Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Tiga taman perumahan di Sabak Bernam dikenakan PKPD tamat esok

SHAH ALAM, 11 JUN: Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga taman perumahan di Sabak Bernam ditamatkan mulai esok.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata lokasi terlibat adalah Taman Pertama, Taman Serendah dan Taman Prima.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan setuju menamatkan PKPD di tiga taman perumahan ini pada 12 Jun bermula jam 11.59 malam,” katanya menerusi kenyataan.

KKM telah melakukan 5,206 saringan di ketiga-tiga lokaliti tersebut dan mendapati 164 dijangkiti Covid-19.

Malah, kes didapati menurun dan kluster juga terkawal manakala semua yang dikesan positif telah menerima rawatan.

PKPD dilaksana selama 14 hari sejak 30 Mei ekoran peningkatan ketara kes di lokaliti itu dalam tempoh singkat iaitu 113 daripada 1,237 saringan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya 17 sektor kategori perlu dibenar beroperasi

SHAH ALAM, 30 MEI: Hanya 17 sektor kategori perlu dibenar beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Selasa hingga 14 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media berkata antara sektor tersebut adalah:

1) Makanan dan minuman termasuk untuk haiwan
2) Penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar
3) Air
4) Tenaga
5) Keselamatan (security and safety), pertahanan, kecemasan, kebajikan dan bantuan kemanusiaan
6) Pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam dan pembetungan
7) Pengangkutan melalui darat, air atau udara
8) Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang, termasuk pemunggahan, pengangkutan laiter, pengendalian kargo dan pemaliman, dan penyimpanan atau pemukalan komoditi
9) Komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja)
10) Perbankan, insuran, takaful dan pasaran modal
11) Kredit komuniti (pajak gadai dan Ar-rahnu)
12) E-dagang dan teknologi maklumat
13) Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir
14) Hotel dan penginapan (hanya bagi tujuan kuarantin, pengasingan, pekerjaan bagi perkhidmatan perlu dan bukan tujuan pelancongan)
15) Pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
16) Perkhidmatan perhutanan (terhad kepada penguatkuasaan) dan hidupan liar
17) Logistik yang terhad kepada penyampaian perkhidmatan perlu

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua orang boleh keluar rumah, tidak boleh lebih 10km

SHAH ALAM, 30 MEI: Hanya dua orang dari satu keluarga dibenarkan keluar sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Selasa ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata tujuan mereka keluar adalah untuk pembelian barangan keperluan asasi termasuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

“Pergerakan tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Selain itu, beliau menjelaskan hanya dua orang dibenarkan berada dalam teksi dan kenderaan e-panggilan termasuk pemandu dan penumpang dalam satu-satu masa.

Ismail Sabri menambah taska, tabika, tadika swasta, tadika di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun juga tidak dibenarkan beroperasi.

“Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada petugas barisan hadapan dan ibu bapa yang kedua-duanya bekerja,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan 24 kluster Aidilfitri, 850 positif

SHAH ALAM, 29 MEI: Sebanyak 24 kluster Aidilfitri dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membabitkan 850 individu didapati positif Covid-19.

Menteri kanan (keselamatan) berkata angka dilaporkan setakat Khamis lalu itu amat membimbangkan kerana majoriti kes adalah mereka tidak bergejala iaitu 699.

“Secara kumulatifnya, sebanyak 850 kes direkodkan daripada kluster ini manakala 3,309 individu menjalani ujian saringan.

“Paling membimbangkan, apabila KKM mendapati kebanyakan kes positif adalah tidak bergejala berbanding sebaliknya iaitu 151 kes,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi kenyataan semalam.

Ismail Sabri berkata data daripada kementerian itu menunjukkan kluster Aidilfitri paling tinggi direkodkan di Tumpat, Kelantan iaitu 224 kes manakala Kluster Simpang Sahari di Labuan pula dengan 123.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP di KL, beberapa kawasan di Terengganu, Johor dan Perak mulai Jumaat

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Terengganu, Johor dan Perak diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 7 hingga 20 Mei, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata PKP di Kuala Lumpur dikuatkuasakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan sebanyak 17 kluster baharu telah direkodkan sejak 1 hingga 27 April lepas dengan jumlah kes harian yang semakin meningkat.

