman

5. Pakar Perunding Pediatrik, Hospital KPJ Damansara, Datuk Dr Musa Mohd Nordin

6. Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Gleneagles, Datuk Dr Alex Mathews

7. Pengarah Teknikal Projek Sistem Kesihatan Malaysia, Harvard School of Public Health, Dr Yap Wei Aun

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM sedia timbang cadangan wajibkan dua daripada 12 vaksin

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menimbang cadangan Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) untuk mewajibkan sekurang-kurangnya dua daripada 12 vaksin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan mewajibkan suntikan berkaitan membabitkan vaksin MMR iaitu bagi campak, beguk dan rubella serta vaksin difteria yang akan dimuktamadkan dalam waktu terdekat.

“Cadangan yang kami peroleh ini saya ambil kira secara mendalam kerana dengan mewajibkan satu hingga dua vaksin ini sebenarnya kita akan dapat mencegah enam hingga tujuh jenis penyakit,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Malaysia 2019 di Hotel Istana, hari ini, lapor BERNAMA.

Katanya, ketika ini KKM telah menggerakkan pasukan petugas khas untuk mengkaji semua cadangan dalam usaha mewajibkan vaksin imunisasi kepada kanak-kanak di negara ini.

Dzulkefly berkata, penubuhan pasukan khas terbabit menunjukkan komitmen tinggi kementerian dalam memastikan kepentingan kesihatan anak-anak terjamin dan kes kematian membabitkan kanak-kanak yang tidak diberikan vaksin tidak berulang.

Ditanya berhubung kenyataan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai kepentingan imunisasi dan pendidikan kepada kanak-kanak adalah dua perkara berbeza, Dzulkefly berkata, Maszlee telah menjelaskan kepada beliau bahawa kenyataan itu telah disalah lapor.

Dalam pada itu, Dzulkefly menolak dakwaan sesetengah pengamal perubatan swasta tidak berpuas hati dengan kadar bayaran yang dikenakan membabitkan Skim Peduli Sihat (PeKa B40) yang dianggap terlalu rendah.

Beliau berkata, melalui jerayawara dan sesi dialog yang dijalankan kementerian, 95 peratus pengamal perubatan menyatakan mereka tidak mempunyai masalah dengan kadar bayaran terbabit.

“Kami tidak nampak ada masalah kerana komitmen pengamal perubatan sangat baik dan mereka sedar kami terpaksa meletakkan sedikit harapan kepada mereka memandangkan fasiliti dan kapasiti kami terlalu sesak,” katanya.

KKM sebelum ini melancarkan PeKa B40 dalam usaha mengurangkan penyakit tidak berjangkit membabitkan 800,000 orang daripada golongan B40 berusia lebih 50 tahun.

Menerusi skim itu, pesakit hanya perlu membayar RM40 untuk lawatan pertama ke klinik dan makmal swasta serta RM20 untuk lawatan susulan.

Categories
NASIONAL

Dr Dzulkefly: RM16 juta untuk rawatan penyakit jarang berlaku

PETALING JAYA, 3 MAC: Kerajaan memperuntukkan RM16 juta di bawah Belanjawan 2019 bagi rawatan pesakit yang menghidap penyakit jarang berlaku, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang melihat kepada diagnosis dan pilihan rawatan lebih baik bagi mereka dan menambah bahawa kira-kira 60 peratus penghidap penyakit itu sedang menerima rawatan manakala 40 peratus lagi masih menunggu rawatan yang sesuai.

“Ketidakpastian relatif mengenai penyakit jarang berlaku ini sering mengakibatkan kelewatan dan kesilapan dalam menentukan penyakit manakala kekurangan pakar klinikal, pilihan rawatan yang tidak banyak membawa kepada penderitaan dan tekanan kepada pesakit serta anggota keluarga mereka,” katanya ketika merasmikan acara larian amal di Sunway City di sini, lapor BERNAMA.

Larian amal sejauh 5 kilometer itu yang disertai lebih 3,300 peserta adalah anjuran Persatuan Penyakit Lisosom Malaysia (MLDA) bersempena Hari Penyakit Jarang Berlaku Sedunia yang disambut pada 28 Februari setiap tahun.

Dr Dzulkefly memuji kejayaan kerjasama Sunway Group dengan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Kumpulan Celebral Palsy dan MLDA yang mempertemukan orang ramai dengan pihak berkepentingan bagi memupuk kesedaran terhadap penyakit itu.

