Categories
AGENDA NASIONAL

Jika minyak naik kerajaan beri subsidi

PUTRAJAYA, 15 SEPT: Tindakan Arab Saudi menggantung sementara pengeluaran di dua loji minyak Aramco susulan serangan oleh pemberontak Yemen, sudah pasti akan memberi kesan kepada harga minyak di seluruh dunia, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, di Malaysia, kerajaan mengamalkan pemberian subsidi bagi mengimbangi kenaikan harga tersebut.

“Kalau dia (Arab Saudi) terpaksa henti pengeluaran minyak ditapis sebanyak sejuta tong, sudah tentu beri kesan kepada harga minyak seluruh dunia.

“Tetapi di Malaysia bila harga minyak naik, kita beri subsidi. Di United Kingdom, kalau minyak naik, dia (kerajaan) naikkan cukai. Bagi dia, orang dia tak merungut,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan mengkaji semula harga runcit petrol RON95 yang kini ditetapkan pada paras RM2.08 jika berlaku kenaikan harga minyak dunia berikutan kejadian serangan itu.

Putera Abdulaziz Salman, dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA semalam berkata, Arab Saudi menggantung pengeluaran di dua loji minyak Aramco yang diserang pemberontak Yemen.

Menteri Tenaga Arab Saudi itu berkata, serangan tersebut menyebabkan penggantungan sementara pengeluaran di loji Abqaiq dan Khurais yang membawa kepada gangguan kira-kira 50 peratus pengeluaran keseluruhan.

Aramco dalam kenyataan berasingan menjelaskan serangan itu mengakibatkan penggantungan pengeluaran 5.7 juta tong minyak mentah sehari.

Serangan dron pemberontak Houthi ke atas Abqaiq dan Khurais, dua kemudahan utama Aramco di timur Arab Saudi, adalah yang terbaharu dalam siri serangan ke atas loji minyak negara itu sejak beberapa bulan ini.

Pemberontak Houthi berkata, mereka melancarkan operasi berskala besar membabitkan 10 dron di kemudahan itu, lapor televisyen kumpulan itu, Al-Masirah.

– BERNAMA

Categories
KENYATAAN MEDIA

Hapus subsidi: Pertahankan hak rakyat bukan syarikat minyak

Oleh: Rafizi Ramli

Saya dimaklumkan akan reaksi Ketua Pemuda Umno, YB Khairy Jamaluddin terhadap tindakan menghapuskan subsidi oleh Barisan Nasional dengan menempelak kritikan di media sosial.

Beliau menjawab dengan menunjukkan bagaimana harga akan ditentukan di bawah sistem apungan harga terkawal (managed float system) di laman Twitter.

MinyakSaya mengalu-alukan jawapan itu kerana ia mendedahkan bagaimana Barisan Nasional terus memangsakan rakyat tetapi membela syarikat-syarikat besar.

Penetapan harga petrol dan diesel telah lama dibuat melalui sistem Penetapan Harga Automatik (Automatic Pricing Mechanism) yang mengikut formula berikut (iaitu yang ditunjukkan oleh YB Khairy Jamaluddin):

1. Kos petrol dan diesel ditetapkan melalui harga rujukan menggunakan harga yang dikumpul oleh Platts melalui satu indeks yang dipanggil Means of Platts Singapore (MOPS). Harga ini adalah harga purata petrol dan diesel yang diperdagangkan melalui Singapura (dan bukannya harga minyak mentah).

Kos ini telah termasuk kos dan keuntungan syarikat minyak yang mengendalikan loji penapisan kerana MOPS menentukan harga petrol dan diesel yang telah siap diproses.

2. Ditambah: “alpha” atau bayaran pampanan kepada syarikat minyak sebanyak 5 sen (petrol) dan 4 sen (diesel) untuk melindungi mereka dari turun naik kos petrol dan diesel di pasaran

3. Ditambah: “kos operasi” yang dibayar untuk menampung kos pengangkutan, agihan dan pemasaran yang ditanggung oleh syarikat minyak

4. Ditambah: “keuntungan syarikat minyak” sebanyak 5 sen (petrol) dan 2.25 sen (diesel)

5. Ditambah: “keuntungan stesen minyak” sebanyak 12.19 (petrol) dan 7 sen (diesel)

Ini bermakna sementara rakyat terpaksa berdepan dengan risiko turun naik harga petrol dan diesel di pasaran dunia ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia, Barisan Nasional meneruskan kaedah menjamin keuntungan syarikat-syarikat minyak melalui formula yang di atas.

Segala kos syarikat minyak – dari kos memproses minyak mentah menjadi petrol dan diesel (dengan merujuk kepada harga rujukan MOPS) sehinggalah ke kos pengangkutan, edaran dan pemasaran – dijamin dan dibayar balik kepada syarikat minyak. Lebih dari itu, Barisan Nasional juga menjamin keuntungan kepada syarikat minyak dan pemilik stesen minyak.

Sebelum ini, rakyat mendapat subsidi yang mengimbangkan jaminan keuntungan yang diberikan kepada syarikat-syarikat minyak.

Dengan penghapusan subsidi, rakyat terpaksa menanggung bukan sahaja kenaikan kos petrol dan diesel, malah keuntungan syarikat-syarikat minyak yang dijamin oleh Barisan Nasional.

Sebab itu saya terus menegaskan bahawa subsidi itu adalah satu tanggungjawab sosial dan moral yang perlu Kerajaan Persekutuan tanggung kerana sistem yang sedia ada memunggahkan kekayaan kepada syarikat besar dan memangsakan rakyat.