“Setelah meneliti pembentangan serta cadangan daripada KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKP di seluruh Kuala Lumpur hingga 20 Mei dengan SOP sepertimana yang telah diumumkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan mengenai PKP, PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Ismail Sabri berkata selain itu, sebanyak 14 mukim dalam daerah Besut (kecuali Mukim Hulu Besut) turut dikenakan PKP berkuat kuasa pada tempoh yang sama setelah KKM merekodkan sebanyak 406 kes positif hasil 5,617 ujian saringan yang dijalankan ke atas penduduk di lokaliti itu sejak 1 April hingga 3 Mei.

Mukim yang terlibat ialah Kampung Raja, Lubuk Kawah, Pelagat, Tenang, Keluang, Bukit Kenak, Kubang Bemban, Jabi, Kerandang, Pengkalan Nangka, Pasir Akar, Tembila, Bukit Puteri dan Kuala Besut.

Beliau berkata KKM memaklumkan peningkatan kes di daerah itu berpunca daripada pergerakan keluar masuk pelajar dan pekerja dari negeri jiran dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti 95 peratus, malah Besut juga merekodkan 15 kluster bagi tempoh yang sama dengan ada antaranya menular ke lokaliti lain.

Sementara itu, di Johor kawasan yang dikenakan PKP ialah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi berikutan jumlah kes aktif yang direkodkan di lokaliti itu adalah tinggi dengan kebanyakan kes adalah sporadik dalam komuniti.

Selain itu, ketiga-tiga daerah berkenaan juga berstatus zon merah dengan jumlah kes yang tinggi melebihi 150 kes manakala kapasiti hospital dan unit rawatan rapi (ICU) melebihi 70 peratus, katanya.

Ismail Sabri berkata di Perak pula, kawasan yang dikenakan PKP adalah Mukim Taiping, daerah Larut Matang dan Selama setelah berlaku peningkatan mendadak kes bagi kawasan berkenaan.

“KKM juga melaporkan terdapat peningkatan kes bagi tiga kluster aktif di Mukim Taiping iaitu Kluster Jalan Kolam Dua di Kampung Expo, Kluster Jalan Pokok Assam di Kampung Pokok Assam dan Kluster Jalan Sepat di Kamunting,” katanya.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan PKP di kesemua kawasan itu adalah bagi memastikan pergerakan penduduk dapat dikawal selain memudahkan KKM untuk melaksanakan ujian saringan secara besar-besaran bagi menyekat penularan jangkitan keluar daripada lokaliti terlibat.

Dalam pada itu, berdasarkan situasi semasa Covid-19 ketika ini, kerajaan juga bersetuju untuk tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan, swasta serta majlis sosial di semua kawasan yang dilaksanakan PKP.

Majlis sosial itu seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan hari ulang tahun, pertemuan semula (reunion), retreat dan lain-lain majlis sosial.

“Begitu juga dengan makan di restoran turut tidak dibenarkan berkuat kuasa dari tarikh pelaksanaan PKP,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan Kampung Lubok Katak, Tapah, Batang Padang di Perak; Kampung Permatang Tulang Mukim Sebatu, Jasin di Melaka dan Sekolah Menengah Ugama (SMU) Pantai Manis, Papar, Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga bermula pada Jumaat ini hingga 20 Mei.

Langkah itu dilakukan selepas KKM mendapati berlaku peningkatan kes yang ketara serta kes aktif yang tinggi di kawasan berkenaan dan PKPD dikenakan bagi memudahkan saringan bersasar dilakukan sekali gus mengekang penularan jangkitan Covid-19.

“PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru, Johor; Maahad Tahfiz Al-Quran Al Asriah, Banggol Chicha, Pasir Mas dan Sekolah Menengah Sains Machang, Kelantan; serta di Kampung Sileng Dayak, Lundu, Sarawak yang dilaksanakan sebelum ini, kesemuanya ditamatkan esok,” katanya.

Sementara itu, PKPD yang dikenakan di Rumah Panjang Giman, Batu 13, Jalan Engkamop, Pakan, Sarikei; Kampung Rayang, Serian; dan lima Rumah Panjang Jalan Bukut Balingian, Mukah, Sarawak yang masing-masing sepatutnya ditamatkan esok dilanjutkan hingga 20 Mei.

