Categories
AGENDA NASIONAL

205 individu ditahan ingkar SOP PKP

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Seramai 205 individu ditahan semalam atas kesalahan ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu, 193 dikompaun, sembilan direman dan tiga lagi dijamin.

“Tidak memakai pelitup muka merekodkan 70 kes, gagal menyediakan peralatan atau rekod butiran diri (62), tiada penjarakan fizikal (25), aktiviti pusat hiburan (18).

“Rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (16), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (enam), keluar rumah tanpa alasan munasabah (empat) dan lain-lain (empat),” katanya dalam satu kenyataan berhubung PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) hari ini.

Mengenai Operasi Benteng (Op Benteng), Ismail Sabri berkata seramai 22 pendatang tanpa izin diberkas manakala dua bot/kapal dan enam kenderaan darat dirampas.

Dalam pada itu, kerajaan juga memutuskan untuk menamatkan PKPD di Asrama, Kilang dan Tapak Binaan Central Medicare, Hilir Perak, Perak seperti yang dijadualkan esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

246 individu ditahan ingkar SOP, 234 dikompaun

SHAH ALAM, 5 MAC: Seramai 246 individu ditahan kerana ingkar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan, semalam.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah itu 234 dikompaun manakala 12 lagi individu direman.

Menurut Ismail Sabri kegagalan menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan merupakan kesalahan paling tinggi dicatatkan iaitu 94 kes.

“Kesalahan tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (37), tiada penjarakan fizikal (29), aktiviti pusat hiburan (16), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (13) dan lain-lain kesalahan (2),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan dilakukan pihak polis membabitkan 6,335 restoran, pasar raya (4,621), bank (3,972), penjaja (2,900), pasar awam (2,488), kilang (1,803) dan pejabat kerajaan (1,117).

Turut dipantau ialah tempat ibadah (3,562), tempat riadah (1,593), terminal pengangkutan darat (1,372), terminal pengangkutan air (301) dan terminal pengangkutan udara (126).

 

Categories
AGENDA NASIONAL

42,120 anggota ATM terima vaksin Covid-19 fasa pertama – menteri

SEREMBAN, 20 FEB: Seramai 42,120 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula 26 Februari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemberian vaksin itu melibatkan 84,240 dos dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan vaksin.

“Saya percaya Mac nanti (anggota) kita akan terima (vaksin) memandangkan tentera juga adalah barisan hadapan. Ini termasuk juga anggota yang mengawal sekatan jalan raya dan Op Benteng bersama polis.

“Jadual (pemberian vaksin) akan ditetapkan dan dimaklumkan pada pihak ATM,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Markas 1 Briged, Kem Sikamat, di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 esok, ATM juga akan dilibatkan bagi kawalan keselamatan mulai esok hingga waktu suntikan diberikan kepada orang awam.

Esok, Malaysia akan menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang akan diterbangkan dengan penerbangan pesawat penumpang Malaysia Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.

Sementara itu, ditanya sama ada ATM mempertimbang menjadikan hospitalnya antara pusat simpanan vaksin, Ismail Sabri berkata ATM bersedia membantu kerajaan dalam sebarang keadaan selain mempunyai keanggotaan yang mencukupi.

“Insya-Allah, kita bersedia berbincang dengan Hospital Angkatan Tentera lagi pun ATM juga banyak terlibat dalam urusan Covid-19 termasuk menyediakan Hospital Medan ATM di Sabah sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ismail Sabri menjelaskan, lawatannya ke RKAT itu adalah sebahagian daripada lawatan ke formasi-formasi Tentera Darat Malaysia.

“Di sini saya juga telah meluluskan pembinaan dewan serbaguna bernilai RM5 juta yang akan dibina sama ada tahun ini atau awal tahun hadapan dan turut sempat menziarahi empat rumah bagi menyantuni waris dan anggota yang menghidapi penyakit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tidak patuh SOP PKP, 19 premis dikompaun – menteri

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Sebanyak 19 premis dikompaun semalam kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata tindakan itu dibuat menerusi pemeriksaan khas pematuhan SOP oleh anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di 1,330 premis perniagaan.

