Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri agama: Patuhi SOP, elak kluster Aidiladha

KUALA NERUS, 30 JULAI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi mengelak wujudnya kluster ibadah berkaitan Aidiladha.

Beliau berkata kerajaan tidak mahu berlakunya penularan Covid-19 disebabkan ketidakpatuhan rakyat terhadap SOP sepanjang Aidiladha, yang berisiko mewujudkan sebarang kluster berkaitan ibadah seperti kluster solat atau kluster ibadah korban.

“Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang telah dimuktamadkan dan peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

“Isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam….oleh kerana itu, jaga perkara ini (patuhi SOP). Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Cuci Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah Kubang Lembik, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kementerian akan mengetatkan semula SOP di masjid berikutan peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak akhir-akhir ini, beliau berkata perkara itu akan dibuat mengikut penilaian semasa.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Patuhi SOP sambut Aidiladha – Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Umat Islam di negara ini diingatkan agar tidak mengambil mudah pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, apatah lagi di saat petugas barisan hadapan masih berjuang untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata umat Islam perlu sentiasa peka dan mengamalkan penjarakan sosial, menjaga kebersihan, bertatasusila dan memakai pelitup muka sepanjang Aidiladha terutama ketika melaksanakan ibadah korban.

“Untuk ini (ibadah korban) kita mempunyai SOP yang digabungkan dengan semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara justeru berharap orang ramai boleh merujuk dan mematuhinya.

Segala bentuk maklumat berkaitan SOP ini akan disiarkan di laman sesawang kami (mira.gov.my) serta laman sosial Facebook dan Instagram (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) untuk rujukan dan fahaman orang ramai,” katanya ketika ditemui Bernama.

Umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidiladha Jumaat ini, menurut pengumuman Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Mohd Aseral Jusman.

Dr Zulkifli berkata SOP yang digariskan kerajaan bertujuan membendung penularan wabak Covid-19 dan umat Islam wajib mematuhi perintah kerajaan selagi mana ia mempunyai tujuan yang baik.

“Statistik kes Covid-19 di seluruh dunia semakin meningkat setiap hari, jadi ia merupakan tanggungjawab setiap individu untuk berusaha mematuhi segala arahan dan nasihat pihak kerajaan demi kebaikan seluruh masyarakat.

“Saya juga telah berinteraksi dengan ramai ulama dari seluruh dunia, dan semuanya sependapat agar masyarakat perlu mematuhi segala arahan kerajaan dalam usaha menjauhi jangkitan wabak Covid-19,” katanya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Sekolah agama, madrasah tahfiz boleh beroperasi mulai 15 Julai

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Semua sekolah agama dan madrasah tahfiz yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dan pihak kerajaan negeri dibenarkan untuk dibuka semula mulai 15 Julai ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagaimanapun bagi sekolah agama dan madrasah tahfiz yang tidak berdaftar, mereka perlu merujuk kepada pihak kerajaan negeri sebelum memulakan operasi.

“Semuanya (juga perlu) tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang telah dikemukakan oleh KPM supaya kita akan dapat menamatkan rangkaian Covid-19.

“(Pembukaan ini juga) Termasuk madrasah yang jika berdaftar bawah KPM boleh terus dapat beroperasi tetapi jika tidak berdaftar mereka kena mohon dengan kerajaan negeri masing-masing,” katanya dalam satu sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata pelajar tingkatan satu hingga empat dan pelajar kelas peralihan serta murid tahun lima dan enam akan kembali ke sekolah bermula 15 Julai ini.

Mohd Radzi berkata pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Sementara itu, Zulkifli berkata pihaknya akan memberikan latihan berterusan kepada pegawai dan kakitangan MSWP sesuai dengan normal baharu bagi meningkatkan kompentensi mereka.

“MSWP juga perlu lebih cekap dan pantas dalam urus tadbir, penambahbaikan juga akan dilaksanakan kepada sistem Sifar Kes Tertunggak (SiKeT) dalam usaha menyelesaikan kes yang tertunggak,” katanya.

Dalam lawatannya ke MSWP, Zulkifli meluangkan masa selama kira-kira dua jam lebih bagi melihat sendiri perjalanan operasi mahkamah itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keputusan tunai haji diumum selepas raya – Dr Zulkifli

PUTRAJAYA, 21 MEI: Keputusan sama ada rakyat Malaysia boleh menunaikan ibadat haji pada tahun ini akan diumumkan selepas Aidilfitri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata Malaysia masih menunggu pengumuman rasmi Arab Saudi sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara itu.

“Jawapan kita bergantung kepada bagaimana kenyataan daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

“Kita juga akan berbincang secara khusus dalam melaksanakan yang itu (haji) sekiranya dibenarkan… keputusan itu akan diumumkan selepas mendapat satu jawapan yang rasmi daripada pihak Arab Saudi,” katanya kepada media selepas menyaksikan penyerahan sumbangan CIMB Islamic Bank kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini.

Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic Bank Ahmad Shahriman Mohd Shariff menyampaikan sumbangan wang tunai RM150,000 kepada Yang Dipertua YADIM Nik Omar Nik Abd Aziz.

Nik Omar berkata sumbangan CIMB Islamic Bank adalah untuk program YADIM Peduli: Musa’adah Covid-19 dan ia bakal diagih kepada kumpulan asnaf, B40, petugas barisan hadapan dan golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19, termasuk kumpulan khas iaitu kluster tabligh dan mahasiswa.

Program Musa’adah Covid-19 bermula pada Mac lepas dan sehingga kini, sebanyak 9,732 orang telah menerima bantuan berbentuk wang tunai serta barangan keperluan asas yang membabitkan peruntukan sebanyak RM480,280.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya jemaah lelaki disyorkan solat di masjid

SHAH ALAM, 14 MEI: Hanya jemaah lelaki disyor menunaikan solat jemaah di masjid selepas kerajaan memberi kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Disyorkan buat masa ini hanya jemaah lelaki sahaja, Insya-Allah doakan supaya hal ini (Covid-19) selesai dengan cepat supaya kita dapat kembali seperti biasa dengan norma baru dalam ibadah,” kata menteri hal ehwal agama pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut mengingatkan pihak berkuasa agama di setiap negeri mewujudkan kaunter di pintu masuk bagi memastikan bilangan jemaah dapat dihadkan.

Beliau turut meminta pemeriksaan suhu badan dibuat, menyediakan cecair pembasmi kuman serta mengambil rekod kehadiran jemaah.

“Ahli jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, mereka perlu diarah pulang. Pintu masjid pula akan dibuka sejam sebelum azan dan ditutup selepas tamat bacaan doa.

“Penggunaan tandas juga perlu dihadkan mengikut jumlah tandas yang ada pada satu-satu masa,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Garis panduan buka semula masjid siap, tunggu kerajaan lulus

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Pembukaan semula masjid dan surau bagi aktiviti agama akan dilakukan sekiranya kerajaan berpuas hati dengan garis panduan ibadah di masjid dan surau yang telah disiapkan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama).

Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata garis panduan itu disediakan oleh Unit Penyelidikan Ilmiah JPM (Hal Ehwal Agama) dan Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Pelaksanaan garis panduan tersebut tertakluk kepada arahan kerajaan dari semasa ke semasa serta kebenaran daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara),” katanya.

Zulkifli berkata garis panduan itu juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) kali keempat pada 30 April lepas yang dipengerusikan Datuk Wan Zahidi Wan Teh serta dihadiri oleh para Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia dan ahli-ahli yang dilantik MKI.

“Pertimbangan utama kerajaan adalah melihat kepada kesiapsiagaan dan persediaan teknikal di tahap optimum semua pihak iaitu Majlis-Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan-Jabatan Agama Islam Negeri sebagai badan berautoriti dan pihak berkuasa utama negeri dalam hal ehwal pentadbiran agama serta persediaan masjid dan surau di tahap terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini menjawab soalan lazim (FAQ) mengenai aktiviti agama di masjid dan surau yang masih dilarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menjawab soalan sama ada wujud kebarangkalian ia dilaksanakan dalam waktu terdekat, menteri itu berkata: “Ya, jika kerajaan berpuas hati dengan garis panduan yang disediakan, juga tahap kerjasama dan keprihatinan rakyat Malaysia secara umumnya sepanjang PKPB disamping mengambil kira nasihat KKM dan MKN.”

Buat masa ini, berdasarkan pertimbangan pihak-pihak berwajib, kerajaan memutuskan sebarang bentuk aktviti agama berjemaah di masjid dan surau masih dilarang dalam tempoh PKPB.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata jika pelaksanaan garis panduan itu mendapat kelulusan di peringkat Persekutuan, ia tetap tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa utama di negeri-negeri untuk dilaksanakan di peringkat negeri.

“Urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri yang jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Henti solat Jumaat bantu putuskan rantaian Covid-19

PUTRAJAYA, 19 MAC: Semua masjid di seluruh negara akan menghentikan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, bagi membantu negara untuk memutuskan rantaian virus Covid-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa mulai semalam hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19, solat Jumaat tidak diadakan esok.

“Patuhilah arahan yang dikeluarkan dan gantilah solat Jumaat dengan solat Zohor di rumah masing-masing, bersama keluarga,” katanya dalam khidmat pesanan awam yang disiarkan di stesen-stesen televisyen hari ini.

Jelasnya arahan tersebut selari dengan langkah yang diambil di beberapa negara Islam lain, seperti Arab Saudi dan Kuwait.

“Hampir keseluruhan bersetuju dalam kes seperti ini dan semua pihak hendaklah mematuhi perintah yang ditetapkan pemerintah.