Ia dilakukan setelah penilaian risiko mendapati masih terdapat kes positif dan penularan berterusan di kesemua kawasan terlibat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPD tiga lokasi di tiga negeri bermula esok – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 28 APRIL: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tiga lokasi di tiga negeri yang menyaksikan trend peningkatan kes positif Covid-19 selama dua minggu bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiga kawasan berkenaan membabitkan Maahad Tahfiz Al Azhari (MTAZ) di Machang, Kelantan; Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan serta di dua penempatan sekitar Sungai Chalit dan lima penempatan sekitar Sungai Klau di Raub, Pahang.

Mengenai MTAZ, beliau berkata sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah merekodkan 87 kes positif hasil daripada 207 keseluruhan ujian saringan yang dilakukan ke atas pelajar dan penghuni maahad tersebut.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM membuat pengesanan awal kes serta membendung penularan dalam kalangan pelajar dan penghuni maahad itu,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi kes di Kampung Bangkahulu, KKM telah melakukan 170 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 38 kes positif COVID-19 direkodkan dan pada masa sama, kementerian berkenaan mengesahkan berlaku peningkatan kes dalam tempoh dua minggu manakala kadar positiviti kes tinggi iaitu 22.9 peratus.

“Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke komuniti,” katanya.

Bagi PKPD di tujuh penempatan di Raub, Pahang, ia melibatkan Kampung Baru Sungai Chalit, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, Taman Sungai Klau, Taman Maju Sungai Klau, Taman Kelau Jaya, Taman Harmoni dan Kampung Sungai Klau.

“Sehingga kini, KKM telah merekodkan empat kes di Sungai Chalit dan satu kes positif di Sungai Klau manakala terdapat tujuh sampel ujian masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan PKPD di Institut Aminuddin Baki dan Kuarters Kakitangan, Sri Layang, Bentong, Pahang ditamatkan hari ini, dua hari lebih awal daripada yang dijadualkan iaitu pada 30 April.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan, beliau berkata seramai 295 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) dengan 288 individu dikenakan kompaun manakala tujuh direman.

Antara kesalahan yang dilakukan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (175 kes), tidak memakai pelitup muka (71 kes), aktiviti pusat hiburan dan tiada penjarakan fizikal masing-masing empat kes, rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran (dua kes) dan lain-lain (39 kes).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PBT boleh kompaun individu tidak patuh SOP bazar

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dibenarkan mengkompaun individu yang gagal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) di bazar Ramadan berkuat kuasa hari ini.

Menteri kanan (keselamatan) berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menurunkan kuasa itu berikutan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerima beberapa aduan mengenai ketidakpatuhan SOP di bazar berkaitan di beberapa lokasi.

“Perkara ini dipandang serius kerana penularan wabak Covid-19 masih berada di tahap membimbangkan.

“Sehubungan itu, PBT digesa mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan pelaksanaan SOP dikeluarkan MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sehubungan itu orang ramai diminta memberi kerjasama kepada PBT dalam membantu negara melandaikan lengkuk penularan wabak Covid-19.

Categories
AGENDA NASIONAL

Premis makanan dibenar beroperasi sehingga 6 pagi sepanjang Ramadan

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Kerajaan membenarkan semua restoran, warung, gerai, kedai makan termasuk “coffee house” di dalam hotel serta kedai makanan segera dan perkhidmatan penghantaran di negeri-negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan beroperasi sehingga pukul 6 pagi sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kebenaran itu diberikan bagi membolehkan orang ramai terutama golongan bujang mendapatkan makanan untuk bersahur.

Bagaimanapun, katanya bagi premis makanan di dalam kompleks beli belah atau pasar raya, ia tertakluk kepada waktu operasi bangunan tersebut

“Kerajaan dapat pelbagai permohonan daripada rakyat untuk beli makanan terutama melibatkan warga bujang. Sebelum ini operasi di kedai makan atau warung dihadkan sehingga 12 tengah malam atau mengikut syarat lesen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Ini bermakna kedai makanan boleh teruskan operasi sehingga waktu sahur dan orang ramai boleh bungkus makanan atau makan di kedai yang dibuka,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan PKP di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penganjuran majlis berbuka puasa dibenarkan seperti bufet Ramadan di hotel, restoran dan premis makanan dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Beliau berkata pramusaji dikehendaki menyendukkan makanan kepada pelanggan bagi hidangan secara bufet.