“Daripada jumlah itu, 1,293 premis mematuhi SOP, 12 diberi nasihat, enam diberi amaran manakala 19 lagi premis dikompaun,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan PKP hari ini.

Memperincikan tangkapan ingkar PKP semalam, beliau berkata 643 individu telah ditahan dan daripada jumlah itu, 623 dikompaun manakala 20 lagi direman.

“Antara kesalahan direkodkan adalah tidak memakai pelitup muka (144), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (112), tiada penjarakan fizikal (133), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (34), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42) dan lain-lain (66),” katanya.

Kawalan sempadan menerusi Operasi Benteng semalam pula menyaksikan 14 pendatang tanpa izin ditahan manakala lima kenderaan darat dirampas.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata seramai 8,717 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu 299 orang disahkan positif Covid-19 semalam.

Beliau berkata secara kumulatif, sejak 1 Disember lepas seramai 305,620 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan yang melibatkan 13,202 majikan dan daripada jumlah itu 6,028 orang telah disahkan positif.

Menteri itu berkata sejak 24 Julai tahun lepas, seramai 117,449 individu telah pulang ke tanah air dan mereka ditempatkan di 73 hotel serta 14 Institut Latihan Awam (ILA) dan Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

“Secara kumulatif seramai 7,599 individu dikuarantin, 109,361 orang dibenarkan pulang manakala 489 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP, orang awam digalak lapor polis – menteri

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Orang ramai digalak melaporkan terus kepada pihak berkuasa jika mengetahui terdapat pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan masing-masing.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tindakan itu adalah amat dialu-alukan terutama dalam membantu polis mengambil tindakan yang sepatutnya.

“Maklumkan kepada polis jika melihat pelanggaran SOP. Polis misalnya ada laman web mereka untuk terima laporan dan sebagainya atau pergi sendiri ke Balai Polis dan laporkan,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di Wisma Pertahanan hari ini.

Terdahulu Ismail Sabri ditanya berhubung dakwaan masih ada individu yang mengadakan majlis keramaian dan tanpa rasa bersalah mengemas kini status dalam media sosial dengan memberi alasan hanya menjemput keluarga terdekat sedangkan aktiviti berkenaan dilarang ketika dalam tempoh PKP.

Sementara itu, ditanya mengenai pelanggaran SOP oleh individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyampaikan bantuan ketika PKP, beliau berkata walaupun kerajaan sangat mengalu-alukan bantuan berkenaan, mereka tetap tertakluk kepada SOP yang digariskan.

Ismail Sabri berkata pematuhan SOP ini bukan sahaja untuk melindungi masyarakat atau kumpulan yang dibantu, tetapi juga kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.

“Jadi kalau sudah laporkan kepada polis, kita serahkan kepada polis untuk ambil tindakan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

ATM berkuasa tahan individu ingkar PKP – menteri

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berkuasa menahan individu melanggar tatacara operasi piawai (SOP) semasa pelaksanaan Ordinan Darurat, namun penekanan lebih diberi kepada penugasan operasi benteng (Op Benteng), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata sehingga kini tugas ATM sama seperti biasa termasuk membantu polis memastikan SOP dipatuhi orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Untuk itu ATM masih membantu polis cuma dalam Op Benteng yang diterajui kami sebelum ini, kuasa menangkap pendatang tanpa izin adalah terbatas.

“Jadi bagi tempoh darurat ini, ATM diberikan kuasa sama seperti polis dengan tumpuan Op Benteng di kawasan sempadan negara terutamanya di lorong-lorong tikus bagi mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin di negara ini,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di sini.

Ismail Sabri berkata sebelum Ordinan Darurat berkenaan dikuatkuasakan, kuasa ATM amat terbatas sewaktu mengekang kemasukan pendatang tanpa izin dalam Op Benteng kerana tiada kuasa menahan mereka.