Sementara itu, Presiden MLDA Lee Yee Seng berkata, program itu yang pertama kali dianjurkan di Malaysia memberi fokus kepada soal merapatkan jurang antara perubatan, sosial dan khidmat sokongan bagi menangani cabaran dihadapi pesakit dan anggota keluarga.

“Selain berlari, peserta juga digalakkan menyertai aktiviti di stesen permainan yang merangsang mereka agar dapat merasai kepayahan dalam kehidupan seharian pesakit yang menghidap penyakit jarang berlaku itu.

“Empat stesen pemainan itu mengetengahkan cabaran seperti halangan berkerusi roda, melukis kaligrafi menggunakan berus yang mempunyai pemberat, bertahan ketika digeletek dengan bulu ayam dan meminum susu formula khas,” katanya.

Lee berkata, sejumlah RM100,000 berjaya dikutip menerusi acara itu dan dana itu akan disalurkan kepada pesakit berkenaan yang memerlukan rawatan perubatan dan jagaan.

Sementara itu, seorang ibu yang anaknya menghidap penyakit jarang berlaku, Siti Bur Baizura Ishak, 30, berkata, anaknya, Nur Afrina Balqis Ammar, 7, menghidap Sidrom Morquio yang dikenali sebagai MPS4A.

“Bukan sahaja mempunyai kaki yang bengkok tetapi pertumbuhan ketinggian anak saya juga terbantut walaupun kecerdasan otaknya berkembang sama seperti kanak-kanak biasa yang lain.

“Justeru menerusi larian amal seperti ini, saya dedahkan dia kepada dunia luar supaya dia lebih gembira dan tahu bahawa ramai orang di luar sana yang sentiasa menyokong dia.” katanya.

Categories
NASIONAL

Dzulkefly: Pembinaan klinik di Semenyih tetap diteruskan

PETALING JAYA, 3 MAC: Rancangan pembinaan sebuah lagi klinik kesihatan di Semenyih akan diteruskan seperti dicadangkan biar pun keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak memihak kepada Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, ia perlu direalisasi bagi memastikan penduduk di kawasan itu mendapat kemudahan perubatan kesihatan yang baik.

“Apa yang disebut oleh calon kami sebelum ini adalah sesuatu yang mustahak memandangkan Klinik Kesihatan di pekan Semenyih dan Beranang sudah uzur dan sesak.

“Saya yakin kami akan dapat lokasi tanah dan peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk menjayakan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Acara ‘Run For Rare’ di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menetapkan anggaran masa berkaitan pembinaan klinik itu.

Sebelum ini, calon PAKATAN, Muhammad Aiman Zainali dilapor menjadikan pembinaan hospital di Semenyih sebagai agenda utama jika menang PRK itu memandangkan ia adalah permasalahan paling banyak diutarakan masyarakat setempat.

Bagaimanapun pada 25 Februari lalu, Dr Dzulkefly mencadangkan pembinaan sebuah lagi klinik ​​​​​​​kesihatan ​​​​​​oleh kerana dua klinik di pekan Semenyih dan Beranang tidak boleh diperluaskan ​​​​​​​kerana kekangan tempat ​​​​​​​selain penambahbaikan fasiliti Hospital Kajang yang mana ia hospital terdekat di Semenyih.

Semalam, keputusan PRK Semenyih menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya ​​​​​​​menawan semula kerusi DUN Semenyih selepas calonnya, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan Muhammad Aiman yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon Bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56 (725 undi).

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jakim bantu perjelas isu suntikan vaksin dari sudut fatwa

KUANTAN, 2 MAC: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membantu Kementerian Kesihatan untuk membuat dasar berkenaan suntikan vaksin imunisasai dari sudut pandangan fatwa sama ada perlu mewajibkan pengambilannya atau sebaliknya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, dalam masa yang sama Jakim akan turut membantu memperjelaskan kepada orang ramai mengenai suntikan vaksin itu memandangkan terdapat sesetengah ibu bapa berpandangan ia mempunyai elemen yang tidak halal.

“Kita akui hak mereka sebagai ibu bapa tetapi kalau kita lihat dari sudut lebih besar apabila anak itu (tidak mendapatkan suntikan vaksin) mungkin tidak terlindung daripada sesetengah penyakit dan kemudian dia boleh merebak membawa penyakit itu kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Moh Sambung Belajar 2019 Kolej Poly-Tech Mara Kuantan di sini, hari ini.