“Mengenai bilangan kehadiran bagi bufet Ramadan di kawasan PKPB dan PKPP, kita benarkan dengan syarat ada penjarakan fizikal antara pengunjung dan SOP kedudukan meja perlulah dua meter (jarak antara satu meja ke meja lain).

“Bagi majlis berbuka kita menggalakkan hidangan set ‘dome’, tapi kalau bufet mesti ada pramusaji untuk sendukkan makanan. Untuk majlis berbuka puasa di pejabat dan dewan, kapasiti 50 peratus daripada keluasan tempat bagi kawasan PKPB manakala 100 peratus di kawasan PKPP mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tindakan tegas jika salah guna kuasa, pemalsuan borang rentas negeri

PETALING JAYA, 9 APRIL: Tindakan tegas menanti kakitangan atau anggota penguat kuasa yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam urusan kebenaran rentas negeri, tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Amaran sama turut ditujukan kepada orang awam yang menyalahgunakan borang kebenaran rentas negeri termasuk membeli atau mendapatkan borang kosong dengan tandatangan dan cop palsu pihak berkuasa.

Tegas Ismail Sabri, orang awam perlu mengikut prosedur yang betul untuk mendapatkan kebenaran merentas negeri dan tidak mengambil jalan mudah dengan memalsukan dokumen tersebut.

“Sekiranya ada cop dan tandatangan palsu (pada borang) akan diambil tindakan tegas. Borang rentas negeri mesti dibuat di balai polis dengan butiran yang sahih.

“Kalau ada orang dalam (salah guna kuasa anggota penguat kuasa), tindakan tegas juga mesti diambil kerana ia satu pelanggaran undang-undang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Di Shah Alam semalam, polis membuka kertas siasatan susulan tindakan individu yang membuat pemalsuan tandatangan pada borang rentas negeri kononnya milik Penolong Ketua Balai Polis Seksyen 6 di sini, selepas gambar borang itu tular di media sosial.

Sebelum ini, satu lagi kes seumpama itu turut dilaporkan berhubung borang rentas negeri kosong dengan tandatangan Ketua Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu tular di media sosial, bagaimanapun siasatan awal mendapati tandatangan itu dipalsukan.

Mengenai majlis hari ini, Ismail Sabri berkata menerusi kerjasama Pharmaniaga dan UMT, sebuah projek madu kelulut secara saintifik dan komersial akan dibangunkan bagi memberi peluang penyertaan golongan B40 serta pesara tentera.

Beliau berkata projek itu bukan sahaja dapat mengembangkan potensi dan nilai komersial madu kelulut, malah sekali gus meningkatkan taraf ekonomi golongan terlibat termasuk pesara tentera.

“Sebagai permulaan, projek usaha sama ini menyasarkan penyertaan sebanyak 1,000 pesara tentera untuk diberikan latihan kemahiran dan modal untuk mengusahakan ladang madu kelulut mengikut standard Amalan Pertanian Baik (GAP) bagi menjamin kualiti produk,” katanya.

Perjanjian usaha sama itu dimeterai oleh Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnian Md Eusope dan Naib Canselor UMT Prof Datuk Dr Nor Aieni Mohktar yang disaksikan Ismail Sabri serta Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu rentas negeri dibincang dalam mesyuarat khas MKN

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Cadangan membenarkan perjalanan rentas negeri kepada mereka yang telah melengkapkan dos kedua suntikan vaksin akan dibincang secara terperinci dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata setakat ini belum ada perbincangan menyeluruh untuk ‘kelebihan’ atau ‘insentif’ (kebenaran merentas dalam dan luar negeri) bagi mana-mana pihak yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka.

“Jadi saya rasa (mungkin) ramai orang yang akan mendaftar vaksin (sekiranya itu dijadikan syarat untuk merentas dalam dan luar negeri). Sekarang ini ramai yang (ambil pendekatan) tunggu dan lihat.

“Kalau boleh sebegitu (kebenaran rentas negeri selepas suntikan vaksin dos kedua), ramai yang akan mendaftar,” katanya selepas melancarkan Tarantula sebagai nama kereta perisai mobiliti tinggi 4X4 (HMAV4x4) pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Sungai Besi, di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata individu yang telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 mungkin dibenar untuk merentas negeri malah mereka juga mungkin boleh ke luar negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

181 individu ditahan ingkar SOP – menteri

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Seramai 181 individu ditahan atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 93 dikompaun, 80 direman dan lapan lagi dijamin.