Sebelum ini, Bernama melaporkan bahawa pegawai dan anggota ATM kini mempunyai bidang kuasa menahan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang didapati melanggar PKP.

Perkara itu terletak di bawah pelaksanaan Ordinan Darurat, bidang kuasa tentera dan polis adalah sama dan ini akan memudahkan pengurusan Covid-19 dengan lebih baik.

Dalam perkembangan lain beliau berkata pihak polis menahan seramai 590 indvidu kerana mengingkari PKP semalam.

“Sejumlah 553 daripada mereka dikompaun sementara 35 lagi direman sementara dua inidvidu dijamin semalam. Mengenai Op Benteng pula, seramai lapan pendatang tanpa izin ditahan manakala 12 kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai penghantar makanan yang bekerja di restoran atau kedai makan persendirian sama ada dibenar melalui sekatan jalan raya (SJR), Ismail Sabri berkata mereka dibenarkan melalui SJR sepanjang tempoh PKP.

“Bagaimanapun pengusaha makanan perlu memaklumkan kepada pihak polis serta mengeluarkan surat pengesahan majikan kepada pekerja terlibat manakala bagi penghantar makanan persendirian pula mereka boleh memaklumkan dan memohon sendiri kepada pihak polis,” katanya.

Mengenai kebenaran melanjutkan operasi kedai makan kepada pukul 10 malam, Ismail Sabri berkata perkara tersebut masih dalam peringkat perbincangan dan penelitian dari pelbagai aspek.

“Kerajaan mengambil maklum dan prihatin mengenai rungutan dalam kalangan orang ramai yang dan bekerja tidak sempat membeli makanan untuk bawa pulang ke rumah pada waktu operasi sedia ada,” katanya.

Ditanya cadangan untuk mengetatkan SOP susulan kes Covid-19 masih membimbangkan selepas tujuh hari pelaksanaan PKP, Ismail Sabri berkata perkara itu akan dinilai dan diputuskan berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia sebelum PKP tamat Selasa depan.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan menekankan penguatkuasaan terhadap majikan dalam memastikan semua pekerja asing terutama di kilang dan tapak bina menjalani saringan Covid-19 serta mematuhi syarat SOP penginapan ditetapkan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Banci dalam talian dibuka semula – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menyusun semula banci bersemuka dan membuka semula platform banci dalam talian, e-Census sebagai usaha mengekang penularan Covid-19, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di seluruh negara kecuali Sarawak.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehubungan itu, orang ramai yang belum membuat pengisian banci diminta untuk mengisi segera maklumat banci melalui www.mycensus.gov.my.

“DOSM memaklumkan sehingga kini, dianggarkan seramai 23.5 juta penduduk atau 72.0 peratus daripada kira-kira 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020),” kata beliau pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengumumkan seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah PKP selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari ini hingga 4 Februari depan.

Sementara itu, pada sidang media yang sama beliau memaklumkan 35 kes penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19 telah didakwa di mahkamah dengan 21 daripadanya didapati bersalah manakala 13 lagi dalam proses perbicaraan.

“Kerajaan memandang serius dan tidak akan bertoleransi terhadap penyebar berita palsu sehingga menimbulkan panik dan kegusaran dalam kalangan masyarakat dan orang ramai diingatkan supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya,” katanya.

Sehingga 18 Januari, sebanyak 278 kertas siasatan telah dibuka oleh polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan 141 kes daripadanya masih dalam siasatan.

Pasukan Respon Pantas (PRP) di bawah SKMM juga telah mengeluarkan sebanyak 424 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu berkaitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Seluruh negara di bawah PKP kecuali Sarawak – menteri

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Seluruh negara kecuali Sarawak akan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas kerajaan turut menguatkuasakan perintah itu di Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu mulai 22 Januari hingga 4 Februari depan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat setelah terdapat peningkatan taburan kes positif Covid-19 dalam komuniti di negeri-negeri terbabit.