“Sekali lagi pesan saya, solatlah Zohor di rumah, InsyaAllah ada hikmahnya,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengisytiharkan Malaysia mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara, bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Sebanyak 110 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 900 kes, dengan negara mencatatkan dua kematian pertama pada Selasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pandangan hukum Covid-19 akan dipersembah kepada Agong

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Keputusan pandangan hukum susulan penularan Covid-19 akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja di negeri-negeri bagi mendapat perkenan untuk tindakan lanjut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata pandangan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang diadakan di Putrajaya bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Ahli muzakarah juga meneliti pembentangan kajian pandangan hukum oleh Dr Aizam Mas’od, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa al-Zuhaili, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI Datuk Wan Zahidi Wan Teh mempengerusikan mesyuarat tersebut yang dihadiri oleh semua mufti negeri atau wakilnya serta Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri dan wakil Majlis Agama Islam Negeri.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman, yang menyampaikan taklimat terkini berkenaan Covid-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham di Facebook rasminya memaklumkan turut mengadakan perbincangan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pihak pengurusan Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur berhubung jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah perhimpunan tabligh, baru-baru ini.

Beliau berkata antara perkara dibincangkan termasuk situasi semasa jangkitan Covid-19 terutama berkaitan dengan kluster dalam kalangan jemaah tabligh dan tindakan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta pihak masjid berkenaan.

“Pihak pengurusan masjid akan membantu dan bekerjasama rapat dengan KKM dan Jakim untuk terus berkomunikasi dengan ahli jemaah tabligh terutama bagi memastikan semua yang terlibat dapat hadir untuk pemeriksaan, saringan atau ujian yang ditetapkan,” katanya.

Perbincangan itu dijalankan secara sidang video antara KKM yang diwakili Dr Noor Hisham, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon manakala Jakim diwakili oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Hakimah Yusuf serta Aziz Muhammad.

Dr Noor Hisham juga menyeru agar peserta perhimpunan tabligh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan selanjutnya.

Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif COVID-19 mengikut mana yang terkemudian.

Perhimpunan jemaah tabligh itu diadakan dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Sehingga semalam, KKM melaporkan sebanyak 190 kes baharu positif Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.

Berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baharu itu berkait dengan kluster perhimpunan tabligh di masjid tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Zulkifli: Covid-19 terkawal, tidak perlu henti solat Jumaat

PUTRAJAYA, 12 MAC: Situasi semasa penularan virus Covid-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata solat hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

“Selain itu, orang ramai juga digalakkan untuk mengambil air sembahyang di rumah manakala pengurusan masjid dan jemaah hendaklah menyediakan cecair pembasmi kuman dan penutup hidung dan mulut sebagai langkah pencegahan.

“Mereka yang ada simptom Covid-19 bagaimanapun tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat kepada agensi agama di bawah JPM di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Dr Zulkifli berkata solat Jumaat hanya tidak boleh dilakukan tetapi diganti dengan solat Zohor dalam keadaan wabak itu menjadi umum dan merebak secara tidak terkawal.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan berkata hal itu hanya boleh dilakukan selepas memenuhi beberapa syarat iaitu larangan berkenaan status wabak dikeluarkan oleh pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan.

“Ia juga tertakluk kepada wabak itu sudah menunjukkan kesannya di tempat tersebut dan ramai individu yang telah disahkan positif Covid-19 dengan Kementerian Kesihatan telah menyemak dan memeriksa masjid atau surau Jumaat terlebih dahulu,” katanya.

Dr Zulkifli berkata bagi mengelak kekeliruan, pihaknya akan mengeluarkan garis panduan mengenai hal itu dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata JPM menyediakan kertas kerja permasalahan berkaitan Covid-19 seperti solat Jumaat, bersalaman, kenduri kahwin dan urusan mandi jenazah.

“Insya-Allah kita akan kemukakan dalam masa terdekat kepada Majlis Fatwa untuk diputuskan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sambut Syawal penuh kesederhanaan – Mufti

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Umat Islam disaran tidak berlebih-lebihan dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, konsep menyambut Syawal sepatutnya bergantung kepada kemampuan diri masing-masing, dan secara sederhana.

“Setiap individu seharusnya mengukur baju di badan sendiri. Perbezaan pekerjaan masing-masing mendorong kepada perbelanjaan menyediakan pakaian, makanan dan minuman kepada tetamu mengikut kemampuan namun jangan sampai melakukan pembaziran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, Zulkifli menasihatkan umat Islam supaya memandu secara berhemah di jalan raya terutama ketika pulang ke kampung halaman.

“Pastikan peraturan jalan raya dipatuhi kerana setiap pengguna mempunyai tujuan yang sama agar selamat tiba ke destinasi dituju. Gunakan kebijaksanaan anda, pandulah secara berhemah dan sentiasa ingat bahawa ketika bermusafir kita tetap perlu menjaga solat dan bergantung hanya kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, pelbagai kemudahan seperti surau disediakan di kawasan rehat dan rawat bagi memudahkan umat Islam beribadat walau di mana mereka berada.

– BERNAMA