“Kesalahan melibatkan kegiatan aktiviti pusat hiburan adalah kesalahan tertinggi direkodkan iaitu sebanyak 106, diikuti kegagalan mematuhi arahan penjarakan fizikal (35), gagal menyediakan peralatan merekodkan butiran pelanggan (24), aktiviti perjudian (8), tidak memakai pelitup muka (5).

“Terdapat dua aktiviti rentas negeri/daerah tanpa kebenaran serta premis beroperasi lebih masa (1),” katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan hari ini.

Mengenai Operasi Benteng, Ismail Sabri berkata seramai 59 pendatang tanpa izin ditahan, manakala empat bot serta lima kenderaan dirampas semalam.

Beliau berkata semalam juga menyaksikan 873 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara, menjadikan kumulatifnya seramai 151,300 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai tahun lepas.

Mengenai saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata seramai 2,449 orang telah menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan 10 daripada mereka didapati positif Covid-19.

Secara kumulatif, seramai 640,997 pekerja asing telah menjalani ujian saringan Covid-19 setakat ini melibatkan 33,205 majikan.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kejohanan sukan dengan penonton dibenar berkuat kuasa 1 April

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu diputuskan setelah mendengar pembentangan dan cadangan tatacara operasi piawai (SOP) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berserta pandangan dan penilaian risiko Kementerian Kesihatan (KKM).

“Antara syarat yang ditetapkan ialah 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala bagi kawasan PKP Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton dengan kedua-duanya melibatkan kawalan penyeliaan sepanjang masa.

“Bagaimanapun, semua penganjuran kejohanan dengan kehadiran penonton adalah tertakluk kepada kebenaran oleh KBS,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, dua perlawanan bola sepak dalam Liga Malaysia akan dijadikan percubaan bagi menilai keberkesanan protokol pengurusan penonton.

Selain itu, Ismail Sabri berkata KBS, MKN dan KKM akan turut memantau dan membuat penilaian pematuhan protokol yang ditetapkan khususnya dalam aspek pergerakan, kemasukan dan penyuraian penonton semasa perlawanan itu nanti.

Beliau berkata antara SOP yang perlu dipatuhi adalah tiket hanya dijual secara dalam talian, penjarakan fizikal minimum 1.5 hingga dua meter antara penonton, operasi jualan hanya dibenarkan di kedai sedia ada di kawasan stadium atau venue sahaja, selain pergerakan masuk dan keluar penonton secara berjadual dan tersusun.

Berkenaan pengoperasian Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri, Ismail Sabri berkata negeri atau daerah sepatutnya mengikuti sebarang arahan yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau berkata mungkin terdapat kes-kes tertentu yang memerlukan majlis daerah (pihak berkuasa tempatan) membuat sedikit pindaan terhadap SOP yang diumumkan kerajaan, sesuai dengan keadaan di lokasi masing-masing.

“Kalau di Sabah, Sarawak, masa misalnya. Kalau Bazar Ramadan kita (Kuala Lumpur) mulakan dari 3 petang, mereka mungkin mula 2 petang kerana waktu berbuka di Sabah saya percaya lebih awal iaitu 6.30 petang, kita 7.30 malam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat berhubung arahan supaya sekolah tidak melaporkan kes positif Covid-19 kepada KKM ataupun MKN.

Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya perkara itu wujud, ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan kes positif Covid-19 dalam kalangan mereka.

“Setiap individu, majikan mahupun pihak pengurusan sekolah wajib melaporkan kepada KKM jika timbul kes positif dalam kalangan pekerja atau pelajar mereka. Perkara ini juga tertakluk kepada universiti,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada aktiviti rentas negeri dibenarkan pada Ramadan dan perayaan Aidilfitri, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak mempunyai ketetapan berhubung perkara terbabit kerana penilaian dibuat atas nasihat KKM.

“KKM yang memberi nasihat kepada jawatankuasa teknikal atau dalam sidang khas MKN sama ada untuk membenarkan atau tidak. Saya difahamkan, kalau Mei nanti kita semua patuh SOP sehingga kes turun menjadi 500 sehari mungkin penilaian baharu akan dibuat,” katanya.

– BERNAMA