“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM (Kementerian Kesihatan) kerajaan bersetuju supaya PKP dilaksanakan di negeri-negeri tersebut bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya dalam sidang media perkembangan PKP, di sini hari ini.

Kerajaan sebelum ini menguatkuasakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari.

Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala di Perlis dan Sarawak pula diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sepanjang tempoh tersebut.

Pada 16 Januari lalu, PKP dilaksanakan di Kelantan hingga 26 Januari ini.

Berhubung pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) semasa PKP di negeri terbabit, beliau berkata SOP adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, antaranya penduduk tidak dibenarkan keluar kecuali untuk membeli barangan keperluan serta pergerakan keluar masuk bagi semua kawasan PKP hanya boleh dilakukan dengan kebenaran polis.

Bagaimanapun katanya restoran, kedai, gerai makan, kenderaan bersaji, penjaja tepi jalan, medan selera, pusat penjaja, kiosk, gerai makan tepi jalan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6 pagi dan 8 malam.

Beliau berkata penjualan makanan hanya secara berbungkus untuk dibawa pulang, pandu lalu atau melalui perkhidmatan penghantaran mulai 6 pagi hingga 8 malam, manakala hospital dan klinik dibenar beroperasi 24 jam.

“Kedai farmasi dan kedai keperluan harian pula boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam, stesen minyak boleh beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam kecuali di lebuh raya selama 24 jam,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKP Diperketatkan (PKPD) di Apartment Amber Court, Bentong, Pahang akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, susulan trend penurunan kes Covid-19 yang dilaporkan dan tiada lagi sampel saringan menunggu keputusan.

Turut ditamatkan esok ialah PKPD di Pusat Pemulihan Akhlak di Muar, Johor, kecuali bagi blok petempatan di blok C dan blok sekolah yang dilanjutkan hingga 3 Februari depan berikutan terdapat 85 baki kes aktif di blok berkenaan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan teliti operasi kedai makan hingga 10 malam

SHAH ALAM, 19 JAN: Kerajaan akan teliti saranan supaya kedai makan dan restoran dibenarkan beroperasi hingga jam 10 malam.

Menteri kanan (keselamatan) berkata pihaknya akan meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) membincangkan perkara itu bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ramai merungut supaya operasi kedai makan dilanjutkan dari 6 pagi hingga 10 malam kerana selepas 8 malam sukar mendapatkan makanan.

“Jadi kita minta KKM bagi pandangan kepada MKN. Jika ada keputusan akan diumumkan segera,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Semalam seramai 21 ahli parlimen pembangkang menggesa Kerajaan Persekutuan membenarkan kedai makanan beroperasi mengikut lesen perniagaan tidak terhad setakat jam 8 malam.

Gesaan itu bertujuan memulihkan ekonomi peniaga selain menjana pendapatan pekerja penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk rumah bagi mengekang penularan Covid-19.

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Ingkar PKP: Polis tahan 253 individu semalam – menteri

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Seramai 253 individu ditahan polis atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 252 orang dikompaun manakala seorang direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP ialah tidak memakai pelitup muka (115), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (88), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (23), aktiviti pusat hiburan (16) dan gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (11),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan pelaksanaan PKP hari ini.

Ismail Sabri berkata Operasi Benteng yang dilaksana bagi mengawal sempadan negara semalam berjaya menahan 18 pendatang tanpa izin, tiga tekong serta merampas tujuh kenderaan darat.

Selain itu, sebanyak 111 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam.

Beliau berkata pasukan petugas operasi pematuhan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKP telah membuat 47,237 pemeriksaan semalam.

Mengenai tapak binaan, beliau berkata anggota penguatkuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 19 tapak binaan di seluruh negara dan kesemua tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan.

Ismail Sabri berkata pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 747 premis perniagaan seperti peruncit (552), pemborong (166) dan pengilang (29).

“Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh,” katanya.

