Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Tahap hutang negara mungkin cecah 55 peratus – menteri kewangan

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Tahap hutang negara berkemungkinan mencecah had berkanun 55 peratus pada akhir tahun ini daripada 52 peratus ketika ini berikutan pelaksanaan langkah-langkah perlu untuk menyelamatkan nyawa, kehidupan serta merangsang ekonomi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion diikuti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM35 bilion bagi menangani impak pandemik Covid-19 terhadap ekonomi negara dengan suntikan fiskal langsung kerajaan sebanyak RM45 bilion.

“(Tetapi), saya pernah menyebut beberapa kali bahawa 97 peratus hingga 98 peratus hutang kita adalah hutang dalam negeri (negara).

“Ini penting kerana ia bermakna dedahan kita terhadap risiko turun naik mata wang asing adalah amat terhad,” katanya ketika membentangkan Laporan Ke-10 Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin dan Penjana di laman Facebook beliau di sini, hari ini.

Dalam temu bual baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata suntikan fiskal langsung berjumlah RM10 bilion ke dalam Penjana dijana menerusi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII).

Beliau juga berkata Malaysia juga mempunyai kemampuan terhadap nisbah hutang 55 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Selain itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa kerajaan amat komited dalam memastikan disiplin fiskal dapat diteruskan.

“Penganalisis, agensi penarafan dan pelabur memahami bahawa Malaysia seperti negara-negara lain, akan mencatatkan defisit yang lebih tinggi berikutan pelbagai langkah rangsangan ekonomi. Ya..defisit belanjawan Malaysia diunjurkan meningkat kepada 5.8-6.0 peratus,” katanya.

Sebelum ini, Belanjawan 2020 mengunjurkan defisit itu pada 3.4 peratus.

“Memandang ke hadapan, apa yang lebih penting adalah apa yang kita lakukan untuk memperbaiki keadaan ini.

“Kerajaan komited terhadap disiplin fiskal untuk mengembalikan defisit fiskal di bawah 4.0 peratus dalam tempoh 3 hingga 4 tahun akan datang,” kata beliau.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pakar ekonomi ramal harga minyak bakal naik lagi

minyak-naik-

SHAH ALAM 29 OKT : Kerajaan Pusat dijangka akan memotong subsidi minyak kali kedua bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut dan seterusnya menyebabkan harganya naik di pasaran, pada 2014.

Pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander, meramalkan kerajaan pusat bertindak demikian berikutan subsidi minyak adalah jumlah terbesar yang dibelanjakan setiap tahun.

Katanya, dianggarkan RM24.8 bilion atau 53 peratus daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan adalah untuk subsidi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekali gus menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada rakyat dan Pakatan Rakyat (PR), pada September lalu.

“Kemungkinan akan ada satu lagi pusingan membabitkan rasionalisasi subsidi minyak,” katanya.

Frederico dipetik dari The Malaysian Insider berkata, berdasarkan perkara itu adalah isyarat jelas bahawa Putrajaya akan mengambil langkah rasionalisasi itu hasil daripada pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Jika dilihat, peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan. Saya berpendapat, ia adalah isyarat bahawa mungkin berlaku rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai,” katanya.

Sebelum ini, pimpinan PR turut mendesak kerajaan pusat menurunkan harga kereta sebelum menaikkan harga minyak kerana kenaikanitu juga menyebabkan kos penyelenggaraan perkhidmatan teksi meningkat 30 peratus, sekali gus menyusutkan pendapatan bersih pemandu teksi.

Kenaikan itu juga memberi impak kitaran ekonomi yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia melonjak naik, selain membebankan pengguna.

-NFN-