Saya berminat untuk mendapat jawapan lanjut dari Ketua Pemuda Umno sama ada tindakan beliau mempertahankan formula apungan harga yang menjamin keuntungan syarikat minyak ini bermakna beliau lebih mementingkan syarikat-syarikat besar berbanding kepayahan rakyat kebiasaan?
* RAFIZI RAMLI adalah Naib Presiden/Setiausaha Agong KEADILAN dan Ahli Parlimen Pandan

 

Categories
NASIONAL

Subsidi minyak: Mengapa kerajaan begitu berkira?

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 29 OKT: Langkah kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memberi subsidi petrol mengikut pendapatan individu disifatkan tidak wajar dan dianggap terlalu ‘berkira’ dengan rakyat.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa kebanyakan individu yang menikmati kadar subsidi petrol terdiri di kalangan mereka yang berkereta mewah.

Katanya, hal itu kerana berdasarkan pemerhatian, kebanyakan rakyat Malaysia di negara ini memiliki pendapatan sederhana dan menggunakan kenderaan buatan Malaysia untuk urusan harian.

harga-minyak-naik-20-sen“Tidak adil untuk berkata golongan yang menikmati kadar minyak subsidi tinggi adalah mereka yang berkereta besar.

“Jika yang menikmati harga minyak subsidi adalah yang berkereta besar, mengapa pula mereka perlu dihukum? Mereka sudah membayar cukai.

“Yang saya lagi pening, kerajaan kata tidak suka kepada rakyat yang suka subsidi, tetapi memberi subsidi secara terpilih mengikut tahap pendapatan itu, tidakkah itu juga subsidi?” tulisnya di Facebook.

Beliau turut melahirkan kebimbangan bahawa cara pemberian subsidi petrol menggunakan kaedah itu akan disusuli dengan kenaikan harga barang yang masih gagal dikawal sepenuhnya kerajaan.

Katanya, jika pemberian subsidi berkenaan memberi kesan kepada pendapatan negara, maka kerajaan pusat disarankan supaya mengapungkan harga minyak mengikut pasaran dunia.

“Yang saya bimbang, adalah dengan cara pemberian subsidi minyak ‘mengikut pendapatan individu’ ini adalah kenaikan harga barang.

Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff“Jika harga minyak naik 20 sen, itu masih boleh diatur dengan menjimatkan penggunaan kereta tetapi bagaimana dengan kenaikan harga barang? Apakah boleh dikawal?” katanya.

Mohammad Agus berkata, langkah terbaik yang boleh dilakukan kerajaan adalah menghapuskan pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) dan menggunakan dana itu untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur negara.

“Duit yang dapat dikutip itu perlu digunakan segera bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur negara. Seksa rasanya jalan raya sesak teruk,” katanya.

Hanya mereka yang mempunyai pendapatan kurang RM5,000 sebulan dan membawa kenderaan kurang daripada 2,000 cc layak menikmati pembelian bahan api bersubsidi secara sepenuhnya.

Di bawah pendekatan baru yang akan dilaksanakan mulai September ini, pemilik kenderaan yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000 pula diperuntukkan kuota petrol RON95 dan diesel bersubsidi 300 liter.

Sebaik menghabiskan kuota 300 liter, pemilik kenderaan berkenaan tiada pilihan melainkan membeli bahan api mengikut harga pasaran.

Bagi mereka yang mempunyai pendapatan RM10,000 ke atas pula, mereka dijangka tidak akan dibenarkan membeli petrol atau diesel menggunakan harga subsidi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Pakar ekonomi ramal harga minyak bakal naik lagi

minyak-naik-

SHAH ALAM 29 OKT : Kerajaan Pusat dijangka akan memotong subsidi minyak kali kedua bagi menangani defisit fiskal yang dihadapi selama 15 tahun berturut-turut dan seterusnya menyebabkan harganya naik di pasaran, pada 2014.

Pakar ekonomi Bank Dunia, Dr Frederico Gil Sander, meramalkan kerajaan pusat bertindak demikian berikutan subsidi minyak adalah jumlah terbesar yang dibelanjakan setiap tahun.

Katanya, dianggarkan RM24.8 bilion atau 53 peratus daripada keseluruhan RM47 bilion wang yang dibelanjakan adalah untuk subsidi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, sekali gus menimbulkan kemarahan dan kritikan daripada rakyat dan Pakatan Rakyat (PR), pada September lalu.

“Kemungkinan akan ada satu lagi pusingan membabitkan rasionalisasi subsidi minyak,” katanya.

Frederico dipetik dari The Malaysian Insider berkata, berdasarkan perkara itu adalah isyarat jelas bahawa Putrajaya akan mengambil langkah rasionalisasi itu hasil daripada pembentangan Belanjawan Negara 2014, pada 25 Oktober lalu.

“Jika dilihat, peruntukan minyak dijangka akan menurun secara signifikan tahun depan. Saya berpendapat, ia adalah isyarat bahawa mungkin berlaku rasionalisasi subsidi minyak bagi memastikan sasaran dapat dicapai,” katanya.

Sebelum ini, pimpinan PR turut mendesak kerajaan pusat menurunkan harga kereta sebelum menaikkan harga minyak kerana kenaikanitu juga menyebabkan kos penyelenggaraan perkhidmatan teksi meningkat 30 peratus, sekali gus menyusutkan pendapatan bersih pemandu teksi.

Kenaikan itu juga memberi impak kitaran ekonomi yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan di Malaysia melonjak naik, selain membebankan pengguna.

-NFN-