Selaras dengan pelaksanaan PKP di enam negeri, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di enam negeri lain dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di dua lagi negeri yang bermula hari ini, Ismail Sabri menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan diri, mematuhi SOP, mengamalkan kawalan kendiri serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Hanya dua wakil isi rumah dibenar beli barang keperluan, ubatan

SHAH ALAM, 12 JAN: Hanya dua wakil isi rumah dibenarkan keluar bagi keperluan membeli barangan atau mendapatkan ubat-ubatan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata had pergerakan wakil isi rumah terbabit hanya dalam lingkungan 10 kilometer dari tempat tinggal mereka.

“Sekiranya tiada perkhidmatan kesihatan atau perubatan dalam lingkungan tersebut, mereka boleh pergi ke tempat yang paling hampir dengan kediaman.

“Maksimum tiga orang sahaja termasuk pesakit dibenarkan keluar untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut pada satu-satu masa,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Beliau menambah pergerakan keluar masuk di kawasan PKP bagi kes kecemasan seperti kematian dibenarkan selepas mendapat kebenaran polis.

Menurutnya, kebenaran sama diberikan bagi kes serupa seperti bencana alam termasuk bantuan kemanusiaan oleh badan bukan kerajaan (NGO) namun perlu disalurkan melalui pusat kawalan operasi bencana.

Categories
AGENDA NASIONAL

Banyak aktiviti niaga dibenar operasi di negeri PKP – menteri

SHAH ALAM, 12 JAN: Majoriti aktiviti perniagaan di negeri dikuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga 8 malam.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata kebenaran itu termasuk bagi premis antaranya restoran, kedai makan, kendera saji, penjaja dan gerai makan tepi jalan, medan selera, kedai runcit, serbaneka serta kedai keperluan harian.

“Aktiviti penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja sepanjang tempoh berkenaan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Beliau berkata stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam kecuali di lebuh raya yang boleh dibuka 24 jam.

Menurutnya, hospital dan klinik dibenarkan sehingga 24 jam manakala kedai farmasi dari 6 pagi hingga 8 malam.

“Pasar harian dan pasar tani dibolehkan mulai 7 pagi hingga 2 petang manakala pasar borong (12.01 hingga 6 pagi dan 11 pagi hingga 4 petang).

“Klinik dan kedai makanan haiwan pula dari 6 pagi hingga 8 malam tetapi kedai dobi kecuali dobi layan diri beroperasi dalam tempoh masa sama,” katanya.

Berikut perincian aktiviti TIDAK dibenarkan:

1. Ekonomi
– Operasi pasar malam dan bazar larut malam
– Operasi kedai pakaian, dobi, kedai cermin mata, gunting rambut, salon, spa dan refleksologi
– Kelas tuisyen, kelas muzik, kelas tarian, seni, kelas mengaji dan kelas bahasa

2. Hiburan
– Kelab malam atau pub
– Taman tema, taman permainan dalaman, karaoke keluarga dan panggung wayang
– Konsert atau acara langsung

3. Mesyuarat bersemuka agensi kerajaan dan swasta

4. Semua seminar/bengkel/kursus/latihan/persidangan/ceramah/pameran dan aktiviti berkaitan mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran

5. Majlis Keramaian
– Majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan dan swasta
– Majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis perkahwinan dan pertunangan, resepsi, majlis aqiqah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, sambutan hari kelahiran, reunion, retreat dan lain-lain majlis sosial

6. Sukan dan Rekreasi
– Semua aktiviti sukan dan riadah kecuali kelonggaran aktiviti jogging dan berbasikal seperti dinyatakan dalam SOP
– Penganjuran kejohanan/pertandingan
– Aktiviti sukan dan rekreasi melibatkan penglibatan ramai dan sukar dikawal penjarakan fizikal
– Acara dan pertandingan sukan melibatkan peserta dari luar negara

7. Pelancongan
– Aktiviti pelancongan ke luar/masuk kawasan PKP dan di kawasan PKP Diperketatkan
– Aktiviti pelancongan ke luar negeri oleh warganegara
– Aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan pelancong asing memasuki Malaysia kecuali dari negara sebagaimana dinyatakan menteri