Katanya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kemaslahatan ummah perlu sentiasa difikirkan di samping menghormati pendirian golongan ibu bapa terhadap soal anak-anak mereka.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata, pihaknya akan membentangkan cadangan dan dasar kepada jemaah menteri supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Katanya, kementerian mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan menyebabkan berlaku jangkitan penyakit yang membawa kematian.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKM izin doktor cuti tanpa rekod 14 hari bantu misi kemanusiaan

KUALA SELANGOR, 10 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi kelonggaran kepada doktor perubatan kerajaan khususnya pakar bedah untuk mengambil cuti tanpa rekod bagi menjadi sukarelawan dalam misi kemanusiaan ke negara bergolak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kelonggaran itu diberikan kerana kementerian mempunyai dasar membenarkan kumpulan profesional berkenaan bercuti selama 14 hari bagi menawarkan khidmat kepakaran mereka kepada golongan memerlukan.

“Secara prinsipnya, kita ada dasar membenarkan mereka mengambil cuti tanpa rekod bagi tujuan berkenaan malah telah menjadi antara prosedur operasi standard (SOP) kita dalam perkhidmatan.

“Namun, mereka mesti bergerak menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar dan diiktiraf kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Tabung Medical4Gaza’ anjuran Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) dan pasar raya Econsave Cash and Carry, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai keperluan perubatan di Gaza, Palestin, Dr Dzulkefly berkata, setakat ini, hampir 6,000 rakyat di negara bergolak itu sedang menantikan pelbagai prosedur pembedahan dan kerajaan amat menggalakkan lebih banyak NGO tampil menyalurkan bantuan kepada golongan berkenaan.

Beliau berkata, pelbagai jenis ubat-ubatan khususnya peralatan perubatan terkini amat diperlukan rakyat Palestin dan KKM bersedia berbincang dengan mana-mana NGO yang mahu menggalas tugas untuk menyalurkan bantuan berkenaan.

Selain itu, Dr Dzulkefly berkata, kementerian juga menyasarkan untuk mewujudkan latihan bersesuaian kepada doktor dan pakar bedah dalam jangka panjang supaya mereka dapat memenuhi tuntutan perkhidmatan perubatan di negara bergolak.

Ditanya mengenai usaha kerajaan untuk memastikan bantuan perubatan dihantar dari Malaysia sampai kepada rakyat di negara bergolak itu, beliau berkata, pendekatan bersifat diplomasi dengan negara jiran Palestin harus dilakukan bagi menjayakan tujuan berkenaan.

“Melalui agenda diplomasi (antara Malaysia dan Mesir), kita harap dapat jalinkan persefahaman (dengan Mesir) untuk sama-sama mengangkat agenda kemanusiaan, setidak-tidaknya mengizinkan NGO kita melepasi Rafah untuk hantar ubat-ubatan dan sebagainya kepada rakyat Palestin yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu pada majlis pelancaran itu, pasar raya Econsave menyalurkan RM1.2 juta kepada tabung berkenaan yang disasarkan untuk mengumpul dana sebanyak RM3 juta pada akhir tahun depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, selain misi mengutip dana bagi menampung keperluan perubatan rakyat Palestin, pihaknya juga akan menghantar sepasukan pakar perubatan sukarelawan ke lokasi itu secara berperingkat.

Beliau berkata, antara pakar perubatan amat diperlukan di Gaza adalah berkaitan ortopedik dan lima ke 15 doktor disasar dihantar ke lokasi itu untuk berkhidmat selama 10 hingga 15 hari.

“Keperluan perubatan amat mendesak di Gaza yang mana kos bagi merawat seorang pesakit sekitar RM600 hingga RM1,200 malah bekalan ubat-ubatan juga amat kritikal pada masa ini.

“Disebabkan itu, kami amat mengalu-alukan sumbangan orang ramai kepada tabung berkenaan dan jika jumlahnya dicapai sebelum tempoh sasaran, kami akan hantar bantuan segera kerana mereka amat memerlukan,” katanya.

Orang ramai yang prihatin untuk membantu rakyat di negara bergolak boleh menyalurkan sumbangan kepada Humanitarian Care Malaysia Berhad melalui akaun Maybank 551575004299; akaun CIMB Islamic Bank 8602135592 atau akaun Bank Islam 12092010034904.

SUMBER: BERNAMA